About Me

My photo
Anak Bapak Al-Banjary Al-Asya'iry As-Syafi'iy, Dilahirkan pada tanggal 1hb Januari 1983 di Kg Parit Satu Sungai Sireh, Tanjong Karang, Selangor Darul Ehsan, seorang Melayu berketurunan Banjar suku Alai, Kini bersama PAS Kawasan Tanjong Karang berjuang menegakkan Islam di atas muka bumi Allah sebagai amanah dan tanggungjawab dari-Nya.. ..terima kasih atas sokongan anda.. Takbirr..ALLAHUAKBAR..!!!

Monday, August 30, 2010

PAS BERI AMARAN KEPADA ZAINUDIN MAIDIN...!!!

Parti Islam Se-Malaysia memandang serius fitnah yang dilemparkan oleh bekas Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Zainuddin Maidin yang mengatakan bahawa semasa Tragedi 13 Mei 1969 PAS minta Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj ‘merampas’ harta-harta orang Cina, manakala ketika Konfrontasi Malaysia-Indonesia PAS menyebelahi Indonesia supaya ‘mengambil’ Malaysia.



Kenyataan yang dibuat dalam temuramah bertajuk "Zam Dedah Hasutan Jahat PAS" bersama umno-online itu adalah satu fitnah yang besar dan cuba memberikan gambaran buruk berkenaan PAS kepada orang-orang Cina dan rakyat keseluruhannya. Kenyataan beliau itu jelas sengaja dicipta bagi mencemarkan imej dan nama baik PAS sebagai sebuah parti yang mendokong kedaulatan negara dan perpaduan rakyat.



PAS yakin beliau dan Umno kini terdesak untuk memburukkan PAS dan sanggup mencipta fitnah di bulan Ramadhan ini bagi menarik sokongan bukan Melayu untuk kepentingan politik mereka.



Umno sudah sinonim dikaitkan dengan penciptaan kisah-kisah fitnah dan propaganda jahat demi survival politik mereka yang kini tertekan dengan penolakan bukan Melayu dinegara ini. Tuduhan bahawa PAS menyokong Indonesia semasa konfrontasi juga sengaja direka bagi menunjukan bahawa PAS ini tidak patriotik sedangkan begitu ramai tokoh-tokoh politik dalam PAS telah berjuang memartabatkan kedaulatan negara dan menjaga kepentingan rakyat.


PAS menuntut Zainuddin menarik balik fitnah yang diciptanya itu dan memohon maaf dalam masa 3 hari. Sekiranya beliau enggan menarik balik fitnah itu PAS akan mengarahkan semua organisasi PAS negeri dan dewan-dewan untuk membuat laporan Polis dan seterusnya akan mengemukakan saman kepada beliau.

IMIGRESEN TIDAK AMANAH, SPRM TIADA KUASA, MENTERI DALAM NEGERI LETAK JAWATAN SEGERA...!!!

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mahu pihak Kerajaan mempertingkatkan Intergriti dan Kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dalam langkah memerangi rasuah dinegara ini. Laporan Berita Harian pada hari ini mengenai aktiviti rasuah dan penyalahgunaan kuasa kalanganpenguatkuasa Imigresen di Pulau Ketam adalah antara contoh kelemahan sistem pentadbiran negara.


Kebanjiran warganegara asing tanpa izin yang dilaporkan melebihi melebihi 2.1 juta orang merupakan ancaman besar pada negara. Tetapi amat malang kerana kehadiran mereka turut didalangi oleh penguatkuasa Imigresen yang sepatutnya mengawal kemasukan warganegara asing ke negara ini.


PAS amat kecewa dengan laporan ini dan mahu Menteri Dalam Negeri dan Ketua Pengarah Imigresen mengambil tanggungjawab meletakan jawatan dan penguatkuasa yang.tidak amanah ini dipecat segera.


PAS yakin bahawa rakyat masih belum melupakan insiden 20 tahanan warga Afghanistan yang melarikan diri dari Depoh Tahanan Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada awal bulan ini dan kes 16 lagi tahanan yang berjaya melepas diri di depoh yang sama awal tahun ini.


Kelemahan urustadbir Imigresen menjejaskan kredibiliti keselamatan negara. PAS mahu rombak besar dibuat dalam organisasi Imigresen dan mahu SPRM membuat siasatan penuh kepada agensi ini dan beberapa agensi penguatkuasaan lain.



PAS juga mahu kenyataan bekas Ketua Pengarah Biro Pencegahan Rasuah-BPR (kini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia-SPRM), Datuk Shafee Yahaya yang mengatakan terdapatnya orang-orang politik dalam pentadbiran Kerajaan yang menjadi punca dan mengetuai aktiviti rasuah dan penyalahgunaan kuasa selama ini disiasat.


SPRM seharus menjadi sebuah badan yang bebas dan berani bertindak kepada mereka yang melanggar amanah rakyat termasuklah kalangan wakil rakyat dan Menteri. Kerajaan perlu serius untuk meningkatkan keupayaan SPRM dengan menambahkan kuasanya, meningkatkan jumlah anggota penyiasat serta membekalkan peralatan logistik yang sewajarnya.

SAMAN 11 JUTA : PAS UCAP TAHNIAH KEPADA PENEROKA FELDA

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengucapkan tahniah kepada 354 peneroka Felda Kemahang Tiga, Tanah Merah, Kelantan yang sekali lagi memenangi tuntutan saman mereka kepada Felda yang bernilai RM 11juta di Mahkamah Persekutuan untuk kali kedua. Pada pertengahan Januari lalu Mahkamah Persekutuan telah membuat keputusan pertama tetapi Felda berkeras mahu kes ini dibicarakan semula oleh panel lain.


PAS mengucapkan syabas kepada kesabaran dan keberanian para peneroka ini yang menjadi perintis kepada kebangkitan warga Felda diseluruh negara. Kini beberapa peneroka Felda di seluruh negara juga sedang berusaha menyaman Felda, antaranya adalah 766 orang peneroka Rancangan Felda Serting Hilir dan Gugusan Raja Alias mengemukakan tuntutan saman berjumlah RM200 juta dan Jawatankuasa Kesepakatan Bersama Peneroka (SEPAKAT) yang mengemukakan tuntutan berkaitan:


1. Penggredan Buah Tandan Sawit Segar (BTS) dilakukan dengan telus mengikut peraturan yang tertera dalam Manual Penggredan Buah Kelapa Sawit yang dikeluarkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), termasuk penggredan BTS ‘bermutu’, ‘tidak bermutu’ dan muatan ‘ditolak’ yang menentukan pendapatan peneroka.


2. Pengembalian semula Wang Tabungan Tanam Semula kepada peneroka yang tidak menyertai skim Felda.


3. Penilaian semula levi RM10 sebulan bagi setiap ekar yang dimiliki peneroka.


4. Kebenaran bagi peneroka memiliki lesen MPOB bagi memasarkan sendiri hasil mereka (Akta Tanah GSA 1960).


5. Pengagihan lebihan keuntungan hasil atau bonus tahunan kepada semua peneroka meliputi mereka yang masih lagi atau sudah tidak menyertai skim Felda.


6. Menggesa Felda memaklumkan dan meminta pandangan peneroka mengenai segala perubahan dasar-dasar Felda, terutama yang mempunyai kesan secara langsung kepada peneroka.


7. Pembelian kayu getah dibuat pada kadar harga pasaran (semasa proses tanam semula, kayu-kayu getah dibeli oleh Felda pada harga rendah daripada harga pasaran).


PAS menyokong usaha peneroka Felda ini untuk mendapatkan hak mereka dan membongkar penyelewengan dalam organisasi Felda.


PAS juga kesal kerana dalam kes Felda Kemahang tiga ini, pada 1 Nov 2002, satu ugutan dibuat dalam satu perjumpaan yang telah diadakan di Pusat Kegiatan Ummah Felda, Kemahang yang dihadiri Pengerusi Felda Kemahang Tiga dan Datuk Mustapa Mohamed (MT Umno) yang ketika itu Ahli Parlimen kawasan Jeli. Para peneroka ini diugut untuk dibuang dari rancangan skim kelompok FELDA jika masih meneruskan kes ini di mahkamah.


PAS berharap perkara ini tidak berlaku dan pihak Felda haruslah menghormati keputusan mahkamah.


Kini warga Felda tidak perlu lagi menjadi hamba kepada Felda dan mereka perlu berani untuk dapatkan hak mereka. Mereka juga bebas untuk memilih parti mana yang mereka sukai untuk diundi dalam Pilihanraya akan datang dan PAS sedia memberikan bantuan kepada mereka. Umno ternyata telah gagal memperjuangkan hak mereka, dan PAS bersedia untuk menjadi kerajaan bersama Pakatan untuk melindungi hak mereka.


Thursday, August 26, 2010

TUN DR. MAHATHIR UGUT MELAYU...!!!

Parti Islam Se-Malaysia PAS kesal dengan kenyataan Tun Dr Mahathir mengugut Melayu supaya bersatu atau hilang kuasa politik kepada bukan Melayu jika terus berpecah. PAS berpandangan Dr Mahathir sengaja buat tidak faham senario politik di negara ini. Berkali-kali PAS tegaskan kepada rakyat kalau Umno kalah yang menangnya ialah PAS. Umno akan berhadapan dengan PAS di kawasan kerusi Melayu, yang tukarnya parti sahaja yang membawa dasar yang lebih jauh baik daripada Umno. Memang beliau ini jenis manusia yang buat-buat tidak faham.

Tun Masih menganggap bahawa Melayu wajib bersatu bawah payung Umno sahaja. Seolah-olah selain daripada Umno, Melayu tidak boleh bersatu. Inilah khurafat Umno yang terpahat dalam pemikiran pemimpin Umno seperti Dr Mahathir dan inilah juga kefahaman yang diterap kepada pegawai kerajaan melalui kursus-kursus Biro Tatanegara.


Dulu pemimpin Umno sering mendakwa bahawa selain daripada Umno memerintah tidak akan maju. Hujah ini sudah lapok, rakyat boleh menilai kemampuan pemimpin Pakatan memerintah di negeri mereka, walaupun usia muda tetapi membuat pembaharuaan yang begitu pantas. Rakyat telah lihat dari segi ketelusan dan merakyatkan kekayaan negeri untuk dinikmati oleh semua lapisan rakyat.


Selama 22 tahun negara di bawah Dr Mahathir banyak dasar-dasar yang dilakukan merugikan orang Melayu antaranya, berapa banyak tanah rezab Melayu bertukar dan tidak berganti, melaksanakan dasar pengajaran Metematik dan Sains dalam bahasa Inggeris walaupun merugikan orang Melayu di pendalaman. Beliau sendiri pernah mencadangkan supaya orang Melayu kena buang budaya subsidi, mencadangkan dasar meretokrasi, menarik royalti minyak di Terengganu, mewujudkan Pegawai Persekutuan di negeri Kelantan dan Terengganu, menarik bantuan perkapita sekolah agama rakyat. Banyak sangat kalau kita hendak tulis pengkhianatan beliau kepada Melayu semasa beliau berkuasa. Sekarang kenapa beliau begitu lantang seolah-olah mengugut orang Melayu mesti bersatu dengan Umno untuk meneruskan lagi penindasan kepada rakyat dan membiarkan rakyat menderita dan memudahkan suku sakat beliau mengaut kekayaan negara. Apakah beliau takut dan wujudnya mimpi ngeri, kalau Pakatan Rakyat menang beliau sendiri tidak akan selamat.

Tuesday, August 24, 2010

ISU PASIR : NOH OMAR MEMBISU SPRM DI KSSB..!

Parti Islam Se-Malaysia PAS mengucap tahniah atas kesungguhan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor yang bersungguh-sungguh untuk mewujudkan kerajaan yang telus dalam pentadbirannya. Tindakan Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) iaitu anak syarikat kerajaan Negeri Selangor dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersetuju untuk menubuhkan pasukan petugas khas bagi membanteras rasuah melibatkan perlombongan pasir di Selangor. Persetujuan itu dicapai pada pertemuannya dengan SPRM di pejabat Menteri Besar.


Tujuan penubuhan pasukan petugas khas, supaya SPRM lebih bebas untuk memantau perjalanan operasi KSSB dan mengesan sekiranya ada prosedur yang boleh membuka ruang kepada rasuah.


PAS berpandangan tindakan ini adalah menunjukan betapa serius kerajaan PR yang hendak memastikan khazanah bumi Selangor dapat dinikmati oleh semua rakyat tanpa mengira kaum. Selama ini industri pasir adalah merupakan lubuk emas untuk kroni Umno. Kesannya yang kaya kroni, manakala negeri dan rakyat makan lumpur. Apabila industri pasir yang distruktur semula selepas Pakatan Rakyat memerintah selepas PRU 12, maka suasana telah berubah. Ini dibuktikan dengan kutipan royalti semasa Pakatan Rakyat memerintah antara tahun 2008-2009 sebanyak RM12.93 juta, jauh mengatasi zaman BN daripada tahun 2006-2007 hanya RM8.66 juta


Keputusan yang bijak ini telah mematikan isu pasir di Selangor, kononnya berlaku penyelewengan oleh hero pasir Datuk Noh Omar dan Datuk Seri Khir Toyo. Kita mengharapkan kalau boleh SPRM boleh buka balik fail-fail projek pasir yang dikendalikan oleh kerajaan BN dahulu, supaya rakyat tahu siapakah perompak pasir di Selangor. Sekarang Datuk Noh Omar tidak berani berkokok lagi, terutama selepas Tan Sri Khalid minta secara rasmi kepada Tan Sri Muhyidin Yasin, Datuk Seri Hishamudin Husin Onn, Ketua Polis Negera dan Ketua Polis Negeri supaya tangkap siapa yang mencuri pasir dan langgar undang-undang. Ditambah pula dengan tindakan terbaru yang berani untuk menempatkan menubuhkan petugas khas di pejabat KSSB. Sekarang apa lagi Datuk Noh dan Datuk Seri Khir Toyo mahu?



Monday, August 23, 2010

JANGAN NAIKKAN TARIF AIR DAN CUKAI TANAH...!!!

Parti Islam Se-Malaysia PAS terkejut dengan cadangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak supaya kerajaan negeri menaikkan tarif air dan cukai tanah untuk meningkatkan hasil pendapatan negeri. Cadangan ini dikemukakan ketika rakyat dihimpit dengan kenaikan barang keperluan harian. Pelik, Perdana Menteri yang sering melaungkan slogan rakyat didahulukan tiba-tiba itulah cadangan yang beliau kemukakan dalam mesyuarat kewangan negara yang dipengerusikan oleh beliau sendiri.


Sepatutnya beliau sebagai Perdana Menteri dengan gaji dan elaun yang sudah melimpah ruah, kena memikirkan bagaimana untuk meringankan bebenan rakyat di negara ini. Sebaliknya otak yang ada kepada beliau mengambil jalan pintas iaitu dengan menaikkan cukai, hapuskan subsidi, GST, saman ekor, menaikan harga minyak. Persoalan pokok dalam menyelesaikan masalah kelembapan ekonomi yang berpunca daripada rasuah,ketirisan, beri kepada mereka yang bukan ahlinya, pentingkan kroni, hak keistimewaan orang umno tidak pernah ada di dalam fikiran mereka untuk diperbaiki supaya khazanah negara dapat dinikmati oleh semua rakyat.


PAS berpandangan, cadangan ini hanya dicadangkan oleh orang yang tidak mengetahui derita rakyat bawahan di negara ini yang begitu perit, terutama di dalam bulan Ramadhan ini. Kenaikan harga barang keperluan naik begitu mendadak seperti indeks Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL).



PAS mengucap tahniah kepada kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor yang dipimpin oleh Tan Sri Khalid Ibrahim yang bertegas tidak akan menaikkan tarif air, walau pun di didesak oleh SYABAS . Malahan beliau bersedia ke mahkamah semata-mata untuk kepentingan rakyat dan memastikan kekayaan Selangor dapat dinikmati oleh semua rakyat di Selangor. Sekarang rakyat Selangor dapat menikmati air percuma 20 meter padu. Kerajaan Selangor dibelasah oleh pimpinan Umno kerana memberi air percuma kepada rakyat. Mereka menuduh ini satu tindakan yang membazir wang negeri. Inilah otak pemimpin Umno daripada atas hingga ke bawah, fikiran mereka sama, iaitu fikir macam mana hendak kaut hak rakyat, bukan hendak bagi hak rakyat. Selangor juga menolak cadangan projek kroni kerajaan BN dahulu untuk mengambil bekalan air daripada Pahang dengan harga RM8 bilion, sebaliknya kerajaan Selangor akan meneroka sendiri sumber air denagan kos RM2 bilion sahaja, dapat jimat wang rakyat sebanyak RM6 bilion.


Sunday, August 22, 2010

SUDAH SAMPAI MASA PAS GANTI UMNO

Parti Islam Se-Malaysia PAS berpandangan Umno yang bertanggungjawab menggagalkan pencapaian kouta 30% ekonomi bumiputera. Malahan isu ini akan dijadikan modal selagi Umno hidup atas muka bumi ini. Kegagalan untuk mencapai kouta 30% melambangkan kegagalan Umno dalam menguruskan amanah rakyat, khususnya Bumiputera di negara ini. Tiba-tiba Umno menjerit kegagalan ini kerana orang bukan Melayu yang membolot kekayaan di negara ini. Ini satu telahan yang tidak tepat.


PAS dan Pakatan Rakyat komited untuk mempertahankan apa telah termaktub di dalam perlembagaan negara mengenai Islam, Melayu, Raja-Raja Melayu dan bahasa Melayu. Inilah persepakatan di Konvensyen Pakatan Rakyat yang di tandatangani oleh pemimpin PAS, PKR dan DAP pada 19/12/2009.


Umno sepatutnya malu, setelah mengepalai negara hampir 53 tahun selepas merdeka, ekonomi bumiputera semakin jauh ke belakang. Kalau dinilai dalam peperiksaan, Umno mendapat nombor corot, kerana 53 tahun di dalam kelas masih buta huruf. Kenapa Umno perlu melalak hendak menyalahkan orang lain kerana gagal mencapai tahap ekonomi bumiputera.


PAS mencadangkan kepada Umno kena banyak muhasabah diri, kenapa terjadi demikian. Pemimpin Umno kena fikir, mereka ada kuasa membuat dasar, melaksana, semuanya berada di dalam genggaman Umno. Pemimpin Umno yang memerintah di negara ini, bukan Umno menjadi pembangkang. Banyak perkara mereka boleh lakukan, kalau pemimpinnya jujur untuk rakyat dan negara.


PAS berpandangan pencapaian ini tidak tercapai kerana Umno melaksanakan dasar Umnoputera. Agih projek bukan kepada mereka yang sepatut dapat, merekalah yang menjadi jutawan 10% dengan mengali babakan projek yang dapat melalui “hak istimewa orang Umno”. Siapakah yang menjual ekuiti 30% yang diperuntukan kepada bumitera setiap kali syarikat yang hendak di senaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur. Kemana pergi dana RM54 bilion untuk ekuiti bumiputera, sekarang hanya tingga RM2 bilion, bermakna RM52 billion lesap. Sekiranya pemimpin Umno amanah dan jujur dengan dana sebanyak RM54 bilion, sudah tentu pencapaian ekuiti bumiputera sudah melebihi 30%.


PAS pernah terlibat di dalam Majlis Perundingan Ekonomi (MAPEN) tahun 1990 dengan cadangan yang bernas untuk peningkatan ekonomi bumiputera dan pembelaan kepada kaum lain. Cadangan PAS di sambut baik termasuk di kalangan ahli MAPEN yang terdiri dari kalangan orang bukan Melayu di dalam majlis tersebut. PAS mengemukakan cadangan berdasarkan kepada prinsip keadilan dalam Islam yang sejagat. Malangnya cadangan tersebut dibangkul sampah oleh Dr Mahathir yang menjadi Perdana Menteri waktu itu.


PAS lebih berjaya menguruskan ekonomi dengan adil, iaitu membantu kepada mereka yang wajib dibantu. Pengalaman Pas di Kelantan selama 20 tahun berjaya mengangkat taraf hidup orang Melayu dan membantu bukan Melayu yang dhaif. Kesejahteraan dan keharmonian dapat dilihat dengan mata kasar. Begitu juga kejayaan Terengganu sewaktu pemerintahan PAS pada tahun 1999 hingga 2004 telah berjaya menaikkan taraf hidup rakyat Trengganu daripada miskin nombor dua kepada miskin nombor empat. Kerajaan PAS Terengganu juga telah memberi tanah khususnya tapak rumah kepada orang Cina dan kaum lain yang tidak bertanah, kerana mereka dalah golongan yang perlu dibantu. Kerajaan Kedah baru sahaja diambil alih oleh PAS dan Pakatan Rakyat, telah berjaya menunjukkan prestasi yang baik sehingga menjadi kehairanan bekas pimpinan Umno Kedah, macam mana Datuk Seri Azizan Razak berjaya memerintah Kedah walaupun dengan kekangan kewangan yang parah. Sampailah masanya PAS menggantikan Umno berdasarkan rekod dan prestasi negeri yang PAS pimpin untuk kesejahteraan rakyat berbagai kaum di negara ini.

Thursday, August 19, 2010

AWAS OPERASI LALANG EDISI 1 MALAYSIA

Parti Islam Se-Malaysia PAS bimbang suasana politik negara pada hari ini yang semakin panas. Keadaan ini berlaku selepas PRU 2008, apabila BN tidak tahu menghormati keputusan rakyat dalam sebuah negara demokrasi. Kes yang terbaru lakonan rasa tidak puas hati Presiden MCA Datuk Sri Dr Chua Soi Lek mengenai kouta 30% dalam ekuiti bumiputera. Datuk Chua telah mengambil pendirian yang berani untuk menyokong kongres Cina yang mencadangkan kerajaan menghapuskan kouta 30%.



Kenyataan beliau telah menimbulkan kemarahan secara terbuka oleh Tan Sri Muhyidin Yasin selaku Timbalan Presiden Umno. Pendirian beliau dipanaskan lagi dengan sokongan beberapa pemimpin Umno dan NGO Melayu. Beberapa kenyataan amaran dan memperlekeh satu sama lain sedang bermain di dada akhbar.



PAS bimbang corak yang sama berlaku pada tahun 1987, ketika Umno mengalami perpecahan team A dan team B, sehingga Umno diharamkan oleh mahkamah. Tiba-tiba Lee Kim Sai Timbalan Presiden MCA telah mangatakan bahawa orang Melayu juga kaum pendatang dan hak keistimewaan bumiputera juga dipertikaikan. Pada ketika itu pemimpin Umno yang berlagak macam hero kampung dusun berhimpun untuk membantah kenyataan Lee Kim Sai. Ada di kalangan pimpinan umno suruh bawa pisau senang hendak kupas limau jika hadir di perhimpunan di stadium TPCA Kampung Baru. Akhirnya himpunan tersebut telah dibatalkan oleh pihak keselamatan.



Kemudian operasi lalang berlaku, Lee Kim Sai ke Australia, sebaliknya yang menjadi mangsa ialah pemimpin PAS, DAP dan NGO yang disumbat di Kamunting. Ada beberapa pemimpin Umno ditangkap juga, sekadar untuk main wayang kemudian dibebaskan.



PAS mengharapkan pihak kerajaan dan keselamatan jangan mengkambing hitamkan pembangkang, kerana hendak melindungi masalah dalaman parti komponen BN. Jangan gunakan ISA dan operasi lalang, bertarunglah dalam gelanggang demokrasi di atas padang yang sama rata serta pengadil dan tiang gol yang tidak diubah-ubah. Pemimpin Umno kena insaf mereka sekarang bukan sahaja tidak disukai oleh orang bukan Melayu malahan juga telah ditolak oleh orang Melayu, terutama generasi terpelajar dan bermaklumat.



DESAK MUFTI DEDAHKAN PERLEMBAGAAN BARU

Parti Islam Se-Malaysia PAS terkejut dengan kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria ada 'perlembagaan baru' dibuat oleh pihak tertentu bagi menggantikan Perlembagaan Persekutuan yang menyisihkan hak-hak orang Melayu dan juga Islam yang dijamin dalam Perlembagaan sekarang. PAS mendesak supaya beliau mendedahkan kandungan Perlembagaan baru dan melaporkan kepada pihak polis untuk disiasat.


PAS dan Pakatan Rakyat tidak pernah membincangkan perkara tersebut dalam setiap kali pertemuan Majlis Tertinggi Pakatan Rakyat yang diadakan dua kali sebulan. Malahan Konvensyen Pakatan Rakyat Pertama 19/12/2009 di Shah Alam telah bersepakat untuk :



· Mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan agama- agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai


· Melindungi kedudukan Istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum lain sejajar dengan perkara 153


· Mempertahankan peranan dan tanggungjawab institusi Raja Berperlembagaan


· Memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu sebagai lingua franca serantau, melindungi dan memperkukuhkan penggunaan bahasa ibunda semua kaum


Tidak ada agenda yang tersembunyi yang dibawa oleh Pakatan Rakyat, jauh sekali menyediakan perlembagaan baru bagi merungkai perkara yang sudah menjadi kontrak sosial dan telah diterima pakai sejak sekian lama.


PAS berpandangan sekiranya Tan Sri Harussani Zakaria tidak segera mendedahkan siapakah yang memberi dan isi kandungannya, maka ia akan menimbulkan keresahan di kalangan rakyat di negara ini. Sebagai seorang tokoh agama mesti bertanggungjawab di atas sebarang kenyataan yang dibuat supaya masyarakat tidak memandang serong terhadap institusi mufti.


PAS mengharapkan kepada Tan Sri Harussani Zakaria janganlah memanaskan suasana politik yang sedia panas dengan kenyataan seperti ini di tempat awam, kerana bimbang akan menimbulkan suasana yang tidak harmonis.

Monday, August 16, 2010

PEMIMPIN BN KENA TERIMA NASIHAT KOH TSU KUN

Parti Islam Se-Malaysia PAS menyambut baik cadangan Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon yang menasihati parti politik supaya membuang budaya politik negatif dan mewujudkan suasana yang lebih selesa dan harmoni. Beliau dengan ikhlas menyatakan perkara ini terjadi terutama selepas PRU 2008, di mana politik dendam antara satu sama lain

PAS mengharapkan supaya Tan Sri Dr Koh Tsu Koon membawa idea ini ke Majlis Tertinggi Barisan Nasional supaya anggota komponan BN pandai menghormati keputusan rakyat dalam sebuah negara demokrasi yang telah memilih parti-parti yang bertanding. Adat perlawanan ada pihak kalah, dan pihak menang. Hormatlah semangat federalisme yang telah diterima pakai di negara ini. Buanglah sifat tidak menghormati undang-undang dan perjanjian seperti hak royalti minyak kepada Kelantan dan Terengganu.

PAS menasihatkan supaya Umno dan BN belajarlah menjadi pembangkang yang baik, seperti yang PAS alami. Pemimpin BN perlu belajar daripada PAS dalam sepak terajang politik. PAS pernah bersama dengan kerajaan di peringkat pusat pada tahun 1970, sehingga ditendang keluar daripada BN. PAS pernah memerintah di Kelantan, kemudian kalah, setelah memerintah 18 tahun sejak 1959. Berkat kesabaran maka rakyat memberi kepercayaan kembali pada tahun 1990 hingga kini. Pas pernah menang di Terengganu 1959 kemudian jatuh melalui undi tidak percaya 1961, kemudian menang 1999 dan kalah 2004. Inilah roda putaran perjuangan PAS dalam sebuah negara demokrasi. Walaupun PAS sedar perjalanan demokrasi yang penuh tempang namun PAS tetap menyuburkan demokrasi, kerana ini adalah satu jalan untuk PAS merealisasikan cita-cita perjuangan PAS. Malangnya sikap ini tidak ada kepada Umno/BN, yang tidak sabar dan tidak tahu menjadi pembangkanag. Pemimpin BN kena sedar bahawa sebuah kerajaan ada ajal, terimalah hakikat ini. Perjuangan seperti roda , ada ketika berada di atas dan ada ketika berada di bawah.

PAS mengharapkan nota peringatan yang diberikan oleh Presiden Gerakan akan memberikan satu sinar baru dalam politik Malaysia. Biarlah tunjuk kematangan berpolitik setelah negara hendak menyambut kemerdekaan kali ke 53. Janganlah berpolitik seperti negara baru mengenal tamadun dan kemajuan.

Thursday, August 12, 2010

TUN DR. MAHATHIR KETINGGALAM KERETAPI

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menyifatkan Tun Dr Mahathir orang yang ketinggalan kereta api dalam ulasan politik negara pada hari ini. Beliau menuduh bahawa kerjasama PAS dan DAP tidak ikhlas, hanya untuk mendapat sokongan orang Cina. Hebat sungguh Tun Dr Mahthir yang boleh membaca keikhlasan PAS, mungkin makamnya sudah sampai ke maqam mushahadah yang boleh tilik hati perut orang. Apakah salah PAS dan Pakatan Rakyat berpakat untuk menegakkan keadilan yang dilihat oleh semua kaum, dasar BN tidak lagi menjamin keharmonian dan pengagihan kekayaan kepada mereka yang berhak dibela. Umno yang tidak dapat menyembunyikan penindasan sesama bangsa dan agama. Perjuangan “Umno putera” seolah khazanah negara ini milik mereka sahaja.


Tun Dr Mahathir memberi pandangan kononnya PAS tidak ikhlas dalam Pakatan Rakyat, beliau hendak samakan sikap jahat yang ada pada beliau dengan apa yang ada kepada PAS. Janganlah perangai buruk beliau hendak disamakan dengan PAS. Ketika beliau berkuasa dahulu, Tun Dr Mahathir jika bercakap di pentas antarabangsa, memang hebat. Beliau pernah mendapat gelaran “Adi Wira Jagat” oleh puak pengampu dalam Umno. Beliau menjadi hero mengecam dunia barat yang tidak demokratik dan melanggar hak asasi manusia, sedangkan negara yang beliau pimpin waktu itu demokrasi dimatikan dan beratus mereka yang ditangkap dan disumbat dalam penjara kemunting tanpa bicara di bawah ISA. Zaman beliau permit Harakah digantung penerbitan, ceramah diharamkan, royalti di Terengganu ditarik balik, mufti dipecat, ulamak dikecam, bantuan perkapita Sekolah Agama Rakyat ditarik.


PAS berpandangan Tun Dr Mahathir semakin resah dengan perkembangan politik negara, yang sudah meninggalkan pemikiran politik perkauman yang beliau warisi. Generasi muda yang terdedah dengan maklumat terbuka mahu mewujudkan kerajaan yang telus dan adil. Paling menakutkan sekali ialah jika Pakatan Rakyat berkuasa di peringkat pusat, inilah yang menjadi mimpi ngeri beliau. Maka beliau cuba hendak menimbulkan keraguan kepada pengundi Cina terhadap kejujuran PAS. Dalam masa yang sama menakutkan pengundi Melayu supaya menjauhi PAS, kerana menjadi kuda tunggangan DAP.


PAS berpendapat Dr Mahathir seorang yang cukup kecewa dengan parti yang beliau pernah terajui selama 22 tahun. Beliau cuba hendak mengalihkan isu yang melanda negara pada hari ini samaada dari segi politik, ekonomi, kehakiman dan keruntuhan sosial di kalangan remaja. Kita mendoakan semoga Allah panjangkan umurnya untuk melihat kesan daripada dasar yang beliau laksanakan dan warisi kepada pengganti beliau sehingga rakyat dihimpit dengan berbagai masalah di negara ini.


Sebelumnya Tun Dr Mahathir cuba hendak bela secara membuta tuli Kerajaan BN kerana pelaburan langsung asing (FDI) yang lari daripada negara ini. Beliau mengatakan kebanyakan negara dan syarikat asing tidak mempunyai wang untuk dilaburkan di luar negara, sebaliknya mereka juga ingin melabur di negara sendiri berikutan kadar pengangguran yang tinggi di tempat masing-masing. Walaupun hakikatnya di negara-negara jiran FDI lebih baik daripada Malaysia. Menurut Laporan yang dikeluarkan oleh Sekretariat Negara-Negara ASEAN, Malaysia hanya mampu meraih pelaburan bernilai USD 1, 381 juta sahaja pada 2009 berbanding USD 7, 318 juta pada 2008. Kejatuhan nilai pelaburan ini adalah yang tertinggi berbanding negara ASEAN lain.Malaysia yang tersenarai dalam kumpulan ASEAN 5 ketinggalan dengan negara Indonesia, Filipina, Thailand dan Singapura.


Beliau membela hanya kerana mahu berterima kasih kepada Najib kerana melantik anak beliau Mukriz menjadi Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri iaitu Kementerian yang bertanggungjawab menarik pelaburan asing ke dalam negara. Tun Dr Mahathir juga kena membuktikan supaya Tun Abdullah Ahmad Badwi tidak menempelak beliau, kerana dulu beliau mengecam jikalau Tun Abdullah letak jawatan maka Umno dan negara akan maju. Sekarang Tun Abdullah mampu senyum dan biarkan Tun Mahathir terjun dengan labunya. Yakinlah PAS mampu menggantikan Umno di negara ini insya-Allah.

Tuesday, August 10, 2010

PELAJAR TERTARIK PADA PAS KERANA UMNO HANYA MAMPU BERIKAN DUIT, BUKANNYA KEBENARAN

Dakwaan Pengerusi Biro Kelab UMNO Luar Negara, Datuk Ahmad Shabery Cheek bahawa Parti Islam Se-Malaysia (PAS) membelanjakan puluhan juta bagi melahirkan pemimpin dan penyokong di Mesir adalah satu dakwaan yang terdesak oleh kumpulan yang kecewa kerana tidak mendapat sokongan rakyat.


PAS mengucapkan terima kasih kepada Shabery kerana telah menunjukan kemampuan PAS kepada rakyat yang berjaya menarik sokongan rakyat dalam dan luar negara. Memang melucukan bila beliau sebut puluhan juta kerana rakyat sedia maklum bahawa PAS bukanlah parti yang mengunakan duit untuk membayar pelajar-pelajar itu sokong PAS. PAS tidak pernah menyalurkan sebarang dana bagi para pelajar di Mesir atau dimana-mana negara luar seperti Umno. PAS bukan parti 'politik wang' macam Umno, PAS adalah parti islam yang berteraskan kebenaran Islam. Hakikatnya pelajar dalam dan luar negara tertarik pada PAS kerana Umno hanya mampu berikan duit bukannya kebenaran dan nilai kemanusiaan.


PAS tidak perlu gunakan duit kerana para pelajar luar negara diyakini sebagai golongan cerdik dan mampu membuat pilihan. Diluar negara tiada akta AUKU, jadi mereka tidak terikat untuk menyokong Umno sahaja. Golongan yang cerdik diluar negara dapat menerima cara pemikiran dan dasar-dasar Islam yang dibawa oleh PAS. Mereka tertarik dengan sikap pemimpin PAS dan tidak mustahil mengambil pemimpin PAS sebagai idola mereka.


Pelajar-pelajar Malaysia ke Mesir dan negara Timur Tengah lainnya begitu hampir dengan lokasi sirah perjuangan Rasulullah saw dan para sahabat, maka tidak menjadi kehairanan jika mereka mudah memahami perjuangan PAS yang berteraskan Islam berbanding dengan Umno yang meminggirkan Islam. Walaupun Kelab Umno mengadakan pelbagai program termasuk membawa Presiden parti mereka ke sana, namun mereka yang cerdik ini tidak terpedaya kerana mereka boleh mengetahui maklumat semasa dinegara ini melalui internet. Kelab Umno telah menaburkan banyak fitnah tentang PAS, namun mereka gagal memperbodohkan golongan yang cerdik ini, sebab itulah Shabery amat kecewa dan mengeluarkan kenyataan tersebut.


Umno kena terima hakikat, kini PAS menjadi pilihan terbaik rakyat kerana kita menjadi pilihan ramai barisan kepimpinan pelapis yang keluar dari universiti tempatan dan luar negara selepas mereka tamat pengajian.


PAS kesal kerana Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Luar Negeri dan beberapa Yayasan negeri mendiskriminasikan para pelajar diluar negara. Mana-mana yang disyaki menyokong PAS atau ibu bapa mereka pemimpin PAS akan disenarai hitamkan dari menerima bantuan. Inilah antara punca mengapa mereka lebih benci kepada Umno dan melihat kepada PAS. Sewajarnya pihak kementerian dan yayasan mengambil inisiatif bagi membantu semua pelajar Malaysia diluar negara tanpa mengira latar belakang kerana organisasi mereka adalah milik rakyat bukan Umno.


PAS juga kesal kerana berdasarkan dakwaan Shabery, Umno telah menubuhkan Kelab-kelab Umno diluar negara yang mana para pelajar adalah ahli-ahlinya. Mujurlah diluar negara tiadanya akta AUKU dan para pelajar boleh terlibat dengan politik dan menyatakan sokongan mereka kepada mana-mana parti.


Ini berbeza di Malaysia, walaupun Umno mengetuai kerajaan dan Kementerian pengajian Tinggi tapi mereka tidak mampu mewujudkan kelab-kelab Umno dalam kampus lantaran kesilapan mereka mewujudkan akta AUKU. Mereka sendiri mengongkong kematangan pelajar. Apakah bezanya pelajar dalam dan luar negara, usia mereka sebaya, mereka sama-sama menuntut di institusi pengajian tinggi, mengapa yang diluar negara boleh berpolitik dan dalam negara diharamkan. Malaysia kini menuju ke arah negara maju, maka akta seperti AUKU ini adalah tidak releven dan oudated.


PAS berjanji akan memansuhkan akta AUKU ini sekiranya rakyat memberikan mandat kepada Pakatan untuk memerintah negara ini dalam Pilihanraya Umum ke-13. PAS tiada halangan jika Umno mahu adakan Kelab Umno di dalam dan luar negara, begitu juga kepada parti-parti lain termasuk PAS kerana mengikut peraturan pendaftaran pertubuhan setiap parti berhak mengajak mana-mana warganegara ini untuk menjadi Ahli dan menubuhkan cawangan. Dan mengikut perlembagaan dan peraturan Pilihanraya, setiap warganegara berhak memilih parti mana yang mereka suka.


PAS menyeru kepada semua penyokong dan kepimpinan PAS dalam dan luar negara untuk mempergiatkan aktiviti menambahkan keahlian, sokongan dan membina kepimpinan pelapis bagi mengantikan kepimpinan Umno yang ternyata gagal menyediakan kepimpinan berkualiti untuk masa depan negara ini. Pimpinan-pimpinan PAS yang ada bersedia untuk turun ke mana sahaja bagi membina lebih ramai pewaris negara yang berkualiti untuk menyanggah kezaliman Umno dari puncak kuasa.