About Me

My photo
Anak Bapak Al-Banjary Al-Asya'iry As-Syafi'iy, Dilahirkan pada tanggal 1hb Januari 1983 di Kg Parit Satu Sungai Sireh, Tanjong Karang, Selangor Darul Ehsan, seorang Melayu berketurunan Banjar suku Alai, Kini bersama PAS Kawasan Tanjong Karang berjuang menegakkan Islam di atas muka bumi Allah sebagai amanah dan tanggungjawab dari-Nya.. ..terima kasih atas sokongan anda.. Takbirr..ALLAHUAKBAR..!!!

Tuesday, December 15, 2009

MEMAHAMI TUJUAN PENUBUHAN PAS

MENGAPA PAS DITUBUHKAN

Terdapat sebahagian kalangan ahli PAS dan masyarakat yang keliru dengan penubuhan Parti Islam Se-Malaysia (PAS). PAS bukan ditubuhkan semata-mata kerana didorong oleh tuntutan politik tanahair. PAS juga bukan ditubuhkan semata-mata kerana tidak puas hati atau benci dengan kepincangan yang berlaku dan sikap yang diamalkan dalam UMNO dan Barisan Nasional. PAS juga bukan ditubuhkan semata-mata kerana memenuhi kehendak individu atau pemimpin tertentu.

Sebaliknya Parti Islam Se-Malaysia (PAS) ini ditubuhkan atas tuntutan Islam. Selain daripada tuntutan dakwah serta tuntutan menjaga ‘aqidah, menegakkan syari’at dan membentuk akhlak, menyuruh kepada perkara ma’ruf dan mencegah kemungkaran, para ‘alim ‘ulamak,ilmuan dan cendiakawan Islam yang awal telah bersependapat dalam memutuskan perlunya wujud sebuah gerakan Islam atau jama'ah Islam di dalam pemerintahan Negara yang tidak melaksanakan hukum Islam dan dasar negara yang tidak menjamin keselamatan aqidah serta kebajikan umat Islam.

" وَلۡتَكُن مِّنكُمۡ أُمَّةٌ۬ يَدۡعُونَ إِلَى ٱلۡخَيۡرِ وَيَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ‌ۚ

وَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ "


Maksudnya :

“ dan hendaklah ada satu golongan daripada kamu yang menyuruh kepada kebaikan, menegakkan yang ma’ruf dan mencegah kemungkaran, mereka itulah golongan orang yang mencapai kemenangan( Surah Ali-‘Imran : ayat 104 )

Bagi melaksanakan tanggungjawab ini, golongan yang peka dan bertanggungjawab ini atau dikenali sebagai gerakan Islam atau Harakah Islamiyyah, tidak boleh hanya bergantung dengan lisan (ceramah-ceramah dan kuliyah-kuliyah) semata-mata. Sebaliknya jama'ah Islam perlu mendapat “mandat” atau “kuasa” bagi memastikan bahawa tuntutan Islam ini dapat dilaksanakan dengan sempurna. Dalam konteks sains politik, “kuasa” yang dimaksudkan ialah kuasa politik.

Perkara ini dengan kaedah usul fiqh yang menyebut :

“jika tiada terlaksana sesuatu yang wajib itu sehingga ada perkara yang membawa ia terlaksana, maka tidak dapat tidak perkara tersebut menjadi wajib”

Bagi mendapatkan kuasa politik dan negara ini, tidak dapat tidak gerakan Islam atau jama'ah Islam itu wajib melibatkan dirinya dalam sistem pilihanraya. Untuk melibatkan diri dalam pilihanraya, maka wajib ke atas gerakan Islam atau jama'ah Islam itu mendaftarkan dirinya sebagai sebuah parti politik dan tidak boleh bergerak sebagai badan dakwah sahaja atau badan bukan kerajaan (NGO). Oleh itu, gerakan Islam ini telah menubuhkan Parti Islam Se-Malaysia bagi memenuhi tuntutan berpolitik secara sah sepertimana yang diperuntukan dalam Perlembagaan dan Undang-Undang Persekutuan. Justeru itu, menyertai dan bekerja untuk mencapai cita-cita dalam menegakkan negara yang tunduk kepada arahan Allah juga adalah wajib.

Ibnu Taimiyyah pernah menegaskan :

“ Memimpin dan menguasai umat adalah kewajipan agama yang terbesr. Tidak akan terdiri agama kecuali dengan (kekuasaan pimpinan) itu. Oleh kerana Allah telah mewajibkan (kaum muslimin) untuk menyuruh kepada ma’ruf, melerang perkara mungkar, membela orang yang teraniaya, melakukan jihad, melaksanakan hudud, dan berlaku ‘adil dalam menjadikan hukuman, semua itu tidak akan terlaksana tanpa kekuasan dan teras kepimpinan” ( As-Siyasah As-syar’iyyah m/s 172-175)

Sesungguhnya PAS tidak beriman dengan sistem demokrasi yang diamalkan oleh negara kita pada hari ini, tetapi PAS mengambil manfaat daripada peluang yang diberikan (melalui sistem demokrasi pilihanraya) untuk menyatakan risalah Islam bagi menegakkan perundangan Islam dan pemerintah negara dengan cara dan kaedah sebagaimana yang dituntut oleh Islam berpandukan Kitabullah (Al-Qur'an) As-Sunnah, Ijmak dan Qiyas yang teran lagi nyata.

Inilah cara aman yang membenarkan PAS untuk terus menyampaikan risalah Islam dan membela Islam serta ummah. Bertitik-tolak dari sinilah maka PAS menjadikan ISLAM sebagai dasar perjuangannya sebagaimana tercatit dalam PERLEMBAGAAN PAS (FASAL 3) iaitu PAS memperjuangkan wujudnya di dalam Negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah Ta’ala.

Penubuhan PAS berakar umbi dari gerakan dakwah dan pembebasan tanah air dari cengkaman penjajah Inggeris yang dimulakan oleh para ‘alim ‘ulamak Islam yang kemudiannya menubuhkan Hizbul Muslimin pada 14 Mac 1948 sebelum negara mencapai kemerdekaan. Hizbul Muslimin kemudiannya telah diharamkan oleh British pada bulan Ogos 1948. Walaupun begitu, aktiviti Hizbul Muslimin diteruskan sehinggalah tertubuhnya PAS pada 24 November 1951.


PAS DAN POLITIK


PAS tidak menjadikan medan politik sebagai satu wasilah (perantaraan atau alat) semata-mata untuk menyampaikan risalah Islam dan risalah perjuangan yang didokongnya. Sebaliknya PAS menggerakkan ahlinya untuk terlibat secara aktif dalam aktiviti lain antaranya termasuklah memakmurkan masjid dan surau, meningkatkan bilangan kuliyah-kuliyah bagi menambah dan menyebarkan ilmu di kalangan umat islam, meningkatkan program-program yang dapat menjelaskan kepada masyarakat tentang dasar dan prinsip perjuangan PAS, mengadakan program-program memasyarakatkan PAS yang dapat mendekatkan PAS dengan rakyat, meningkat serta memantapkan institusi pendidikan Islam, mewujud dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi ummah, memupuk semangat mahabbah dan persaudaraan Islam di kalangan umat Islam di dalam dan luar Negara, mewujudkan persefahaman dengan non muslim bagi menyampai dan memperjelas risalah Islam dan PAS, serta menujukkan contoh kehidupan serta bermasyarakat dengan cara dan kaedah Islam. Dalam erti kata lain, PAS bukan sahaja terlibat dengan politik tetapi juga dalam ekonomi, pendidikan, kebajikan, hubungan antarabangsa juga kemasyarakatan.


UMAT ISLAM DAN JAMA'AH ISLAM PAS

Sebahagian besar ‘ulamak berpendapat, apabila tidak ada negara Islam maka menjadi kewajipan bagi umat Islam untuk menubuhkan geakan Islam atau harakah Islamiyyah kerana bai’ah, wala’ dan ta’at setia ummah hanya boleh diberikan kepada kepimpinan Islam dalam negara yang melaksanakan dasar dan peraturan Islam.

Perlu ditekankan disini bahawa PAS menjadikan Kepimpinan ‘Ulamak sebagai kepimpinan ummah. Kepimpinan ummah oleh ‘Ulamak ini seharusnya tidak terbatas oleh sempadan goegrafi, bahasa, kaum atau bangsa. Walaupun Negara diperintah dan ditadbir oleh pemimpin yang beragama Islam, kepimpinan ummah seluruhnya harus kekal pada ‘ulamak kerana ‘ulamak adalah pewaris para nabi.


PERANAN DAN TANGGUNGJAWAB AHLI PAS


Setiap ahli PAS harus memahami apabila mereka telah mengisi borang permohonan menjadi ahli PAS (suatu bentuk bai’ah) untuk menjadi ahli PAS yang sah, justeru ahli PAS hendaklah mematuhi segala peraturan serta kaedah gerak kerja yang telah digariskan oleh tanzhim PAS sama ada yang tercatat dalam Perlembagaan parti mahupun yang dimaklumkan oleh pucuk pimpinan dari masa ke semasa.

Ahli-ahli PAS tidak sepatutnya mengimport budaya gerak kerja kumpulan-kumpulan, pertubuhan-pertubuhan atau jama’ah-jama’ah lain yang boleh menjejaskan kelancaran gerak-kerja PAS. Ahli-ahli PAS yang pernah menjadi ahli parti politik atau jama’ah-jama’ah atau pertubuhan-pertubuhan lain hendaklah “mencairkan” dirinya untuk menerima dan menghayati fikrah dan amalan PAS yang berasaskan Islam.

Ahli-ahli PAS wajib memberikan wala’ dan ta’at setianay kepada kepimpinan PAS di semua peringkat selagi mana kepimpinan itu berada di atas dasar dan kaedah Islam. Sebarang permasalahan dan rasa tidak puas hati mestilah dikemukakan melalui saluran-saluran yang dibenarkan dan bukan mewujudkan “jama’ah dalam jama’ah” atau api dalam sekam, gunting dalam lipatan dan yang seumpamanya. Muzakarah dan musyawarah haruslah menjadi medan untuk bermuhasabah dengan penuh hikmah dan mahabbah.

Ahli-ahli PAS juga harus sedar bahawa keseragaman fikrah dan keseragaman dalam tindakan-tindakan, amalan-amalan, keputusan-keputusan serta gerak-kerja. Oleh itu, ahli-ahli PAS mestilah mewajibkan diri untuk mengikuti program-program yang dianjurkan oleh PAS khususnya program-program tarbiyyah yang diatur oleh PAS di semua peringkat bagi mempastian kecelaruan fikrah dan amalan di kalangan ahli-ahli PAS dapat dielakkan.


SIKAP PAS TERHADAP PARTI-PARTI POLITIK DAN NGO-NGO

Pada dasarnya, kewujudan PAS tidak sama seperti mana parti-parti politik yang lain. PAS ditubuhkan atas tuntutan Islam. Dasar PAS ialah Islam dan PAS boleh bekerjasama dengan parti-parti dan NGO-NGO yang menerima dasar yang diperjuangkan oleh PAS.

Kerjasama dengan parti-parti politik dan NGO-NGO adalah digalakkan selagi mana ianya tidak menjejaskan kepentingan Islam, parti dan ummah seluruhnya. PAS sentiasa mengalu-alukan usaha yang dapat mencari titik pertemuan dan mengelakkan dari permusuhan dengan mana-mana pihak. Kerjasama ini tidak seharusnya meleburkan ahli PAS ari dsudut prinsip, dasar, identity, fikrah dan wala’ serta ta’at kepada kepimpinan PAS. Wallahua’lam.

No comments: