About Me

My photo
Anak Bapak Al-Banjary Al-Asya'iry As-Syafi'iy, Dilahirkan pada tanggal 1hb Januari 1983 di Kg Parit Satu Sungai Sireh, Tanjong Karang, Selangor Darul Ehsan, seorang Melayu berketurunan Banjar suku Alai, Kini bersama PAS Kawasan Tanjong Karang berjuang menegakkan Islam di atas muka bumi Allah sebagai amanah dan tanggungjawab dari-Nya.. ..terima kasih atas sokongan anda.. Takbirr..ALLAHUAKBAR..!!!

Wednesday, June 23, 2010

TRIBUTE TO ALMARHUM USTAZ HASSAN SHUKRI, HANSARD PERBAHASAN SIDANG DEWAN NEGARA (27-12-1999)

DEWAN NEGARA, KUALA LUMPUR,

ISNIN, 27 DISEMBER 1999.


Timbalan Yang di-Pertua: Saya beri Yang Berhormat Tuan Hassan dahulu dari Terengganu, sila.


4.05 ptg.


Tuan Hassan bin Haji Shukri: Tuan Yang di-Pertua. Pertama nya saya mengucapkan setinggi- tinggi tahniah di atas perlantikan Yang di-Pertua bagi Dewan ini yang baru yang kita telah laksanakan pagi tadi. Yang keduanya, saya juga mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Perdana Menteri dan semua menteri, timbalan-timbalan menteri, setiausaha-setiausaha Parlimen sama ada yang dilantik semula atau pun yang baru dilantik untuk menyertai Kabinet kerajaan baru yang telah dibentuk selepas pilihan raya baru-baru ini.


Saya ingin mengambil peluang dalam perbahasan ini pertama saya ingin menyentuh seperti juga yang disentuh oleh sahabat-sahabat kerana saya baru, saya tidak kenal nama, saya minta maaf, kepada sahabat-sahabat Yang Berhormat yang telah turut membincangkan beberapa perkara yang berkaitan dengan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan 1999.


Pertama saya ingin sentuh tentang peruntukan tambahan yang diperuntukkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya. Pada kali ini nampaknya Suruhanjaya Pilihan Raya sangat menarik perhatian bukan sahaja oleh parti pembangkang seperti PAS tetapi ianya juga telah diambil perhatian oleh parti-parti di dalam Barisan Nasional. Saya tidak tahu apakah sebabnya maka parti-parti dalam Ba risan Nasional pada kali ini turut mengambil perhatian yang agak serius terhadap langkah-langkah yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya. Bagi pihak kami memang ada membuat teguran-teguran dan saranan-saranan dari masa ke semasa kepada Suruhanjaya Pilihan Raya malah kami telah mengadakan banyak perbincangan dengan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya untuk mewujudkan satu suasana supaya pilihan raya ini lebih telus dan lebih adil dan saya berterima kasih kerana sebahagian pandangan-pandangan yang kita rasa sangat mustahak bukan saja untuk kepentingan parti pembangkang tetapi juga untuk kepentingan semua rakyat di negara kita ini supaya mereka boleh menggunakan hak politik yang ada pada mereka dengan wajar dan betul.


Saya juga mengharapkan supaya Suruhanjaya Pilihan Raya pada masa yang akan datang akan lebih berusaha ke arah mempertingkatkan lagi kerja-kerja terutama sekali dalam hubungan mendaftarkan pengundi-pengundi. Saya difahamkan ada setengahsetengah negara pendaftaran pengundi itu dapat diselesaikan tidak pun sampai satu bulan tetapi di negara kita ini pendaftaran pengundi sampai kepada peringkat penyemakan dan juga untuk diwartakan, digazetkan, memakan waktu yang begitu panjang.


Dalam hal ini saya rasa tidak berhajat untuk menyalahkan sesiapa tetapi kita semua yang ingin melihat perjalanan demokrasi di negara ini dihormati oleh rakyat, oleh semua pihak dan oleh negara-negara luar supaya Suruhanjaya Pilihan Raya itu kita berikan peluang yang sebaik-baiknya untuk mereka menjalankan kerja yang baik dan juga mereka menjadi sebuah suruhanjaya yang telus dan adil.


Tuan Yang di-Pertua,


selain daripada itu saya juga ingin menyentuh tentang pendidikan. Kita mengucapkan tahniah kepada Menteri Pendidikan yang baru. Saya difahamkan beliau bukanlah seorang ahli politik tetapi kita tidak tahu apakah maksud yang sebenar perlantikan terhadap seorang yang bukan ahli politik untuk menerajui Kementerian Pendidikan yang sangat penting ini.


Kita berharap supaya pendidikan ini tidak dipolitikkan. Itulah harapan kita dan mudah-mudahan melalui perlantikan yang baru ini pelbagai perkara perlu diambil perhatian yang segera, misalnya saya menyokong apa yang dibangkitkan oleh sahabat saya daripada Sarawak mengenai IPTS. Kita mengharapkan supaya kerajaan melalui Kementerian Pendidikan mengkaji ataupun mengadakan perundingan-perundingan dengan pihak penguasa IPTS supaya menetapkan suatu kadar tertentu ke atas yuran-yuran yang dikenakan tidak terlalu membebankan.


Ini ialah untuk kita memberikan ruang dan peluang supaya semua rakyat negara kita ini, sama ada yang kaya dan yang berpendapatan ederhana supaya dapat menyertai pendidikan yang sempurna.


Tuan Yang di-Pertua,


mengenai kurikulam pendidikan seperti yang telah dibangkitkan oleh setengah-setengah Yang Berhormat sebutkan tentang adanya pelajar-pelajar kita di luar negeri yang sudah berubah pemikiran mereka. Saya rasa pemikiran mereka tidak berubah tetapi mereka sudah mempunyai kesedaran yang tinggi. Mereka tidak lagi seperti dahulu, apabila kita hantar ke luar negeri, mereka hanya mengikut apa yang disuruh. Sekarang ini mereka lebih terbuka, mereka berani untuk menyatakan pandangan mereka bukan sahaja kepada kerajaan malah kepada pihak-pihak yang lain juga. Kita rasakan bahawa ini adalah suatu perkara yang baik. Bagi saya ini adalah satu perkara yang baik dan kita tidak harus menyekat kerana kalau kita menyekat perkembangan ini, maka akibatnya akan lebih buruk. Tetapi kalau kita memberikan ruang yang selesa kepada pelajar-pelajar kita ini, mereka tidak akan melakukan sesuatu yang saya kira akan merugikan negara.


Mengenai apa yang dibangkitkan oleh sahabat saya Yang Berhormat Dato’ Zainal Rampak tentang kenaikan harga-harga barang. Saya menyokong supaya langkah-langkah yang tegas diambil supaya kawalan terhadap kenaikan harga barangan ini bukan sahaja harga ayam malah harga ikan dan sayur-sayuran. Sekarang ini kalau kita beli ikan temenung pun RM8.00 sekilo dibandingkan dengan ayam RM5.40 sen.


Puan Jamilah bin Ibrahim: Ikan kembong.


Tuan Hassan bin Haji Shukri: Ikan kembong, saya panggil temenung. Orang Selangor panggil ikan temenung, pasal bila makan dia menung. Sekarang ada setengahsetengah pasar yang saya pergi, harganya RM8.00 satu kilo, maknanya ikan kembung lebih mahal daripada ayam, maka tentulah pilihan rakyat yang tidak berada, mereka akan memilih ayam, kalau ayam naik sampai RM6.00 pun berbanding denga n ikan kembung RM8.00, mereka akan pilih ayam kerana ayam paling murah. Ikan bawal sekarang ini di antara RMl6.00 hingga RMl8.00. Ikan senangin saya pergi pasar baru-baru ini RM24.00 satu kilo.


Jadi, kita harap kepada Kementerian Pertanian supaya dapat menangani sedikit-sebanyak tanpa merugikan sesiapa, nelayan pun tidak rugi, pengguna pun tidak rugi kerana kita sebagai rakyat. Sebagai pemerintah hendaklah berusaha melayani semua yang perlu diurus oleh pemerintah sama ada peniaga ataupun pengguna.


Saya juga ingin bercakap tentang luar negeri di bawah Kementerian Luar Negeri. Saya boleh bersetuju dengan, yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Dato’ Abdul Aziz. Memang kalau kita melawat ke luar negeri, ada banyak perkara yang kita boleh bangkitkan. Oleh kerana saya belajar di negara Arab, saya suka juga membangkitkan tentang perkara-perkara yang sering kita temui apabila kita datang berkunjung di kedutaan negera kita di negara-negara Arab dan saya menyarankan supaya ada pegawaipegawai di kedutaan-kedutaan kita di negara Arab itu, orang yang boleh berbahasa Arab dan kenal betul-betul budaya orang Arab.


Saya tidak katakan bahawa semua orang Arab itu Islam kerana ada orang bila sebut Arab kondem Islam. Saya harap tidak begitulah. Kalau di Mesir ada orang Arab yang beragama Kristian. Begitu juga di Iraq misalnya, ada orang yang beragama Kristian, Kristian bermazhab ortodoks, dengan izin. Jadi, kerana kita akan mudah berurusan dengan mereka. Saya melihat mereka di Baghdad menghafal kamus Arab yang begitu tebal mereka boleh hafal sebagai seorang pegawai kedutaan. Belajar di sebuah universiti yang memberikan ruang dan peluang dan ruang kepada pegawaipegawai kedutaan asing belajar bahasa Arab mereka mengambil kesempatan ini. Maka dengan sebab itulah kita lihat berbagai promosi yang dibuat oleh Jepun, di negara-negara Arab juga mendapat sambutan. Jadi, kalau kita hendak buat promosi tadi, katalah layang-layang, wau bulan yang sudah buruk, walaupun barangkali tujuannya sebut layang-layang, wau bulan ini kerana ia dari negeri Kelantan tetapi jangan salahkan negeri Kelantan, bukan negeri Kelantan yang meletakkan wau bulan di pejabat-pejabat kedutaan itu.


Satu perkara lagi yang menarik perhatian saya, hampir kesemua Yang Berhormat, yang bercakap pada petang ini menyentuh tentang PAS. Saya bukan seorang Menteri daripada PAS. Saya ingin memberikan penegasan di sini kerana ada salah faham terhadap Islam.


Saya ingin memberitahu kepada orang-orang yang bukan Islam, Ahli-ahli Yang Berhormat- bukan Islam di sini, salah faham terhadap Islam ini bukan sahaja boleh timbul atau boleh ditimbulkan oleh orang-orang yang tidak beragama Islam. Tetapi ianya juga boleh ditimbulkan oleh orang-orang yang beragama Islam. Selagi salah faham ini ada, maka selama itulah suasana dan keadaan di negara kita ini, perbezaan dan perselisihan pendapat terus ada. Tetapi kita harus melihat bahawa perselisihan pendapat dan pandangan itu kadang-kadang membawa kepada kebaikan. Bukan semua perselisihan pendapat itu tidak baik. Cuma saya hendak perbetulkan, kadang-kadang bukan pihak kita yang membesarkan. Saya beri contoh di negeri Terengganu mengenai Lebuh Raya Pantai Timur yang dibangkitkan baru-baru ini sebenarnya kalau kita bincang, saya rasa tidak berbangkit bahawa Kerajaan Terengganu yang dipimpin oleh PAS hendak menghalang pihak Persekutuan untuk meneruskan projek lebuh raya itu. Cuma tentulah ada perbincangan. Kita adalah sebuah Kerajaan berbentuk Federal, negeri mempunyai hak, Federal juga ada hak, maka perbincanganperbincangan, perundingan-perundingan kita cadangkan supaya terus diadakan.


Saya tidak mahu ataupun kami tidak ingin melihat setiap orang apabila mengatakan tentang PAS, seakan-akan PAS ini disifatkan sebuah parti yang keras kepala yang tidak boleh berunding dengan orang lain. Saya ingin menegaskan di sini selepas peristiwa 13 Mei 1969. Saya ada, dan saya bertanding pada waktu itu, alhamdulillah kalah. Saya bertanding lawan bekas Setiausaha Agong UMNO, Datuk Mustapha Jabar. Di Dewan Undangan Negeri saya juga bertanding lawan dengan Exco kanan di negeri Selangor ini iaitu Dato’ Taiban Hassan.


Apabila berlaku peristiwa 13 Mei, saya sendiri dan beberapa orang sahabat dua hingga tiga malam telah dipanggil oleh Allahyarham Tun Abdul Razak. Kalau kita melihat pertentangan politik sebelum pilihan raya 1969, tidak mungkin PAS boleh berunding dengan Parti Perikatan yang dipimpin oleh Tun Abdul Razak, seperti mana yang diagung-agungkan oleh Yang Berhormat kita Datuk Zainuddin. Tetapi demi kepentingan negara, kita mengadakan perbincangan-perbincangan sehingga pada waktu itu sampailah kepada suatu peringkat PAS menyertai apa yang dipanggil Kerajaan Campuran dan seterusnya menyertai apa yang dipanggil Kerajaan Barisan Nasional. Saya sebutkan ini supaya setiap kita terutama sekali setelah selesai pilihan raya ini, saya mengharapkan kita Ahli-ahli Dewan yang mulia ini supaya mempunyai fikiran yang terbuka di dalam membincangkan sesuatu perkara yang diamanahkan kepada kita dan kita tidak sewajarnyalah setiap kali persidangan Dewan Negara diadakan kita menyalahkan antara satu dengan yang lain.


Tadi, telah disebutkan meminta kepada JAKIM supaya melantik ulama-ulama yang tidak berpolitik menjadi perunding Agama. Saya ingin beritahu ini ialah salah faham orang Islam terhadap Islam itu sendiri. Pandangan seperti itu, seakan-akan orang Islam tidak boleh campur langsung dalam politik di negara mereka masing-masing, sedangkan orang Islam yang ada di negara kita ini sama ada ia dalam UMNO atau dalam parti-parti lain juga mereka adalah berpolitik.


Dato’ Abdul Aziz bin Abdul Rahman: Timbalan Tuan Yang di-Pertua, minta laluan.


Tuan Hassan bin Haji Shukri: Silakan.


Timbalan Tuan Yang di-Pertua: …..okay. Beri laluan.


Dato’ Abdul Aziz bin Abdul Rahman: Saya mohon izin minta laluan, Tuan Yang di-Pertua.


Tuan Hassan bin Haji Shukri: Ya.


Dato’ Abdul Aziz bin Abdul Rahman: Apa yang kita sebutkan tadi, pegawaipegawai yang menggunakan Islam - agama, sebagai mempolitikkan ideologi masingmasing. Sebab itu saya katakan, hari Jumaat sebelum pilihan raya, khutbah hari Jumaat itu kebanyakannya yang baca khutbah semuanya boleh dikatakan melaung-laungkan supaya mereka yang berjemaah pada hari itu tidak mengundi Kerajaan Barisan Nasional dan mengundi PAS dan mengatakan kezaliman, berbagai-bagai bercerita di dalam khutbah ini.


Jadi, saya rasa ulama-ulama sepatutnya apabila berhadapan dengan ahli-ahli jemaah yang berbilang - bukan bangsa tetapi mempunyai pemikiran-pemikiran masingmasing tidak sepatutnya menggunakan kedudukannya berkhutbah untuk memancing undi dan kita juga tidak mahulah kalau sekiranya orang yang tidak mengundi Parti Islam SeMalaya (PAS) sepatutnya PIS tetapi entah macamana jadi PAS [Ketawa] sepatutnya tidaklah dikatakan kafir ataupun sepatutnya mengundi kerana hendak masuk syurga undilah PAS dan kalau mengundi yang lain tidak sampai ke syurga - ini perkara-perkara semacam ini. Kalau hendak bercerita tentang bagaimana agama kita dan sebagainya there is no problem, Tuan Yang di-Pertua. Tetapi problem yang timbul apabila dipolitikkan untuk memancing undi di dalam pilihan raya ataupun mencari undi di dalam tempat-tempat tertentu, itu sahaja.


Tuan Hassan bin Haji Shukri: Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Saya pun hairan kerana pegawai-pegawai masjid itu biasanya, sepanjang pengetahuan saya, mereka dilantik oleh pihak Jabatan Agama Islam Negeri. Jadi, saya hairan bagaimana seorang pegawai masjid boleh menyiapkan khutbah-khutbah kemudian disampaikan, sedangkan khutbah itu biasanya disiapkan oleh Jabatan Agama Negeri. Jadi, adalah pelik. Saya sangat hairan, saya tidak tahu negeri mana. Sangatlah hairan kalau sekiranya sampai khatib-khatib tidak boleh dikawal oleh pihak Jabatan Agama Negeri, itu adalah kelemahan Jabatan Agama Negeri PAS tidak wajar disalahkan. Jadi, kita berharaplah supaya khatib-khatib menyampaikan khutbah bukan membaca khutbah. Kalau ikut hadis nabi Baginda tidak suruh baca, sebaliknya suruh berkhutbah. Khutbah maknanya berucap. Inilah salah faham yang perlu kita perbetulkan daripada pemikiran orang Islam.

Kemudian, satu lagi yang saya ingin terangkan pasal PAS. PAS ini adaperlembagaan / undang-undang tubuhnya kita kemukakan dahulu dalam tulisan jawi - “pa, alif, sin”, biar faham ya Yang Berhormat Dato’, ya. “Pa” maknanya parti, “alif” - Islam, “sin” - dahulu seMalaya sekarang ini ubah seMalaysia. Jadi, ringkasnya dalam rumi PAS. Moga-moga Yang Berhormat Dato’ tidak akan keliru dan tidak akan salah faham lagi pada masa yang akan datang.


Kemudian, satu perkara lagi yang dibangkitkan ialah tentang Harakah. Saya rasa itulah satu-satunya organ parti, PAS ialah Harakah. Kalau kita hendak bandingkan dengan The New Straits Times, dengan Utusan Malaysia, Berita Harian dan lain- lain, saya rasa kalau hendak dikira bagaimana Harakah ini yang kononnya boleh meracun pemikiran rakyat tentulah tidak timbul sebab rakyat yang ada sekarang ini tidak mudah diracun. Minda mereka sudah terbuka. Minda mereka sudah begitu jauh. Kalau kita hendak racun, iklan- iklan yang disiarkan dalam TV, radio, dalam akhbar-akhbar nasional baru-baru ini saya tidak mahu sebut racun haa! [Ketawa] – kerana ia sangat menarik perhatian. Saya tidak kata racun – kerana ia satu perkara yang sangat menarik perhatian rakyat.


Tetapi menurut kajian saya dan kawan-kawan yang lain, dengan iklaniklan yang ada dalam TV, radio, TV3, NTV7 dan sebagainya dan juga surat-surat khabar harian, yang saya kata sangat indah – yang mengandungi tawaran yang sangat lunak itu, saya tidak tahulah kalau rakyat melihatnya sebagai racun. Tetapi saya kira rakyat sudah mempunyai pertimbangan yang baik. Mereka sudah mempunyai fikiran yang matang yang tidak boleh dipengaruhi lagi oleh semata-mata bergantung kepada suasana dan keindahan zahir.


Oleh yang demikian itulah, saya berharap supaya Barisan Nasional tidak usahlah kesal di atas kehilangan beberapa Kerusi. Kalau kita hendak meneruskan perjuangan politik ini, saya rasa demikianlah sampai bila-bila masa pun, politik itu begitulah keadaannya.

Selain daripada itu saya ingin juga menyentuh tentang peserta-peserta Rancangan FELDA. Saya kira saya juga antara orang yang turut mengikuti perkembangan FELDA ini sejak mula daripada awal sampailah sekarang ini walaupun saya bukanlah seorang peneroka FELDA. Setengah kalangan sangat kesal dengan sikap peneroka FELDA yang ada sekarang ini. Tetapi sebenarnya peneroka FELDA yang ada sekarang ini juga pemikiran mereka sudah terbuka dan mereka juga boleh kita anggap sebagai rakyat yang telus. Jadi, kita semua mengharapkan supaya perkara-perkara yang boleh menimbulkan keraguan di kalangan rakyat, kita tidak seharusnya membangkitkannya semula pada masa-masa akan datang.


Saya ambil suatu contoh, misalnya ada usaha-usaha untuk menakutkan sama ada orang Islam ataupun orang bukan Islam terutama sekali di luar-luar bandar, di kawasankawasan bagan, di tepi-tepi laut. Mereka menakut-nakutkan, jangan pilih PAS nanti huru-hara akan berlaku, nanti kepala kamu akan kena potong, kepala atas pun kena potong, bawah pun potong. [Ketawa]


Dato' Abdul Aziz bin Abdul Rahman: Tuan Yang di-Pertua, saya hendak minta penjelasan. Apa benda bawah potong ini? [Ketawa]


Tuan Hassan bin Haji Shukri: Tidak apalah.............


Dato' Abdul Aziz bin Abdul Rahman: Tidak berapa faham kita. [Ketawa]


Tuan Hassan bin Haji Shukri: ........ini kempen-kempen yang dijalankan di bagan-bagan, kerana saya orang Selangor, di Selangor ada banyak kawasan bagan di tepi laut. Di sana terdapat orang-orang Cina, setengah daripadanya orang Cina, minta maaf yang tidak boleh lagi berbahasa Malaysia. Mereka ini sangat takut apabila disebutkan sahaja huru- hara mereka sangat takut. Saya buktikan kepada mereka, saya tidak menunjukkan kepada mereka tentang sejarah Islam pada zaman Rasulullah s.a.w. Saya ingat semua Ahli Yang Berhormat pun tahu, kalau hendak tuduh PAS. PAS ini sudah perintah negeri pada zaman Datuk Asri, termasuklah waktu kerajaan campuran waktu Barisan Nasional, 18 tahun perintah negeri Kelantan. Kemudian masuk Tok Guru yang ada janggut sedikit, itu yang orang kata kadang-kadang hendak hina beliau . Pemerintahan beliau sudah hampir sembilan tahun, jumlah semuanya sudah 27 tahun. Saya tidak dapat sebarang bukti sehingga ini, pemerintahan PAS itu ada membunuh orang Cina, orang India dan orang keturunan Thai yang menjadi warganegara Malaysia yang tinggal di negeri Kelantan dalam pemerintahan PAS.


Jadi, bagaimana kita hendak membuktikan kalau PAS memerintah huru-hara akan berlaku. Ini adalah satu pandangan yang saya rasa tidak wajar dilakukan oleh pemimpinpemimpin politik terutama sekali orang-orang Islam itu sendiri. Kalau ini tidak boleh juga menyedarkan kita, maka sesungguhnya kita sengaja hendak menimbulkan suasana kacau-bilau supaya huru- hara berlaku.


Tuan Yang di-Pertua,


Oleh yang demikian kita mengharapkan melalui Dewan yang mulia ini kita akan boleh memupuk perasaan harmoni, tegur-menegur bagi melihat sebuah kerajaan yang kuat kerana dapat majoriti dua pertiga, tetapi kita tidak mahu dengan kekuatan itu nanti akan dilakukan sesuatu secara sewenang-wenang. Oleh yang demikian, kita harapkan Dewan yang mulia ini juga akan dapat berperanan untuk memberikan teguran-teguran membina supaya Kerajaan Barisan Nasional yang kita semua sebagai rakyat di bawahnya sekarang ini, saya pun bawah pemerintah Barisan Nasional juga. Tetapi kita mahu melihat pemerintahan itu baik, adil untuk semua.


Apabila kita bercakap tentang keadilan, kadang-kadang kita rasa kita semua ini adil, kita beri sama adil. Saya ingin menyebutkan dari segi Islam. Orang Islam boleh menzalimi dirinya sendiri. Walaupun dia dakwa adil tetapi dia boleh menzalimi dirinya sendiri. Bilakah dia menzalimi dirinya sendiri? Iaitu apabila dia menolak Al-Quran dan sunah Rasulullah s.a.w. Sama ada dia tidak kata dia zalim tetapi itulah yang dinyatakan oleh Al-Quran, dia adalah seorang yang menzalimi dirinya sendiri. Saya sebutkan ini supaya kita ada rasa keinsafan dan kesedaran. Supaya kita betul-betul melalui Dewan yang mulia ini memberikan teguran yang membina.


Tuan Yang di-Pertua,


Akhirnya saya ingin juga menyentuh tentang perkhidmatan awam. Saya sokong tadi tempoh waktu bersara ini dilanjutkan sama ada 58 atau 60 tahun, saya menyokong pandangan Yang Berhormat Tuan Zainal bin Rampak. Selain daripada itu saya juga ingin mencadangkan diberi cuti dua hari, itu pilihlah hendak Jumaat – Sabtukah atau Khamis – Jumaatkah, Sabtu – Ahad itu terserah. Ini saya rasa tidak bercanggah dengan piagam buruh antarabangsa. Sudah lama mereka menuntut supaya kerja lima hari ini dilaksanakan dan kita berharap supaya Malaysia juga akan mengikuti jejak langkah yang sedemikian rupa dan ianya bukanlah suatu perkara yang ganjil. Kalau kita jalanpun bukanlah ganjil kerana dunia lain pun ada jalankan. Malah sekarang ini, syarikat-syarikat yang besar-besar pun kerja lima hari sahaja satu minggu. Itulah saya cadangkanlah supaya kita memberikan kepada pegawai-pegawai kita keselesaan. Macam di negeri Kelantan, dia kata hari Jumaat untuk dia dengar kuliah dan mengajikah, hari Sabtu untuk keluarga kerana kita semua kadang-kadang bimbang sangat tentang keluarga kita. Di antaranya sebabnya ialah kerana kita tidak mempunyai waktu yang cukup untuk berdamping dengan keluarga yang menyebabkan keluarga dan anak-anak kita menjadi liar, sesetengahnya tidak kenal, tidak begitu mesra dengan ibu bapanya. Pagi hantar petang baru ambil.


Tuan N. Marimuthu: [Bangun]


Timbalan Yang di-Pertua: Yang Berhormat boleh beri laluan kepada Tuan N. Marimuthu.


Tuan N. Marimuthu: Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Cuti am dua hari untuk kakitangan kerajaan, petani-petani dan pekerja-pekerja lain bagaimanakah kedudukannya?


Tuan Hassan bin Haji Shukri: Dari segi petani-petani sebagai seorang petani, saya seorang petani, seorang pesawah padi, pekebun koko dan juga pekebun kelapa sawit. Saya boleh atur cuti saya sampai empat hari satu minggu. [Ketawa] Jadi, tentang petani saya ingat Yang Berhormat tidak usah gaduhlah, dia boleh atur dia punya cuti sendiri. Dia boleh ambil cuti empat hari, boleh cuti satu minggu, satu bulan, boleh cuti dua minggu satu bulan. [Ketawa] Kalau musim tengkujuh ini nelayan cutilah. [Ketawa]


Tuan N. Marimuthu: Terima kasih, minta laluan. Yalah, petani yang ada kebun kelapa sawit dan kebun getah sendiri bolehlah. Tetapi pekerja-pekerja estet, majikan lain, bagaimana kedudukannya?


Tuan Hassan bin Haji Shukri: Itu kita minta supaya Jabatan Buruh bincanglah dengan pihak majikan- majikan di estet-estet supaya dia juga boleh berikan, cuti dua hari seminggu ini bukan sahaja untuk pegawai kerajaan. Estet-estet pun boleh, kalau syarikatsyarikat besar boleh beri cuti dua hari, saya rasa kita alu-alukan kalau estet-estet berbuat demikian.


Tuan Yang di-Pertua,


Saya juga ingin menarik perhatian tentang temasya-temasya yang diadakan waktu-waktu kebelakanga n ini. Kita melihat banyak temasya yang diadakan dan dianjurkan sama ada oleh pihak-pihak tertentu yang di belakangnya syarikat-syarikat besar daripada luar negeri ataupun oleh pihak-pihak tertentu dalam negeri sendiri. Nampaknya program-program sama ada mereka sedar ataupun mereka tidak sedar, banyak program – saya boleh setuju dengan sahabat-sahabat yang telah menyuarakan tadi. Banyak program yang boleh merosakkan akhlak dan moral remaja-remaja kita.


Saya kira Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan dan lain-lain yang berkenaan perlu mengambil perhatian yang serius terhadap persoalan ini: – kalau di bawah Kementerian Dalam Negeri yang memerlukan permit dan sebagainya, perhatian yang berat dan tindakan tegas perlu diambil sekiranya ada program-program yang boleh mendedahkan remaja kita kepada akhlak dan moral yang tidak baik, ataupun boleh menjejaskan akhlak dan moral mereka, kita mengharapkan supaya kementeriankementerian yang terlibat tidak membenarkan. Kalau ada kaitan dengan permit, permit tidak harus dikeluarkan supaya temasya seperti itu tidak terus diadakan, kerana kita bimbang dalam kita hendak menyambut alaf baru ini. Alaf ini pun, kadang-kadang kita marah orang Arab tetapi kita pakai bahasa Arab. Alaf itu maknanya, satu ribu, alaf baru, seribu yang barulah.


Jadi, kadang-kadang kita tidak tahu apa dia alaf? Alaf itu satu ribu. Al-fun – ribu kata orang Arab. Bukan saya hendak beri kuliah, tidak takut kita sebut tapi tidak tahu. Jadi, dalam kita menghadapi alaf baru ini kita mengharapkan supaya langkah-langkah yang boleh memberikan jaminan yang agak selesa, kalaupun tidak selesa sangat supaya masyarakat kita, belia-belia kita tidak akan terdedah kepada gejala-gejala yang bukan sahaja merosakkan, akhlak tetapi juga pemikiran mereka. Kerana serangan pemikiran terhadap anak-anak remaja kita ini sangat merbahaya kerana kita mahu melihat dalam negara ini pada tahun-tahun yang mendatang, masyarakat yg negara kita ini adalah sebuah masyarakat yang aman, damai dan tenteram. Sebagaimana yang dicita-citakan oleh semua pihak.


Oleh yang demikian, kita perlu menyediakan suasana yang membolehkan anak-anak kita dan remaja-remaja kita supaya mereka melakukan suatu peralihan dalam keadaan yang baik, dalam keadaan yang boleh mendidik dan melatih mereka secara amali, bukan secara teori sahaja. Semoga mereka akan berjinak-jinak dengan semua perkara yang baik, apabila perkara-perkara yang tidak baik ini kita halang, maka akan timbulkan perkara-perkara yang baik sama ada dari segi tindakan mereka mahupun dari segi cara berfikir mereka. Inilah yang kita harapkan iaitu kita dapat melihat rakyat berjaya dalam menghadapi wawasan 2020 yang akan datang, yang kita semua sebut-sebutkan itu. Kita tidak mahu melihat warganegara Malaysia ini sebagai warganegara yang rosak akhlak dan moral mereka.


Dato' Ghazi bin Haji Ramli: [Bangun]


Timbalan Yang di-Pertua: Yang Berhormat Dato' Ghazi.


Dato' Ghazi bin Haji Ramli: Tuan Yang di-Pertua, terima kasih kerana memberi laluan Yang Berhormat yang bercakap tadi. Saya bangun untuk menegur kerana menjawab saranan Yang Berhormat juga tadi kita patut tegur- menegur. Saya amat tertarik dengan peringkat terakhir bercakap tentang alaf baru, mengharapkan sesuatu yang baru, yang baik, yang aman, damai dan semuanya baik. Saya mengikuti pencapaian dan hujah-hujah yang disampaikan oleh Yang Berhormat tadi. Saya nampak kontradaksi sedikit dari segi hujahnya. Umpamanya apabila Yang Berhormat bercakap tentang Harakah, sebenarnya Yang Berhormat memberi perbandingan tentang syarikat besar yang mengeluarkan akhbar dan syarikat kecil yang mengeluarkan Harakah. Yang tidak sebenarnya menceritakan kedudukan Harakah yang kadang-kadang memesongkan pemikiran generasi muda dan rakyat dengan berita-berita yang agak tidak benar, yang pernah dibangkitkan oleh rakan kita tadi, Yang Berhormat Datuk Zainudin bin Maidin umpamanya. Saya beri contoh, yang saya hendak tegur ini ialah pendekatan atas tajuk Harakah, ya tetapi hujah yang dibangkitkan tidak menepati perkara yang dibangkitkan.


Kedua, umpamanya Yang Berhormat menceritakan bahawa Kerajaan PAS tidak menakut-nakutkan orang tetapi baru-baru ini tertonjol oleh Kerajaan Negeri Terengganu umpamanya dalam sedikit masa sahaja telah pun dibangkitkan tentang isu ‘Kharaj’. Sebelum pun orang faham, sebelum pun orang tahu, sudah hendak dilaksanakan. Inilah yang membimbangkan, seolah-olah men‘confirm’kan, inilah yang telah dikatakan oleh banyak pendapat mengatakan bahawa pemikiran PAS ataupun pendekatan PAS begitu.


Saya ingin turut menegur rakan sejawat Ahli Yang Berhormat kerana Yang Berhormat sendiri telah membuat huraian yang panjang dan meminta untuk kita berbudaya tegur-menegur dan oleh kerana alaf baru ini, kita mengharapkan sesuatu yang baru. Macam tadi saya tegur tentang alaf baru oleh Datuk Zainudin bin Maidin, saya harap kita juga bersama-sama membantu memimpin masyarakat kepada sesuatu yang baik. Supaya kita dapat lebih bersama-sama bertukar-tukar fikiran dan memimpin masyarakat ke arah yang lebih selesa dan tenteram. Terima kasih.

Tuan Hassan bin Haji Shukri: Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua di atas teguran yang telah diberikan oleh Yang Berhormat. Mengenai Harakah, saya tidaklah hendak menyebutkan tentang isi-isi yang dikemukakan oleh Harakah. Kalau saya kemukakan, barangkali ada banyak perkara yang mungkin pernah ditimbulkan. Setengahnya tidak benar. Jadi, saya tinggalkanlah perkara itu kepada tuan-tuan dan kepada pembaca-pembaca kerana saya juga difahamkan ada pembaca-pembaca di kalangan ahli PAS yang boleh berbahasa Inggeris. Mereka sangat suka kerana bahasa Inggerisnya, kerana mereka membandingkan bahagian bahasa Inggeris yang ada dalam Harakah itu, dengan yang lain- lain. Mereka sangat berpuas hati dan mereka boleh belajar bahasa Inggeris di situ dan selain daripada itu berita-berita yang dikeluarkan dalam bahasa Inggeris di Harakah itu banyak mendedahkan ilmu pengetahuan, bukan sahaja mengenai perkara-perkara yang ada di luar negara tetapi juga perkara-perkara yang berkaitan dengan Islam itu sendiri.


Kemudian saya ingin memberi penjelasan, kerana ia dibangkitkan, dan ditegur, iaitu tentang ‘Kharaj’. Saya rasa ‘Kharaj’ ini bukan untuk takutkan orang. Sebab itulah saya katakan apabila ‘Kharaj’ ini – kita sebut sebagai salah satu dari sistem yang ada di dalam Islam namanya ‘Kharaj’. Sepatutnya kita jangan cepat hendak tohmah, kita datang jumpa dan bincang apa dia ‘Kharaj’? Kita telah panggil orang-orang Cina, pemimpin-pemimpin India, kita terangkan tentang ‘Kharaj’. Mereka mendapati kalau ia dilaksanakan, pada pandangan mereka lebih selesa daripada cukai-cukai yang dikenakan sekarang ini. Kita akan terangkan terus, biar gempar barulah orang tengok rupanya ‘Kharaj’ ini adalah baik. Itu pun satu bagus juga. Kalau tidak, siapapun tidak tahu apa itu ‘Kharaj’.


Jadi, kita timbulkan perkara ini supaya mereka tahu, banyak lagi istilah yang disebutkan oleh sahabat saya tentang perbankan. Barang kali kita sebutkan istilah- istilah Perbankan Islam, banyak yang kita pun tidak boleh sebut tetapi secara perlahan-perlahan kita sebutkan. Kemudian kita bincangkan, lama-lama ia dekat dengan kita, rupanya ia lebih baik daripada teori-teori yang dikemukakan selama ini oleh pihak Barat yang kita sendiripun kadang-kadang hentam Barat bukan main. Hentam Amerika, sekali kita hentam, sekali kita sayang kepada Barat itu sendiri. Itulah dia kita!


Tuan Yang di-Pertua,


Saya sebutkan tadi bukan kerana apa, saya sebutkan di sini ialah supaya tidak timbul kekeliruan dan secara terbuka kalau ada apa-apa masalah boleh ditimbulkan. Di sini saya hendak sebut dan sengaja saya hendak sebutkan kerana ada peruntukan untuk Kementerian Pertanian tambahan RM9 juta. Saya tahu RM9 juta ini bukanlah untuk tani, tetapi untuk perkara-perkara yang lain iaitu bayar pampasan ganti rugi kepada wabak JE. Saya tidak hendak sebut panjang dalam soal yang ditimbulkan. Baru-baru ini timbul lagi, orang kesal apabila Kerajaan Terengganu yang dipimpin oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi bin Haji Awang yang selama ini barangkali orang pandang tidak ada pandangan Islam tentang bagaimana orang bukan Islam hendak pelihara babi.

Sebenarnya, pertama kita nyatakan hukum dahulu. Undang-undang Islam tidak menghalang non-muslim. Kalau dia tinggal dalam sebuah negara yang berjalan di dalamnya undang-undang Islam, dia hendak pelihara babi hukumnya boleh. Bukan tidak boleh, hukum mesti jelas. Jadi, yang beliau nyatakan ialah hukum, supaya orang yang bukan Islam tidak keliru. Selama ini mungkin perkara ini tidak terbuka. Pernah penternak-penternak babi dari Negeri Sembilan datang berjumpa dengan saya. Saya sebutlah harus pandanganpandangan yang mengatakan hukumnya harus tetapi persoalannya ialah tempatnya di mana, kerana ia adalah sensitif terhadap orang Islam. Kita kena sediakan tempat yang munasabah, tempat yang sesuai, kemudian najisnya. Ulama-ulama tidak boleh dibuang ke sungai-sungai, yang air sungai itu mengalir, lalu di kampung-kampung orang. Dalam parit yang parit itu juga mengalir. Kemudian, baunya jadi maknanya pihak yang berkuasa dan pemerintah hendaklah mengawal. Kalau kita beri lesen ternak babi, terutama sekali hendaklah di kawasan yang sesuai. Mereka kena buat tasik sendiri supaya najisnya dibuang ke dalam tasik yang dia buat. Syarikat yang besar itu dia buat tasik, kemudian tasik itu mesti dikawal supaya tasik itu tidak akan membiakkan apa-apa juga jenis kuman yang boleh membahayakan sama ada kepada khinzir itu sendiri ataupun kepada manusia, ataupun kepada tumbuh-tumbuhan dan alam sekitar. Itulah Islam mengajarkan kita.

Jadi, apa salahnya, saya hairan apa salahnya Tuan Guru apabila dia berkata boleh pelihara babi kepada orang bukan Islam, kita riuh, ini ialah kerana kita tidak faham.


Tuan Yang di-Pertua,


Itulah yang saya katakan salah faham terhadap Islam itu. Saya minta maaf dan mudah-mudahan melalui penjelasan-penjelasan yang saya berikan ini sekurang-kurangnya pada hari ini dan hari-hari yang mendatang kita boleh duduk dan kita akan bincangkan masalah-masalah yang menimbulkan keraguan supaya semua pihak tidak akan menyalahkan mana-mana pihak dan masing-masing ada peraturan dan sesungguhnya Islam yang menjadi dasar kepada Parti Islam SeMalaysia yang ditegur tadi tidak pernah kita terangkan bahawa kita hendak menganiaya orang lain, tidak pernah kita menyatakan bahawa kalau kita berkuasa kita hendak aniaya orang-orang yang bukan Islam. Saya minta maaf kepada Ahli-ahli Yang Berhormat di kalangan orang Islam dan juga orang bukan Islam pada petang yang mulia ini, di dalam Dewan yang mulia ini supaya pada masa-masa yang akan datang, salah faham seperti ini kita boleh perbetulkan dalam meja perbincangan dan perundingan.


Sekian, terima kasih.


Al-Marhum Ustaz Hassan Bin Haji Shukri, mantan Timbalan Presiden PAS ketika ini adalah merupakan YB Ahli Dewan Negara mewakili Kerajaan Negeri Terengganu.


No comments: