About Me

My photo
Anak Bapak Al-Banjary Al-Asya'iry As-Syafi'iy, Dilahirkan pada tanggal 1hb Januari 1983 di Kg Parit Satu Sungai Sireh, Tanjong Karang, Selangor Darul Ehsan, seorang Melayu berketurunan Banjar suku Alai, Kini bersama PAS Kawasan Tanjong Karang berjuang menegakkan Islam di atas muka bumi Allah sebagai amanah dan tanggungjawab dari-Nya.. ..terima kasih atas sokongan anda.. Takbirr..ALLAHUAKBAR..!!!

Tuesday, September 28, 2010

ISU WANG JUDI , UMNO TERLUPA DIA BAPA JUDI !!!

Parti Islam Se-Malaysia PAS merasa harian tindak tanduk pemimpin Umno yang menuduh Kerajaan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang yang memberi RM 100 wang ehsan kepada warga emas telah diambil daripada sumber judi. Tuduhan itu dibuat oleh Ketua Penerangan Pemuda Umno, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang mendedahkan Kerajaan Pulau Pinang menerima sumbangan sebanyak RM500,000 daripada Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang yang merupakan sebuah kelab yang mengendalikan pertaruhan lumba kuda di negeri itu.

Bagaimanapun, YAB Lim Guan Eng berkali-kali menafikan dakwaan itu, dan Setiausaha Politiknya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Komtar Ng Wei Aik membuat laporan ke atas penulis blog itu kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Malahan Ketua Menteri Pulau Pinang menjelaskan wang ini ialah daripada lebihan perbelanjaan kerajaan Pulau Pinang hasil daripada jimat cermat sebanyak RM35.41 juta, daripada sinilah diambil RM20 juta untuk diagihkan kepada warga emas .

PAS sebagai sebuah Parti Islam yang berdasarkan kepada Islam, tidak mengiktiraf judi sebagai sumber yang sah, malahan ketika PAS mula memerintah Kelantan 1990, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat telah mengarahkan supaya jangan ada lagi premis di Kelantan dibenarkan menjalankan aktiviti judi. Tindakan ini dibuat apabila Tuan Guru Nik Aziz diberitahu oleh semua tokoh agama Kristian, Hindu dan Bhuda, judi adalah haram di sisi agama mereka.

PAS berpandangan Umno dengan judi ini seperti kembar siam yang sukar dipisahkan. Malahan daripada awal lagi Umno sudah hidup dengan judi. Ini terbukti apabila kalangan ulamak di dalam Umno membantah loteri kebajikan adalah haram. Pemimpin Umno tidak memperdulikan bantahan ulamak dalam Umno, berakhir dengan episod penubuhan PAS pada 24 November 1951. Sampai sekarang kita tidak dengar suara membantah secara agresif dalam Umno supaya judi dihapuskan, malahan baru sahaja kerajaan Umno BN meluluskan lesen judi bola 2010 sempena pertandingan Piala Dunia kepada Syarikat Ascot Sport Tan Sri Vincent Tan Berjaya Group pada 6 Mei 2010.

PAS mendesak Umno kena berusaha dahulu membersihkan diri daripada najis judi kerana membiarkan orang Melayu menjadi Lembaga Pengarah Resort Wold Bhd dan Genting Berhad. Sepatutnya pemimpin Umno kena sedar bahawa “bapa judi” ialah kerajaan pusat di bawah pimpinan Umno BN. Perjuangan untuk menghapuskan judi perlu dimusnah di peringkat pusat. Bapa jangan marah kalau anak ketagih judi, kerana bapa adalah taik judi. Sepatutnya ini yang perlu diselesaikan dahulu oleh pemimpin Umno. Jangan biarkan orang bukan Islam tertawa dengan Umno, kalau hendak bercakap bab judi biarlah kamu itu tinggal dulu menjadi pendokong kerajaan judi.

PAS berpandangan Umno yang memang mempolitikkan apa sahaja peluang untuk menaruh kebencian rakyat kepada kerajaan Pakatan Rakyat dan melaga-lagakan isu agama dan kaum supaya Pakatan Rakyat retak dan senang untuk BN meluluskan banyak lagi lesen judi. Kebiasaannya suatu hukum akan berubah apabila pemimpin Umno buat, contohnya judi halal kalau yang buat itu ialah Kerajaan Umno BN, tetapi berubah menjadi haram kalau lain daripada kerajaan Umno BN. Begitu juga hukum orang bukan Islam masuk masjid menjadi haram kerana berhadas besar kalau Cina DAP, tetapi suci lagi menyucikan jika yang masuk itu India MIC YB Kamalanathan ahli parlimen Hulu Selangor.

Monday, September 27, 2010

ADUN GALAS MENINGGAL DUNIA

ADUN Galas, Che Hashim Sulaima, 48, yang menghidap barah usus meninggal dunia di Hospital Al-IslamKampung Baru di Kuala Lumpur pada 4.30 petang tadi.

Pada 26 Julai lalu, beliau dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Pakar Perdana di Kota Bharu, tetapi kemudiannya dibenarkan pulang.

Che Hashim dimasukkan Hospital Pakar Perdana itu, selepas tiga hari pulang daripada membuat rawatan kemoterapi di China selama 10 hari.

Beliau disahkan menghidap penyakit tersebut sejak Mei tahun lalu selepas batuk mengeluarkan darah.

Susulan itu beliau menjalani pembedahan di The First People's Hospital Fu San, Beijing selepas menerima rawatan di salah sebuah hospital di Kuala Lumpur selama tiga bulan.

Keadaan kesihatannya agak serius sebelum itu. Kepulangannya daripada menjalani rawatan di China tahun lepas disambut wakil-wakil rakyat dan penduduk Gua Musang.

Pada persidangan Dewan Undangan Negeri Mac lalu beliau turut hadir. Bagaimanapun pada persidangan Jun lalu beliau mohon bercuti.

Allahyarham memenangi kerusi Galas yang terletak dalam parlimen Gua Musang dengan majoriti 646 undi pada pilihan raya umum yang lalu dengan mengalahkan calon BN, Saufi Deraman.

Ini adalah kali ke-12 pilihan raya kecil terpaksa diadakan selepas pilihan raya umum 2008 berikutan kematian atau perletakan jawatan.

Sunday, September 26, 2010

MENGAPA DAN APA TUJUAN PAS DITUBUHKAN

Terdapat sebahagian kalangan ahli PAS dan masyarakat yang keliru dengan penubuhan Parti Islam Se-Malaysia (PAS). PAS bukan ditubuhkan semata-mata kerana didorong oleh tuntutan politik tanahair. PAS juga bukan ditubuhkan semata-mata kerana tidak puas hati atau benci dengan kepincangan yang berlaku dan sikap yang diamalkan dalam UMNO dan Barisan Nasional. PAS juga bukan ditubuhkan semata-mata kerana memenuhi kehendak individu atau pemimpin tertentu.


Sebaliknya Parti Islam Se-Malaysia (PAS) ini ditubuhkan atas tuntutan Islam. Selain daripada tuntutan dakwah serta tuntutan menjaga ‘aqidah, menegakkan syari’at dan membentuk akhlak, menyuruh kepada perkara ma’ruf dan mencegah kemungkaran, para ‘alim ‘ulamak, ilmuan dan cendiakawan Islam yang awal telah bersependapat dalam memutuskan perlunya wujud sebuah gerakan Islam atau jama'ah Islam di dalam pemerintahan negara yang tidak menjadikan islam sebagai dasar berpolitik dan bernegara yang tidak menjamin keselamatan aqidah, akhlak serta kebajikan umat Islam. Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala ;


" وَلۡتَكُن مِّنكُمۡ أُمَّةٌ۬ يَدۡعُونَ إِلَى ٱلۡخَيۡرِ وَيَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ‌ۚ

وَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ "


Maksudnya ;

“ dan hendaklah ada satu golongan daripada kamu yang menyuruh kepada kebaikan, menegakkan yang ma’ruf dan mencegah kemungkaran, mereka itulah golongan orang yang mencapai kemenangan”

( Surah Ali-‘Imran : ayat 104 )


Bagi melaksanakan tanggungjawab ini, golongan yang peka dan bertanggungjawab ini atau dikenali sebagai gerakan Islam atau Harakah Islamiyyah, tidak boleh hanya bergantung dengan lisan (ceramah-ceramah dan kuliyah-kuliyah) semata-mata. Sebaliknya jama'ah Islam perlu mendapat “mandat” atau “kuasa” bagi mempastikan bahawa tuntutan Islam ini dapat dilaksanakan dengan sempurna. Dalam konteks sains politik, “kuasa” yang dimaksudkan ialah kuasa politik.


Perkara ini dengan kaedah usul fiqh yang menyebut :

“jika tiada terlaksana sesuatu yang wajib itu sehingga ada perkara yang membawa ia terlaksana, maka tidak dapat tidak perkara tersebut menjadi wajib”


Bagi mendapatkan kuasa politik dan negara ini, tidak dapat tidak gerakan Islam atau jama'ah Islam itu wajib melibatkan dirinya dalam sistem pilihanraya. Untuk melibatkan diri dalam pilihanraya, maka wajib ke atas gerakan Islam atau jama'ah Islam itu mendaftarkan dirinya dengan Pendaftar Pertubuhan berdasarkan Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335) sebagai sebuah pertubuhan politik dan tidak boleh bergerak sebagai badan dakwah sahaja atau badan bukan kerajaan (NGO), PAS juga menjalankan tanggungjawbnya untuk mengemukakan laporan dan penyata yang perlu pada setia tahun kepada Pejabat Pendaftar Pertubuan mengikut Seksyen 14(1) Akta Pertubuhan 1966.



Sebagai sebuah pertubuhan yang berdaftar Oleh itu, gerakan Islam ini telah menubuhkan Parti Islam Se-Malaysia bagi memenuhi tuntutan berpolitik secara sah sepertimana yang diperuntukan dalam Bahagian 2 Perkara 10 (1) (c) Perlembagaan Persekutuan. Justeru itu, menyertai dan bekerja untuk mencapai cita-cita dalam menegakkan negara yang tunduk kepada arahan Allah juga adalah wajib.


Ibnu Taimiyyah pernah menegaskan :

“ Memimpin dan menguasai umat adalah kewajipan agama yang terbesr. Tidak akan terdiri agama kecuali dengan (kekuasaan pimpinan) itu. Oleh kerana Allah telah mewajibkan (kaum muslimin) untuk menyuruh kepada ma’ruf, melerang perkara mungkar, membela orang yang teraniaya, melakukan jihad, melaksanakan hudud, dan berlaku ‘adil dalam menjadikan hukuman, semua itu tidak akan terlaksana tanpa kekuasan dan teras kepimpinan” ( As-Siyasah As-syar’iyyah m/s 172-175)


Sesungguhnya PAS tidak beriman dengan sistem demokrasi yang diamalkan oleh negara kita pada hari ini, tetapi PAS mengambil manfaat daripada peluang yang diberikan (melalui sistem demokrasi pilihanraya) untuk menyatakan risalah Islam bagi menegakkan perundangan Islam dan pemerintah negara dengan cara dan kaedah sebagaimana yang dituntut oleh Islam berpandukan Kitabullah (Al-Qur'an) As-Sunnah, Ijmak dan Qias yang teran lagi nyata.


Inilah cara aman yang membenarkan PAS untuk terus menyampaikan risalah Islam dan membela Islam serta ummah. Bertitik-tolak dari sinilah maka PAS menjadikan ISLAM sebagai dasar perjuangannya sebagaimana termaktub dalam PERLEMBAGAAN PAS (PINDAAN 2009) FASAL 3 dan tujuan PAS ditubuhkan sebagaimana peruntukn Fasal 5 (1) iaitu memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah Ta’ala.


Penubuhan PAS berakar umbi dari gerakan dakwah dan pembebasan tanah air dari cengkaman penjajah Inggeris yang dimulakan oleh para ‘alim ‘ulamak Islam yang kemudiannya menubuhkan Hizbul Muslimin pada 14 Mac 1948 sebelum negara mencapai kemerdekaan. Hizbul Muslimin kemudiannya telah diharamkan oleh British pada bulan Ogos 1948. Walaupun begitu, aktiviti Hizbul Muslimin diteruskan sehinggalah tertubuhnya PAS pada 24 November 1951.


PAS DAN POLITIK

PAS tidak menjadikan medan politik sebagai satu wasilah (perantaraan atau alat) semata-mata untuk menyampaikan risalah Islam dan risalah perjuangan yang didokongnya. Sebaliknya PAS menggerakkan ahlinya untuk terlibat secara aktif dalam aktiviti lain seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan PAS Bab yang Ketiga, Fasal 6 (1) hingga (11), antaranya termasuklah memakmurkan masjid dan surau, meningkatkan bilangan kuliyah-kuliyah bagi menambah dan menyebarkan ilmu di kalangan umat islam, meningkatkan program-program yang dapat menjelaskan kepada masyarakat tentang dasar dan prinsip perjuangan PAS, mengadakan program-program memasyarakatkan PAS yang dapat mendekatkan PAS dengan rakyat, meningkat serta memantapkan institusi pendidikan Islam, mewujud dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi ummah, memupuk semangat mahabbah dan persaudaraan Islam di kalangan umat Islam di dalam dan luar Negara, mewujudkan persefahaman dengan non muslim bagi menyampai dan memperjelas risalah Islam dan PAS, serta menujukkan contoh kehidupan serta bermasyarakat dengan cara dan kaedah Islam. Dalam erti kata lain, PAS bukan sahaja terlibat dengan politik tetapi juga dalam ekonomi, pendidikan, kebajikan, hubungan antarabangsa juga kemasyarakatan.


UMAT ISLAM DAN JAMA'AH ISLAM PAS


Sebahagian besar ‘ulamak berpendapat, apabila tidak ada negara Islam maka menjadi kewajipan bagi umat Islam untuk menubuhkan geakan Islam atau harakah Islamiyyah kerana bai’ah, wala’ dan ta’at setia ummah hanya boleh diberikan kepada kepimpinan Islam dalam negara yang melaksanakan dasar dan peraturan Islam.


Perlu ditekankan disini bahawa PAS menjadikan Kepimpinan ‘Ulamak sebagai kepimpinan ummah. Kepimpinan ummah oleh ‘Ulamak ini seharusnya tidak terbatas oleh sempadan goegrafi, bahasa, kaum atau bangsa. Walaupun negara diperintah dan ditadbir oleh pemimpin yang beragama Islam, kepimpinan ummah seluruhnya harus kekal pada ‘ulamak kerana ‘ulamak adalah pewaris para nabi.




PERANAN ‘ULAMAK DALAM PAS



‘Ulamak mempunyai peranan dan fungsi yang khusus dan amat penting dalam PAS tidak seperti parti-parti dan pertubuhan-pertubuhan lain. Untuk mempastikan amalan, tindakan dan keputusan parti tidak bercanggah dengan dasar parti, maka ditubuhkan sebuah majlis yang dinamakan sebagai ‘Majlis Syura ‘Ulamak seperti yang termaktub di dalam Fasal 8 (1) Perlembagaan PAS (Pindaan 2009). Berdasarkan peruntukan tersebut, Majlis Syura ‘Ulamak diberikan peranan untuk menghurai, menjelas dan mentafsirkan dasar-dasar dan mana-mana peruntukan di dalam Perlembagaan PAS serta mengeluarkan arahan dan perintah supaya dasar dan ketetapan parti dipatuhi. Majlis Syura ‘Ulamak juga diberi mandat untuk mengawasi dan memelihara segala kegiatan, aktiviti, sikap, tindakan dan keputusan-keputusan parti memenuhi kehendak Perlembagaan PAS dan yang paling penting ianya tidak bercanggah dengan dasar dan tujuan PAS(rujuk Perlembagaan PAS (Pindaan 2009) Fasal 8 (1) (a) & (b). Majlis Syura ‘Ulamak juga berkuasa membuat sebarang keputusan di atas perkara-perkara yang tidak diperuntukan di dalam Perlembagaan PAS dengan syarat keputusan-keputusan tidak bercanggah dengan dasar dan tujuan PAS (Rujuk Perlembagaan PAS Fasal 88 (1) & (2).


Bagi menyatukan tenaga dan pemikiran ‘Ulamak islam bagi memperjuangkan dan mempertingkatkan perjuangan Islam, maka Dewan ‘Ulamak PAS peringkat pusat dan negeri ditubuhkan. Dewan ‘Ulamak adalah merupakan dewan terkanan dan tertinggi dalam PAS (rujuk Perlembagaan PAS (Pindaan 2009) Fasal 43 (1)



PERANAN DAN TANGGUNGJAWAB AHLI PAS


Setiap ahli PAS harus memahami apabila mereka telah mengisi borang permohonan menjadi ahli PAS (suatu bentuk bai’ah) untuk menjadi ahli PAS yang sah, justeru ahli PAS hendaklah mematuhi segala peraturan serta kaedah gerak kerja yang telah digariskan oleh tanzhim PAS sama ada yang tercatat dalam Perlembagaan parti mahupun yang dimaklumkan oleh pucuk pimpinan dari masa ke semasa.


Ahli-ahli PAS tidak sepatutnya mengimport budaya gerak kerja kumpulan-kumpulan, pertubuhan-pertubuhan atau jama’ah-jama’ah lain yang boleh menjejaskan kelancaran gerak-kerja PAS. Ahli-ahli PAS yang pernah menjadi ahli parti politik atau jama’ah-jama’ah atau pertubuhan-pertubuhan lain hendaklah “mencairkan” dirinya untuk menerima dan menghayati fikrah dan amalan PAS yang berasaskan Islam.


Ahli-ahli PAS wajib memberikan wala’ dan ta’at setianya kepada kepimpinan PAS di semua peringkat selagi mana kepimpinan itu berada di atas dasar dan kaedah Islam. Sebarang permasalahan dan rasa tidak puas hati mestilah dikemukakan melalui saluran-saluran yang dibenarkan dan bukan mewujudkan “jama’ah dalam jama’ah” atau api dalam sekam, gunting dalam lipatan dan yang seumpamanya. Muzakarah dan musyawarah haruslah menjadi medan untuk bermuhasabah dengan penuh hikmah dan mahabbah.


Ahli-ahli PAS juga harus sedar bahawa keseragaman fikrah dan keseragaman dalam tindakan-tindakan, amalan-amalan, keputusan-keputusan serta gerak-kerja. Oleh itu, ahli-ahli PAS mestilah mewajibkan diri untuk mengikuti program-program yang dianjurkan oleh PAS khususnya program-program tarbiyyah yang diatur oleh PAS di semua peringkat bagi mempastian kecelaruan fikrah dan amalan di kalangan ahli-ahli PAS dapat dielakkan.


SIKAP PAS TERHADAP PARTI-PARTI POLITIK DAN NGO-NGO


Pada dasarnya, kewujudan PAS tidak sama seperti mana parti-parti politik yang lain. PAS ditubuhkan atas tuntutan Islam. Dasar PAS ialah Islam dan PAS boleh bekerjasama dengan parti-parti dan NGO-NGO yang menerima dasar yang diperjuangkan oleh PAS seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan PAS Fasal 6 (6).


Kerjasama dengan parti-parti politik dan NGO-NGO adalah digalakkan selagi mana ianya tidak menjejaskan kepentingan Islam, parti dan ummah seluruhnya. PAS sentiasa mengalu-alukan usaha yang dapat mencari titik pertemuan dan mengelakkan dari permusuhan dengan mana-mana pihak. Kerjasama ini tidak seharusnya meleburkan ahli PAS ari dsudut prinsip, dasar, identity, fikrah dan wala’ serta ta’at kepada kepimpinan PAS. Wallahua’lam.

Thursday, September 23, 2010

PAS MENYOKONG PENDIRIAN KESATUAN WARTAWAN KEBANGSAAN (NUJ)

Parti Islam Se-Malaysia PAS menyokong penuh pendirian Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Hata Wahari untuk mendukung etika kewartawanan dan bukan untuk pemimpin-pemimpin politik atau parti-parti politik. Kenyataan tegas sebagai jawapan balas kepada Ahli Majlis Tertinggi Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) Mohd Zahid Md Arip yang mendakwa beliau dilihat cenderung kepada pembangkang. Sebenarnya inilah yang sepatutnya dipegang dalam etika kewartawanan, dengan melaporkan secara jujur dan bertanggungjawab.

PAS dan Pakatan Rakyat telah menjadi mangsa kepada media perdana di negara ini yang melaporkan berita fitnah dan bohong yang jauh menyimpang dari etika kewartawanan. Menjadi lumrah sebagai manusia, wartawan tidak sunyi daripada kesilapan. Jika perkara ini berlaku sepatutnya dengan segera memohon kemaafan dan membetulkan kembali sebarang kesilapan. Apa yang berlaku pada hari ini media yang pro Barisan Nasional tidak berpegang dengan etika ini. Mereka sanggup membiarkan perkara ini berlegar dan melekat dalam pemikiran pembaca walaupun ianya bohong dan fitnah. Contoh yang terbaru ialah kes khatib membaca khutbah di Pulau Pinang dilaporkan Lim Guan Eng menggantikan Yang Di Pertuan Agong dalaam doa. Begitu juga Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching difitnah bertazkirah dan memberi bantuan kepada ahli PAS di Surau Al-Huda Kajang Sentral. Walaupun penjelasan diberi mereka masih meneruskan laporan fitnah ini, sikap yang ditunjukkan oleh media ini tidak menggambarkan sikap yang professional. Apa yang penting kepada mereka ialah dapat memenuhi agenda politik jahat tuan mereka.

PAS sedar banyak juga wartawan jujur dalam laporan, tetapi dikhianati oleh ketua pengarang mereka untuk memenuhi citarasa golongan penindas rakyat di negara ini. PAS bukan minta dipuji, tetapi laporlah yang benar. PAS tidak kecil hati kalau berita mengenai PAS tidak dilaporkan, tetapi PAS tidak rela berita mengenai perjuangan PAS difitnah sehingga mengelirukan rakyat di negara ini. Kemampuan untuk menjernihkan tanggapan fitnah kepada PAS adalah terbatas melalui media Harakah yang dikenakan dengan syarat-syarat yang ketat, sedangkan berita fitnah disebarkan oleh media BN ke pelusuk kampung.

PAS ingin mengigatkan Saudara Zahid Mat Arip , bukankah dulu kita sama-sama menentang laporan media yang berat sebelah terhadap pembangkang ketika kita sama-sama menuntut keadilan dalam sebuah negara demokrasi. Kalau pun saudara sudah menyeberang di sana, janganlah lupa perjuangan kita semasa berada di atas pentas untuk menuntuk hak sebuah parti politik di negara ini. Soal saudara lompat dan meninggal rakan seperjuangan itu adalah hak saudara, tetapi janganlah mengorbankan prinsip perjuangan, biarlah kita mati daripada hidup bercerminkan bangkai.

Tuesday, September 21, 2010

HAPUSKAN SEMUA KUMPULAN GANGSTER, BUKAN INDIA SAHAJA...!

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mahu pihak Polis menumpukan usaha membanteras gangterisma secara menyeluruh dan bukannya tertumpu pada kaum India sahaja seperti yang dipinta oleh Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T. Murugiah.

Jika pihak Polis mengikut kehendak emosi Murugiah, masalah gangterisma tidak akan selesai kerana ia bukan wujud kalangan kaum India sahaja. Kenyataan Murugiah dengan sendiri memberikan gambaran buruk tentang masyarakat India dan ini tidak sewajarnya dilakukan oleh beliau sebagai seorang Menteri.

Gejala gangterisma ini harus dihapuskan hingga ke akar umbi termasuk kalangan VIP dan ahli Politik yang melindungi mereka. Kumpulan gangster ini ada di mana-mana dalam negara kita. Dalam pilihanraya pun mereka boleh muncul seperti serangan yang berlaku ke atas Markas Pemuda PAS ketika Pilihanraya Kecil Bagan Pinang.

Beberapa kawasan di Lembah Klang dikenali oleh masyarakat umum sebagai kawasan gangster seperti di kawasan Chow Kit, Jalan Pasar dan Jalan San Peng, Jalan Petaling dan Brickfield di Kuala Lumpur manakala di Selangor, kawasan Puchong dan Klang cukup ditakuti kerana menjadi sarang gangster dan Ah Long.

Pemantauan dan siasatan terperinci untuk menghapuskan kumpulan-kumpulan ini yang sebahagiannya terlibat dengan jenayah berat termasuk membunuh, menculik, menyiksa dan menyerang mangsa mereka.

PAS berharap agar pihak Polis dapat menjalankan tugas mereka dengan jujur dan tidak terbabit sama dalam memberikan perlindungan atau bersubahat dengan kumpulan gangster ini. PAS mahu satu jaminan daripada pihak Polis tentang keselamatan rakyat keseluruhannya.

Negara ini sudah cukup terkenal sebagai negara transit dadah, pemerdagangan orang dan juga penyeludupan barang serta penjenayah. Dan amat merisaukan jika dalam negara sendiri gangterisma dibiarkan berleluasa. Hapuskan mereka tanpa mengira gangster India, Cina atau Melayu kerana tiada bangsa dan agama yang membenarkan kewujudan kumpulan samseng dalam komuniti mereka.

Monday, September 20, 2010

PELABUR PERCAYA PR, BN PERLU SERAH MANDAT

Parti Islam Se-Malaysia PAS mengucapkan tahniah kepada Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dan Datuk Mukhriz Mahathir kerana mendakwa bahawa pelabur tidak datang ke negara ini kerana percaya dakyah pembangkang. Kalau inilah kenyataan daripada anggota kabinet kerajaan BN yang bertanggungjawab mengenai kewangan dan pelaburan ke negara ini, maka BN eloklah ,menyerahkan madat kepada Pakatan Rakyat supaya lebih banyak pelabur datang ke negara ini.

PAS mempersoalkan keseriusan pengurusan ekonomi Kerajaan pimpinan Najib yang menyebabkan FDI Malaysia jatuh Menurut Laporan yang dikeluarkan oleh Sekretariat Negara-Negara ASEAN, Malaysia hanya mampu meraih pelaburan bernilai USD 1, 381 juta sahaja pada 2009 berbanding USD 7, 318 juta pada 2008. Kejatuhan nilai pelaburan ini adalah yang tertinggi berbanding negara ASEAN lain.Malaysia yang tersenarai dalam kumpulan ASEAN 5 ketinggalan dengan negara Indonesia, Filifina, Thailand dan Singapura.

Alhamdulillah negeri yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat mampu untuk menarik pelabur luar contohnya di Kedah pada tahun 2009 sebanyak RM1.837 bilion dan Selangor RM7.755 bilion. Ini menunjukkan bahawa pelabur masih percaya kepada negeri yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat, dalam masa yang sama kerajaan pusat merungut,pelabur tidak datang kerana terpengaruh dengan dakyah pembangkang. Alasan yang paling lucu yang keluar daripada Tun Dr Mahathir ialah kerana pelabur luar tidak ada wang untuk melabur.

PAS mengingatkan kepada pemimpin BN seperti Datuk Husni dan Datuk Mukhriz, pelabur tidak datang ke negara ini ada sebab-sebab lain, yang perlu dimuhasabah oleh semua pemimpin di negara ini. Pelabur yang hendak datang ke negara ini, bukan pelabur dalam skim “Pak Man Telo”. Mereka mempunyai pakar-pakar pelaburan dan mengkaji tentang keberangkalian serta prospek pelaburan yang lebih kondisif. Macam mana pelabur hendak datang, kalau perjanjian yang jelas menyebut royalti kepada negeri yang ditemui minyak dicabul. Mereka pun risau apa pula jaminan pelaburan mereka, kalau dengan rakyat sendiri pun dilanggar perjanjian. Mereka gerun melihat video klip peguam V.K, Linggam drama dalam sistem perundangan. Pencabulan terhadap mandat rakyat di Perak semuanya menggerunkan pelabur. Indeks rasuah pula sampai sekarang tidak dapat diatasi, malahan semakin teruk, walaupun BPR sudah ditukar nama SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah). Yang ditangkap ialah ikan bilis, ikan jerung masih terlepas. Mereka yang ditangkap ialah Pegawai kerajaan jerung politik terlepas.

Kesemuanya ini adalah faktor-faktor yang menjauhkan pelabur untuk ke negara kita yang tercinta ini. Jika keadan ini berterusan berlaku, kenyataan Datuk Idris Jala yang mengatakan negara akan bangkrap pada tahun 2019 bukan satu perkara yang mustahil. Oleh kerana masa masih belum terlambat, BN pun sudah tidak mampu untuk menguruskan ekonomi maka eloklah serah, sebelum parah kepada Pakatan Rakyat untuk membuktikan kemampuan bagi kesejahateraan rakyat dan negara.

RASAI KEPERITAN RAKYAT : NAJIB CAKAP, PEMIMPIN PAKATAN RAKYAT BUAT

Parti Islam Se-Malaysia PAS menganggap ucapan Datuk Seri Najib Tun Razak di Pekan, supaya pemimpin perlu merasai derita rakyat hanya retorik sahaja, kerana ia menyimpang daripada tindakan. Realiti yang berlaku pada hari ini pemimpin negara yang memerintah 57 tahun setelah merdeka bukan memikirkan supaya rakyat miskin terbela dan kualiti hidup ditingkatkan. Bahkan kemiskinan dan penderitaan rakyat ini telah menjadi umpan untuk memancing undi setiap kali pilihanraya.


Nampaknya apabila selepas rakyat Malaysia mengajar pemimpin Barisan Nasional dalam pilihanraya 2008 baru mereka tahu tanggungjawab pemimpin mesti menyelami penderitaan rakyat. Sebelum ini mereka tidak pernah menyebut hal ini kerana mereka anggap apa sahaja mereka buat rakyat tetap undi mereka. Semalam Datuk Seri Khir Toyo bekas Menteri Besar Selangor juga bercakap lebih kurang bahasa yang sama. Beliau mengingatkan kepada kerajaan supaya mengambil tahu penderitaan rakyat. Bimbang rakyat sudah merungut kos hidup semakin tinggi, beliau pun terasa dengan kenaikan harga beras RM18 ke RM25 sekampit.


Sedangkan PAS bersama dengan Pakatan Rakyat daripada awal lagi sudah memikirkan bagaimana untuk melaksanakan tanggungjawab ini. Kerana menyedari bahawa menjadi pemimpin bukan untuk bermegah, tetapi satu tanggungjawab yang akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT. Buktinya PAS dan Pakatan Rakyat di Kelantan begitu prihatin dengan penderitaan rakyat telah melaksanakan program kifalah untuk warga emas yang meninggal dunia. Program ladang rakyat untuk diberikan deviden kepada mereka yang susah. Begitu juga di Kedah dan Pulau Pinang melaksanakan program yang mengambil kira penderitaan rakyat. Selangor negeri yang kaya dengan hasil ekonominya yang melimpah ruah telah memberi air percuma kepada semua rakyat dan merakyatkan limpahan ekonomi kepada mereka yang susah. Program yang tidak pernah terfikir oleh pemimpin BN walaupun selepas negara mencapai kemerdekaan selama 53 tahun. Pada hal kerajaan PAS dan Pakatan Rakyat yang mempunyai sumber kewangan yang terhad, tetapi mampu menyelami derita rakyat.

Sepatutnya pemimpin BN sudah boleh menyelami dan menyelasaikan masalah rakyat kalau mereka mahu. Sedangkan banyak program yang boleh mengangkat taraf hidup rakyat, telah dikhianati. Saham untuk kaum bumiputera sebanyak RM52 bilion lesap, sepatutnya Perkasa tidak perlu menjerit lagi mengenai pencapaian 30% ekuiti bumiputera, kalau pemimpin BN tidak khianat.


Agensi untuk bela penderitaan rakyat susah juga dikhianati seperti Felda. Wang Felda telah susut sebanyak RM2.75 bilion dalam masa 5 tahun. Pada tahun 2004 wang Felda ada RM4.08 bilion telah mengucup kepada RM1.35 bilion pada tahun 2009. Kita pun tidak tahu macam mana kos tanam semula di Felda lebih tinggi berbanding dengan ladang lain di negara ini. Sebagai contoh kos penanaman semula di Felda RM10,503 sehektar berbanding dengan ladang IOI hanya RM1,988 sehektar dan ladang Sime Darby pula Rm3,120 sehektar. Wang Felda yang sepatutnya di manfaatkan dengan lebih baik untuk peneroka dan anak-anak peneroka telah digunakan antaranya mendirikan bangunan di tengah-tengah badaraya Kuala Lumpur RM662 juta. Menggunakan wang Felda untuk projek basmi kemiskinan di Sabah sebanyak RM253 juta. Sedangkan Felda banyak di Pahang, Johor, Perak dan Terengganu, kenapa pula Sabah sahaja yang dapat manfaat. Kemana pula hasil minyak dan balak di Sabah, sehingga terpaksa mengemis dengan Felda. Tepuk dada, kocak pokok kelapa sawit.

Sebelumnya wang PPRT lesap RM32 juta, kalau wang untuk orang susah pun dikebas begitu sahaja, apa hendak diharap untuk menjaga kepentingan rakyat marhain di negara ini.Kalau pemimpin memahami derita rakyat maka tidak akan mencari jalan mudah untuk dapatkan wang dengan menaikkan harga minyak, tepung, gula, menghapuskan subsidi, mengenakan saman ekor dan GST. Sebenarnya apabila kapal hendak karam baru pemimpin sedar siapakah diri mereka.

Saturday, September 18, 2010

SIASAT DAKWAAN PEGAWAI POLIS CUAI

Parti Islam Se-Malaysia PAS menyokong jaminan yang diberikan oleh Ketua Polis Negara Datuk Ismail Omar untuk mengambil tindakan terhadap pegawai polis yang cuai apabila laporan kehilangan yang tidak siasat dengan serius. Ini adalah merupakan ujian awal ke atas Ketua Polis Negara yang baru.

PAS memandang berat dengan kenyataan yang mengatakan ada laporan kehilangan tidak disiasat dengan serius. Jika ini berlaku ia adalah amat malang kepada rakyat Malaysia, kerana institusi yang menjaga keamanan rakyat dan negara telah mengabaikan tanggungjawabnya. Kehebatan polis Malaysia menangkap penjenayah di negara ini jangan dimalukan. Sehingga orang mendakwa kecekapan polis Malaysia, boleh menangkap penjenayah dalam masa yang singkat sahaja, kalau penjenayah tersebut masih berada di dalam negara ini.

PAS mengharapkan supaya pegawai yang cuai terhadap laporan yang dibuat terhadap beberapa kes pembunuhan dan menghilangkan mangsa oleh kumpulan mafia ini mesti disiasat sama. Apa makna laporan dibuat jika siasatan tidak dibuat dengan cara yang serius.

PAS tidak mahu lagi melihat akan ada lagi pembunuhan bersiri seperti yang berlaku kepada Allahyarhamah Susilawati dan tiga yang lain. Sekarang rakyat tertanya-tanya kenapa tindakan pantas tidak dibuat sebelum ini seperti mana tindakan pantas terhadap kematian Allahyarhamah Sosilawati Lawiya.

Sebelum ini sudah ada laporan kehilangan seorang jutawan India, Allal Kathan Muthuraja, 34, yang dilaporkan hilang di Malaysia, 18 Januari 2010 selepas menemui suspek di Banting atas urusan perniagaan. Sumber berkata, suspek itu juga dikatakan terbabit dalam pembunuhan seorang wanita bernama T Selvi, 44, yang juga isteri kepada pemilik bengkel di hadapan rumahnya, tahun lalu. Mangsa dikatakan dibunuh selepas berselisih faham berhubung pinjaman sejumlah wang dengan suspek utama, seorang peguam bergelar Datuk.

PAS tidak mahu negara ini dikuasai oleh “mafia” yang menganggu ketenteraman negara dan keharmonian rakyat di negara ini. PAS mengharapkan segala laporan yang pernah dibuat kepada polis mengenai kehilangan misteri perlu diselongkar kembali, pegawai yang terlibat perlu disiasat untuk menjaga maruah institusi polis. Jaminan daripada Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar amat-amat dialu-alukan supaya negara selamat daripada mala petaka buruk. InsyaAllah selepas ini kita tidak mahu lagi mendengar ada aduan kehilangan orang awam yang tidak diambil perhatian dengan serius.