About Me

My photo
Anak Bapak Al-Banjary Al-Asya'iry As-Syafi'iy, Dilahirkan pada tanggal 1hb Januari 1983 di Kg Parit Satu Sungai Sireh, Tanjong Karang, Selangor Darul Ehsan, seorang Melayu berketurunan Banjar suku Alai, Kini bersama PAS Kawasan Tanjong Karang berjuang menegakkan Islam di atas muka bumi Allah sebagai amanah dan tanggungjawab dari-Nya.. ..terima kasih atas sokongan anda.. Takbirr..ALLAHUAKBAR..!!!

Monday, June 8, 2009

KERTAS KERJA : MEMPERKUKUHAKN KEPIMPINAN 'ULAMAK

Sempena Sambutan Jubli Perak Kepimpinan Ulamak
28 Jamadilawal 1430 / 23 Mei 2009
Dewan Dato' Fadzil Noor, Markaz Tarbiyah PAS,
Taman Melewar, Kuala Lumpur.

Di bentang oleh : Prof. Dr. Haron Din (Timbalan Mursyidul 'Am PAS )

1.0 PENDAHULUAN

Kepimpinan adalah suatu perkara yang penting di dalam masyarakat manusia, justeru kepimpinan yang baik boleh membawa mereka kepada kebaikan dan kepimpinan yang buruk boleh membawa mereka kepada keburukan.

Islam adalah agama yang sangat menitikberatkan soal kepimpinan sebagaimana yang dapat dilihat di dalam sejarah Islam, bukan sahaja bermula pada zaman Nabi kita Muhammad S.A.W, tetapi sudah bermula sejak sekian lama.

Persoalan realiti, keperluan, perlaksanaan, penghayatan kepimpinan menurut garis panduan Islam sangat penting untuk dibincangkan dalam konteks perlaksanaannya di dalam gerakan Islam, khususnya PAS pada hari ini.

Kemenangan PAS dan perkembangan positif oarti tersebut menjadikan cabaran yang dihadapi oleh parti semakin besar, terutama cabaran dalaman apabila kebanjiran ahli-ahli baru yang akhirnya boleh mencorakkann hala tuju PAS itu sendiri.

Kertas kerja ini akan mengupas tentang realiti Kepimpinan 'Ulamak, sumber atau penggagasannya, kepentingan serta prlaksanaannya pada vrealitinya bersesuaian dengan kehendak asal Islam itu sendiri.


2.0 GAGASAN KEPIMPINAN 'ULAMAK

Persoalan yang pertama dilontarkan di sini ialah, siapakah yang menggagasakan kepimpinan 'ulamak?

Apabila kita mengkaji secara halus dan mendalam, kita dapati kepimpinan 'ulamak bukanlah idea dari 'ulamak, pemuda atau golongan tertentu dalam parti, tetapi asal mata air kepimpinan 'ulamak ini adalah gagasan daripada Islam itu sendiri.

Bagi yang beranggapan bahawa kepimpinan 'ulamak adalah gagasan golongan tertentu di dalam parti adalah tanggapan yang salah justeru kita dapat melihatnya dengan jelas melalui realiti rasul-rasul, sirah Rasulullah S.A.W dan perbahasan hukum kepimpinan dan perlantikannya di dalam kitab-kitab feqah. Ksemuanya menjurus kepada peri pentingnya kepimpinan 'ulamak.

3.0 REALITI RASUL-RASUL

Rasul-rasul yang dimaksudkan ialah manusia yang wajib menyampaikan wahyu yang diterimanya daripada Allah justeru tugas penyampaian wahyu iman ini adalah tugas wajib diteruskan oleh umat Nabi Muhammad S.A.W. ianya berlainan dengan Nabi-Nabi yang tidak wajib menyampaikan wahyu yang diterimanya daripada Allah seperti Nabi Khaidir 'Alaihissalam.

Menyampaikan wahyu di sini dalam erti kata yang lebih mudah difahami ialah menegakkan agama Allah di muka bumi. Ini bukanlah bermakna Nabi tidak wajib menegakkan agama, tetapi kebiasaannya nabi diutuskan di zaman wahyu sudah tertegak seperti nabi Khaidir yang sezaman dengan Nabi Musa a.s.

Realiti 25 Rasul-rasul yang disenaraikan dan diceritakan secara terperinci oleh Al-Qur'an dan Sunnah Rasulullah S.A.W mereka adalah pemimpin-pemimpin utama negara yang memimoin politik umat manusia di zamannya.

Nabi S.A.W bersabda mafhumnya ;

" Nabi-Nabi adalah politik pemimpin-pemimpin Bani Israel "

Kebanyakan Rasul-rasul terdahulu bukan sahaja menjadi pemimpin biasa, tetapi menjadi pemimpin nombor satu negara. Antara Rasul-Rasul yang menjadi pemimpin nombor satu negara ialah Nabi Sulaiman dan Nabi daud a.s yang memerintah Palestin, Nabi Musa selepas menjatuhkan Fir'aun di Mesir, Nabi-Nabi yang terlebih dahulu termasuk Nabi Adam a.s, Nabi Nuh dan lain-lain.

Di sana terdapatNabi yang memimpin sekalipun bukan menjadi pemimpin nombor satu seperti Nabi yusuf a.s.

Tuntasnya, Rasul-Rasul yang diceritakan secara terperinci oleh Al-Qur'an Al-Karim adalah pemimpin-pemimpin politik umat di zamannya, dan bukan menjadi penasihat suci sebagaimana peranan pendeta agama dalam gambaran-gambaran sejarah barat.

Pemimpin-pemimpin politik bermaksud, secara langsung menjadi pencorak kepada kepimpinan negara dan mempunyai kuasa menentukan, bukan sebagai penasihat yang hanya berkuasa menasihati tanpa kuasa pemutus. Jika nabi-nabi tidak boleh berbuat demikian, atau tidak dihalang berbuat demikian, mereka akan menjadi pemimpin pembangkang sebagaimana Nabi Ibrahim, Yahya, Zakaria, Nabi 'Isa dan lain-lain.

Sebahagiam Nabi-Nabi yang lain tidak diperincikan kedudukannya dalam pemerintahan justeru gambaran pemerintahan di zamannya agak kurang terperinci. Justeru itu, ianya tidak boleh di ambil pengajaran kerana kekurangan maklumat berkaitannya.


4.0 RASULULLAH S.A.W ADALAH PEMIMPIN

Rasulullah S.A.W adalah rasul terakhir yang diutuskan oleh Allah S.W.T yang tiada lagi rasul selepasnya. Segala tutur katanya, perbuatan dan ikrar Baginda rasul S.A.W adalah dianggap sebagai sumber pensyari'atan bagi umat beriman akhir zaman.

Kehidupan dan cara hidup Rasulullah S.A.W menjadi tauladan terbaik bagi golongan beriman.

Firman Allah yang bermaksud ;

"Adalah bagi kamu pada diri Rasulullah S.A.W itu contoh terbaik"

Antara tauladan yang terpenting ialah, rasulullah S.A.W adalah ketua politik sama ada sebelum hijrah ketika menentang pemerintahan Quraysh di Makkah dan selepas hijrah ketika menjadi ketua negara menerajui negara Madinah Al-Munawwarah.

Inilah Rasullullah, menjadi penerus kepada Nabi-Nabi terdahulu yang bukan sahaja menjadi pemimpin 'ibadat tetapi mereka adalah pemimpin politik.

Rasulullah bukan penasihat politik sebagaimana rasul-rasul terdahulu bukan menjadi penasihat politik, mereka adalah pemimpin politik dalam erti kata pemutus kepada hala tuju organisasi Islam, menentukan mana yang boleh dan mana yang tidak boleh, dan mereka bukannya menjadi penasihat yang bersifat pemberitahu tetapi tidak mempunyai kuasa dan autoriti menyuruh dan melarang.


5.0 KEPIMPINAN KHULAFA' AR-RASYIDIN ADALAH DI KALANGAN 'ULAMAK SABAHAT

Selepas wafatnya Rasulullah S.A.W, maka tiada lagi nabi selepasnya. Maka yang menjadi galang ganti kepada tugasan Bainda S.A.W sebagai pemimpin politik atau pemimpin organisasi umat Islam ialah golongan 'Ulamak. Ini kerana mereka adalah pewaris Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul a.s.

Rasulullah S.A.W bersabda mafhumnya ;

" Sesungguhnya 'Ulamak itu adalah pewaris para Nabi "

Bagi mencapai maksud perlaksanaan perintah Allah S.W.T, pemegang kepada amanah ilmu samawi, atau dengan kata lain mereka-mereka yang memahami wahyu samawi adalah golongan yang utama memegang tampuk pemerintahan dan ketua organisasi Islam.

Di zaman Nabi-Nabi dan Rasul-rasul, mereka adalah yang utama untuk memegang amanah tersebut sebagaimana yang ditunjukkan di atas.

Di zaman ketiadaan nabi, maka golongan mewarisi ilmu tersebut adalah golonga yang utama memgang dan menerajui organisasi umat islam. Sabda Nabi S.A.W yang bermaksud ;

" Sesungguhnya nabi-nabi tidak mewariskan dinar dan dirham, tetapi mereka mewariskan ilmu."

Oleh itu, yang memegang teraju pemerintahan di zaman Rasulullah S.A.W ialah di kalangan fuqaha' as-sohabah, iaitu sahabat Nabi yang memahami hukum-hakam yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W.

Di sana ada sahabat yang pakar dalam peperangan, ada sahabat yang pakar dalam bidang pembuatan, ada sahabat yang pakar dalam perniagaan, ada sahabat yang pakar dalam pembinaan. Tetapi yang terpilih menjadi pemimpin di zaman khulafa' ar-rasyididn ialah sahabat yang pakar dalam hukum-hakam yang digelar sebagai fuqoha' as-sohabah.

Sememangnya sahabat Khulafa' Ar-Rasyidin berdamping dengan nabi dalam tempoh yang lama seperti sayyidina Abu Bakar yang merupakan khalifah pertama, tetapi perlantikan mereka sebagai khalifah selepas itu bukan atas dasar tersebut, tetapi atas dasar ke'ulamak'kannya atau keilmuannya tentang hasil daripada perdampingan mereka dengan Nabi Muhammad S.A.W yang akhirnya menjadikan mereka lebih memahami daripada sahabat yang lain yang tidak berdampingan.

selain daripada sahabat yang sebahagian besar 'ulamak mengletegorikannya sebagai khulafa' ar-rasyidin yang boleh menjadi sumber penghujahan syari'at ialah 'Umar Bin 'Abdul Aziz. Sekalipun beliau bukan kalangan sahabat, tetapi beliau adalah di kalangan di zaman tabi'iin. Umar Bin Abdul 'Aziz yang terkenal dengan keadilan dan pemerintah yang baik yang membawa kepada pembangunan besar kepada negara Islam adalah seorang dari fuqoha' atau 'ulamak justeru banyak ijtihad-ijtihad hukum beliau dijadikan rujukan oleh imam-imam mazhab yang datang kemudian.

Kepentingan ilmu agama di dalam memenuhi pra-syarat menjadi pemimpin organisasi Islam jelas tergambar melalui kata-kata sayyidina 'Umat Al-Khattab maksudnya ;

" Dalamilah ilmu agama sebelum kamu dilantik menjadi pemimpin "


6.0 'ULAMAK ADALAH PEMERINTAH TERTINGGI

Daripada sejarah RAsul-rasul, teladan Nabi kita Muhammad S.A.W dan teladan daripada khulafa' ar-rasyidin menunjukkan bahawa pemimpin-pemimpin orgnisasi golongan beriman adalah golongan yang mengetahui agama atau diistilahkan sebagai 'ulamak tau fuqaha'.

Rasul-rasul terutamanya Nabi Kita Muhammad S.A.W sememangnya menjadi hujah yang cukup kuat untuk para imam-imam mazhab dan fuqaha' selepas zaman sahabat menjadikan sebagai sumber bagi meletakkan syarat pengetahuan agama sebagai pa-syarat penting yang ada pada seseorang pemerintah Islam.

Di samping itu, realiti para fuqaha' atau dengan istilah lain sahabat yang 'ulamak di zaman khulafa' ar-rasyidin juga menjadi sumber kepada imam-iman mazhab dan dan fuqaha' selepas zaman sahabat bagi meletakkan syarat pengetahuan agama sebagai pra-syarat penting yang ada pada seseorang pemerintah Islam berdasarkan sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud ;

" Kamu mesti berpegang dengan sunnahku dan sunnah khulafa' ar-rasyidin."

Oleh itu, ketika membicarakan syarat pemerintah dan pemimpin, boleh dikatakan semua mazhab dan semua imam meletakkan ilmu dan kefahaman agama sebagai pra-syarat penting seseorang pemimpin Islam.

Disamping faktor ilmu yang boleh membentuk keperibadian yang baik, faktor yang lebih utama daripada itu ialah faktor memastikan hala tuju negara Islam dan gerakan Islam di kedudukan selari dengan kehendak wahyu ilahi. Bagi mencapai tujuan tersebut, kefahaman mereka terhadap maksud dan kehendak wahyu menjadikan mereka golongan berkelayakan memegang tampuk tersebut.

Selain daripada amalan rasul-rasul dan khulafa' ar-rasyidin tidak boleh menjadi hujah tentang keutamaan bukan 'Ulamak menjadi pemimpin.

Kedapatan Kahlifah di dalam kerajaan islam Umawiyyah, 'Abbasiyyah dan 'Uthmaniyyah di kalangan bukan 'ulamak tidak boleh dijadikan hujah tentang sifat-sifat keutamaan pemimpin Islam bagi merungkaikan atau membatalkan atau mentakwilkan apa yang telah digariskan oleh kitab-kitab feqah tentang syarat-syarat seorang pemimpin umat Islam. Justeru selain Al-Qur'an dan As-Sunnah, sumber dan panduan syari'at ialah perlaksanaan Rasul terdahulu, Sunnah rasulullah S.A.W sendiri dan perlaksanaan khulafa' ar-rasyidin.

Justeru itu kita tidak boleh merujuk kepada individu kahlifah yang bukan 'ulamak di dalam pemerintahan Umawiyyah, 'Abbasiyyah dan 'Uthmaniyyah untuk mengatakan bahawa 'Ulamak tidak semestinya menjadi pemerintah.

Apatah lagi untuk kita menjadikan perlaksanaan gerakan sekarang seperti Ikhwanul Muslimin dan lain-lain adalah sandaran tidak semestinya 'ulamak menjadi pemimpin gerakan Islam.

Ini kerana panduan dalam gerakan Islam ialah sumber hukum itu sendiri, bukan realiti umat islam yang kita kagumi.


7.0 'ULAMAK ADALAH SYARAT TERPENTING KEPIMPINAN


Daripada sumber syari'at dan realiti rasul-rasul dan khulafa' ar-rasyididn yang dinyatakan di atas, 'Ulamak-'Ulamak menyebut syarat pengetahuan agama sehingga membolehkan seseorang berijtihad adalah syarat utama kelayakan seseorang menjadi pemerintah Islam.

Imam Sayuti contohnya menyebut di dalam kitab Al-Ahkam As-Sultaniyyah maksudnya ;

"Syarat kedua ( daripada syarat-syarat pemimpin ) ialah ilmu yang boleh membawa kepada berijtihad dalam perkara semasa dan hukum-hukum."

Prof. Dr. Wahbah Az-Zuhaili di dalab Fiqhul Islami menggambarkan kesimpulan kesepakatan 'ulamak tentang syarat 'alim atau 'Ulamak sebagai pemerintah, beliau berkata;

" Dimaksudkan Ilmu yang mencukupi (sebagai syarat menjadi pemimpin) ialah orang-orang yang mempunyai pengetahuan yang boleh membawa ijtihad dalam perkara segera yang berkait dengan perkara semasa dan beristinbat dengan hukum syari'at dan lainnya berkenaan hal ehwal politik sebagaimana perintah syariat. Syarat ini adalah syarat yang disepakati 'ulamak. seseorang tidak dianggap 'alim dan mampu berijtihad melainkan apabila ia mengetahui hukum hakam syari'at, cara-cara istinbat daripada empat sumber syari'at iaitu Al-Qur'an, As-Sunnah, Ijma' dan Qias. Ia juga mesti mengetahui hal ehwal semasa dan apa-apa perubahan yang berlaku serta perkembangan politik, ekonomi kesyarakatan dan kebudayaan."

Hatta jika kita melihat kepada hadith Rasulullah S.A.W, bahawa yang terpilih di zaman jahiliyyah juga terpilih di zaman Islam tetapi dengan syarat ianya mestilah seorang faqih atau faham.

Sabda NAbi S.A.W :

Maksudnya : " Yang terpilih di zaman jahiliyyah juga terpilih di zaman islam apabila dia faqih atau faham."


8.0 KEPIMPINAN 'ULAMAK WASILAH PERLAKSANAAN HUKUM ISLAM

Daripada perbincangan di atas, dapat disimpulakn bahawa kepiminan 'ulamak adalah wasilah bagi melaksanakan hukum Islam justeru di sebalik perjuangan Islam ialah menegakkan hukum hakam Islam.

Sekalipun ianya adalah wasilah bagi perlaksanaan hukum Islam, ia tidak bererti syarat 'ulamak boleh dirungkaikan atau dibuang daripada syarat kepimpinan pada masa sekarang kerana kita berpandangan perlaksanaan hukum Islam boleh dilaksanakan dengan melantik penasihat di kalangan 'ulamak.

Apabila syarat itu mempunyai nas dan sandaran daripada islam itu sendiri sekalipun ia wasilah, perlaksanaannya tetap menjadi tuntutan dan tidak boleh dirungkaikan sekalipun diraskan matlamat boleh dicapai tanpanya. Sebagaimana memperbanyakkan kutipan zakat adalah wasilah untuk membantu golongan yang memerlukan, dan apabila harta zakat suadh banyak terkumpul dan orang yang memerlukan sudah terbela, zakat tetap diwajibkan dan tidak boleh dirungkaikan atau dihapuskan kewajiban justeru matlamat sudah tercapai. Ini kerana, wasilah ini sendiri dinaskan tuntutannya sebagai syarat 'ulamak juga dinaskan tuntutannya.


9.0 MELAKSANAKAN ISLAM TANPA 'ULAMAK SEBAGAI KUASA PENENTU ADALAH SESUATU YANG HAMPIR MUSTAHIL.

Adalah hampir mustahil sesuatu organisasi Islam boleh melaksanakan Islam tanpa mendapat garis panduan daripada 'ulamak.

Jika panduan 'Ulamak dianggap sebagai nasihat yang boleh diterima dan ditolak, disini pada kebanyakan keadaan akan mewujudkan pertembungan antara 'ulamak dan pemimpin sebagaimana yang berlaku di antara Hajjaj Bin Yusof dan Imam Said Al-Musayyab, antara Sultan Zaher Bebros dan Imam Nawawi dan lain-lain pertembungan.

Pernah terjadi helah di zaman bani israel, di mana golongan Al-Mala' atau pembesar-pembesar Bani Israel memohon semoga Allah melantik seorang pemimpin yang boleh memimpin mereka dalam peperangan. Akhirnya Allah perkenankan melaluilidah Nabi Syam'un bahawa Allah melantik Talut menjadi pemimpin.

Pembesar-pembesar ini pada peringkat awal menjangkakan Allah akan melantik salah seorang di kalangan mereka untuk menjadi pemimpin disebabkan mereka kaya dan bangsawan. Perasaan Hubbu Ar-Risalah inilah yang menjadikan pembesar-pembesar ini merasakan tidak senang dengan perlantikan Talut yang menyebabkan peluang mereka menjadi pemimpin tertututp sama sekali.

Tetapi golongan pembesar ini tidak boleh menolak lantikan Allah sebab masyarakat Bani Israel beriman kepada perintah Allah. Apabila mereka berkata : Kami tidak bersetuju dengan lantikan Allah kesannya Bani Israel akan menolak mereka.

Syam'un sebagai nabi yang memahami maksud wahyu menyatakan bahawa Allah melantik Talut menjdi pemimpin disebabkan jasad yang kuat dan ilmunya banyak. Akhirnya Allah membuktikan kepada kaum Bani Israel bahawa talut lantikan daripada Allah, bukan lantikan daripada Nabi Syam'un dengan menunjukkan kotak tabut yang berada di tangan musush terbang pergi kepada Talut dalam perhimpunan di sat padang.

Dalam ayat surah Al-Baqarah ayat 246-252 dapat disimpulkan bahawa, perlantikan Talut adalah disebabkan ke'alimannya dalam pelbagai sudut ilmu termasuk keilmuan tentang hukum kitab Taurat dan perlantikan Talut ini disampaikan atau diendorsekan oleh seorang tahu wahyu iaitu Nabi Syam'un.

Tetapi golongan pembesar yang sebenarnya mempunyai keinginan untuk menjadi pemimpin menolak perintah perlantikan daripada Allah S.W.T dengan alasan ini adalah lantikan daripada Talut, bukan Allah S.W.T.

Kita perlu membimbangi tanpa ada su'uzzhan ( sangka buruk )kepada sesiapa bahawa golongan ini juga boleh ada di dalam gerakan kita dengan berhelahkan kepimpinan 'ulamak boleh ditolak dan dipertikaikan kerana ianya gagasan dan idea ciptaan golongan 'ulamak, bukan idea daripada Islam itu sendiri guna menafikan kepimpinan mesti 'ulamak justeru mereka bukanlah 'ulamak.

Sekalipun PAS bukanlah parti yang memerintah negara, tetapi realiti politik semasa pada hari ini memerlukan PAS dipimpin oleh 'ulamak bagi memastikan pergerakan, dasar pelaksanaan, keputusan-keputusan segera selari dengan kehendak Islam terutama siyasah syar'iyyah.


10.0 PELUANG MENJADI PEMERINTAH DI KALANGAN SELAIN 'ULAMAK

Selepas kita dapat melihat dengan jelas, bahawa 'ulamak bukan digagaskan oleh mana-mana pihak dalam parti tetapi digagaskan oleh Islam itu sendiri.

Justeru itu, kita mestilah memastikan yang dilantik menjadi pemimpin adalah dikalangan 'ulamak.

Dari sini, timbul beberapa isu seperti golongan bukan 'ulamak tidak diberikan peluang kemuliaan untuk berkhidmat menjadi pemerintah tertinggi gerakan Islam.

Persoalan seperti ini sebenarnya timbul hasil dan akibat daripada tidak memahami atau tidak merujuk kepada fundamental atau asas utama penglibatan diri dengan gerakan Islam.Di mana pentarbiyahan Islam yang diajarkan oleh nabi S.A.W adalah :

10.1 Pengkat dan kedudukan bukan satu kemuliaan sebagaimana hadith Nabai S.A.W yang bermaksud :

"(kepimpinan) ia adalah suatu amanah. Sesungguhnya kepimpinan itu pada hari kiamat kelak suatu kehinaan dan penyesalan. Kecuali orang yang mengambil dengan haknya."

Justeru itu, tidak ada istilah dalam gerakan Islam : tidak diberikan peluang mendapat kemuliaan untuk berkhidmat di peringkat tertinggi.

10.2 Memegang jawatan apabila perlu dan bukan mengambil sikap meminta jawatan. Sabda Nabi S.A.W kepada dua orang sahabat yang meminta jawatan sebagai gabenor di Yaman yang bermaksud :

" Kami tidak akan melantik orang yang mahukan jawatan bagi melaksanakan tugas-tugas ( pemerintahan ) kami."

10.3 Kita ditarbiyyah dengan bersyukur apabila tidak diberikan amanah kepimpinan yang berat. Ini tidak bermakna kita lari daripada jawatan tanpa menhiraukan siapa yang akan menyandangnya. Oleh itu barang siapa merasakan sedih, hiba dan rendah diri apabila tidak dilantik merupakan orang yang sedang diuji oleh Allah. Ujian itu aada kemaslahatannya.


11.0 DAYA TAHAN DAN DAYA MAJU DALAM PEMERINTAHAN 'ULAMAK


Pemerintah-pemerintah Islam dari kalangan fuqaha' yanng 'alim agama membuktikan pemerintahan mereka maju dan berkembang berbanding pemerintahan golongan yang berfikiran politik semata-mata. contohnya seperti pemerintahan 'Umar Bin Abdul Aziz, pemerintahan Sultan Muhammad Al-Fateh yang membuka kota costantinapole.

Jarang yang kita menyedari bahawa Sultan Muhammad Al-Fateh adalah seorang 'ulamak yang agung justeru guru-guru kepada beliau sedari kecil adalah 'ulamak-'ulamak yang muktabar di zamannya. Beliau adalah seorang yang menghafaz Al-Qur'an dan mempelajari serta mahir berkaitan hukum empat mazhab.

Di dalam sejarah PAS sendiri, kepimpinan 'ulamak yang sudah sekian lama menyaksikan PAS dapat berhadapan dengan arus semasa sehingga PAS dapat bertahan dan berkembang dari masa ke semasa. Dalam sejarah PAS pernah menyaksikan teraju pemerintahan PAS dipegang oleh bukan 'ulamak sehingga menyaksikan zaman kelam-kabut yang berlaku di dalam PAS.


12.0 PERLAKSANAAN KEPIMPINAN 'ULAMAK DI DALAM PAS : SEJARAH, REALITI DAN CABARAN.

Sama ada sedar atau tidak, sama ada terdapat dalam perlembagaan atau tidak PAS sebenarnya ditadbir, dipimpin oleh golongan 'ulamak sejak dari awal penubuhannya. Pengalaman ini jika dilihat adalah titik tolak daripada kefahaman perjuangan Islam yang disambung daripada perjuangan terdahulu yang sumber asalnya adalah daripada perjuangan Rasulullah S.A.W.

Sekalipun pernah berlaku kepimpinan di dalam PAS oleh golongan bukan 'ulamak pada tahun 70an, tetapi kesan daripada krisis dalaman yang berlaku di era tersebut akhirnya dilihat PAS perlu dikembalikan kepada kepimpinan 'ulamak secara rasmi. Justeru itu, dalam muktamar PAS pada 28 Oktober 1982 di Dewan Bahasa dan Pustaka dengan rasmi mengumumkan peri pentingnya kepimpinan 'ulamak dalam PAS.

Selaras dengan mesyuarat Syura 'Ulamak yang bersidang pada 10 mei 2009 di Pejabat Agung PAS yang dihadiri oleh seluruh Ahli Majlis Syura (kecuali seorang sahaja kerana keuzuran ) telah membuat keputusan sebulat suara iaitu;

"..buat masa ini, Majlis Syura 'Ulamak PAS menyarankan kepada kebijaksanaan para perwakilan Muktamar, untuk memilih pucuk pimpinan parti seperti yang telah diputuskan dalam Muktamar 28 Oktober 1982 dahulu iaitu PAS mengamalkan dasar kepimpinan 'ulamak.."


13.0 CADANGAN BEBERPA PELAKSANAAN

Akibat kebanjiran masyarakat menyertai PAS dan PAS sendiri semakin menggugat kedudukan kerjaan pada hari ini, menjadikan PAS satu wadah yang cukup diminati oleh mereka yang inginkan keadilan dan tidak mustahil oleh mereka yang memusuhi PAS itu sendiri.

Oleh itu saya mencadangkan beberapa perkara berikut :

13.1 menerapkan perlantikan kepimpinan PAS berdasarkan perlantikan kepimpinan sebagaimana kitab feqah.

Sistem perlantikan pada hari ini ditentukan oleh majoriti yang diambil secara bulat-bulat daripada sistem demokrasi tanpa terdapat kaedah tersendiri yang kuat boleh menjadikan PAS boleh dikuasai oleh musush Islam daripada luar kerana :

13.1.1 Sesiapa sahaja di kalangan ahli PAS layak bertanding diperingkat tertinggi sebagaimana yang digariskan oleh perlembagaan. Ini menjadikan musuh dalam yang dirancang oleh musush luaran berpeluang menduduki tampuk kepimpinan tertinggi parti.

13.1.2 Keahlian PAS boleh menerima sesiapa sahaja yang Islam dan mereka adalah penentu kepada kepimpinan PAS itu sendiri. Ini akan membuka peluang besar kepada UMNO atau musuh luar negara untuk meramaikan ahli PAS bagi tujuan mempengaruhi pemilihan PAS atau memenangkan musuh Islam yang sedang berada di dalam. Sehingga kini kita tidak mempunyai mekanisme khusus bagi dijadikan perisai menghadapi musuh kerana strategi ini dilakukan oleh Amerika syarikat di dalam organisasi Islam di peringkat dunia.

13.1.3 Faktor kemenangan dalam pemilihan parti ialah kekerapan liputan dalam akhbar parti seperti Harakah dan Siasah atau media-media lain. Justeru itu, musuh berpeluang besar mempromosikan individu-individu tajaan mereka bagi mendapatkan kemenangan dalam pertandingan parti.

Justeru itu, sudah samapi masanya PAS perlu meletakkan satu garisan yang jelas cara perlantikan berdasarkan perlantikan kepimpinan kerana dalam kitab-kitab feqah menjelaskan sejelas-jelasnya bahawa :

a) Pemimpin tertinggi mestilah 'ulamak. Dalam konteks ini perlu difikirkan manakah portfolio penting yang mesti dipegang oleh 'ulamak.

b) Pengesahan jawatan pemimpin juga dilakukan oleh 'ulamak. Ini jelas melalui perbincangan syarat Ahlul Halli Wa Al-'Aqdi dan syarat Ahlul-Ikhtiar. Dalam konteks PAS, perlu dibuat pembaharuan kepada :

i) Calon-calon pemilihan PAS : calon-calon ini perlu disemak kelayakan oleh Majlis Syura 'Ulamak sebagaimana semakan calon pilihanraya.

ii) Endorsement Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang dilantik dalam muktamar : Calon-calon yang dilantik dalam muktamar hanya valid atau sah secara rasmi selepas mendapat endorsement atau kelulusan rasmi daripada Majlis Syura.

c) Meletakkan syarat kelayakan mereka yang bertanding di dalam pemilihan PAS berpandukan kepada portfolia yang ditandingi. Kelayakan (qualification) ini bukan direka oleh 'Ulamak atau Majlis Syura 'Ulamak, tetapi ia mestilah diadaptasikan daripada syarat kelayakan yang digariskan di dalam kitab feqah supaya syarat kelayakan ini tidak dituduh bias kepada mana-mana pihak.


13.2 Menerangkan maksud 'ulamak yang layak memegang jawatan.

Apabila isu kepimpinan 'Ulamak berbangkit, ramai yang telah mula mencuba mentafsirkan maksud dan erti 'ulamak yang layak memimpin.

Pada hari ini, banyak pihak cuba membuat tafsiran terhadap maksud 'ulamak yanng layak memimpin. Yang paling banyak ialah blogger-blogger yang terdiri daripada pemerhati luar atau ahli PAS di pinggiran.

Mereka ini mempunyai pengaruh tersendiri terhadap pemikiran ahli PAS yang akhirnya menjadikan ahli PAS yang bersetuju dengan perlunya kepimpinan 'Ulamak silap melaksanakan maksud kepimpinan 'ulamak.

Pada hari ini sudah timbul tafsiran bahawa sesiapa sahaja boleh jadi 'ulamak asalkan dia ada kepakaran (specialist) dalam bidang tertentu, ada pula berpendapat 'ulamak ialah 'ulamak yang bertaqwa sahaja dan sebagainya.

Mereka mentafsirkan erti 'ulamak mengikut fahaman dan kecenderungan mereka tersendiri. Di sini akan mendedahkan hala tuju kepimpinan PAS dibentuk oleh fahaman-fahaman pelbagai yang akhirnya mencorakkan kepimpinan PAS itu sendiri.

Adalah tidak seyugia apabila Al-Qur'an memerintahkan sesuatu hukum, kemudian ayat berkaitan hukum itu ditafsirkan oleh kehendak dan kefahaman ramai, bukan ditafsirkan oleh kehendak Al-Qur'an itu sendiri.

Contohnya, apabila seseorang berkata l saya percaya dan berpegang makan bangkai itu adalah haram dan saya akan menjauhinya. Kemudian ia menafsirkan maksud dan makna bangkai menurut kefahaman 'urufnya tersendiri, iaitu bangkai yang diharamkan ialah binatang yang mati busuk ditepi jalan. Penafsiran maksud bangkai dibuat tanpa merujuk kepada maksud sebenar bangkai dalam aat tersebut menjadikannya berpandangan bahawa ayam yang tidak disembelih boleh dimakan sebab ia bukan bangkai menurut definasi 'uruf yang difahaminya.

Justeru itu, tidak mustahil akan ada golongan yang memahaminya bahawa pentingnya kepimpinan 'ulamak, tetapi berpandangan bahawa sesiapa sahaja yang ada kepakaran (specialist) boleh menjadi 'ulamak yang menerajui PAS.


14.0 PENUTUP


Kesimpulan daripada perbincangan kertas kerja ini ialah :

14.1 Kepimpinan 'Ulamak bukan gagasan atau idea mana-mana pihak, tetapi ia adalah idea daripada islam itu sendiri.

14.2 kepimpinan 'ulamak penting di dalam perjuangan Islam kerana ia adalah instrument atau alat teknikal yang mematikan perlaksanaan Islam.

14.3 Perjuangan Islam yang pemimpinnya bukan dari kalangan 'ulamak berada di satu lembah, kemudian 'ulamak pla menjadi penasihat yang tidak berautoriti berada di satu lembah yang lain, maka realiti ini boleh mengundang krisis dalaman yang teruk di dalam parti itu sendiri.

14.4 Perlu melakukan beberapa tindakan drastik segera iaitu ;

14.4.1 Menerangkan dengan menganjurkan penerangan berkenaan kepimpinan 'Ulamak.

14.4.2 Menerangkan keputusan muktamad (binding decision) berkenaan teknikal pemilihan parti yang boleh memastikan terlaksana kepimpinan 'ulamak sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam. Cadangan ini termasuklah menetapkan portfolio-portfolio penting yang perlu dipegang oleh 'ulamak.

14.4.3 Membuat manual atau panduan kelayakan calon bertanding di dalam pemilihan parti.

14.4.4 Membuat pendefinasian atau pentakrifan rasmi maksud perkataan 'ulamak sebagaimana yang dikehendaki daripada maksud kepimpinan 'ulamak.


Sekian, Wassalam

Prof. Dato' Dr. Haron Din
Timbalan Mursyidul 'Am PAS

No comments: