About Me

My photo
Anak Bapak Al-Banjary Al-Asya'iry As-Syafi'iy, Dilahirkan pada tanggal 1hb Januari 1983 di Kg Parit Satu Sungai Sireh, Tanjong Karang, Selangor Darul Ehsan, seorang Melayu berketurunan Banjar suku Alai, Kini bersama PAS Kawasan Tanjong Karang berjuang menegakkan Islam di atas muka bumi Allah sebagai amanah dan tanggungjawab dari-Nya.. ..terima kasih atas sokongan anda.. Takbirr..ALLAHUAKBAR..!!!

Monday, June 8, 2009

KERTAS KERJA : 'ULAMAK TONGGAK PERJUANGAN PAS

Sempena Sambutan Jubli Perak Kepimpinan Ulamak
28 Jamadilawal 1430 / 23 Mei 2009
Dewan Dato' Fadzil Noor, Markaz Tarbiyah PAS,
Taman Melewar, Kuala Lumpur.

Di bentang oleh : YB Dato' Abdul Halim Abdul Rahman.


1.0 PENGENALAN

PAS bukan sahaja sebagai sebuah parti politik tetapi juga sebagai sebuah gerakan Islam perlu dipimpin oleh mereka yang benar-benar faham dan menguasai ilmu-ilmu Islam khususnya ilmu Al-Qur'an dan kepelbagaian cabangnya; ilmu hadith dan kepelbagaian cabangnya; kaedah-kaedah Ijma' dan Qiyas.


2.0 PENGERTIAN

2.1 Abi Talib dan Ismail Abdul Halim, istilah 'ulamak disandarkan kepada individu yang mengetahui mengenai Al-Qur'an dan As-Sunnah serta memahami kedudukan hukum dan sumber hukum yang berpandukan kepada sumber tersebut ( Abi Talib dan Ismail Abdul Halim. 1982L2)

2.2 Mahyuddin Bin Haji Yahya, di dalam Encyclopedia Sejarah Islam, para 'ulamak ialah golongan penting kerana mereka merupakan pakar dalam bidang agama khususnya dalam bidang tafsir, feqah, hadith, usuluddin dan segala cabang ilmu islam.

2.3 Syed Qutb mereka yang mengkaji Al-Qur'an yang penuh keajaiaban dan mereka yang mengenal Allah dan mengetahui hakikat Allah dan mengetahui kesan penciptaan Allah, mengetahui kesan kekuasaan Allah dan bertaqwa kepada Allah dan menyembah Allah dengan sebenar penyembahan. 'Ulamak ialah orang yang mengetahui sifat Allah dan kebesarannya. Siapa yang bertambah ilmunya maka dia bertambah takut ( taqwa ) kepada Allah. ( Syed Qutb, 1994:2943 )

2.4 Sheikh Abdul Aziz Badri, 'Ulamak sebagai pewaris para nabi iaitu yang menyambung kembali perjuangan dan dakwah para nabi. 'Ulamak yang menjadi pewaris para nabi ialah 'ulamak yang tidak takut pada pemerintah yang zalim. Tidak takut pada pihak yang kejam kerana kepatuhan mereka hanya kepada Allah S.W.T. ( Sheikh Abdul Aziz Badri, 1988 : 53 )

2.5 Ibnu Mas'ud berkata bahawa ketakutan kepada Allah petanda orang itu 'alim. Yang berilmu bukanlah kerana ia banyak meriwayatkan hadith akan tetapi yang amat takut kepada Allah. Ditanya Sa'ad Bin Ibrahim siapakah yang paling 'alim di kalangan penduduk madinah? Jawabnya ialah orang yang paling takut kepada Allah.

Secara umumnya perkataan 'ulamak itu membawa satu pengertian yang luas, disandarkan kepada seorang yang memahami konsep agama secara syumul dan mendalam serta menzahirkannya dalam bentuk praktikal dan amalan hidup seharian. Apabila 'ulamak dikaitkan dengan Islam ia berhubung rapat dengan Allah. Tidak cukup sekadar ada ilmu tetapi juga takut kepada Allah.

'Ulamak dikenali dengan ilmunya da keteguhan pendiriannya. Mereka terpelihara daripada terjebak ke dalam perkara-perkara syubahat. 'Ulamak dikenali dengann jihad, dakwah, pengorbanan dari segi waktu, harta benda, nyawa dan sesungguhnya mereka di jalan Allah. 'Ulamak dikenali dengan jauhnya mereka dari keburukan dunia dan pujuk rayunya. 'Ulamak dikenali dengan pengakuan oleh umat Islam dan jumhurnya dari kalangan ahli hak.


3.0 KEISTIMEWAAN 'ULAMAK

Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala yang bermaksud;

"Allah menyatakan bahawasanya tiada tuhan ( yang berhak disembah ) melainkan Dia, yang menegakkan keadilan, para malaikat dan orang-orang yang berilmu ( juga menyatakan yang demikian itu ) tiada tuhan ( yang berhak disembah ) melainkan Dia Yang Maha perkasa lagi Maha bijaksana." ( Surah Ali-'Imran, ayat-18 )

Ayat ini menerangkan kedudukan 'ulamak, dalam soal menguatkan 'aqidah, kedudukan 'ulamak adalah amat tinggi selepas kedudukan malaikat. Menurut Ibnu Hajar para 'ulamak yang beramal dengan ilmunya pada hakikatnya wali Allah. ( Al-Zawahir 1/88 )

Banyak hadith yang menyatakan tentang ilmu dan 'ulamak. Ilmu yang diperolehi oleh 'ulamak adalah diturunkan oleh Allah S.W.T. Ayat dan perkataan " orang yang dikurniakan ilmu beberapa darjat" menunjukkan Allah mengurniakan ilmu dan kepandaiannya yang amat luas kepada manusia, ilmu itu lebih maju dan teratur daripada pengetahuan yang dikurniakan oleh Allah S.W.T kepada lain-lain makhluk seperti malaikat.


4.0 'ULAMAK TERAS KEPIMPINAN

Gerakan Islam ditohmah dengan pelbagai cara. 'Ulamak secara terbuka ditempelak dan dipertanggungjawabkan tentang kemunduran umat Islam. Kemunduran umat Islam diletakkan ke atas bahu 'ulamak. Sedangkan kemungkaran dan penyelewengan para pemerintah yang menjadi faktor keruntuhan dan kemunduran umat disembunyikan. Mereka cuba memutarbelitkan fakta sejarah. Mereka lupa bahawa kejatuhan sesebuah kerajaan Islam ialah apabila para 'ulamak yang ikhlas dan berwibawa disingkir dan dinafikan fungsinya.

Kejatuhan kerajaan Abbasiyyah adalh berpunca dari sikap angkuh pemerintah yang menolak pandangan dan nasihat 'ulamak.

Pemerintah leka denga kemewahan dunia dan terpengaruh dengan tamadun yang dicapai akhirnya Negara Islam yang kuat telah berpecah dan tumbang satu demi satu. Keadaan yang sama berlaku ke atas Kerajaan Islam Sepanyol. Sikap tamak, berfoya-foya dan bermegah dengan kemajuan keduniaan menyebabkan mereka hilang pedoman.

Mereka merasa kemajuan kebendaan akan menjamin kekuasaan mereka. Mereka menolak nasihat dan pandangan dari para 'ulamak yang ikhlas, kerana mereka menganggap nasihat itu sebagai penghalang kepada pembanguna kebendaan. Mereka lebih senang dikelilingi oleh golongan pengampu yang mereka ambil termasuklah di kalangan mereka itu golongan 'ulamak duniawi.

Hasil dari sikap sombong dan angkuh ini mereka telah gagal mempertahankan Islam di Bumi Eropah. Negara Islam yang telah bertapak lebih 700 tahun itu telah hilang dari bumi Sepanyol. Islam hanya tinggal sebagai kesan sejarah yang hanya menjadi sumber kajian ahli-ahli sejarah.

Apakah kehancuran yang terjadi kepada Kerajaan Islam Sepanyol kerana peranan 'ulamak menentang kemajuan atau kehancuran itu hasil dari kemajuan yang menjadikan pemerintah lupa daratan dan melakukan sesuatu yang tidak selari dengan tuntutan Islam??

Firman Allah maksudnya;

"Dan jika kami hendak binasakan suatu negeri maka kami perintahkan kepada orang-orang yang hidup mewah di negeri ( supaya taat kepada Allah ) tetapi mereka melakukan kedurhakaan di dalam negeri itu ( ingkar perintah Allah ), maka sudah sepatutnya berlaku terhadap perkataan ( ketentuan kami ), kemudian kami hancurkan negeri itu sehancur-hancurnya." ( Surah Al-Isra' : ayat 16 )

Di awal abad ke 20 ini, peristiwa sama berulang ke atas kerajaan Islam Othmaniyyah Turki. Sebelum dasar sekular diperkenalkan, Kerajaan Islam Turki merupakan sebuah kerajaan yang kuat dan digeruni oleh kuasa barat. Pada abad ke 15, Islam telah tersebar di sebahagian besar Wilayah Eropah yang berhampiran dengan Turki.

Rasulullah S.A.W bersabda mafhumnya ;

" Sesungguhnya Allah tidak akan mencabut ilmu dari manusia setelah diberikan begitu sahaja, tetapi Allah mencabut ( menghilangkan ) ilmu itu dari manusia dengan hilangnya 'ulamak.Sehinggalah tiada lagi yang tinggal dari karangan orang 'alim, manusia akan mengangkat dikalangan orang jahil menjadi pemimpin mereka, apabila ditanya dan mereka ( pemimpin dari kalangan jahil ) memberi fatwa bukan mengikut ilmunya ( Islam ),mereka itu ( pemimpin dikalangan jahil )adalah orang-orang yang sesat dan menyesatkan orang lain.
( Hadith riwayat Bukhari dan Muslim juga Tirmizi, dari Abdullah Bin 'Amru Bin Al-'As)

Sewajarnya para 'ulamak menyedari tanggngjawab mereka dan kembali berfungsi sebagai pemimpin ummah.

Firman Allah Ta'ala mafhumnya;

"Dan berapa banyak nabi yang berperang bersama-sama mereka sejumlah besar dari pengikutnya yang bertaqwa, mereka tidak menjadi lemah kerana bencana menimpa mereka di jalan Allah, dan tidak lesu dan tidak pula menyerah ( kepada musuh ). Allah menyukai orang-orang yang sabar."
( Surah Ali-'Imran : ayat 146 )

( Petikan Ucapan Dasar Muktamar Tahunan PAS Ke-40 oleh Al-Marhum Dato' Fadzil Mohd Noor yang bertajuk, " 'Ulamak : Teras Kepimpinan Ummah ")


5.0 GAGASAN / FAKTA ASAS

Tidak terpisahnya antara 'ulamak dan Islam; umapama irama dan lagu, hakikat ini diperkukuhakn oleh Perlembagaan PAS dalam Fasal 5(1), iaitu Tujuan PAS ialah :

"Memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup ISLAM dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah."

Fasal 6(1), (2) dan (3) USAHA-USAHA iaitu :

6(1) Menyeru umat manusia kepada syari'at Allah dan Sunnah rasul-Nya secara lisan, tulisan dan amalan.

6(2) Memperjuangkan Islam sebagai 'aqidah dan syari'ah serta menjadikan sebagai panduan berpolitik dan bernegara serta memperkanalkan nilai-nilai ke Islaman dalam usaha menegakkan keadilan dan kemajuan segenap bidang termasuk pemerintahan dan pentadbiran, ekonomi dan sosial serta pelajaran dan pendidikan.

6(3) Memupuk dan memperkuatkan ukhuwwah Islamiyyah dan menyuburkan rasa perpaduan di kalangan rakyat bagi memelihara kehidupan politik dan masyarakat yang sihat dan berkebajikan.


Institusi 'Ulamak dalam bentuk Majlis Syura 'Ulamak mensyaratkan bahawa ahlinya mestilah seorang 'ulamak sepertimana peruntukan di dalam Perlembagaan PAS (pindaan 2001 )Fasal 7 (4( (a)iaitu;

FASAL 7 (4)(a):
Seseorangyang hendak dilantik menjadi ahli 'MAJLIS SYURA 'ULAMAK' itu hendaklah seseorang yang mengetahui masalah-masalah pokok ( AL-USUL ) dalam syari'at Islam dan hukum-hukumnya atau/dan dapat merujuk masalah-masalah itu kepada Al-Qur'an, As-Sunnah, ijmak dan Qias dengan faham akan maksud dan maknanya yang muktabar dan hendaklah seorang yang adil yakni tidak melakukan dosa besar atau terus-menerus melakukan dosa kecil dan hendaklah terpelihara maruahnya serta hendaklah seorang ahli PAS.


Fasal ini memperuntukan bahawa dari segi syakhsiyyah, seorang Ahli Majlis Syura "hendaklah seorang yang adil yakni tidak melakukan dosa besar atau terus-menerus melakukan dosa kecil dan hendaklah terpelihara maruahnya".

Lebih penting, berdasarkan pendidikan rasmi dan pengkhususan yang dimiliki, hanya 'ulamak sahaja mampu merealisasi kehendak Fasal 7 (1) Perlembagaan PAS Pindaan 2001 di mana;

FASAL 7 Hukum, Kekuasaan dan MAJLIS SYURA 'ULAMAK

(1) Adapun hukum yang tertinggi sekali dalam pegangan PAS ialah KITABULLAH dan SUNNAH RASUL serta IJMAK 'ULAMAK dan QIAS yang terang dan nyata dan tertakluk kepada hukum yang tertinggi itu kekuasaan PAS adalah dipegang oleh Muktamar Tahunan
.


Apa yang penting juga ialah Fasal ini turut mengikat ( sebagai ahli kepada sebuah gerakan Islam ) gerak-geri, pandangan dan tindakan para perwakilan di Muktamar-muktamar tahunan PAS. Sekiranya untuk dilantik sebagai ahli biasa Majlis Syura 'Ulamak ia perlu kepada seprang berstatus 'Ulamak, inikan pula jawatan-jawatan penting tertinggi dalam PAS. Secara tradisinya ( conventional ) pemimpin utama PAS akan dilantik oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat untuk mewakili mereka dalam Majlis Syura 'Ulamak.

Ciri-ciri lain yang perlu ada pada 'Ulamak ; antaranya ialah keikhlasan dan ketaqwaan kepada Allah ( Imam Al-Ghazali, Syed Qutb, Ibnu Kathir, Hamka DLL ); tawadhuk, tidak bertengkar dan memperbodoh orang lain, hanya bergantung kepada Allah dan tidak takut melainkan Allah, sentiasa beradab dengan Al-Qur'an dan As-Sunnah, sentiasa bessyukur dan berzikir kepada Allah, dan berjalan atas muka bumi dengan tunduk dan patuh.

Atas hakikat bahawa wadah perjuangan PAS adalah perjuangan Islam, maka ia perlu kepada 'Ulamak.

1982; Dari kepimpinan Islam kepada kepimpinan 'ulamak, inisiatif dari Pemuda PAS dalam muktamarnya di Bukit Mertajam, Kepimpinan 'Ulamak telah meningkatkan indentiti PAS yang membezakan dengan parti lain seperti UMNO. Persoalan identiti ini penting dan perlu diterus dan diperkasa pada masa depan. Dua perkataan atau ciri yang ada pada PAS yang amat digeruni oleh UMNO ialah "ISLAM" dan "'ULAMAK". Yang menariknya, ahli-ahli biasa UMNO menggesa agar PAS mengekalkan identiti itu.

Pencapaian PAS selama 50 tahun dan peranan 'ulamak; 'ulamak adalah kelompok pertama dikenakan ISA ( contohnya : pimpinan hizbul muslimin, Tuan-Tuan Guru di Kelantan seperti Pak Nik Lah ); pencapaian-pencapaian dalam pilihanraya umum dan kecil yang memberangsangkan di bawah pimpinan 'ulamak ( sebagai contoh : Kelantan, Terengganu & Kedah ); Kelantan sebagai model.

Terkini pengaruh PAS telah melebar, bukan sahaja di kawasan tradisi di luar bandar malah bergerak ke bandar-bandar; sokongan dari golongan menengah melayu, sokongan dari orang bukan Melayu dalam bentuk Kelab Penyokong PAS, tarikan bukan Melayu kepada PAS ialah faktor 'Ulamak yang memimpin PAS ( contohnya tanpa segan silu mereka memakai baju-T yang tertera perkataan "kami bersama kepimpinan 'ulamak"). Mereka melihat 'ulamak sebagai 'orang suci' (holy man) yang tidak mungkin melakukan perkara-perkara buruk seperti rasuah dan penyalahgunaan kuasa dan kini menjadi harapan rakyat Malaysia agar 'ulamak dapat memeberi pimpinan alternatif.

'Ulamak dan PRU-13: Gelombang kebangkitan PAS bermula secara signifikan pada PRU-12 2008, Islam tururt didefinasi rupa bentuk politik baru Malaysia yang tidak bersifat perkauman, PRU-12 (22 kerusi parlimen) dan pada PRU-13 matlamat yang perlu dicapai ialah untuk memenangi sekurang-kurangnya 70 kerusi parlimen ( dapat menawan negeri-negeri seperti Perlis, Terengganu dan Pahang) bagi merealisasikan hasrat ini 'ulamak perlu diperkasakan (membekal kemahiran tambahan seperti pengurusan dan ICT)


6.0 KESIMPULAN
Gesaan dan saranan Allah ( melalui Al-Qur'an ) dan Nabi ( melalui Al-hadith )adalah relevan untuk sepanjang masa.

Firman Allah mafhumnya :

"Sesungguhnya yang takut kepada Allah dari kalangan hamba-hambaku hanyalah 'ulamak"
( Surah Al-Fathir : ayat 28 ),

Takut ertinya taqwa dan mereka yang taqwa mampu melaksanakan keadilan untuk semua. " 'Ulamak adalah pewaris para nabi" (Hadith Riwayat Tirmidzi).

Al-Marhum Ustaz Dato' Fadzil Mohd Noor, mantan presiden PAS, peneroka idea "'ulamak intelektual" dalam Ucapan Dasar Muktamat Tahun 1994 berjudul "'ULAMAK : TERAS KEPIMPINAN UMMAH" ada membuat gesaan berikut:

"'Ulamak adalah pewaris nabi-nabi. Justeru itu 'ulamak adalah golongan terpenting dalam mempertahankan Islam dan maruahnya."