About Me

My photo
Anak Bapak Al-Banjary Al-Asya'iry As-Syafi'iy, Dilahirkan pada tanggal 1hb Januari 1983 di Kg Parit Satu Sungai Sireh, Tanjong Karang, Selangor Darul Ehsan, seorang Melayu berketurunan Banjar suku Alai, Kini bersama PAS Kawasan Tanjong Karang berjuang menegakkan Islam di atas muka bumi Allah sebagai amanah dan tanggungjawab dari-Nya.. ..terima kasih atas sokongan anda.. Takbirr..ALLAHUAKBAR..!!!

Sunday, October 31, 2010

UMNO PERALAT AGAMA, FAKTA BUKAN FITNAH.

Parti Islam Se-Malaysia PAS, menegaskan memang Umno peralatkan agama dan peralatkan orang agama. Ia bukan merupakan fitnah, tetapi kenyataan. Mereka gunakan isu agama apabila penduduknya kuat berpegang dengan agama seperti di Galas. Ustaz-ustaz Umno disuruh berkempen untuk menghalalkan apa yang Umno buat. Merekalah orang yang mencari dalil untuk menghalalkan arak, judi dan program maksiat yang ditaja oleh kerajaan umno BN.

Ketika Datin Rosmah Mansur menjadi penaung kepada Festival Fesyen Islam di Monte Carlo Monarco pada 9 Ogos 2010. Orang agama di dalam Umno membisu, seolah-olah mulut penuh dengan sagon, tidak berani tegur. Mana suara ustaz Umno apabila kerajaan BN di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Razak yang mahu menjadikan Malaysia sebuah hub pusat hiburan malam bagi memacu industri pelancongan mengikut Program Transformasi Ekonomi (ETP). Banyak lagi bukti orang agama di dalam Umno hanya menjadi tukang baca doa dan marhaban sahaja, tidak lebih daripada itu.

PAS mencabar Umno berikan bukti, peranan orang agama di dalam Umno berkesan untuk mempertahankan Islam dan menentang kemungkaran. Orang agama di dalam Umno hanyalah membesarkan tembolok sahaja. Mereka hanya mencari hujah untuk melawan dengan PAS. Hujah mereka mengenai orang bukan Islam tidak boleh masuk masjid, ditolak dengan keputusan Majlis Fatwa kebangsaan sendiri yang mengharuskan orang bukan Islam masuk ke dalam masjid. Hujah berkenaan dengan sumber judi telah makan diri sendiri. Rakyat mula berkata, Umno haram duit judi, tetapi halalkan lesen judi. Ke manakah pergi orang-orang agama di dalam Umno yang berkelulusan tinggi, antaranya ialah Dr Hamid Osman, Dr Abdullah Mohd Zin, Dr Yusuf Nor, Ustaz Zainal Abidin Abd Kadir, Datuk Dasuki Haji Ahmad, Ustaz Fadhil Hanafi, Dr Amran Kasimin. Persoalannya di manakah suara mereka sekarang. Perkasakan Islam di dalam Umno dahulu. Kenapakah isteri Presiden Umno tidak bertudung mereka membisu. Persoalannya tenangkah jiwa orang agama di dalam Umno yang bergelomang dengan parti yang menyuburkan maksiat. Ilmu yang mereka belajar bertentangan dengan parti yang mereka sertai. PAS menyeru supaya orang agama tinggalkan sahaja Umno, sertailah PAS. Habiskanlah sisa umur yang masih berbaki untuk Islam. Tidak ada makna kemewahan dunia, tetapi hati tidak tenang.

Friday, October 29, 2010

JAWAPAN TUAN GURU NIK AZIZ : ISU "FATWA IKUT SUKA PAS"


Tergerak hati saya untuk memberikan ulasan berkenaan kenyataan Timbalan Presiden Umno ketika berkempen di Galas, semalam (27 Oktober) yang disiarkan (Utusan Malaysia, 28 Oktober 2010, ms 3) dengan tajuk TPM BIDAS ’FATWA’ IKUT SUKA PAS.”


Tan Sri Muhyiddin Yasin dilaporkan menyebut : ''Perangai mereka macam biasalah, apa yang mereka buat 'halal' yang kita 'haram', yang dia (buat) masuk syurga, yang kita masuk neraka. Dari segi konteks kerjasama dengan masyarakat apa bezanya antara DAP dan MCA."


Nampaknya pilihan raya kecil N.45 Dun Galas sekali lagi menjadi medan pemimpin Umno menghentam PAS khususnya berkenaan kerjasama PAS dengan Pakatan Rakyat melibatkan DAP. Nampak sangat kemarahan Umno apabila PAS menjalinkan hubungan kerjasama dengan DAP. Gerun benar Umno apabila PAS yang dijadikan hantu untuk menakut-nakutkan masyarakat Cina berikut orang Cina sudah boleh didekati dan tidak lagi digeruni.


Sukacita saya jelaskan, ada bezanya kerjasama antara Umno dengan MCA dan MIC dalam Barisan Nasional dengan kerjasama antara PAS dan DAP mahu pun KeAdilan di dalam Pakatan Rakyat. Ia bagaikan langit dengan bumi. Hairannya, penjelasan demi penjelasan telah diberikan. Namun, apabila telinga disumbat dan mata ditutup, tidak ada gunanya segala penjelasan yang diberikan. Pada hemat saya, pemimpin Umno sudah tenggelam dalam keghairahan untuk memburu kemenangan di Galas, hingga lupa tinggi rendahnya lantai tempat berpijak.


Beberapa hari lepas, pemimpin yang sama telah mencadangkan supaya mata pelajaran Sejarah menjadi mata pelajaran yang wajib untuk peperiksaan SPM bermula tahun 2013. Menunjukkan di sini Sejarah amat penting. Cuma saya ingin mengingatkan bahawa al-Quran sendiri tidak pernah meninggalkan aspek sejarah dalam penceritaannya. Bermula dengan sejarah penciptaan manusia seterusnya sejarah dakwah para nabi dan juga sejarah kehancuran umat-umat terdahulu. Maka, al-Quran mahukan kita belajar dari sejarah. Justeru, PAS sendiri tidak pernah lupa untuk berguru dengan sejarah.


Bukankah sejarah mencatit bagaimana PAS telah diajak masuk bergabung ke dalam Barisan Nasional oleh Allahyarham Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia pada tahun 1973? Dengan hati yang ikhlas, PAS pada masa itu menyambut huluran tangan perpaduan tanpa menyedari musibah yang akan dihadapi. Rupanya Barisan Nasional tidak lebih sebagai perangkap bagi PAS. PAS bersama Umno membentuk Barisan Nasional demi perpaduan. Namun hasilnya PAS di Kelantan telah berpecah kepada empat, iaitu PAS, Bebas Bersatu, Hamim dan Berjasa. PAS hampir-hampir ranap akibat perpecahan tersebut. Malangnya selepas Umno kembali kuat, PAS ditendang daripada Barisan Nasional dan akhirnya kehilangan kerajaan di Kelantan pada tahun 1978. Apa hasilnya kerjasama PAS dengan Umno? Tangan Umno yang terkapai-kapai kelemasan dipegang erat dan diselamatkan oleh PAS. Apabila, terselamat lalu PAS ketika sarat dengan masalah terus ditendang ke laut, lemas keseorangan.


Di sini sukacita dinyatakan, hubungan PAS dengan DAP yang dikatakan chauvinis Cina, ia tiada unsur khianat dan PAS tidak dikhianati. Jika pemimpin Umno bertanya, apa bezanya kerjasama dalam Barisan Nasional dengan Pakatan Rakyat? Jawapannya, kerjasama PAS dengan DAP dalam Pakatan Rakyat tidak pernah menjejaskan prinsip PAS sebagai sebuah gerakan Islam. Awal-awal PAS sudah nyatakan, jika mahu teruskan kerjasama dengan PAS, kita tak akan buang dasar Islam, jika dibuang maka tiadalah PAS, kerana adanya PAS adalah untuk berjuang Islam. Dan PAS masih tetap dengan agenda Islam. Kerana kita yakin, perjuangan Islam sedia memberi keadilan untuk semua.


Seketika dulu, DAP sendiri pernah keluar daripada Barisan Alternatif apabila tidak dapat menerima agenda Islam yang dibawa oleh PAS. Tetapi mereka mula faham dengan keadilan prinsip Islam yang berjaya ditunjukkan setelah 20 tahun PAS mentadbir Kelantan. Di sini kita lihat, pemimpin DAP tidak anti Islam kerana mereka secara beransur-ansur kini mula mengenali Islam. Malah di Pulau Pinang kini yang diperintah DAP, kita dapati ketua menterinya banyak menerima pakai prinsip pentadbiran Islam. Malah ada pemimpin DAP yang sudah boleh memetik ayat-ayat al-Quran untuk rujukan, pemimpin Umno pula semakin menjauhi al-Quran. Justeru kita lihat, pengalaman PAS bersama DAP itu, hasilnya menunjukkan sekurang-kurangnya Islam sudah tidak digeruni oleh non muslim. Inilah beza besar kerjasama PAS dengan DAP dibandingkan kerjasama Umno dengan MCA. Ingin saya bertanya, apa ruginya orang Islam apabila DAP mula berjinak-jinak dengan Islam?


Sayang sekali, Umno masih berfikir dengan kerangka perjuangan Melayu yang sempit. Melayu pun tidak terbela, Islam pun tidak terjaga. Umpama lebai malang, ke hilir pun berlapar, ke hulu pun tidak kenyang. Kononnya, Melayu dan Islam ialah perkara yang sama. Umno sudah buat silap sekian lama dalam mentafsirkan Islam. Lihat sahaja, cara pentadbiran kerajaan Umno yang bercadang menjadikan Malaysia sebuah hub pusat hiburan malam kononnya bagi memacu industri pelancongan mengikut Program Transformasi Ekonomi (ETP). Apakah cara itu cara yang Islamik dan adakah ia serasi dengan budaya Melayu? Di manakah pula disangkut agenda Melayu yang kononya berteraskan Islam yang diperjuangkan Umno? Ini pendekatan silap Umno sekian lama sehingga menyebabkan pemimpoin MCA terus takut dengan Islam. Akhirnya non muslim terus dirundung Islamofobia.


Hakikatnya, Umno yang memperalatkan Islam. Bila tersepit, Islam juga yang dicari. Bukankah salah seorang Naib Presiden Umno sendiri sewaktu Perhimpunan Agung Umno yang lepas mencadangkan supaya Umno menjadikan masjid sebagai tempat untuk mendaftar pengundi baru? Hairan saya, tidakkah prinsip Umno selama ini, politik tidak boleh dibawa ke masjid? Hari ini, bila tersepit Umno sendiri mula menggadaikan prinsip? Bukankah saya sendiri dihentam begitu teruk oleh pemimpin Umno dan media suara Umno dengan menuduh saya berpolitik atas masjid? Nampaknya, selepas bangunan Umno di Kota Bharu sudah terjual, Umno sendiri sudah ingin menjual prinsipnya pula..


Nasihat saya, kembalilah kepada Islam. Tinggalkanlah pemikiran sekular yang tidak akan sampai ke akhirat. Sangatlah jauh berbeza pemikiran seorang mukmin dan seorang pendukung sekular. Orang-orang mukmin melihat jauh ke akhirat, sedangkan orang-orang sekular melihat hanya setakat dunia sahaja. Umpama seorang anak yang berumur dua tiga tahun bila bersama ibunya ke pasar. Anak kecil itu hanya berfikir untuk membeli belon dan alat-alat permainan yang boleh menyeronokkan. Berbeza dengan pemikiran si ibu, pemikirannya berkisar kepentingan sekeluarga. Maka si ibu berfikir, apakah lauk pauk atau makanan yang perlu dibawa pulang untuk kesiapan sewsi rumah nanti. Itulah perumpamaan pemikiran sekular yang hanya terhenti setakat di dunia, seumpama seorang anak kecil yang berfikir setakat alatan permainannya semata-mata.


Justeru peringatan untuk semua pencinta perjuangan sekular. Dunia belum kiamat, dan ada masa untuk kembali ke pangkal jalan. Firman Allah SWT (Surah Yunus 10:84):


“Dan Nabi Musa pula berkata (kepada kaumnya): Wahai kaumku! Kalau sungguh kamu beriman kepada Allah, maka hendaklah kamu berserah diri kepadaNya, jika betul kamu orang-orang Islam (yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah).”


Maka seruan saya, kembalilah kepada perjuangan Islam, kerana Islam itu ajaran yang menyelamat dan mensejahterakan seluruh umat di dunia ini.


Sekian.

Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat,
Al-Mursyidul Am PAS merangkap Menteri Besar Kelantan.
Kota Bharu: 20 Zulkaedah 1431/28 Oktober 2010.


Wednesday, October 27, 2010

HIBURAN MALAM, CANDU SUPAYA RAKYAT LEKA KEGAGALAN UMNO...!!!

Parti Islam Se-Malaysia PAS kesal terhadap cadangan kerajaan BN di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Razak yang mahu menjadikan Malaysia sebuah hub pusat hiburan malam bagi memacu industri pelancongan mengikut Program Transformasi Ekonomi (ETP). Ini adalah petanda pemimpin negara ini sudah bangkrap idea dan muflis akhlak sehingga sanggup memperjudikan moral rakyat di negara ini. Kenapa pemimpin BN sanggup untuk mencadangkan idea yang melawan arus dan berpaling ke belakang seolah-olah tidak ada jalan lain untuk menjana kewangan di negara ini.

Ketika semua pihak memikirkan mengenai keruntuhan akhlak seperti buang bayi, perzinaan, gadis hilang, gadis lari rumah, pembunuhan, lumba haram dan sebagainya, tiba-tiba kerajaan boleh mencadangkan program yang boleh diibaratkan seperti meletak baja di sebelah tangan kanan dan mencurah racun di sebelah kiri. Apakah ini sabahagian daripada cadangan APCO Yahudi yang memang hendak menawan dunia melalui penaklukan moden tanpa pertumpahan darah sebaliknya dengan membunuh benih iman dan akhlak di negara ini.

Mereka mencari jalan pintas dengan mencadangkan perkara tersebut untuk meningkatkan pendapatan negara sebagai sebuah negara maju 2020. Lebih mengejutkan lagi Projek Penggerak Ekonomi (EPP) juga mencadangkan penubuhan zon hiburan di Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang, Genting Highlands, Pulau Pinang, Langkawi dan Kota Kinabalu bagi menggandakan pendapatan hiburan malam Malaysia kepada RM1.8 bilion menjelang 2020. Walaupun projek ini untuk menarik pelancong luar negara berhibur dan berbelanja, namun kesannya tetap akan dirasai oleh rakyat di negara ini.

Sebenarnya rancangan ini untuk menjadikan rakyat lalai dengan hidangan “candu hiburan” dan melupakan malapetaka rasuah yang terus mencengkam negara di tangga ke 56. Buktinya Indeks Persepsi Rasuah yang dijalankan oleh Transparency International (TI) tetapi mata yang dikutipnya terus merosot daripada 4.5 kepada 4.4. Markah itu membuktikan bahawa negara telah gagal mencapai sasaran Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang meletakkan sasaran mereka daripada 4.5 kepada 4.9 daripada markah maksimum -10 mata.

Laporan Ketua Audit Negara 2009 , menggambarkan kegagalan kerajaan Umno BN berterusan tidak menunjukkan kebolehan mengurus sehingga banyak berlaku ketirisan di banyak Kementerian. Walaupun dengan berbagai slogan yang dikemukakan seperti Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Program Transformasi Ekonomi (ETP), namun hasilnya adalah sama sahaja. Semuanya akibat kejahilan dan rosaknya integriti di kalangan pemimpin negara menyebabkan pelabur luar meluat untuk datang ke negara ini. Buktinya laporan yang dikeluarkan oleh Sekretariat Negara-Negara ASEAN, Malaysia hanya mampu meraih pelaburan bernilai USD 1, 381 juta sahaja pada 2009 berbanding USD 7, 318 juta pada 2008. Kejatuhan nilai pelaburan ini adalah yang tertinggi berbanding negara ASEAN lain.

Tuesday, October 26, 2010

HUTANG NEGARA, SETIAP RAKYAT MENANGGUNG RM 14,000.00...!!!

Parti Islam Se-Malaysia PAS merasa kesal terhadap pendedahan Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang, bahawa hutang negara pada tahun lalu berjumlah RM362.39 bilion, iaitu paras yang paling tinggi dalam tempoh lima tahun. Hutang kerajaan di dalam negara (domestic debt) pada tahun lalu adalah RM348.60 bilion atau 96.2 peratus keseluruhan hutang Kerajaan Persekutuan. Ini bermakna setiap rakyat Malaysia seramai 26 juta menanggung hutang sebanyak RM14,000 setiap orang.

PAS menganggap bahawa hutang yang meningkat dengan mendadak kerana ketirisan dan rasuah. Pendedahan Ketua Setiausaha Negara, mengatakan bahawa negara kerugian akibat rasuah setiap tahun RM10 bilion. Laporan Ketua Audit Negara 2009 mendedahkan berlaku penyelewengan mengagihkan bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) kepada murid tidak layak kerana maklumat pendapatan mereka meragukan. Malah, ada penerima didapati memiliki kemudahan tidak sepadan dengan kedudukan kewangan diisytiharkan seperti saluran televisyen berbayar Astro, lebih sebuah kenderaan dan ada penghawa dingin di rumah. Begitu juga dengan program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) di sekolah disediakan sandwich tanpa sardin, tomato, timun dan salad. Semuanya adalah contoh yang menunjukkan kegagalan kerajaan Umno BN yang akan digalas oleh rakyat Malaysia akibat kecuaian kerajaan pada hari ini menguruskan pentadbiran negara.

Apakah ini merupakah sebuah kerajaan yang berkesan dalam mentadbir negara ini. Selalu pemimpin Umno di negara ini sering mendabik dada bahawa parti yang bijak memerintah ialah Umno dan BN. Selain daripada BN maka tidak mampu untuk memerintah. Tidak hairanlah kepada kita apabila negeri yang diambil alih oleh PAS dan Pakatan Rakyat terpaksa memikul bebanan hutang yang perlu dilangsaikan. Kerajaan baru perlu melunaskan hutang,kerana kita ambil alih kerajaan, bukan ambil alih parti. Pengalaman PAS di Kelantan terpaksa memikul hutang kerajaan BN sebanyak RM740 juta selama 12 tahun mereka memerintah Kelantan. Begitu juga hutang kerajaan Kedah sebanyak RM2.3 bilion selama 51 tahun Umno BN perintah. Kebijaksanaan pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat di Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang menguruskan kewangan dan cuba berusaha membayar balik hutang amat dikagumi oleh pegawai kerajaan pusat.

Persoalannya apakah rakyat mahu membiarkan keadaan ini terus berlaku dan anak cucu kita yang akan menanggung derita pada masa akan datang. Pemimpin Umno BN hanya pandai berbelanja dengan boros dan tidak serius untuk menentang rasuah dan membetulkan kepincangan. Mereka akan mengorek lombong-lombong yang masih ada, seperti Kumpulan Simpanan Pekerja (KWSP), Petronas, Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tabung Haji dan sebagainya. PAS menyeru rakyat supaya cukuplah memberi mandat kepada Umno BN yang mengkhianat rakyat dan masa depan anak cucu kita.