About Me

My photo
Anak Bapak Al-Banjary Al-Asya'iry As-Syafi'iy, Dilahirkan pada tanggal 1hb Januari 1983 di Kg Parit Satu Sungai Sireh, Tanjong Karang, Selangor Darul Ehsan, seorang Melayu berketurunan Banjar suku Alai, Kini bersama PAS Kawasan Tanjong Karang berjuang menegakkan Islam di atas muka bumi Allah sebagai amanah dan tanggungjawab dari-Nya.. ..terima kasih atas sokongan anda.. Takbirr..ALLAHUAKBAR..!!!

Monday, December 21, 2009

MEMAHAMI PERLEMBAGAAN PAS part 4

HUKUM DAN KEKUASAAN

Setiap ahli PAS setiap peringat sama ada berjawatan atau tidak, sering menyebutkan bahawa hukum dan kekuasaan yang tertinggi sekali dalam PAS ialah Kitabullah dan Sunnah Rasul serta Ijmak ‘Ulamak dan Qias yang terang lagi nyata, seperti yang dinyatakan dalam Fasal 7(1) Perlembagaan PAS (Pindaan 2002);

Fasal 7. Hukum, Kekuasaan dan MAJLIS SYURA ‘ULAMAK

(1) Adapun hukum yang tertinggi sekali dalam pegangan PAS ialah KITABULLAH dan SUNNAH RASUL serta IJMAK ‘ULAMAK dan QIAS yang terang dan nyata, dengan tertakluk kepada hukum yang tertinggi itu, kekuasaan PAS adalah dipegang oleh Muktamar Tahunan.

Apa yang menarik perhatian kita sekarang ialah, apakah kita menyebut perkara-perkara yang kita tahu atau kita menyebutnya sahaja tanpa mengetahui apakah yang dimaksudkan oleh Perlembagaan PAS yang ringkas ini..? Maka di sini akan dihuraikan satu persatu secara ringkas tentang apakah yang dimaksudkan dengan Kitabullah, Sunnah Rasul, Ijmak ‘Ulamak dan Qias itu. Semoga dengan kita faham bahawa perkataan yang ringkas itu mempunyai pengertian yang tertentu di dalam Islam yang kita jadikan asas perjuangan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) ini.

KITABULLAH

Kitabullah ialah Al-Qur’an Al-Karim, iaitu kalam Allah yang azali yang diturunkan Allah melalui perantaraan Jibril A.S kepada Rasul-Nya Muhammad S.A.W dengan lafaz dan maknanya (lafzhan wa ma’nan) yang termaktub dalam al-mashaf serta dipindah dan disampaikan daripada Rasulullah S.A.W kepada kita engan cara mutawatir, yang melemahkan musuh-musuh Islam dan merupakan ‘ibadat bagi yang membacanya.

Al-Qur’an menjadi petunjuk dan hujah. Seluruh ‘ulamak bersepakat menyatakan bahawa Al-Qur’an itu menjadi sumber utama yang terpenting sekali di dalam Islam. Ia adalah kitab panduan yang paling lengkap dan sempurna dan tiada boleh diragui kebenarannya. Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala ;

ذَٲلِكَ ٱلۡڪِتَـٰبُ لَا رَيۡبَ‌ۛ فِيهِ‌ۛ هُدً۬ى لِّلۡمُتَّقِينَ(2)

Maksudnya :

“kitab itu (Al-Qur’an) tidak ada sebarang syak (ragu) padanya, (tentang datangnya dari Allah dan tentang kesempurnaannya), ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang takut (taqwa kepada Allah)” (Surah Al-Baqarah : ayat 2)

Al-Qur’an menyatakan hukum-hukum yang kebanyakannya adalah dalam bentuk “Kulliy” tidak secara terperinci. Maka untuk memahami hakikatnya, kita mestilah mengkaji As-Sunnah, kerana As-Sunnah menjadi penerang dan pejelas kepada Al-Kitab. Ini aalah kurniaan Allah kepada rasul-Nya Muhammad S.A.W dan di sinilah letaknya hikmah kepada sebab mengapa Allah menganugerahkan akal dan fikiran kepada manusia. Sebab itulah ada hukum ijtihad dan qias.

Sungguhpun demikian, kita mestilah faham bahawa prinsip-prinsip syari’ah itu adalah tetap dan utuh, tidak perlu kepada apa-apa pindaan dan perubahan. Kesimpulannya, Al-Qur’an adalah Kitabullah yang lengkap dan sempurna yang tiada sebarang keraguan di dalamnya. Ia aalah kitab petunjuk dan hidayah kepada mereka yang benar-benar takut (taqwa) kepada Allah.

Inilah kefahaman yang mesti ada di kalangan ahli-ahli PAS ketika mereka menemui perkataan Kitabullah seperti yang tersebut di dalam Fasal 7(1) Perlembagaan PAS (Pindaan 2002).

SUNNAH RASUL

Pengertian As-Sunnah dari sudut bahasa ialah “peraturan” sebagaimana firmn Allah Ta’ala :

سُنَّةَ مَن قَدۡ أَرۡسَلۡنَا قَبۡلَكَ مِن رُّسُلِنَا‌ۖ وَلَا تَجِدُ لِسُنَّتِنَا تَحۡوِيلاً(77)

Maksudnya :

“ (Demikianlah) peraturan (Kami yang tetap mengenai) orang-orang yang telah kami utuskan sebelummu dari Rasul-Rasul Kami, dan engkau tidak akan dapati sebarang perubahan bagi peraturan kami yang tetap itu.” (Surah Al-Isra’ : ayat 77)

Sunnah Rasul S.A.W meliputi perkataan, amalan dan pengakuan Baginda S.A.W. Ia adalah sumber keua daripada dalil-dalil yang disepakati di dalam Islam. Seluruh ‘Ulamak menerima As-Sunnah sebagai sumber kedua kepada hukum-hukum Islam selepas Kitabullah.

Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala ;

وَمَآ ءَاتَٮٰكُمُ ٱلرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَہَٮٰكُمۡ عَنۡهُ فَٱنتَهُواْ‌ۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ‌ۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ(8)

Maksudnya :

“..dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasul (Muhammad) kepada kamu, maka terimalah serta amalkanlah dan apa jua yang dilarang kamu untuk melakukannya maka patuhilah larangannya, dan takutkanlah kamu akan Allah, sesungguhnya seksaan Allah amatlah dahsyat”

(Surah Al-Hasyr : ayat 7)

Dan Firman Allah :

قُلۡ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَٱلرَّسُولَ‌ۖ فَإِن تَوَلَّوۡاْ فَإِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلۡكَـٰفِرِينَ(32)

Maksudnya :

“ Katakanlah (wahai Muhammad)..!!! Ta’atlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, oleh itu jika kamu berpaling (ingkar dan menderhaka), maka sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang kufur.” (Surah Ali-‘Imran : ayat 32)

Dan Firman Allah lagi:

مَّن يُطِعِ ٱلرَّسُولَ فَقَدۡ أَطَاعَ ٱللَّهَ‌ۖ

Maksudnya:

“ Barang siapa yang ta’at kepada Rasul (Muhammad) maka sesungguhnya dia juga telah menta’ati Allah.” ( Surah An-Nisaa’ : ayat 80)

Ayat-ayat di atas menjelaskan tentang kewajipan mentaati Rasulullah S.A>W adalah sama kedudukannya dengan menta’ati Allah. Hal ini jelas sebagaimana yang disepakati oleh jumhur ‘ulamak. Walaupun pada zahirnya Al-Qur’an dan As-Sunnah itu tidak sama, namun pada hakikatnya adalah sama khususnya pada aspek sumber rujukan.

Apa yang lahir daripada Rasulullah S.A.W bukanlah berdasarkan akal fikiran dan nafsu Baginda S.A.W semata-mata, bahkan Rasulullah S.A.W tidak dapat dikuasai oleh syaitan dan nafsu dan Baginda bersifat ma’sum. Ia disokong menerusi firman Allah Ta’ala;

وَمَا يَنطِقُ عَنِ ٱلۡهَوَىٰٓ(3)إ ِنۡ هُوَ إِلَّا وَحۡىٌ۬ يُوحَىٰ(4)

Maksudnya:

“Dan tidaklah dia (Rasulullah S.A.W) memperkatakan sesuatu itu menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. Tetapi sesunggunya segala yang diperkatakan itu tidak lain melainkan wahyu yang diwahykan kepadanya.” (Surah An-Najm : ayat 3-4)

Jelas kepada kita bahawa kedudukan As-Sunnah di dalam perundangan Islam adalah selepas Al-Qur’an. Ini member makna apabila tidak didapati sesuatu nas dalam Al-Qur’an maka barulah berpindah kepada As-Sunnah. Demikianlah dilakukan oleh para sahabat Rasulullah S.A.W dan ‘ulamak Islam. Dengan huraian yang ringkas ini diharap akan dapatmenjadi ilmu kepada ahli-ahli PAS seluruhnya untuk memahami apakah itu Sunnah Rasul seperti yang termaktub di dalam Fasal 7(1) Perlembagaan PAS (Pindaan 2002)

IJMAK ‘ULAMAK

Pengertian Ijmak dari sudut bahasa ialah bersetuju untuk melaksanakan cita-cita dan niat.

Menurut istilah, Ijmak ‘Ulamak ialah persepakatan, persetujuan atau permuafakatan di antara ahli-ahli ijtihad atau ‘ulamak-‘ulamak mujtahid dari golongan umat Muhammad S.A.W mengenai sesuatu hukum syarak sama ada dalam bentuk I’tiqad, kata-kata atau perbuatan untuk mengelurkan hukum yang berlaku selepas kewafatan Rasulllah S.A.W dan di dalam masa tertentu berdasarkan kepada Al-Quran atau Sunnah atau Qias. Inilah pendapat yang termasyhur jumhur ‘ulamak. Mereka menyandarkan adanya Ijmak ini kepada Hadith riwayat Sa’id Bin Al-Musayyab daripada Saiyidina “ali Bin Abi Thalib katanya yang bermaksud :

“Saya berkata, wahai Rasulullah, sesuatu perkara berlaku kepada kita walhal ianya tidak tersebut di dalam Al-Qur’an dan tidak juga disebut dalam Sunnah tuan.” Jawab Rasulullah :”Kumpulkan orang-orang bijak pandai dari kalangan orang-orang mukmin, maka musyawarahlah di antara kamu dan jangan kamu hukum mengikut pendapat seorang sahaja.”

Pengertian ijma’ di atas pada zaman para sahabat mudah dicapai kerana bilangan ahli-ahli ijtihad pada itu tidak ramai. Maka bolehlah mereka bermesyuarat, berbincang dan mengambil kata sepakat di dalam sesuatu perkara dan dengan demikian ianya dianggap sebagai salah satu daripada sumber perundangan Islam.

Jumhur para ‘ulamak berpendapat bahawa satu perkara yang terjadi di satu-satu masa yang tertentu tidak disebut di dalam Al-Qur’an dan As-Sunnah padahal golongan salafussaleh telah mengeluarkan fatwa terhadapnya tanpa mendapat bangkangan, maka ia dianggap menjadi pegangan dalam sayri’at Islam selagi mana perkara itu tidak bercanggah dengan Al-Qur’an, As-Sunnah dan roh Islam itu sendiri.

Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala :

وَمَن يُشَاقِقِ ٱلرَّسُولَ مِنۢ بَعۡدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُ ٱلۡهُدَىٰ وَيَتَّبِعۡ غَيۡرَ سَبِيلِ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ نُوَلِّهِۦ مَا تَوَلَّىٰ وَنُصۡلِهِۦ جَهَنَّمَ‌ۖ وَسَآءَتۡ مَصِيرًا(115)

Maksudnya :

“Dan barang siapa yang menentang (ajaran) Rasulullah sesudah terang nyata kepadanya kebenaran petunjuk (yang dibawanya), dan ia pula mengikut jalan lain dari jalan-jalan orang-orang yang beriman, Kami akan memberikannya kuasa untuk melakukan kesesatan yang dipilihnya, dan (pada hari akhirat nanti) Kami akan masukkannya ke dalam neraka jahannam, dan (neraka jahannam itu) adalahseburuk-buruk tempat kembali” ( Surah An-Nisaa’ : ayat 115)

Ayat di atas menyatakan bahawa Allah Ta’ala akan menjanjikan azab terhadap sesiapa sahaja yang menentang Rasulullah dan mengikuti jalan yang tidak beriman, sama ada kafir atau munafiq” kerana jalan orang-orang yang beriman ialah apa yang mereka sepakati daripada hukum dan perundangan, sedangkan selain itu bukan jalan mereka yang ditegah mengikutinya. Ia juga menunjukkan bahawa Ijmak ‘Ulamak adalah hujah.

QIAS

Al-Qias menurut pengertian bahsa ialah At-Taqir, atau ukuran dan persamaan. Menurut istilah ‘Ulamak Usul Ahkam, terdapat dua pengertian yang masyhur tentang Qias, iaitu:

a) Menjelaskan hukum terhadap sesuatu perkara yang tidak ada ketetapan nasnya di dalam Al-Qur’an dan As-Sunnah dengan membuat perbandingan terhadap sesuatu perkara yang telah ditetapkan hukumnya berdasarkan nas.

b) Menyamakan masalah yang tidak dijelaskan hukumnya di dalam Al-Qur’an atau As-Sunnah atau Ijmak ‘Ulamak dengan masala yang telah dijelaskan hukumnya di dalam salah satu daripada dalil tersebut berdasarkan persamaan ‘illah (sebab terjadinya) hukum.

Berkaitan dengan persamaan dan perbezaan sifat juga digunakan di dalam Al-Qur’an. Iaitu menyamakan antara Sesutu disebabkan faktor persamaan dan membezakannya disebabkan faktor perbezaan. Antara contoh disebabkan perbezaan sebagaimana Firman Allah :

أَمۡ نَجۡعَلُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ كَٱلۡمُفۡسِدِينَ فِى ٱلۡأَرۡضِ

أَمۡ نَجۡعَلُ ٱلۡمُتَّقِينَ كَٱلۡفُجَّارِ(28)

Maksudnya :

“ Patutkah Kami jadikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh itu sama seperti orang-orang yang melakukan kerosakan di muka bumi? Atau patutkah kami jadikan orang-orang yang bertaqwa itu sama seprti orang-orang yang berdosa?” (Surah Saad : ayat 28)

Pengertian di atas juga disandarkan kepada apa yang telah diberitahu oleh Rasulullah S.A.W ketika baginda mengutuskan Mua’az Bin Jabal r.a sebagai Gabenor ke Negeri Yaman di mana baginda mengutuskan, sabda baginda yang bermaksud :

“Bagaimana kamu hendak buat jika dibawa kepada kamu persoalan?” Kata Mu’az : “Saya menghukum dengan Kitabullah” Kata baginda S.A.W : “Jikalau tidak didapati di dalam kitabullah?” Jawab Mu’az :” Saya akan menghukum dengan Sunnah Rasul-Nya.” Sabda bagina lagi : “Jikalau tidak di dalam Sunnah Rasul-Nya?” Jawab Mu’az : “Saya berijtihad dengan menggunakan fikiran saya dan saya tidak akan mengabaikannya.” Selepas itu Baginda menepu di dadaku seraya bersabda :” Segala puji bagi Allah yang member petunjuk kepada utusan rasulullah yang menyukai Rasul-Nya.”

(Hadith Riwayat Abu Daud, Kitab al-aqdhiyyah Bab Ijtihad ar-ra’yi fi al-qadha’)

Dalam satu Hadith yang lain ada menyebut yang mafhumnya:

“Apabila seorang Hakim menghukum dengan ijtihad dan benar, maka dia berolah dua ganjaran, dan apabila Hakim gagal menghukum dengan ijtihad dan salah, ia mendapat satu ganjaran.”

(Hadith Riwayat Bukhari ( Al-I’tisam bi Al-Kitab Wa As-Sunnah )dan Muslim(Al-Aqdhiyyah).

PENEGASAN

Demikianlah sedikit huraian ringkas tentang apa yang dimaksudkan dengan KITABULLAH dan SUNNAH RASUL serta IJMAK ‘ULAMAK dan QIAS yang terang dan nyata, seperti yang termaktub di dalam Fasal 7 (1) Perlembagaan PAS (Pindaan 2002).

Maka adapun ayat “tertakluk pada hukum tertinggi itu, kekuasaan PAS adalah dipegang oleh Muktamar Tahunan” memberi makna bahawa kuasa bagi menentukan sebarang keputusan yang berlandaskan kepada hukum tertinggi itu dipegang oleh Muktamar Tahunan PAS. Dengan lai perkataan, sebarang keputusan dasar yang hendak dibuat oleh Muktamar Tahunan PAS itu mestilah berdasarkan kepada salah satu dari nas yang menjadi hukum tertinggi dalam PAS sebagaimana yang ditegaskan oleh Fasal ini, iaitu Al-Qur’an dan jika tiada di dalam Al-Qur’an maka As-Sunnah, dan jika tiada di dalam As-Sunnah, maka Ijak ‘Ulamak dan seterusnya jika tidak ada dalam Ijmak ‘Ulamak maka Ijtihad dengan Qias.

Ini bermakna kita tidak akan membuat sesuatu keputusan mengenai kepentingan Islam dan ummah ini mengikut hawa nafsu dan logik atau rasional akal semata-mata.

Cukupah kiranya huraian ini untuk memahami konsep dan asas perlembagaan yang mencatatkan perkara tersebut. Apa yang penting bagi kita ahli-ahli PAS ialah kefahaman yang tepat dan usaha yang berterusan untuk meningkatkan lagi keupayaan kita seterusnya memperkasakan parti ini, dengan harapan agar ahli-ahli PAS dapat melihat sejauh mana Perlembagaan PAS ini dapat difahami dan dihayati seluruhnya.

No comments: