About Me

My photo
Anak Bapak Al-Banjary Al-Asya'iry As-Syafi'iy, Dilahirkan pada tanggal 1hb Januari 1983 di Kg Parit Satu Sungai Sireh, Tanjong Karang, Selangor Darul Ehsan, seorang Melayu berketurunan Banjar suku Alai, Kini bersama PAS Kawasan Tanjong Karang berjuang menegakkan Islam di atas muka bumi Allah sebagai amanah dan tanggungjawab dari-Nya.. ..terima kasih atas sokongan anda.. Takbirr..ALLAHUAKBAR..!!!

Monday, June 22, 2009

TIDAK ADA LAGI BINCANG KERAJAAN PERPADUAN : PRESIDEN PAS

Sumber : http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=021376&Itemid=85

KUALA LUMPUR, 22 Jun - Majlis Presiden Pakatan Rakyat hari ini menegaskan pihaknya menolak sebarang usaha membentuk kerajaan perpaduan dengan Umno.

Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sendiri menyatakan, dalam isu Kerajaan Perpaduan, Umno telah menjalankan fitnah yang jahat dan dengan itu pihaknya bertegas tidak lagi mahu membincangkan pembentukan kerajaan tersebut.

Apa yang diusahakan sebelum ini disalah tafsir oleh kepimpinan Umno-BN untuk memfitnah PAS dan Pakatan Rakyat semata-mata memecahbelahkan hubungan pakatan, katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang media bersama Sekretariat Majlis Presiden Pakatan Rakyat di Bilik Ketua Pembangkang, Bangunan Parlimen hari ini.

Turut hadir ialah, Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim; Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub; Setiausaha Agung PAS, Dato' Mustafa Ali dan Dato' Seri Nizar Jamaluddin.

Sementara di pihak KeADILan, Presiden, Dato' Seri Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan, Dr Syed Husin Ali; Naib Presiden, Azmin Ali dan Sivarasa Rasiah; anggota MT KeADILan, Saifuddin Nasution, dan di pihak DAP pula, Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng; Dato' Ngeh Ko Ham.

Sementara itu, Anwar yang membacakan kenyataan mewakili Pakatan Rakyat menyebut, akatan Rakyat menolak pengwujudan kerajaan perpaduan.

"Semua parti dalam Pakatan Rakyat mengulangi komitmen untuk terus bersama memperkasakan Pakatan Rakyat bagi membentuk kerajaan persekutuan akan datang," katanya.

Majlis pimpinan Pakatan Rakyat menolak idea penubuhan kerajaan Perpaduan dengan Umno-BN, yang merupakan suatu fitnah dan tohmahan serta tindakan terdesak Umno mengugat kekuatan Pakatan Rakyat yang semakin mendapat dukungan rakyat, tegas Anwar.

Menyokong pandangan itu, Salahuddin Ayub pula menyatakan kenyataan tersebut sebenarnya adalah muktamad dan ini bermaka tidak akan ada lagi 'unity talk' dengan Umno.

Malah Salahuddin kelihatan gembira dengan perkembangan itu yang seterusnya dilihat akan membuatkan Umno kelemasan.

Seorang lagi Naib Presiden PAS, Mahfuz pula memberi analogi bahawa 'Umno kini kehilangan tabung oksigen' apabila isu kerajaan perpaduan ini telah ditamatkan dengan kenyataan pimpinan pakatan.

Kenyataan itu juga sebagai satu usaha menutup talian hayat yang ada pada Umno/BN yang selama ini mengucarkacirkan pakatan dnegan penyelewengan isu kerajaan perpaduan, ujarnya.

Wednesday, June 17, 2009

APAKAH ANGKARA KERJA-KERJA BODOH PEMBANTU-PEMBANTU dot dot dot...

Sekadar mengingat kembali tulisan Nik Abduh..

kerja – kerja bodoh dalam pas

Sumber : http://nikabduh.wordpress.com/2009/04/24/kerja-kerja-bodoh-dalam-pas/#comments

April 24, 2009 in PAS,

Salam Kamunting,

Di meja makan di bahagian dapur di rumah ayahanda yang saya masih kekal tinggal bersama sedari kelahiran dulu, selalulah saya bersembang dengan ayahanda pasal macam – macam hal kehidupan yang biasanya akan panas dan panjang bila ianya berulamkan politik dan perjuangan.

Terbaru saya lontarkan kepadanya hujahan para ulama daripada buku yang saya baca mengenai keabsahan seorang muslim untuk hadir dan turut sama menjawat dan memerintah di dalam sebuah kerajaan yang bukan Islam.

Saya sebutkan kepada ayahanda bagaimana para ulama mengambil bahagian cerita Nabi Yusuf alaihissalam menjawat jawatan sebagai menteri kewangan di dalam sebuah kerajaan syirik Mesir kuno sebagai hujah utama dan vital yang membenarkan penawaran untuk turut membantu pemerintahan bukan negara Islam.

Syarat terpenting yang menjadi pemutus ialah jemputan kepada jawatan itu mestilah dalam kemuliaan dan kekuatan. Mereka meminta dan kita berhak memutus, bukan mereka. Kemudian kita tidak diikat dengan syarat – syarat yang menghalang unsur keadilan Islam untuk ditegakkan. Masuk dengan kemuliaan sebagaimana Nabi Yusuf dijemput untuk turut mempersembahkan kebijaksanaan dan keadilannya ke atas rakyat dalam pemerintahan tersebut.


Saya kemukakan untuk memukaddimahkan perbincangan mengenai kerajaan Pakatan Rakyat dan Unity Government yang dicadangkan sebagai alternatif kepada kerajaan BN hari ini sedang merasai kepedihan dihimpit kemarahan rakyat yang melata.

Saya memberanikan untuk berhujah bahawa samada BN atau Pakatan Rakyat, kedua – duanya bukan daripada jenis negara Islam. Maka menerima kerajaan mana pun, hujahnya ada dan hujah itu terpakai dengan syarat ketat sebagaimana yang digariskan ugama tersebut.

Selamba saja ayahanda memberi komen. “Ya, jika BN mahu kita bersama, mereka mestilah bersedia memberikan kita jawatan – jawatan yang penting yang kita akan laksanakan program Islam di dalamnya. Berikan Kementerian Kewangan dan Kementerian Pendidikan misalnya. Kita nak jadi PM mesti mereka tak terima. Jadi kita minta apa yang penting untuk kepentingan rakyat dan negara. Kita boleh bersama.”

Saya memiliki banyak cerita menarik di sebalik apa yang anda tahu mengenai ayahanda. Komennya di atas bukankah mencetuskan persoalan ini di benak anda, bukankah Tok Guru lantang menolak Unity Government? Bukankah Tok Guru berang dengan cadangan Tuan Guru Hj Hadi ini?

Biar saya bagitahu anda, ayahanda hidup dengan hujah. Itulah makanan berkhasiat yang memanjang dan memberkati umurnya. Bila hujah ugama itu ada, bagaimana ayahanda akan tolak mentah – mentah?

Justeru fahami ini bahawa ‘Unity Government’ yang ditolak ayahanda adalah jenis kerajaan yang difahamkan kepadanya oleh pembantu – pembantu ayahanda yang berpakaian serba tahu. Mereka seronok untuk melaga -lagakan di antara TGNA dan TGHH.

Mereka menyangka mereka telah melakukan kebaikan, sedang telah sesatlah segala usaha mereka di sisi tuhan. Semoga Allah membalasi mereka dengan kejahatan yang mereka lakukan!

Bukankah anda dapat lihat bagaimana semacam ayahanda menghentam ‘kerajaan campuran’ bukan unity Government? Bukankah selepas pertemuan kurang sepuluh mata bersama TGHH, ayahanda tidak lagi menyerang. Ertinya sesuatu yang baru dan meyakinkan telah diperolehinya daripada TGHH. Itulah yang disembunyikan secara sengaja daripadanya.

Di mana pergi pembantu – pembantu ayahanda yang sesat pekerjaan mereka itu di sisi tuhan!? Semoga Allah melaga- lagakan di antara mereka pula di dunia ini agar mereka segera bertaubat!

Modus Operandinya sama. Selepas pertemuan ayahanda dengan ulama PAS di JKR 10 beberapa bulan lepas, ayahanda menerima muzakarah atau muqabalah selepas bermatian menolaknya. Saya diberitahu daripada sumber yang diyakini, sesetengah pembantu ayahanda ini menyumpah seranah kerana kegagalan mereka mengekalkan ayahanda dalam suasana keruh dan panas dengan TGHH. Mereka gagal selepas mereka yakin berjaya. Allah menggagalkan usaha jahat mereka.

Ayahanda seorang yang hebat. Antara kehebatannya adalah ‘husnuzhan’ dengan semua orang. Semua orang boleh hidup di sekelilingnya. Pembantu, pengampu, pencacai dan sesiapa pun. Tolak babi dan anjing! Tuhan membalas atas pekerjaan masing – masing.

Adapun penghormatan ayahanda terhadap TGHH, maka ia adalah penghormatan yang gagal diperolehi kecuali oleh para ulama. Ayahanda sering memuji TGHH. Saya pernah mendengarnya menakjubi ucapan TGHH di Parlimen yang dibacanya di dalam Harakah sedang masa itu suasana panas isu muzakarah masih memuncak. Sesetengah pembantu ayahanda merasa iri dan hasad selepas penghormatan itu gagal menempati diri mereka.

Bagaimana mereka akan memperolehinya, sedang mereka hanya belajar ugama sekadar ‘mi celup’, lalu mendakwa mereka pun ulama juga dengan istilah – istilah ugama yang dihafal, bukan difaqihi?

Dunia ulama adalah penuh disiplin. Taqwa adalah disiplin terbaik. Taqwa adalah milik ulama, bukan milik orang yang mengaku ulama atau ulama mini sekali pun. Kita tidak mampu merebutinya kerana ia adalah kurniaan khas daripada Allah. Kita hanya mampu meminta daripadaNya.

Menghampiri proses pemilihan menjelang Muktamar PAS nanti, anda sedang menyaksikan usaha daripada pelbagai sudut dan penjuru, jauh dan dekat oleh sesetengah yang mungkin saja saya sifatkan sebagai sekumpulan ‘pejuang nafsu’ yang tersusun untuk memisahkan di antara ulama yang disayangi rakyat.

Ayahanda digunakan. Inilah calon restuan Tuan Guru Nik Abdul Aziz! Inilah calon restuan Kelantan!Bukankah sebelum ayahanda berangkat ke Mekah, beliau secara jelas mengumumkan untuk tidak berpihak dan menyatakan keenggananya bersuara, bimbang ia mengganggu emosi ahli PAS di dalam kebebasan memilih?

Di mana adab? Di mana kesetiaan? Di mana sifat malu?

Masihkah anda mahu hanyut dalam dunia politik yang kotor hatta dalam PAS? Jika begitu, sayalah musuh anda!

Monday, June 15, 2009

SUARA HATI USTAZ HADI DI LONDON


Sumber ; http://muhaiminsulam.blogspot.com/2009/06/suara-hati-ustaz-hadi-di-london.html


1. Habis kerja jam 3 pagi, aku bersiap untuk ke London dengan isteri. Tolong isteri buat bekalan makan. Solat subuh sekarang pukul 3.30 pagi. Tak boleh tidur takut terlajak, kerana bas 6 pagi. Lebih 4 jam perjalanan, sampailah kami di Kota London. Makan tengah hari di tengah padang Hyde Park di bawah mentari cerah. Rehlah sebelum dengar kuliah. Sampai di Corus Hotel di Bayswater Road tempat program tersebut, rupanya kami orang pertama yang sampai. Wow semangatnya gue!

2. Menanti rombongan Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang, aku bersembang tidak kosong dengan beberapa orang yang hadir. Melayu, India, Benggali dan Cina pun ada. Semua datang dengan seribu satu soalan. Macam semua nak nasihat agar Presiden PAS itu berhenti bercakap tentang `Unity Government'. Bersungguh benar mereka. Naik gabra aku dibuatnya.

3. Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang berucap ringkas. Sebab beliau tahu, ramai yang datang bawa dengan soalan. Bukan datang dengan telinga atau kaki yang tak bermata. Pertama, sebagai pemimpin sebuah parti politik Islam, mesej beliau tidak boleh lari daripada Islam itu sendiri. Itulah juga yang dinyatakan oleh beliau sewaktu bertemu dengan Lee Kuan Yew sebelum berangkat ke London. Walaupun yang datang dalam majlis itu pelbagai kaum dan agama, Presiden PAS itu terus menyampaikan butir-butir al Quran sebagai asas ucapannya. Itulah yang dicakap samada dalam Pakatan Rakyat, Barisan Nasional ataupun yang tak tahu apa-apa tentang politik.

4. Kedua, Islam mengutamakan pembangunan insan tanpa menafikan keperluan ekonomi sebagai keperluan kesejahteraan hidup. Ilmu pengetahuan, tamadun dan keperibadian tinggi itulah yang mewujudkan kebijaksanaan manusia untuk hidup dengan saling bantu membantu, berhubungan antara satu sama lain. Manusia tidak boleh hidup sendiri untuk memenuhi keperluan mereka. Oleh itu Nabi Muhammad s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud,
'kebijaksanaan adalah barang tercicir milik orang beriman'.

5. Kebijaksanaan itulah yang menjadikan kita berkongsi tamadun dengan tamadun bangsa dan agama lain. Tamadun China yang menemukan teknologi alat letupan dan kertas telah digunakan oleh dunia untuk membangunkan ketenteraan dan meningkatkan keselamatan mereka. Tamadun Yunani purba tentang pentadbiran seperti demokrasi digunakan oleh dunia untuk mengurus masyarakat dan negara. Manakala tamadun dan perkembangan sains dan ilmu pengetahuan di Baghdad dan Andalusia juga dimanfaatkan oleh dunia.

6. Kerajaan Islam memanfaatkan semua tamadun dunia untuk membangunkan masyarakat sehinggalah terdiri sebuah kerajaan yang kuat dan maju. Akhirnya, kerajaan Islam yang kuat dan maju itu sedikit demi sedikit meninggalkan Islam sebagai sumber kekuatan mereka. Kerajaan Islam menjadi zalim, menindas rakyat dan menyebabkan pemberontakan berlaku. Dari bangsa Quraish yang dianggap bangsa terkuat, telah berpindah kepada bangsa Kurdis, kemudian kepada bangsa Mogul. Inilah yang pernah disebut oleh Imam Mawardi tentang ciri kepimpinan yang ketujuh;berbangsa Arab Quraish. Bukanlah Imam Mawardi menyatakan hanya Arab Quraish mempunyai darah kepimpinan tetapi sebenarnya ia merujuk kepada kualiti kepimpinan semasa yang memiliki pengaruh luas.

7. Tuan Guru Presiden ada sebut istilah 16 Sep sepintas lalu. Terus kepala aku menangkap ada benda di sebalik itu yang beliau tak mahu ulas lanjut.Tetapi bagi aku penting. Namun barangkali, ada yang lebih penting mengapa beliau tak ulas.

8. Masyarakat mula naik angin bila perut mereka diganggu. Otak sudah letak bawah kaki. Masalah riba, rasuah, untung atas angin, monopoli, manipulasi dan sebagainya. Semua itu ditentang oleh Islam. Dalam menentang amalan riba, al Quran mengisytiharkan perang kepada yang mengamalkannya. Tapi riba adalah amalan lumrah dalam ekonomi. Mengapa manusia tidak menentangnya, sebab perut mereka masih terisi. Mereka tidak kisah kalau timbul masalah sosial sebab kerangka otaknya adalah perutisme. Ini istilah aku pinjam dari Dr. Siddiq Fadhil.

9. PAS mempunyai pengalaman yang luas dalam kerjasama dengan parti-parti politik pembangkang dan kerajaan. Kemuncak kerjasama PAS dengan bukan Islam adalah dengan mewujudkan Kelab Penyokong PAS. Kemuncak kerjasama PAS dengan Umno ialah mewujudkan kerajaan campuran (1971) dan Barisan Nasional (1973). Tiada parti lain seluas pengalaman PAS di Malaysia dalam soal ini. Ini aku cakap.

10. Kerjasama PAS dengan Pakatan Rakyat adalah atas prinsip yang sama. PAS terus dengan dasarnya dan menghormati dasar parti rakannya yang lain. DAP keluar daripada Barisan Alternatif pada 2001, kerana tidak bersetuju dengan konsep negara Islam PAS. PAS tidak pernah berhenti dalam perjuangan yang melibatkan dasar parti . DAP dan PAS sekali lagi bertemu dalam Pakatan Rakyat yang diwujudkan selepas PRU12 .

11. Akhirnya, Tuan Guru bercakap tentang `Unity Government' . Menurutnya, konsep tersebut timbul sewaktu zaman Abdullah Ahmad Badawi menjadi PM. Dasar terbuka Abdullah terhadap institusi kehakiman, langkah pencegahan rasuah, keterbukaan kepimpinannya membuka ruang idea itu dikemukakan. Abdullah Badawi memang awalnya berminat tentang idea tersebut tetapi tekanan dalaman Umno akhirnya menyebabkan beliau terpaksa berundur dari jawatan PM.

12. Apakah itu `Unity Government'? Senang untuk difaham tetapi mengapa payah nak reti? Sebenarnya, inilah yang disebut sebagai `negara tanpa pembangkang' yang pernah diamalkan di UK selepas Perang Dunia, diperkenalkan oleh Nelson Mandela selepas menamatkan dasar apartied di Afrika Selatan dan sekarang diamalkan di Indonesia. Konsep ini berusaha untuk menamatkan perbalahan politik yang merugikan negara. Tiada kaitan langsung PAS masuk Umno seperti yang dihebohkan oleh media dan ramai ahli dan sesetengah pimpinan PAS. Media memang akan memanfaatkan setiap ayat yang boleh dimanipulasikan untuk kepentingan mereka.

13. Habis tu mengapa ramai ahli dan sesetengah pemimpin PAS menentang? Sebabnya mereka memahami konsep itu dalam zaman pemerintahan Najib Tun Razak. Tuan Guru Presiden jelaskan bahawa konsep itu tidak relevan di zaman Najib. Namun, Tuan Guru tidak menolak untuk berbincang dengan sesiapa termasuk Umno. Seperti juga PAS tidak pernah menolak untuk berbincang dengan DAP, PKR dan pihak lain. Memang ada perbezaan pendapat dalam Pakatan Rakyat. Sama juga dalam PAS. Perbezaan pendapat bukan pergaduhan. Itu lebihnya dalam PAS. Mereka ada kebebasan suara.

14. Sambil menuding jari kepada Tuan Guru Presiden, mamat itu bertanya macam-macam. Kurang ajar betul (semangat sebenarnya) mamat ni. Lepas tamat majlis, mereka yang awal tadi tak puas hati dengan Tuan Guru nampaknya semakin jelas. Tiada jawapan yang skema dari Tuan Guru , tiada retorik atau janji politik kosong. Dia jawab dengan lurusnya sebagaimana ketika beliau menjawab soalan wartawan selepas muktamar. Bak kata Tuan Guru sebelum sesi soaljawab tu, yang boleh dijawab, dia jawab. Yang tak boleh, jangan temberang. Oleh kerana kami datang ingin mengetahui, kami faham. Kami dengar sendiri dari mulutnya. Sebaliknya jika yang datang nak mencari kesilapan, mereka akan buat berita yang mengelirukan orang.

15. Memang ada soalan yang tidak dijawab dan tidak menjawab pertanyaan. Bagi aku itu bukan isu sangat. Aku tak sempat nak sembang meski satu ayat dengan Tuan Guru selepas program tamat. Tapi aku sembang dengan Dr. Shamsuri dan Hj. Asmuni yang datang sekali. Agak tidak panjang. Nanti aku cerita kemudian

Sunday, June 14, 2009

SEDUTAN UCAPAN PENANGGUHAN DATO' DR HARON DIN

Ucapan penangguhan oleh Prof. Dato' Dr Haron Bin Din, Timbalan Mursyidul 'Am PAS ketika agenda ucapan penangguhan dan penggulungan ketika Muktamar PAS Kali Ke-55 di Stadium Malawati, Shah Alam bagi menjawab persoalan dan memberi penjelasan yang diminta serta ditimbulkan oleh YB Datuk Paduka Husam Musa dan Ustaz Haji Ahmad Awang terhadap dakwaan bahawa Dr. Haron Din mengatakan di dalam PAS "ada musuh dalam selimut".

Assalamualaikum Wa Rahmatullahi Wa barakatuhu,

Tuan pengerusi, para pimpinan dan hadirin sekalian,

Suatu Perkara yang saya kira cukup mustahak, untuk diambil perhatian oleh semua para muktamirin. Bahawa, penyakit yang ada pada parti-parti politik yang tidak Islam, seolah-olahnya, nak berjangkit kepada parti yang namanya parti Islam.

Penyakit ini besar, dan beza yang paling nyata sekali adalah antara politik ataupun jamaah yang tidak Islam dan yang Islam ini, bahawa yang Islam pengikut mar’us (yang dipimpin) hukumnya wajib ta’at kepada ra’is ( yang memimpin ). Ertinya kita sahaja yang meletakkan hukum berdasarkan hokum syara’ bahawa ahli ataupun sebagai pengikut adalah wajib mematuhi arahan, keputusan yang dbuat oleh kepimpinan. Lebih-lebih lagi keputusan yang dibuat oleh Presiden, sebab dia rai’s dan kita mar’us.

Saya sebut awal tadi perkataan kata, seolah-olah mahu berjangkit, belum berjangkit lagi. Tapi kalau tuan-tuan rasa dah berjangkit dah, kita kena ada ubat.
Apakah dia? Kita balik kepada petunjuk-petunjuk Rasulullah S.A.W. Satu hadith daripada Yahya ibnu khusai daripada datuknya ( hadith riwayat Imam Muslim soheh ) mafhumnya ;

“Sekiranya kamu telah melantik seorang amir atau ketua, walaupun yang kamu lantik itu kebetulan seorang hamba yang rambutnya kerinting ( hamba hitam rambutnya kerinting ) dia mengajak kamu untuk melaksanakan hokum Allah, kamu wajib dengar arahannya dan kamu wajib taat”

Hadith lain yang sama juga menyatakan dalam riwayat yang lain;

“Kalau kamu telah dipilih mememilih seorang yang menjadikan ketua kepada kamu, walaupun orang itu hamba habasyi ( hamba berkulit hitam ) kamu wajib ta’at kepadanya “

Dan banyak lagi hadith-hadith lain.

Daripada inilah yang saya sebutkan tadi, menyatakan bahawasanya, ketaatan inilah yang menjadi kekuatan kepada perjuangan Islam. Sebab keta’atan itu hukumnya wajib dan kita dapat pahala dengan ta’at kepadanya dan jika kata lawannya, bahas lama “lawan tokei “ dan hukumnya dia mendapat dosa kerana tidak menunaikan yang wajib.

Atas itulah saya lihatkan dalam seluruh perbincangan-perbincangan kita dalam muktamar ini baik, sebelum muktamar baik, dalam media-media baik ataupun dalam blo-blog baik atau sebagainya sama ada kita sendiri yang menulis ataupun yang menjadi musuh kepada kita yang menulis, memang kita ada musuh. Maka itulah yang saya katakana bahawa, boleh menjadi cabaran kepada kekuatan parti kita.

Sebab itulah saya merasa penting semula saya melihat kalau jelas kepada kita ini arahan Prsesiden tambahahan pula kalaulah Presiden membuat sesuatu andaian suatu idea gagasan jika disokong sebagai contoh, oleh Syura ‘Ulamak, kalaulah begitu berlaku, kalau Syura ‘Ulamak membuat keputusan, bagamana munngkin kita mar’us (pengikut @ yang dipimpin ) boleh menyanggahi perkara yang jelas daripada Presiden dan jelas daripada Syura, melainkan kita bawa balik kita berbincang dalam muktamar dengan cara yang cukup beradab yang cukup sopan yang boleh kita lihatkan ini sebagai satu daripada cara yang selesaikan masalah.

Adapun kita bercakap diluar, dan tadi yang ditimbulkan kepada saya khusus daripda sahabat saya Datuk Husam Musa. Saya berjumpa dengan dia banyak kali, kawan-kawan.., sebagai kawan. Saya baik dengan Datuk Husam. Tapi, Datuk Husam tidak pernah bercakap dengan saya cara peribadi. Pagi tadi Ustaz Ahmad Awang buat surat kepada saya bertanya hal yang sama jugak. Hal apa yang telah saya sebut dalam seminar Jubli Perak ‘Ulamak, adakah ustaz ada menyebut bahawa dalam PAS ini, ada musuh dalam selimut.

Saya jawab (kepada) Ustaz Ahmad Awang, saya katakana tidak berlaku. Tetapi mungkin lebih eloklah Datuk Husam tanya dalam muktamar ini membolehkan saya menjawab dalam muktamar, maknanya Datuk Husam hendakkan saya menjawab secara muktamar.

Saya bentang suatu kertas (kertas kerja) dalam satu seminar yang dianjurkan oelh ‘ulamak (Dewan ‘Ulamak PAS Pusat), bukan (sekadar) kertas, tapi lebih kepada merupakan suatu ucapan ucap utama. Yang diantara perkara yang yang diambil oleh akhbar-akhbar. Kita bila akhbar-akhbar ini kalau yang kta tahu ada kebenarannya (seperti) Harakah, Siasah yang kita rasa kita tahu (kebenarannya). Tapi kalau lain daripada itu, media yang selama ini yang kita dengarkan memang tidak ada yang baik daripada kita melainkan yang diburuk-burukkan. (Media) diambil pembentangan ucapan ucap utama saya itu dengan mengatakan bahawa Haron Din mengatakan “ada musuh dalam selimut” .., dalam PAS ada musuh (dalam selimut).

Saya tengok dalam kertas saya balik, tidak ada saya sebut (istilah musuh dalam selimut), yang pentingnya saya nak menafikan dan menyatakan bahawa, saya tidak mengatakan bahawa dalam PAS hari ini, ada musang berbulu ayam kah saya tidak kata demikian dan saya tidak kata ada musuh dalam selimut, saya tidak kata. Tapi saya menyebut, tadi seperti yang Datuk Husam sebutkan, mungkin sebutan itulah yang orang melihat, nak mengulas nak menambah nak memburukkan saya kata “musuh sentiasa ada”.
Saya peringatkan kepada pimpinan-pimpinan PAS, untuk masa depan PAS khasnya, bahawasanya Allah telah mengingatkan kita. Allah ingatkan kita dalam ayat yang cukup jelas (surah) At-Taghabun ayat ke-14, itu yang dalam kepala saya. Allah kata apa…?Allah telah beritau kepada kita (mafhumnya) ;


“ Wahai orang-orang yang beriman…!!!, Sesungguhnya, ada diantara isteri-isteri kamu, dan anak-anak kamu sendiri (menjadi) musuh kepada kamu, hendaklah kamu behati-hati serta berjaga-jaga terhadap mereka, dan jikalau kamu memaafkan dan tidak marahkan (mereka) serta mengampunkan kesalahan mereka (maka Allah akan berbuat demikian kepada kamu), kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”
(Surah At-Taghabun ayat-14)

(Allah Ta’ala) Ingatkan selalu bahawa isteri kamu itu mungkin musuh kamu. Anak-anak kamu itu mungkin musuh kamu “fahdzaruhum”(berhati-hati dengan mereka). Kalau Allah telah mengingatkan orang Islam ini bahawa isteri kita, yang tidur sama kita, anak-anak yang kita besarkan “’aduwwan lakum”(musuh kepada kamu), dia musuh kepada kamu, “fahdzaruhum” ingat (bahawa) kalau Allah sebut begitu, adakah menjadi kesilapan kepada saya…? ( Maka ) saya peringatkan jamaah yang sebesar ini, yang ahli kita mencecah juta, penykong kita yang telah.., berapa juta yang mengundi kita, dan makin besar dan kita makin menghampiri kepada kuasa,apakah musuh-musuh besar seperti Amerika sebagai contoh, Israel sebagai contoh, Kuffar La’natullahi ‘Alaihi sebagai contoh, Yahudi, boleh melihatka kita terus Berjaya, tambah merancang untuk merancang untuk mengendalakan kita, bukan sekarang saya sebut, kerana saya ambil idea daripada, PAS telah ada mekanisma yang kita terima pakai sekarang, mana-mana calon yang nak bertanding untuk jawatan-jawatan (ahli) Palimen ataupun DUN ( Ahli Dewan Undangan Negeri ), kena lulus tapisan, ada yang lulus bila ditapis ada yang tidak lulus. Kita tapi semua ( bakal calon ) DUN semua ahli yang nak bertanding kita tapis. Tapi kita tidak menapis calon yang nak bertanding jawatan dalam PAS. Kita terbuka, dan tahun ini calon cukup ramai. Sekarang tidak mengapa, saya “mutma’in (tenang) tidak mengapa insya-Allah, kesemuanya mukhlisin (orang-orang yang ikhlas), tapi masa hadapan saya mengingatkan sebagai orang tua, yang berada dalam saf bersama dengan Mursyidul ‘Am dan ahli-ahli (Majlis) Syura mengingatkan apakah tidak elok kepada PAS ini, meletakkan satu mekanisma untuk melihat dan buat “screening” semua calon yang bertanding semua jawatan dalam PAS, bukan sahaja di peringkat ( PAS ) pusat, hatta diperingkat negeri pun, adakah tidak elok ada satu screen kena lulus dahulu tapisan, baru boleh jadi calon.

Saya bercakap (berdasarkan )pengalaman saya. Dahulu dalam tahun 2004 atau sebelumnya, saya dicalonkan sebagai Timbalan Presiden ( PAS ). Saya tarik diri (dari bertanding). Dan sebelum itu, sebelum itu saya dicalonkan menjadi calin pilihanraya di negeri Perlis, Ustaz Hasim Jasin ada. Saya tarik diri kerana saya telus kerana saya tidak boleh, kerana saya ada kes mahkamah kerana saya menjamin satu jaminan 2.5 juta, saya menjamin (dan) orang yang meminjam tidak bayar (maka) saya yang kena ambil tindakan (mahkamah). Kalau saya bertanding saya kata, kalau kita menanglah pertandingan (pilihanraya) itu, dalam pilihanraya di Perlis, lepas itu kes mahkamah keluar, saya (diisytihar) bangkrap, (maka) apa tuan-tuan nak kata pada saya…? Dia pakat maki mampuih..(orang kata) mengapa dia (Haron Din) tak khabar yang dia nak bengkrap. Saya telus saya bagitau, sebab tu mesti ada mekanisma jangan sampai ke situ.

Kesemua yang saya becakap dalam kertas itu, banyak yang saya rujuk yang masa hadapan bukan sekarang, sebab itu maka apa yang telah diambil peluang oleh akhbar untuk mengatakan itu sebagai tuduhan saya, itu tidak benar dan Datuk Husam, saya maaflah kalau ada yang salah faham demikian.

Adapun yang kedua, apakah boleh kita nafikan, secara waqi’I (keadaan semasa) Apakah perjuangan sesuci ini tidak ada musuh..? Al-Qur’an sebut, bahawa syaitan telah bersumpah, musuh utama kita syaitan iblis telah bersumpah depan Allah Subhanahu Wa Ta’ala (mafhumnya);

“kerana aku telah tersesat, aku telah jauh menyimpang daripadamu ya Allah,aku terima tetapi aku bersumpah, aku akan sesatkan, aku akan uji akan menyesetakan anak adam, dengan aku datang kepada mereka, menghalang mereka daripada memperjuangkan hak-hak Allah ke atas manusia, kalau tidak Berjaya di hadapan aku akan dating dari belakang, kalau belakang tidak Berjaya aku datang dari arah kanan mereka, dari kanan tidak Berjaya maka aku dating dari kiri mereka, samapi jarang sangat kamu berjumpa dengan mereka yang beriman sungguh-sungguh bersyukur sungguh-sungguh kepada Allah”

Ayat ini menyatakan bahawa musuh kita (ada) keliling (kita), depan ada, belakang ada, kana nada, kiri ada, kalau inilah ayat tuhan, tidak wajarkah saya mengingatkan, kepada pemimpin-pemimpin PAS dan kesemua ahli-ahli mereka di bawah awas..!!! kita ada musuh..Kalau inilah yang boleh kita fahami, maka maknanya, kertas (kertas kerja) saya berniat baik, saya mengajak semua orang hazar ( berhati-hati / berwaspada ) buat peringatan dan saya tidak menuduh apa-apa. Dan saya menafikan beberapa akhbar yang berjumpa dengan saya, (bahawa) saya tidak menyatakan demikian, itu awak (media) yang pandai-pandai tulis, kalau tidak faham jugak maka, La hawla wala quwwata illa billah.

Saya nak merujuk banyak yang bercakap tadi, ustaz Ahmad Awang pun sebut. Banyak orang menyebut tentang hadith Abi Dzar Al-Ghifari ni, yang dia dating memintak jawatan kepada nabi dan nabi tidak beri kepada dia, katalah hadith kita faham kata Nabi tidak lantik orang yang mintak jawatan lalu menjadikan hadith itu sebagai alasan, seolah-olahnya orag yang menawar jawatan untuk bertanding dalam sebarang jawatan, tidak boleh diterima kerana dia melanggar dengan hadith. Bukan begitu…bukan.., hadith itu dipanggil hadith waqti dan haidth yang maksur, hadith itu didahului dengan jawapan. Nabi menolak jawatan yang ingin diberikan kepada Abu Dzar kerana alasan besarnya “kamu ( Abu Dzar ) lemah maka aku tak boleh lantik “.. bukan bermakna dalam Islam ni..jangan berulang dah jangan sebut dah ( kesilapan ini ).., bukan makna dalam Islam itu tidak boleh mintak jawatan, pasai..pasai lepas wafat Rasulullah Abu Bakar nai menjadi khalifah, Khalifah Abu Bakar termenung, datang ( Sayyidina ) ‘Umar (bertanya) apahal Abu Bakar…? Nampak kamu, termenung macam dukacita. Dan berkata (Abu Bakar) ;“aku tampu (hanya) seorang untuk menyelesaikan masalah ummah”.. ‘Umar berkata kepada Abu Bakar yang dibelakangnya ada Abu ‘Ubaidah dan berkata (mafhumnya); “Usah gusar wahai Abu Bakar, beri kepada aku jawatan perqadhian (kehakiman), kamu jangan campur (aku uruskan sendiri).” ( Maka ) Abu Bakar lantik dia ( ‘Umar ) menjadi qadhi. Tetapi malangnya, lepas setahun lapan bulan, ‘Umar menjadi qadhi zaman (Khalifah) Abu Bakar, datang pulak ‘Umar mengadap Abu Bakar (dan berkata); “Aku dating hendak meletakkan jawatan sebagai qadhi, wahai Abu Bakar..” Abu Bakar terkejut, “awat susah sangat ka jadi qadhi ni samapi nak letak jawatan..?” Dan berkata (‘Umar); “ Bukan susah, setahun lapan bulan jadi qadhi, satu kes pun tak mari..” ngabehlan boreh jo.. “aku letak jawatan kerana tak ada orang yang nak dating kepada aku jadi qadhi kepada mereka..” taka pa.., yang kedua, Abu ‘Ubaidah Al-Jarrah (mafhumnya); “ Wahai khalifah, aku mintak, biar aku yang menguruskan hal perbendaharaan negara, dengan lain bahasa (sebagai) menteri kewangan, maka Abu Ubaidah dilantik menjadi (wakil) menjaga hal-hal kewangan.
Kalau hadith tadi melarang, (maka) Dengan sendirinya (Sayyidina) ‘Umar tidak boleh manjdai qadhi (dan) (Khalifah) Abu Bakar tidak akan melantik Abu Ubaidah. Jadi maknanya.., hadith Abu Dzar (disebut) tadi untuk merujuk kepada kes khusus dan orang itu dha’if (lemah) (mafhum) “ sesungguhnya engkau lemah” …tak macam kita, kita sebahagian besar yang menawarkan diri untuk bertanding itu bukan dhu’afa’ (orang-orang yang lemah), mereka aqwiya’ maka tidak menjadi hujjah. Menyingkatkan masa sekadar (ini) sahaja,

Assalamualaikum Warahmatullahi Wa barakatuhu.

Wednesday, June 10, 2009

KERAJAAN PERPADUAN : KENAPA BERPOLEMIK...???

Oleh : AL-FADHIL AL-USTAZ DATO' HAJI TUAN IBRAHIM TUAN MAN ( NAIB PRESIDEN PAS )


Bilamana Presiden mengutarakan gagasan kerajaan perpaduan, ramai di kalangan kita membuat pelbagai tafsiran dan andaian. Ada pandangan terkeluar dari akhlak jamaah dan sebahagian besarnya masih dalam batas berjamaah. Kesemua permasalahan ini berpunca dari tiada satu penjelasan lengkap dikeluarkan. Idea yang dilontar oleh pimpinan tentulah berpijak dari dasar syarak dan jauh daripada tindakan merugikan parti atau gabungan pakatan Rakyat. PAS tidak akan mengkhianati Pakatan kita, bahkan kita akan perkukuhkan gabungan ini menjadi alternative bagi rakyat.

Sebagai ahli parti, kita mesti menerima idea dan gagasan ini dengan baik sangka kepada presiden disamping mengikuti penjelasan daripadanya. Idea ini dilontar diperingkat awal untuk menjadi bahan renungan semua pihak. Satu lontaran idea dan gagasan besar yang tidak seharusnya berlalu tanpa diadakan wacana ilmiah bagi membincangkannya. Saya suka jelaskan bahawa YB Dato’ Seri Presiden akan membuat dan memperhalusi gagasan ini dalam masa terdekat dan satu wacana kepimpinan akan diadakan. Namun bagi mengurangkan sedikit polimik yang sengaja dibesarkan oleh media arus perdana, saya suka menggambarkan beberapa prinsip yang ujud dalam gagasan ini.

Antara asas utama dalam kerajaan perpaduan ini ialah bertolak kepada firman Allah

“ dan bertolong bantulah kamu dalam perkara kebaikan dan taqwa, dan jangan bertolong Bantu dalam perkara dosa dan permusuhan”.

Konsep ta'awun yang melahirkan muafakat yang disaran oleh Allah menjadi asas dalam pembinaan Negara perpaduan. Kita mesti membina Negara berasaskan kepada al-bir( Kebaikan ) yang meliputi semua elemen kebaikan bagi rakyat. Kita mesti menyedari pembinaan Negara perpaduan tidak akan lahir dari sistem yang kelam kabut, rasuah dan penyelewengan, pimpinan yang tidak berakhlak, sistem yang penuh dengan kezaliman, dan akta yang digunakan bagi menindas rakyat. Apakah al-bir dari sistem begini. Kita mesti letakkan asas al-bir ini untuk kepentingan rakyat tanpa mengira bangsa dan agama. Asas ini dituntut oleh Allah, apakah ada diantara kita yang tidak inginkan kebaikan?

Asas kedua ialah taqwa. Negara mestilah menjurus ke arah melahirkan pimpinan yang bertaqwa, agar rakyat yang kita urus bukan hanya selamat melalui al-bir ( kebaikan sistemn Negara ) tetapi mestilah ujud elemen taqwa. Pemimpin mestilah bertaqwa kepada Allah. Asas al bir bersifat umum, tetapi asas taqwa bersifat khusus bagi pimpinan yang ingin menerajui kepimpinan Negara perpaduan. Semua parti politik yang pimpinannya terdiri dari mereka yang menerima Allah sebagai Tuhan dan Nabi Muhammad sebagai Rasul hendaklah sedar bahawa kehidupannya tidak berakhir di dunia. Bagaimana kita ingin melahirkan rakyat yang baik, seandainya kita sendiri bergelumang dengan dosa dan maksiat. Kepimpinan gagal menjadi model bagi rakyat, isteri pimpinan menjadi elemen yang meruntuhkan akhlak dan jati diri bangsa. Hidup tanpa batasan agama dan kawalan wahyu. Negara yang baik lahir dari kepimpinan yang baik, dan taqwa adalah asas bagi semua kebaikan. Rakyat mestilah menyedari betapa Negara kini sangat-sangat memerlukan pemimpin yang bertaqwa bagi memandu Negara.

Kami menawarkan asas yang Allah menyuruh kita berpegang; apakah ada panduan yang lebih baik dari panduan Ilahi?. Apakah parti-parti politik bersedia kearah itu, dan seandainya tidak bersedia apakah alasan dihadapan Allah nanti di akhirat bila Allah meminta kita menjelaskan kenapa dan mengapa.

Asas ketiga ialah kita menyatakan bahawa kita tidak akan berkompromi dalam pembentukan kerajaan ini sabuah kerjasama kearah durhaka kepada Allah. Konsep al-ism yang sangat luas menjadi sempadan pembinaan kerajaan perpaduan. Kita sebagai pimpinan mesti berusaha agar rakyat tidak terdedah kepada dosa dan maksiat. Kita perlu membina Negara yang soleh melalui pemimpin dan rakyat yang soleh. Kita mesti meletakkan asas utama agar semua elemen yang mendatrangkan dosa bagi rakyat dihapuskan; kerana kebaikan tidak akan lahir dari maksiat dan munkar.

Setelah lebih lima puluh tahun negara merdeka, pelbagai sistem yang mendedahkan dosa dipaksakan ke atas rakyat. Amalan riba yang berterusan, pusat-pusat meksiat diberi ruang yang luas oleh pemerentah, program maksiat mendapat tempat di hati rakyat sehingga lahirlah pelbagai gejala social, jenayah dan penyelewengan. Akibat Negara yang tidak diasas kepada benteng kawalan yang menjadi syarat utama kebaikan bagi rakyat. Inilah syarat kami bahawa kami tidak akan berkompromi dengan perkara dosa dan durhaka kepada Allah yang diizinkan oleh pemimpin Negara perpaduan. Apa makna perpaduan, kelau untuk durhaka kepada Allah, kerana tiada makna kemajuan dan perpaduan kalau ia dibentuk kea rah maksiat dan dosa.

Asas keempat yang dinyatakan oleh Allah ialah kami tidak akan berkerjasama kearah permusuhan. Kita mesti menghentikan sebarang elemen perkauman sempit yang mendorong ujudnya jurang antara kaum di Negara ini. Kecintaan kepada bangsa sendiri adalah fitrah manusia. Islam tidak menghalang setiap kaum menyintai kaumnya, tetapi Islam menentang tindakan zalim kepada kaum lain. Kerana kaum, bangsa dan warna kulit adalah ketentuan Allah, bukan pilihan manusia.

Kerajaan Perpaduan tidak akan mengizinkan sebarang elemen kearah permusuhan, samada di kalangan kaum melayu, cina, India dan lain-lain. Pertembungan antara dalaman setiap keum akan merugikan Negara. Kita tidak akan membiarkan permusuhan antara orang melayu sebagaimana kita tidak akan izinkan permusuhan sesama kaum India dan cina. Ini asas kita. Tindakan mengapi-api permusuhan, elemen gengstarism dan kongsi gelap, gerakan anti perpaduan serta membiarkan jurang kaya dan miskin melampau, elemen penindasan dan kezaliman golongan kaya berpengaruh ke aras rakyat miskin dan tertindas akan menjurus ke arah permusuhan.

Saya ingin tegaskan bahawa inilah antara beberapa asas dalam kerajaan perpaduan. Andainya ada pihak yang menentangnya, apakah alasan kalau inilah yang digariskan oleh Allah dalam konsep al-ta'awun. Taawun sebagai satu gagasan, bukan hanya terikat dengan taawun fardiyyah; tetapi satu gagasan besar yang hebat dari Allah. Di samping asas tersebut, terdapat beberapa asas lain yang akan dijelaskan kamudian.

Tuesday, June 9, 2009

UCAPTAMA KETUA DEWAN 'ULAMAK PAS PUSAT

Muktamar Tahunan Dewan Ulama PAS Pusat Kali ke-48


MENERUSKAN PERJUANGAN PARA NABI


1.Mukadimah

Tuan Pengerusi Tetap, Pemerhati-Pemerhati Kehormat, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Timbalan dan Naib Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, saudara Setiausaha dan Bendahari Dewan Ulama PAS Pusat, Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Ulama PAS Pusat, Pengarah bersama Urusetia Panitia Muktamar Dewan Ulama PAS Pusat kali ke-48, para perwakilan dan pemerhati yang dirahmati Allah sekalian,

Pertamanya marilah kita sama-sama memanjatkan kesyukuran yang tiada taranya ke hadrat Allah SWT atas segala kurniaan kesihatan, kemudahan dan yang penting nikmat berjuang Islam. Kita berkumpul di dewan yang mulia ini bagi meneruskan agenda dan tanggungjawab kita dalam Parti Islam Se-Malaysia PAS sebagaimana yang diperuntukkan dalam perlembagaan PAS.

Muktamar kali ke-48 ini seharusnya dijadikan medan bagi kita bermuhasabah, bercermin diri dan meningkatkan ikhlas kita kepada Allah SWT, menumpukan lebih banyak masa bagi meninggikan kalimah Allah Taala disamping berusaha melumpuhkan sebarang bentuk kekusutan, perasaan tidak baik dan bangga diri.


2. Kepimpinan ulama menelusuri sirah anbiya


Realiti para rasul yang diceritakan oleh al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w. adalah pemimpin-peminpin utama negara yang memimpin politik umat manusia di zamannya. Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud:

"Nabi-nabi adalah pemimpin-pemimpin politik bani Israel." - Hadis riwayat Al-Bukhari & Muslim

Antara rasul-rasul yang menjadi pemimpin nombor 1 negara ialah Nabi Sulaiman a.s. dan Nabi Daud a.s yang memerintah Palestin, Nabi Musa a.s selepas menjatuhkan Firaun di Mesir, nabi-nabi yang lebih dahulu termasuk Nabi Adam a.s, Nabi Nuh a.s dan lain-lain. Disana terdapat nabi yang memimpin sekalipun bukan menjadi pemimpin nombor 1, seperti Nabi Yusuf a.s.

Tuntasnya, rasul-rasul yang diceritakan secara terperinci oleh Al-Quran karim adalah pemimpin-pemimpin politik umat di zamannya, dan bukan menjadi penasihat suci sebagaimana peranan pendeta agama dalam gambaran-gambaran sejarah Barat.

Pemimpin-pemimpin politik bermaksud, mereka secara langsung menjadi pencorak kepada kepimpinan negara dan mempunyai kuasa menentukan, bukan sebagaimana penasihat yang hanya berkuasa menasihati tanpa kuasa pemutus.

Jika nabi-nabi tidak boleh berbuat demikian, atau tidak dihalang berbuat demikian, mereka akan menjadi pemimpin pembangkang sebagaimana Nabi Ibrahim, Yahya, Zakaria, Nabi Isa a.s dan lain-lain. Firman Allah yang bermaksud:

"Adalah bagi kamu pada diri Rasulullah s.a.w. itu contoh yang terbaik." - Hadis riwayat Al-Bukhari & Muslim.

Antara teladan yang terpenting ialah, Rasulullah s.a.w. bukan sahaja ketua ibadat seperti imam solat, tetapi Rasulullah s.a.w. adalah ketua politik sama ada sebelum hijrah ketika menentang pemerintahan Quraisy di Makkah dan selepas Hijrah ketika menjadi ketua negara menerajui negara Madinah.

Rasulullah s.a.w. dan para rasul terdahulu bukan menjadi penasihat politik, mereka adalah pemimpin politik dalam erti kata pemutus pada hala tuju organisasi islam, menentukan mana yang boleh mana yang tidak boleh dan mereka bukannya menjadi penasihat yang bersifat pemberitahu tetapi tidak mempunyai kuasa dan autoriti menyuruh dan melarang.

Selepas wafatnya Rasulullah s.a.w., maka tiada lagi nabi selepasnya. Maka yang menjadi galang ganti kepada tugasan baginda s.a.w. sebagai pemimpin politik atau pemimpin organisasi umat islam ialah golongan ulama. Oleh itu yang memegang teraju pemerintahan di zaman selepas Rasulullah s.a.w. ialah di kalangan fuqaha sahabat iaitu sahabat nabi yang memahami hukum hakam yang dibawa oleh nabi s.a.w..

Sememangnya sahabat khulafak ar-Rasyidin berdampingan dengan nabi SAW dalam tempoh yang lama seperti Saidina Abu Bakar yang merupakan khalifah pertama, tetapi perlantikan mereka sebagai khalifah selepas itu bukan atas dasar tersebut, tetapi atas dasar keulamakannya atau keilmuannya tentang hasil daripada perdsampingan mereka dengan Nabi Muhammad SAW. Kepentingan ilmu agama dalam memenuhi prasyarat menjadi pemimpin organisasi Islam jelas tergambar melalui kata-kata Saidina Umar Al-Khattab yang bermaksud

"Dalamilah ilmu agama sebelum kamu dilantik menjadi pemimpin"

Disamping faktor yang boleh membentuk keperibadian yang baik, faktor yang lebih utama daripada itu ialah faktor memastikan hala tuju negara Islam dan gerakan islam di kedudukan selari dengan kehendak wahyu Ilahi. Bagi mencapai tujuan tersebut, kefahaman mereka terhadap maksud dan kehendak wahyu menjadikan mereka golongan berkelayakan memegang tampuk tersebut.

Kedapatan khilafah dan gerakan Islam yang tidak terpimpin oleh ulamak. Ianya tidak boleh dijadikan hujah kerana panduan dalam kepimpinan dan ge rakan Islam ialah sumber hukum itu sendiri bukan realiti umat Islam yang kita kagumi.Dr Wahbah Al-Zuhaily dalam karanganya (Al-Fiqh Al-Islami,Jld 8,hlmn 303) menyatakan kesepakatan ulamak tentang syarat alim atau ulamak sebagai pemerintah.

Adalah hamper mustahil sesuatu organisasi Islam boleh melakasanakan Islam tanpa mendapat garis panduan daripada Ulamak.Jika panduan ualamak dianggap sebagai nasihat yang boleh diterima dan ditolak,di sini pada kebanyakkan keadaan akan mewujudkan pertembungan antara ulamak dan pemimpin.

Nyatalah bahawa kepimpinan Ulamak bukanlah idea daripada Ulamak, pemuda atau golongan tertentu dalam parti,tetapi asal mata air kepimpinan Ulamak ini adalah gagasan daripada Islam itu sendiri. Ianya adalah mata rantai 'kepimpinan Anbiyak'.

Sekalipun PAS bukan parti yang memerintah negara.Tetapi realiti politik semasa pada hari ini memerlukan PAS dipimpin Ulamak bagi memastikan pergerakan, dasar perlaksanaan, keputusan-keputusan segera selari dengan kehendak Islam terutama Al-Siyasah Al-Syariyyah.

Para perwakilan sekalian,

3. Pengukuhan Ukhuwah Anggota Jemaah

Dalam usaha untuk memantapkan kepimpinan Ulamak, adalah menjadi tugas dan tanggungjawab semua pihak terutamanya para Ulamak untuk meningkatkan kefaham terhadap prinsip ukhuwah dalam berjemaah.Prinsip yang telah sedia diamalkan oleh kita terutamanya, para Ulamak dan pendokongnya perlu disebarluaskan sehingga setiap ahli bukan sahaja beramal dengan firman Allah s.w.t yang bermaksud:

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat"(Al-Hujarat: 10)

Terdapat 3 isu utama yang dikemukakan oleh Allah s.w.t. Ia bukan sahaja memberikan fokus tentang orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara.Tetapi menekankan kepada bahagian kedua dari ayat itu yang menjadi tujuan utama ukhuwah iaitu hendaklah melakukan islah antara sesama mereka dan bahagian ketiga menyeru agar sentiasa bertaqwa kepaa Allah s.w.t.

Profesor Dr Wahbah Al-Zuhaily dalam tafsir Al-Munirnya menerangkan beberapa perkara pokok, antaranya: Ayat ini mempunyai kaitan dengan ayat sebelumnya iaitu ayat 9 Surah Al-Hujarat yang meminta umat Islam melakukan islah kepada 2 kumpulan yang berperang (bergaduh).

Begitu juga dengan prinsip ukhuwah yang lebih kuat dan teguh dari persaudaraan atas dasar keturunan. Istilah Islam dalam menurut ayat ini dikaitkan dengan melakukan pendamaian jika terdapat dikalangan umat yang bertelingkah. Jika mereka masih ingin meneruskan pertelingkahan, ingtakan mereka agar segera bertaqwa kepada Allah taala.

Persoalannya, adakah persaudaraan yang dibina dalam PAS telah mencapai tahap itu atau dalam erti kata lain seumpama aur dengan tebing atau isi dengan kuku? atau ianya hanya bersifat luaran dan menunggu isu-isu yang datang terutamanya oleh musuh kita sehingga kita bercerai-berai daripada berpegang kepada tali Allah taala.

Saya dengan ini menyeru semua perwakilan dan pemerhati agar mengambil perhatian tentang perkara ukhuwwah ini sehingga hubungan kita dengan sesama ahli bertambah erat sehingga membawa kepada bersatu bertambah mutu, ibarat kata pepatah Melayu. Biarlah persahabatan kita tetap kukuh, utuh dan tidak retak walaupun terdapat percubaan di sana sini bagi meruntuhkan ukhuwwah yang telah terbina sejak lebih setengah abad yang lalu.

Keikhlasan yang ditunjukkan oleh tuan-tuan guru kita semasa menubuhkan PAS, keikhlasan para pemuda kita semasa memperkasakan kepimpinan ulamak lebih 25 tahun yang lalu sepatutnya memberikan kepada kita keinsafan agar kita, para ulamak menjadi pembawa obor ukhuwwah Islamiyyah, tanpa mengenal penat dan lelah.

Para perwakilan yang dihormati sekalian,

4. Terus taat dan wala' dalam berjemaah

Prinsip ini perlu diingatkan sepanjang masa agar kita yang diamanahkan sebaai pemegang obor Nabi-nabi dan Rasul-rasul terus berpegang kepada prinsip taat. Allah Ta'ala menjelaskan dengan tegas kewajipan memberikan ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya tanpa kompromi. Taat kepada pemimpin selagi mana mereka taat kepada Allah dan Rasul-Nya.

Maksudnya:"Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasullullah dan kepada ulul amri (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu." (Surah An-Nisa': 59)

Hadis Nabi SAW yang menjadi penyandar kepada ayat ini sangat jelas mengajar kita agar tidak memberikan ketaatan kepada perkara maksiat dan kejahatan.

Maksudnya: "Tiada ketaatan kepada makhluk dalam perkara maksiat" (Muttafaqun alaih) Jangan kita tertipu dan dipermainkan oleh nafsu kita sehingga mengutamakan kepentingan peribadi, keperluan semasa dan andaian kita sahaja sehingga prinsip taat tidak terlaksana.

Prinsip di atas perlu difahamkan kepada seluruh ahli kita agar ahli kita mendapat maklumat dan penghayatan yang jelas tentang 2 prinsip utama di atas.

Dalam hal ini, kita dibolehkan berbeza pendapat dalam perkara furu' (cabang) tetapi selepas sesuatu keputusan dibuat, kita tiada pilihan lagi kecuali taat dan patuh kepada keputusan itu, walaupun mungkin bertentangan dengan pandangan kita.

Sabda Nabi SAW:

Maksudnya: "Sesungguhnya tangan Allah bersama jemaah dan sesungguhnya syaitan mengajar orang yang meninggalkan jemaah" (Hadis riwayat Ibnu Hibban).

Begitu juga, Allah SWT berfirman:

Maksudnya: Allah berfirman, "Kami akan menguatkan tenaga dan daya usahamu dengan saudaramu (Harun), dan Kami akan memberikan kuasa kemenangan kepada kamu berdua oleh itu mereka tidak akan sampai kepada maksud membahayakan atau mengalahkan kamu. Dengan membawa ayat-ayat keterangan kami itu, kamu berdua serta pengikut-pengikut kamu akan menang." (Al- Qasas: 35)

Memang benar ketaatan terhadap makhluk itu ada batasnya. Tetapi jika alasan yang diberikan adalah berasaskan nafsu atau kepentingan peribadi semata-mata, maka akan sampai masanya kita semua akan dikalahkan oleh musuh kita.

Ingatlah wahai saudaraku akan 3 petikan dari ayat Al-Quran surah At-Talaq ayat 3, surah Al-Fath ayat 10, dan Al-Hajj ayat 11.

Maksudnya: "Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya, Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendaki-Nya. Allah telah pun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu". (At-Talaq: 3)

Maksudnya: "Sesungguhnya orang-orang yang memberi pengakuan taat setia kepadamu (wahai Muhammad- untuk berjuang menentang musuh), mereka hanya memberikan pengakuan taat setia kepada Allah; Allah menguasai keadaan mereka memberikan taat setia itu (untuk membalasnya). Oleh itu, sesiapa yang tidak menyempurnakan janji setianya maka bahaya tidak menyempurnakan itu hanya menimpa dirinya; dan sesiapa yang menyempurnakan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah, maka Allah akan memberikan kepadanya pahala yang besar". (Al-Fath: 10)

"Maksudnya: Dan ada di antara manusia yang menyembah Allah dengan sikap dan pendiriannya yang tidak tetap, iaitu kalau ia beroleh kebaikan, senanglah hatinya dengan keadaan itu; dan kalau pula ia ditimpa fitnah kesusahan, berbaliklah ia semula (kepada kekufuran). (Dengan sikapnya itu) rugilah ia akan dunia dan akhirat, itulah kerugian yang terang nyata". (Al-Hajj: 11)

Ibnu Hajar di dalam Tahzib Attahzib menegaskan bahawa Al-Imam Al-Auzaie dinobatkan sebagai tokoh masyarakat kerana bertindak sebagai pemimpin mereka dan guru mereka. Salah seorang guru Al-Imam Al-Bukhari iaitu Sheikh Khalid bin Abdullah Al-Wasiti juga diletakkan sebagai pemimpin kepada orang awam.

Para alim ulamak ini terjun dalam masyarakat dan politik demi kepentingan rakyat dan orang awam. Lihat sahaja kekalahan Imam Ahmad bin Hanbal ketika berdepan dengan kerajaan Mu'tazilah yang berusaha memesongkan akidah ummah dengan bid'ah dakwaan Al-Quran sebagai makhluk.

Apa yang menarik, dalam usaha memimpin masyarakat dan rakyat, tokoh-tokoh ulamak besar ini telah mengunakan kuasa amal jamaie untuk merentasi sempadan dakwah dan meraih kejayaan dengan penyusunan ketumbukkan yang kukuh ini.

Hal ini diperkukuhkan oleh firman Allah SWT:

Maksudnya: "Katakanlah (wahai Muhammad): "Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada agama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata". (Surah Yusuf: 108)

Ibnu Qayyim menegaskan: "Ayat ini menjelaskan sesiapa yang mengikuti aku, dia hendaklah turut berdakwah ke jalan Allah sebagaimana aku berdakwah".

Al-Kalbi berpendapat: "Setiap orang yang mengikut Rasulullah SAW bertanggungjawab untuk berdakwah kepada apa yang diserukan kepadanya oleh Baginda Rasulullah SAW".

Salafussalih menubuhkan jemaah setelah memahami tuntutan ini. Lihatlah sahabat Rasulullah SAW iaitu Hisyam bin Hakim bin Hizam Al Qarsyi RA, Az-Zahri berkata:

Maksudnya: "Beliau (Hisyam) menyeru kepada perkara kebaikan bersama-sama dengan segolongan lelaki yang bersamanya". (Tahzib At-Tahzib)

Persoalannya, apakah amal jamaie cukup dengan hadir pada setiap kali muktamar? Menjadi peminat setia kepada ceramah yang dianjurkan? Membiarkan petugas kita siang dan malam bekerja untuk jemaah sedangkan kita amat susah untuk mencari masa lapang bagi menafkahkan sedikit masa demi perjuangan Islam.

Pengalaman gerakan Islam di Malaysia menunjukkan kejayaan kita dalam memperjuangkan Islam yang syumul adalah hasil dari keikhlasan, kesungguhan dan kesediaan pemimpin kita menyerahkan jiwa raga, masa, dan wang ringgit bagi perjuangan ini.

Apakah kita sanggup dan bersedia menjadi pemerhati sehingga ke penghujung hayat kita? Di manakah kefahaman kita terhadap amal jamaie diletakkan? Inilah perkara utama yang patut difikirkan dan diambil tindakan segera, agar prinsip amal jamaie tidak hanya menjadi bahan silibus usrah tanpa amalan.

Dalam seminar sempena Jubli Perak Kepimpinan Ulamak pada 28 Jamadil Awal 1430 bersamaan 23 Mei 2009 yang lalu, disebutkan peri pentingnya kepimpinan secara jamaie. Memang pimpinan utama umat seharusnya dari kalangan ulamak. Kepimpinan ulamak pula hendaklah terdiri dari para mujtahid. Oleh kerana kekurangan dalam aspek itu, ditambah pula dengan berkembangnya ilmu, maka konsep kepimpinan jamaie adalah sesuatu yang sangat baik dilaksanakan dalam jemaah.

Maksudnya jamaah dipimpin oleh gabungan para ulamak dan lainnya agar sesuatu keputusan yang ingin diambil datangnya dari tasawur yang jelas tentang sesuatu perkara. Kita perlukan pakar ekonomi, ahli politik, tokoh undang-undang dan anggota lainnya bagi memastikan kepimpinan kita dapat memberikan pandangan dalam semua bidang hasil gabungan semua pihak.

Adalah amat malang jika terdapat setengah pihak merasakan mereka tidak layak menjadi ahli dalam kepimpinan jamaie keran kononnya bukan dari golongan ulamak. Masyarakat yang kompleks, citarasa yang pelbagai, suasana yang tidak menentu menjadikan kepimpinan jamaie anjuran PAS menjadi sangat relevan dan mendepani zamannya dalam memberikan pandangan, menentukan halatuju dan mengilhamkan satu harapan kepada seluruh rakyat Malaysia.

Sidang muktamirin dan muktamirat sekalian,

6. Menekuni gagasan tahalluf siyasiy

Bagi merencanakan program yang lebih baik, tersusun dan jitu, para ulamak terutamanya diharapkan akan dapat membentuk pemikiran baru dalam bidang tahalluf siyasiyy sehingga pemikiran Islam kontemporari, berasaskan akar tunjang al-Quran dan al-hadis, dipayungi oleh pandangan ulamak salaf dan khalaf, membentuk satu bayangan idea yang dapat membayangi keperluan muslim dan non-muslim di negara kita.

Pengalaman PAS semasa membentuk kerajaan campuran, membentuk kerjasama dengan parti-parti kecil, menyelamatkan golongan terbuang dalam Umno sehingga membentuk Angkatan Perpaduan Ummah, mencetuskan GERAK dan Barisan Alternatif dan terkini menganjurkan Pakatan Rakyat.

Pengetahan idea kerajaan perpaduan dan akan ada lagi untuk gagasan seterusnya merupakan satu indikator besar bahawa ulamak dalam PAS tidak pernah ketandusan idea dalam merealisasikan tahalluf siyasiy.

Kepelbagaian bentuk dan pendekatan yang disebutkan di atas menolak pandangan setengah pihak bahawa ulamak PAS adalah beku, jumud, tidak bermaya, tidak pro-aktif dan pelbagai tohmahan yang cuba merosakkkan penampilan ulamak dalam arus politik semasa.

Dengan ini, Dewan Ulamak PAS Pusat menyeru supaya semua pengalaman yang disebutkan di atas diteliti, diperhalusi sehingga terserlah keupayaan kepimpinan ulamak dalam menempuh abad-abad yang mendatang. Kertas tahalluf siyasiy sepatutnya dibincangkan dalam program usrah,tamrin, dan wacana yang diadakan oleh pelbagai peringkat kepimpinan PAS sehingga selepas ini ucapan yang kurang waras tidak lagi dikeluarkan oleh pelbagai pihak terutamanya para petugas dan ahli.

7. Garis Panduan Pelaksanaan Islam di Negeri Pakatan Rakyat.


Dewan Ulamak PAS Pusat dimaklumkan bahawa PAS Pusat telah membentuk Ahli Jawatankuasa yang terdiri daripada pelbagai pihak yang akan membantu PAS di peringkat negeri melaksanakan Islam dalam pelbagai bentuk mengikut keperluan dan kesesuaian setempat.

Memang tidak dapat dinafikan suasana antara negeri-negeri di Malaysia agak berbeza. Negeri Kedah berbeza dengan Kelantan. Perak dan Selangor banyak bezanya. Terengganu juga terdapat banyak perbezaan berbanding negeri lain.

Perlu diingat bahawa antara ciri utama ajaran Islam itu ialah adanya unsur thabat(tetap) dan murunah(fleksibel). Maka, adalah baiknya kita mula senaraikan unsur-unsur murunah yang terdapat dalam ajaran Islam itu untuk dipilih, diolah dan seterusnya dilaksanakan di semua negeri selepas memahami perbezaan undang-undang dan suasana masyarakat setempat.

Yang menjadi masalah kepada sebahagian dari ahli kita ialah kurang kesabaran sehingga apabila kita menang sahaja, terus menghujani kepimpinan dengan persoalan di mana hudud? Qisas? Di mana itu dan di mana ini? Mengapa tidak buat itu, mengapa buat begini? Dan sebagainya sehingga kadang-kadang kita lupa yang kita menjadi kerajaan bukan lagi pembangkang. Bidang kuasa kita terhad, bukannya bebas.

Maka dengan ini, walau apapun alasan dan niat kita, kita masih belum terlambat untuk menyusun semula pentadbiran negeri di bawah kekuasaan kita dengan landasan yang lebih jelas, penyusunan secara lebih tertib dan mengikut awlawiyat, sehingga para penyokong dan ahli kita tahu ke mana hendak dibawa kerajaan kita, bila akan tercapai cita-cita Islam yang kita bawa, mengapa perkara tertentu tidak dapat dilaksanakan dan seterusnya.

Tempoh setahun yang dilalui sudah cukup memberikan kefahaman kepada kita untuk terus bergerak dengan lebih perkasa, keyakinan yang lebih tinggi, kebijaksanaan yang lebih matang untuk meneruskan amanah yang diberikan, sesuai dengan janji dan manifesto pilihan raya yang kita taburkan semasa berkempen secara jamaie atas tiket PAS dan Pakatan Rakyat.

Perwakilan dan pemerhati yang dirahmati Allah.

8. Hubungan dengan non-muslim

Satu lagi isu yang disebut sebagai belum selesai ialah hubungan dengan non-muslim. Dewan Ulamak PAS Pusat yang telah diberikan tanggungjawab bagi membantu PAS terutamanya Majlis Syura Ulamak perlu mengemukakan pandangan baru dan terkini terhadap isu hubungan dengan non-muslim dari pelbagai sudut. Apakah kita perlu terikat dengan tafsiran ulamak silam sahaja dalam isu ini atau kita perlu melihat kepada perkara waqi'ie dan realiti yang ada di Malaysia pada hari ini.

Kita merupakan Parti Islam di dunia pada zaman moden moden ini mengeluarkan pandangan keharusan menerima wanita sebagai pengundi dan bertanding dalam pilihan raya, sedangkan negara di Asia Barat masih lagi membincangkan keharusan mengundi apatah lagi menjadi calon, maka ulamak PAS mempunyai khibrah dan pengalaman untuk menentukan beberapa perkara dasar dalam berinteraksi dengan non-muslim di negara ini.

Saya yakin jika kita dapat mengemukakan garis panduan yang baik, seluruh persatuan dan parti Islam di dunia akan mengambil kira pandangan kita apabila mereka berdepan dengan masalah yang sama di negara masing-masing. Isu seperti yang manakah adat dan yang manakah agama sehingga kita sebagai rakyat Malaysia dapat menyertai perayaan adapt mereka dan mengelak dari menyertai perayaan agama mereka. Apakah yang haram dilakukan oleh rakyat diharuskan pula kepada pimpinan negeri dan negara kerana maslahah atau ianya tetap haram di sisi Islam.

9. Mengukuh hubungan dengan semua pihak

Memang tidak dapat dinafikan bahawa adalah sebuah parti politik Islam. Selain itu seluruh dunia tahu bagawa PAS juga sebuah Harakah Islamiyyah, gerakan Islam yang menjadikan dakwah dan tarbiyah sebagai tunjang utama gerakkannya.

Adalah amat malang jika terdapat segolongan ahli dan pendokong PAS yang tidak mahu berinteraksi apa lagi meneruskan agenda dakwah kepada non muslim dan agenda amar makruf nahi mungkar kepada saudara sesama Islam.

Ibarat kata-kata hikmat Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat,"Kita akan membubarkan PAS jika Umno bersedia hendak mengamalkan Islam dalam hidup bernegara dan masyarakat."

Kita juga berpegang dengan kata-kata hikmah Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang :"kita melawan Umno bukan kerana nama dia Umno, tetapi kerana Umno mengekalkan peraturan dan perlembagaan penjajah."

Sekalipun kita menentang umno, misi dakwah serta amar makruf nahi mungkar tetap disasarkan kepada mereka. Terutamanya pada masa ini, sehingga mereka faham dan akhirnya bersama kita dalam perjuangan ini.

Kita yakin dan percaya walau sejahat atau sefasiq mana pun manusia beragama Islam, mereka tetap berpeluang untuk menerima hidayah dari Allah subhanahu wataala untuk kembali ke pangkal jalan, sesuai dengan doa yang mereka selalu ucapkan 18 kali sehari semalam, "tunjukkan kami jalan yang lurus(benar)."

Hadirin dan hadirat sidang perwakilan dan pemerhati sekalian,

10. Memperkasakan ulamak

Kita mendengar cakap yang kurang enak mengatakan ulamak ingin membolot kepimpinan PAS, tidak mahu berkompromi dengan professional dan macam-macam lagi. Di luar sana, ada di kalangan ahli dan penyokong yang mempertikaikan keupayaan ulamak dalam memimpin dan mentadbir.

Perlu dijelaskan di sini, beberapa kategori ulamak antaranya :


ada ulamak yang berilmu tinggi tetapi tidak cekap mentadbir,
ada ulamak yang berilmu dan cekap mentadbir,
ada ulamak yang kurang ilmu tetapi cekap mentadbir,
ada ulamak yang kurang segalanya,

maka, saya menyarankan agar para ulamak perlu meneruskan usaha meningkatkan ilmu agama dan pengurusan sehingga mereka menjadi golongan kedua iaitu mempunyai ilmu yang tinggi dan tahu mentadbir.

Usaha inilah dinamakan memprofesionalkan ulamak. Jika ulamak, dalam keadaan tertentu masih belum dapat mentadbir dengan baik, adalah menjadi tugas rakan-rakan professional dalam PAS atau ulamak yang kurang ilmunya tetapi boleh mentadbir bersama-sama mendokong kepimpinan ulamak.

Kita tidak ada masa bagi melayan media yang memainkan peranan bagi melemahkan saf kita terutamanya dalam suasana genting para perwakilan ingin membuat keputusan bagi meneruskan agenda perubahan dan persediaan menambah bilangan kerusi di peringkat Dun dan parlimen dalam pilihan raya umum akan datang.

Maka dengan ini, beberapa agenda utama bagi memperkasakan ulamak perlu diberikan perhatian seperti berikut :-

1)Memahami isu dan hal semasa

Adalah malang jika kita hanya berupaya membaca kitab, mentafsirkan alQuran dan hadis dengan banyak tetapi apabila dikemukakan isu-isu semasa terutamanya dalam isu ekonomi, politik, dan social, kita membisu. Al-Quran mengajar kita supaya bertanya kepada pakarnya sebagaimana firman Allah subhanahu wataala :

Maksudnya : "Oleh itu bertanyalah kamu ( wahai golongan Musyrik) kepada orangorang yang berpengetahuan agamajika kamu tidak mengetahui� (Surah an-Nahl : 43)

Begitulah dengan ulamak. Kita tidak boleh lari dari ahli sejarah, politik, ekonomi dan kemasyarakatan kerana mereka memiliki ilmui yang tinggi dalam hal-ahal yang disebutkan. Jika kita dapat terus mengadakan majlis-majlis wacana tentang isu semasa, masalah masyarakat, maka kita akan dapat menjelaskan segala isu yang berkaitan menurut perspektif agama berdasarkan Al-Quran dan hadis.

2) Mengaitkan ilmu dalam kitab dengan hal semasa

Ulamak juga akan menjadi lebih perkasa dan berada di hadapan jika kita mampu menerangkan hujah-hujah yang terdapat dalam kitab-kitab turath berdasarkan keperluan semasa.

Sebagai contoh bagaimana ingin disesuaikan kitab al-Kharaj Abu Yusuf dalam konteks bajet negara? Bagaimana tafsiran baru tafsiran Siyasah Syar'iyyah ibnu Taimiyah dalam konteks di Malaysia?

Memang kita boleh melakukan kerja mudah dengan mengambil dan menaqal pandangan ulamak semasa seperti syeikhul Azhar, Prof Dr Yusuf alQaradhawi, dan lainnya, tetapi mereka tidak berada di medan yang sebenar seperti yang kita alami, mereka tidak menjadi Menteri Besar dan exco dan mereka tidak berdepan dengan non muslim secara terus. Di sinilah letaknya kelebihan kita dan akan terus menjadi kekuatan kita jika kita dapat lakukan cara yang terbaik. Sebab itulah dalam ucapan muktamar yang lalu saya menekankan pentingnya ulamak pelapis kita terus belajar sehingga ke peringkat yang lebih tinggi sehingga ilmu itu dapat diadun dengan baik dan membuahkan hasil yang baik pula untuk kepentingan agama dan perjuangan.

Kami akan pergi dan di tangan tuan-tuanlah PAS akan dikemudikan pada suatu hari nanti, insya-Allah.

3) Meyakinkan ahli dengan idea-idea baru

Sebagai sebuah dewan yang tinggi dalam PAS, kita juga perlu mengikuti perkembangan dalaman parti dan seterusnya membantu kepimpinan dalam mengeluarkan, mempromosikan dan seterusnya mempertahankan idea-idea yang dikemukakan oleh kepimpinan parti.

Sebagai contoh terdekat, ketika YB Datuk Seri Tuan Guru Presiden mengemukakan idea kerajaan perpaduan. Sepatutnya ulamak adalah golongan utama yang menjalankan penyelidikan dan melihat sejauhmana idea ini tersurat dalam lipatan sejarah. Sejauhmana pengalaman dalam negara lain di dunia. Sejarah menunjukkan bagaimana presiden kita mempunyai pembacaan yang luas, ijtihad politik yang tinggi yang memerlukan sokongan kita.

Selepas sedikit kajian dibuat, didapati Afrika Selatan dan Indonesia adalah antara negara yang awal mengamalkan konsep negara perpaduan selepas United Kingdom pada suatu masa dahulu selepas Perang Dunia Pertama .

Penjelasan dari perspektif syarak yang digabungkan dengan pendapat cendekiawan politik semasa akan dapat membantu mengukuhkan idea Presiden yang juga seorang ulamak. Ini sekadar contoh apa yang berlaku pada sesi yang lalu.

4) Pembantu yang dapat membina imej

Sebagai sebuah parti yang sedang meningkat maju kita juga memerlukan pembantu yang dapat meningkatkan imej kepimpinan dan Dewan Ulamak. Maka dalam konteks inilah, kehadiran pelbagai golongan sebagai pembantu Dewan Ulamak seperti pakar komputer, pengajian media dan komunikasi, ahli sumber manusia dan pembangunan manusia amat diperlukan.

Mereka diharap dapat membantu menaikkan imej ulamak terutamanya Dewan Ulamak di peringkat pusat dan negeri sehingga mencapai kedudukan yang baik dan sihat dalam pemikiran masyarakat Malaysia yang muslim dan non-muslim.

5 ) Menyampaikan idea dalam media PAS

Saya tekankan hari ini kerana dengan kecanggihan teknologi sekarang ini, terdapat segolongan kecil dari penyokong PAS yang cuba memperkecilkan dan yang lebih teruk lagi menidakkan sumbangan dalam memajukan parti kita.

Yang lebih malang mereka menggunakan teknologi canggih seperti ruangan blog, facebook, list group, selain media elektronik lain untuk memburukkan peribadi, menyerang ulamak, atas nama kebebasan yang melulu tanpa batasan akhlak dan syarak.

Penutup

Hadirin dan hadirat sidang perwakilan dan pemerhati sekalian,

Secara ringkasnya, sebelum saya merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Ulamak PAS Pusat kali ini, suka saya mengingatkan sekali lagi betapa pentingnya ulamak meneruskan perjuangan para nabi. Untuk membolehkan kita berjuang sebagai pewaris nabi-nabi, kita hendaklah terlebih dahulu melengkapkan diri dengan ketokohan ulamak dalam segenap aspek dan sanggup memimpin perubahan dalam diri kita daripada malas membaca kepada sentiasa membaca, daripada terlalu banyak bercakap kepada bercakap dan mendengar. Para ulamak perlu memberikan ruang masa untuk melakukan kajian dan jangan rehat daripada melakukan kajian-kajian ilmiah untuk kepentingan agama.

Jika kita mempunyai kualiti seorang pemimpin barulah kita akan dapat menjadi pemimpin yang baik dan diterima umum. Gunakanlah pengalaman kita semasa menjadi ahli dewan undangan negeri, semasa memimpin persatuan, NGO dan lainnya sehingga kita dilihat mempunyai kualiti kepimpinan walaupun biasanya ulamak memiliki ciri itu lebih dari sebahagian yang lain.

Dengan lafaz Bismillah, saya dengan ini merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Ulamak PAS Pusat kali ke-48. - azm

Selamat bermuktamar.

Takbir !...Allahu akbar
Takbir !...Allahu akbar
Takbir !...Allahu akbar

Akhukum fil Islam,

Muhammad Daud Iraqi

Monday, June 8, 2009

KERTAS KERJA : MEMPERKUKUHAKN KEPIMPINAN 'ULAMAK

Sempena Sambutan Jubli Perak Kepimpinan Ulamak
28 Jamadilawal 1430 / 23 Mei 2009
Dewan Dato' Fadzil Noor, Markaz Tarbiyah PAS,
Taman Melewar, Kuala Lumpur.

Di bentang oleh : Prof. Dr. Haron Din (Timbalan Mursyidul 'Am PAS )

1.0 PENDAHULUAN

Kepimpinan adalah suatu perkara yang penting di dalam masyarakat manusia, justeru kepimpinan yang baik boleh membawa mereka kepada kebaikan dan kepimpinan yang buruk boleh membawa mereka kepada keburukan.

Islam adalah agama yang sangat menitikberatkan soal kepimpinan sebagaimana yang dapat dilihat di dalam sejarah Islam, bukan sahaja bermula pada zaman Nabi kita Muhammad S.A.W, tetapi sudah bermula sejak sekian lama.

Persoalan realiti, keperluan, perlaksanaan, penghayatan kepimpinan menurut garis panduan Islam sangat penting untuk dibincangkan dalam konteks perlaksanaannya di dalam gerakan Islam, khususnya PAS pada hari ini.

Kemenangan PAS dan perkembangan positif oarti tersebut menjadikan cabaran yang dihadapi oleh parti semakin besar, terutama cabaran dalaman apabila kebanjiran ahli-ahli baru yang akhirnya boleh mencorakkann hala tuju PAS itu sendiri.

Kertas kerja ini akan mengupas tentang realiti Kepimpinan 'Ulamak, sumber atau penggagasannya, kepentingan serta prlaksanaannya pada vrealitinya bersesuaian dengan kehendak asal Islam itu sendiri.


2.0 GAGASAN KEPIMPINAN 'ULAMAK

Persoalan yang pertama dilontarkan di sini ialah, siapakah yang menggagasakan kepimpinan 'ulamak?

Apabila kita mengkaji secara halus dan mendalam, kita dapati kepimpinan 'ulamak bukanlah idea dari 'ulamak, pemuda atau golongan tertentu dalam parti, tetapi asal mata air kepimpinan 'ulamak ini adalah gagasan daripada Islam itu sendiri.

Bagi yang beranggapan bahawa kepimpinan 'ulamak adalah gagasan golongan tertentu di dalam parti adalah tanggapan yang salah justeru kita dapat melihatnya dengan jelas melalui realiti rasul-rasul, sirah Rasulullah S.A.W dan perbahasan hukum kepimpinan dan perlantikannya di dalam kitab-kitab feqah. Ksemuanya menjurus kepada peri pentingnya kepimpinan 'ulamak.

3.0 REALITI RASUL-RASUL

Rasul-rasul yang dimaksudkan ialah manusia yang wajib menyampaikan wahyu yang diterimanya daripada Allah justeru tugas penyampaian wahyu iman ini adalah tugas wajib diteruskan oleh umat Nabi Muhammad S.A.W. ianya berlainan dengan Nabi-Nabi yang tidak wajib menyampaikan wahyu yang diterimanya daripada Allah seperti Nabi Khaidir 'Alaihissalam.

Menyampaikan wahyu di sini dalam erti kata yang lebih mudah difahami ialah menegakkan agama Allah di muka bumi. Ini bukanlah bermakna Nabi tidak wajib menegakkan agama, tetapi kebiasaannya nabi diutuskan di zaman wahyu sudah tertegak seperti nabi Khaidir yang sezaman dengan Nabi Musa a.s.

Realiti 25 Rasul-rasul yang disenaraikan dan diceritakan secara terperinci oleh Al-Qur'an dan Sunnah Rasulullah S.A.W mereka adalah pemimpin-pemimpin utama negara yang memimoin politik umat manusia di zamannya.

Nabi S.A.W bersabda mafhumnya ;

" Nabi-Nabi adalah politik pemimpin-pemimpin Bani Israel "

Kebanyakan Rasul-rasul terdahulu bukan sahaja menjadi pemimpin biasa, tetapi menjadi pemimpin nombor satu negara. Antara Rasul-Rasul yang menjadi pemimpin nombor satu negara ialah Nabi Sulaiman dan Nabi daud a.s yang memerintah Palestin, Nabi Musa selepas menjatuhkan Fir'aun di Mesir, Nabi-Nabi yang terlebih dahulu termasuk Nabi Adam a.s, Nabi Nuh dan lain-lain.

Di sana terdapatNabi yang memimpin sekalipun bukan menjadi pemimpin nombor satu seperti Nabi yusuf a.s.

Tuntasnya, Rasul-Rasul yang diceritakan secara terperinci oleh Al-Qur'an Al-Karim adalah pemimpin-pemimpin politik umat di zamannya, dan bukan menjadi penasihat suci sebagaimana peranan pendeta agama dalam gambaran-gambaran sejarah barat.

Pemimpin-pemimpin politik bermaksud, secara langsung menjadi pencorak kepada kepimpinan negara dan mempunyai kuasa menentukan, bukan sebagai penasihat yang hanya berkuasa menasihati tanpa kuasa pemutus. Jika nabi-nabi tidak boleh berbuat demikian, atau tidak dihalang berbuat demikian, mereka akan menjadi pemimpin pembangkang sebagaimana Nabi Ibrahim, Yahya, Zakaria, Nabi 'Isa dan lain-lain.

Sebahagiam Nabi-Nabi yang lain tidak diperincikan kedudukannya dalam pemerintahan justeru gambaran pemerintahan di zamannya agak kurang terperinci. Justeru itu, ianya tidak boleh di ambil pengajaran kerana kekurangan maklumat berkaitannya.


4.0 RASULULLAH S.A.W ADALAH PEMIMPIN

Rasulullah S.A.W adalah rasul terakhir yang diutuskan oleh Allah S.W.T yang tiada lagi rasul selepasnya. Segala tutur katanya, perbuatan dan ikrar Baginda rasul S.A.W adalah dianggap sebagai sumber pensyari'atan bagi umat beriman akhir zaman.

Kehidupan dan cara hidup Rasulullah S.A.W menjadi tauladan terbaik bagi golongan beriman.

Firman Allah yang bermaksud ;

"Adalah bagi kamu pada diri Rasulullah S.A.W itu contoh terbaik"

Antara tauladan yang terpenting ialah, rasulullah S.A.W adalah ketua politik sama ada sebelum hijrah ketika menentang pemerintahan Quraysh di Makkah dan selepas hijrah ketika menjadi ketua negara menerajui negara Madinah Al-Munawwarah.

Inilah Rasullullah, menjadi penerus kepada Nabi-Nabi terdahulu yang bukan sahaja menjadi pemimpin 'ibadat tetapi mereka adalah pemimpin politik.

Rasulullah bukan penasihat politik sebagaimana rasul-rasul terdahulu bukan menjadi penasihat politik, mereka adalah pemimpin politik dalam erti kata pemutus kepada hala tuju organisasi Islam, menentukan mana yang boleh dan mana yang tidak boleh, dan mereka bukannya menjadi penasihat yang bersifat pemberitahu tetapi tidak mempunyai kuasa dan autoriti menyuruh dan melarang.


5.0 KEPIMPINAN KHULAFA' AR-RASYIDIN ADALAH DI KALANGAN 'ULAMAK SABAHAT

Selepas wafatnya Rasulullah S.A.W, maka tiada lagi nabi selepasnya. Maka yang menjadi galang ganti kepada tugasan Bainda S.A.W sebagai pemimpin politik atau pemimpin organisasi umat Islam ialah golongan 'Ulamak. Ini kerana mereka adalah pewaris Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul a.s.

Rasulullah S.A.W bersabda mafhumnya ;

" Sesungguhnya 'Ulamak itu adalah pewaris para Nabi "

Bagi mencapai maksud perlaksanaan perintah Allah S.W.T, pemegang kepada amanah ilmu samawi, atau dengan kata lain mereka-mereka yang memahami wahyu samawi adalah golongan yang utama memegang tampuk pemerintahan dan ketua organisasi Islam.

Di zaman Nabi-Nabi dan Rasul-rasul, mereka adalah yang utama untuk memegang amanah tersebut sebagaimana yang ditunjukkan di atas.

Di zaman ketiadaan nabi, maka golongan mewarisi ilmu tersebut adalah golonga yang utama memgang dan menerajui organisasi umat islam. Sabda Nabi S.A.W yang bermaksud ;

" Sesungguhnya nabi-nabi tidak mewariskan dinar dan dirham, tetapi mereka mewariskan ilmu."

Oleh itu, yang memegang teraju pemerintahan di zaman Rasulullah S.A.W ialah di kalangan fuqaha' as-sohabah, iaitu sahabat Nabi yang memahami hukum-hakam yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W.

Di sana ada sahabat yang pakar dalam peperangan, ada sahabat yang pakar dalam bidang pembuatan, ada sahabat yang pakar dalam perniagaan, ada sahabat yang pakar dalam pembinaan. Tetapi yang terpilih menjadi pemimpin di zaman khulafa' ar-rasyididn ialah sahabat yang pakar dalam hukum-hakam yang digelar sebagai fuqoha' as-sohabah.

Sememangnya sahabat Khulafa' Ar-Rasyidin berdamping dengan nabi dalam tempoh yang lama seperti sayyidina Abu Bakar yang merupakan khalifah pertama, tetapi perlantikan mereka sebagai khalifah selepas itu bukan atas dasar tersebut, tetapi atas dasar ke'ulamak'kannya atau keilmuannya tentang hasil daripada perdampingan mereka dengan Nabi Muhammad S.A.W yang akhirnya menjadikan mereka lebih memahami daripada sahabat yang lain yang tidak berdampingan.

selain daripada sahabat yang sebahagian besar 'ulamak mengletegorikannya sebagai khulafa' ar-rasyidin yang boleh menjadi sumber penghujahan syari'at ialah 'Umar Bin 'Abdul Aziz. Sekalipun beliau bukan kalangan sahabat, tetapi beliau adalah di kalangan di zaman tabi'iin. Umar Bin Abdul 'Aziz yang terkenal dengan keadilan dan pemerintah yang baik yang membawa kepada pembangunan besar kepada negara Islam adalah seorang dari fuqoha' atau 'ulamak justeru banyak ijtihad-ijtihad hukum beliau dijadikan rujukan oleh imam-imam mazhab yang datang kemudian.

Kepentingan ilmu agama di dalam memenuhi pra-syarat menjadi pemimpin organisasi Islam jelas tergambar melalui kata-kata sayyidina 'Umat Al-Khattab maksudnya ;

" Dalamilah ilmu agama sebelum kamu dilantik menjadi pemimpin "


6.0 'ULAMAK ADALAH PEMERINTAH TERTINGGI

Daripada sejarah RAsul-rasul, teladan Nabi kita Muhammad S.A.W dan teladan daripada khulafa' ar-rasyidin menunjukkan bahawa pemimpin-pemimpin orgnisasi golongan beriman adalah golongan yang mengetahui agama atau diistilahkan sebagai 'ulamak tau fuqaha'.

Rasul-rasul terutamanya Nabi Kita Muhammad S.A.W sememangnya menjadi hujah yang cukup kuat untuk para imam-imam mazhab dan fuqaha' selepas zaman sahabat menjadikan sebagai sumber bagi meletakkan syarat pengetahuan agama sebagai pa-syarat penting yang ada pada seseorang pemerintah Islam.

Di samping itu, realiti para fuqaha' atau dengan istilah lain sahabat yang 'ulamak di zaman khulafa' ar-rasyidin juga menjadi sumber kepada imam-iman mazhab dan dan fuqaha' selepas zaman sahabat bagi meletakkan syarat pengetahuan agama sebagai pra-syarat penting yang ada pada seseorang pemerintah Islam berdasarkan sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud ;

" Kamu mesti berpegang dengan sunnahku dan sunnah khulafa' ar-rasyidin."

Oleh itu, ketika membicarakan syarat pemerintah dan pemimpin, boleh dikatakan semua mazhab dan semua imam meletakkan ilmu dan kefahaman agama sebagai pra-syarat penting seseorang pemimpin Islam.

Disamping faktor ilmu yang boleh membentuk keperibadian yang baik, faktor yang lebih utama daripada itu ialah faktor memastikan hala tuju negara Islam dan gerakan Islam di kedudukan selari dengan kehendak wahyu ilahi. Bagi mencapai tujuan tersebut, kefahaman mereka terhadap maksud dan kehendak wahyu menjadikan mereka golongan berkelayakan memegang tampuk tersebut.

Selain daripada amalan rasul-rasul dan khulafa' ar-rasyidin tidak boleh menjadi hujah tentang keutamaan bukan 'Ulamak menjadi pemimpin.

Kedapatan Kahlifah di dalam kerajaan islam Umawiyyah, 'Abbasiyyah dan 'Uthmaniyyah di kalangan bukan 'ulamak tidak boleh dijadikan hujah tentang sifat-sifat keutamaan pemimpin Islam bagi merungkaikan atau membatalkan atau mentakwilkan apa yang telah digariskan oleh kitab-kitab feqah tentang syarat-syarat seorang pemimpin umat Islam. Justeru selain Al-Qur'an dan As-Sunnah, sumber dan panduan syari'at ialah perlaksanaan Rasul terdahulu, Sunnah rasulullah S.A.W sendiri dan perlaksanaan khulafa' ar-rasyidin.

Justeru itu kita tidak boleh merujuk kepada individu kahlifah yang bukan 'ulamak di dalam pemerintahan Umawiyyah, 'Abbasiyyah dan 'Uthmaniyyah untuk mengatakan bahawa 'Ulamak tidak semestinya menjadi pemerintah.

Apatah lagi untuk kita menjadikan perlaksanaan gerakan sekarang seperti Ikhwanul Muslimin dan lain-lain adalah sandaran tidak semestinya 'ulamak menjadi pemimpin gerakan Islam.

Ini kerana panduan dalam gerakan Islam ialah sumber hukum itu sendiri, bukan realiti umat islam yang kita kagumi.


7.0 'ULAMAK ADALAH SYARAT TERPENTING KEPIMPINAN


Daripada sumber syari'at dan realiti rasul-rasul dan khulafa' ar-rasyididn yang dinyatakan di atas, 'Ulamak-'Ulamak menyebut syarat pengetahuan agama sehingga membolehkan seseorang berijtihad adalah syarat utama kelayakan seseorang menjadi pemerintah Islam.

Imam Sayuti contohnya menyebut di dalam kitab Al-Ahkam As-Sultaniyyah maksudnya ;

"Syarat kedua ( daripada syarat-syarat pemimpin ) ialah ilmu yang boleh membawa kepada berijtihad dalam perkara semasa dan hukum-hukum."

Prof. Dr. Wahbah Az-Zuhaili di dalab Fiqhul Islami menggambarkan kesimpulan kesepakatan 'ulamak tentang syarat 'alim atau 'Ulamak sebagai pemerintah, beliau berkata;

" Dimaksudkan Ilmu yang mencukupi (sebagai syarat menjadi pemimpin) ialah orang-orang yang mempunyai pengetahuan yang boleh membawa ijtihad dalam perkara segera yang berkait dengan perkara semasa dan beristinbat dengan hukum syari'at dan lainnya berkenaan hal ehwal politik sebagaimana perintah syariat. Syarat ini adalah syarat yang disepakati 'ulamak. seseorang tidak dianggap 'alim dan mampu berijtihad melainkan apabila ia mengetahui hukum hakam syari'at, cara-cara istinbat daripada empat sumber syari'at iaitu Al-Qur'an, As-Sunnah, Ijma' dan Qias. Ia juga mesti mengetahui hal ehwal semasa dan apa-apa perubahan yang berlaku serta perkembangan politik, ekonomi kesyarakatan dan kebudayaan."

Hatta jika kita melihat kepada hadith Rasulullah S.A.W, bahawa yang terpilih di zaman jahiliyyah juga terpilih di zaman Islam tetapi dengan syarat ianya mestilah seorang faqih atau faham.

Sabda NAbi S.A.W :

Maksudnya : " Yang terpilih di zaman jahiliyyah juga terpilih di zaman islam apabila dia faqih atau faham."


8.0 KEPIMPINAN 'ULAMAK WASILAH PERLAKSANAAN HUKUM ISLAM

Daripada perbincangan di atas, dapat disimpulakn bahawa kepiminan 'ulamak adalah wasilah bagi melaksanakan hukum Islam justeru di sebalik perjuangan Islam ialah menegakkan hukum hakam Islam.

Sekalipun ianya adalah wasilah bagi perlaksanaan hukum Islam, ia tidak bererti syarat 'ulamak boleh dirungkaikan atau dibuang daripada syarat kepimpinan pada masa sekarang kerana kita berpandangan perlaksanaan hukum Islam boleh dilaksanakan dengan melantik penasihat di kalangan 'ulamak.

Apabila syarat itu mempunyai nas dan sandaran daripada islam itu sendiri sekalipun ia wasilah, perlaksanaannya tetap menjadi tuntutan dan tidak boleh dirungkaikan sekalipun diraskan matlamat boleh dicapai tanpanya. Sebagaimana memperbanyakkan kutipan zakat adalah wasilah untuk membantu golongan yang memerlukan, dan apabila harta zakat suadh banyak terkumpul dan orang yang memerlukan sudah terbela, zakat tetap diwajibkan dan tidak boleh dirungkaikan atau dihapuskan kewajiban justeru matlamat sudah tercapai. Ini kerana, wasilah ini sendiri dinaskan tuntutannya sebagai syarat 'ulamak juga dinaskan tuntutannya.


9.0 MELAKSANAKAN ISLAM TANPA 'ULAMAK SEBAGAI KUASA PENENTU ADALAH SESUATU YANG HAMPIR MUSTAHIL.

Adalah hampir mustahil sesuatu organisasi Islam boleh melaksanakan Islam tanpa mendapat garis panduan daripada 'ulamak.

Jika panduan 'Ulamak dianggap sebagai nasihat yang boleh diterima dan ditolak, disini pada kebanyakan keadaan akan mewujudkan pertembungan antara 'ulamak dan pemimpin sebagaimana yang berlaku di antara Hajjaj Bin Yusof dan Imam Said Al-Musayyab, antara Sultan Zaher Bebros dan Imam Nawawi dan lain-lain pertembungan.

Pernah terjadi helah di zaman bani israel, di mana golongan Al-Mala' atau pembesar-pembesar Bani Israel memohon semoga Allah melantik seorang pemimpin yang boleh memimpin mereka dalam peperangan. Akhirnya Allah perkenankan melaluilidah Nabi Syam'un bahawa Allah melantik Talut menjadi pemimpin.

Pembesar-pembesar ini pada peringkat awal menjangkakan Allah akan melantik salah seorang di kalangan mereka untuk menjadi pemimpin disebabkan mereka kaya dan bangsawan. Perasaan Hubbu Ar-Risalah inilah yang menjadikan pembesar-pembesar ini merasakan tidak senang dengan perlantikan Talut yang menyebabkan peluang mereka menjadi pemimpin tertututp sama sekali.

Tetapi golongan pembesar ini tidak boleh menolak lantikan Allah sebab masyarakat Bani Israel beriman kepada perintah Allah. Apabila mereka berkata : Kami tidak bersetuju dengan lantikan Allah kesannya Bani Israel akan menolak mereka.

Syam'un sebagai nabi yang memahami maksud wahyu menyatakan bahawa Allah melantik Talut menjdi pemimpin disebabkan jasad yang kuat dan ilmunya banyak. Akhirnya Allah membuktikan kepada kaum Bani Israel bahawa talut lantikan daripada Allah, bukan lantikan daripada Nabi Syam'un dengan menunjukkan kotak tabut yang berada di tangan musush terbang pergi kepada Talut dalam perhimpunan di sat padang.

Dalam ayat surah Al-Baqarah ayat 246-252 dapat disimpulkan bahawa, perlantikan Talut adalah disebabkan ke'alimannya dalam pelbagai sudut ilmu termasuk keilmuan tentang hukum kitab Taurat dan perlantikan Talut ini disampaikan atau diendorsekan oleh seorang tahu wahyu iaitu Nabi Syam'un.

Tetapi golongan pembesar yang sebenarnya mempunyai keinginan untuk menjadi pemimpin menolak perintah perlantikan daripada Allah S.W.T dengan alasan ini adalah lantikan daripada Talut, bukan Allah S.W.T.

Kita perlu membimbangi tanpa ada su'uzzhan ( sangka buruk )kepada sesiapa bahawa golongan ini juga boleh ada di dalam gerakan kita dengan berhelahkan kepimpinan 'ulamak boleh ditolak dan dipertikaikan kerana ianya gagasan dan idea ciptaan golongan 'ulamak, bukan idea daripada Islam itu sendiri guna menafikan kepimpinan mesti 'ulamak justeru mereka bukanlah 'ulamak.

Sekalipun PAS bukanlah parti yang memerintah negara, tetapi realiti politik semasa pada hari ini memerlukan PAS dipimpin oleh 'ulamak bagi memastikan pergerakan, dasar pelaksanaan, keputusan-keputusan segera selari dengan kehendak Islam terutama siyasah syar'iyyah.


10.0 PELUANG MENJADI PEMERINTAH DI KALANGAN SELAIN 'ULAMAK

Selepas kita dapat melihat dengan jelas, bahawa 'ulamak bukan digagaskan oleh mana-mana pihak dalam parti tetapi digagaskan oleh Islam itu sendiri.

Justeru itu, kita mestilah memastikan yang dilantik menjadi pemimpin adalah dikalangan 'ulamak.

Dari sini, timbul beberapa isu seperti golongan bukan 'ulamak tidak diberikan peluang kemuliaan untuk berkhidmat menjadi pemerintah tertinggi gerakan Islam.

Persoalan seperti ini sebenarnya timbul hasil dan akibat daripada tidak memahami atau tidak merujuk kepada fundamental atau asas utama penglibatan diri dengan gerakan Islam.Di mana pentarbiyahan Islam yang diajarkan oleh nabi S.A.W adalah :

10.1 Pengkat dan kedudukan bukan satu kemuliaan sebagaimana hadith Nabai S.A.W yang bermaksud :

"(kepimpinan) ia adalah suatu amanah. Sesungguhnya kepimpinan itu pada hari kiamat kelak suatu kehinaan dan penyesalan. Kecuali orang yang mengambil dengan haknya."

Justeru itu, tidak ada istilah dalam gerakan Islam : tidak diberikan peluang mendapat kemuliaan untuk berkhidmat di peringkat tertinggi.

10.2 Memegang jawatan apabila perlu dan bukan mengambil sikap meminta jawatan. Sabda Nabi S.A.W kepada dua orang sahabat yang meminta jawatan sebagai gabenor di Yaman yang bermaksud :

" Kami tidak akan melantik orang yang mahukan jawatan bagi melaksanakan tugas-tugas ( pemerintahan ) kami."

10.3 Kita ditarbiyyah dengan bersyukur apabila tidak diberikan amanah kepimpinan yang berat. Ini tidak bermakna kita lari daripada jawatan tanpa menhiraukan siapa yang akan menyandangnya. Oleh itu barang siapa merasakan sedih, hiba dan rendah diri apabila tidak dilantik merupakan orang yang sedang diuji oleh Allah. Ujian itu aada kemaslahatannya.


11.0 DAYA TAHAN DAN DAYA MAJU DALAM PEMERINTAHAN 'ULAMAK


Pemerintah-pemerintah Islam dari kalangan fuqaha' yanng 'alim agama membuktikan pemerintahan mereka maju dan berkembang berbanding pemerintahan golongan yang berfikiran politik semata-mata. contohnya seperti pemerintahan 'Umar Bin Abdul Aziz, pemerintahan Sultan Muhammad Al-Fateh yang membuka kota costantinapole.

Jarang yang kita menyedari bahawa Sultan Muhammad Al-Fateh adalah seorang 'ulamak yang agung justeru guru-guru kepada beliau sedari kecil adalah 'ulamak-'ulamak yang muktabar di zamannya. Beliau adalah seorang yang menghafaz Al-Qur'an dan mempelajari serta mahir berkaitan hukum empat mazhab.

Di dalam sejarah PAS sendiri, kepimpinan 'ulamak yang sudah sekian lama menyaksikan PAS dapat berhadapan dengan arus semasa sehingga PAS dapat bertahan dan berkembang dari masa ke semasa. Dalam sejarah PAS pernah menyaksikan teraju pemerintahan PAS dipegang oleh bukan 'ulamak sehingga menyaksikan zaman kelam-kabut yang berlaku di dalam PAS.


12.0 PERLAKSANAAN KEPIMPINAN 'ULAMAK DI DALAM PAS : SEJARAH, REALITI DAN CABARAN.

Sama ada sedar atau tidak, sama ada terdapat dalam perlembagaan atau tidak PAS sebenarnya ditadbir, dipimpin oleh golongan 'ulamak sejak dari awal penubuhannya. Pengalaman ini jika dilihat adalah titik tolak daripada kefahaman perjuangan Islam yang disambung daripada perjuangan terdahulu yang sumber asalnya adalah daripada perjuangan Rasulullah S.A.W.

Sekalipun pernah berlaku kepimpinan di dalam PAS oleh golongan bukan 'ulamak pada tahun 70an, tetapi kesan daripada krisis dalaman yang berlaku di era tersebut akhirnya dilihat PAS perlu dikembalikan kepada kepimpinan 'ulamak secara rasmi. Justeru itu, dalam muktamar PAS pada 28 Oktober 1982 di Dewan Bahasa dan Pustaka dengan rasmi mengumumkan peri pentingnya kepimpinan 'ulamak dalam PAS.

Selaras dengan mesyuarat Syura 'Ulamak yang bersidang pada 10 mei 2009 di Pejabat Agung PAS yang dihadiri oleh seluruh Ahli Majlis Syura (kecuali seorang sahaja kerana keuzuran ) telah membuat keputusan sebulat suara iaitu;

"..buat masa ini, Majlis Syura 'Ulamak PAS menyarankan kepada kebijaksanaan para perwakilan Muktamar, untuk memilih pucuk pimpinan parti seperti yang telah diputuskan dalam Muktamar 28 Oktober 1982 dahulu iaitu PAS mengamalkan dasar kepimpinan 'ulamak.."


13.0 CADANGAN BEBERPA PELAKSANAAN

Akibat kebanjiran masyarakat menyertai PAS dan PAS sendiri semakin menggugat kedudukan kerjaan pada hari ini, menjadikan PAS satu wadah yang cukup diminati oleh mereka yang inginkan keadilan dan tidak mustahil oleh mereka yang memusuhi PAS itu sendiri.

Oleh itu saya mencadangkan beberapa perkara berikut :

13.1 menerapkan perlantikan kepimpinan PAS berdasarkan perlantikan kepimpinan sebagaimana kitab feqah.

Sistem perlantikan pada hari ini ditentukan oleh majoriti yang diambil secara bulat-bulat daripada sistem demokrasi tanpa terdapat kaedah tersendiri yang kuat boleh menjadikan PAS boleh dikuasai oleh musush Islam daripada luar kerana :

13.1.1 Sesiapa sahaja di kalangan ahli PAS layak bertanding diperingkat tertinggi sebagaimana yang digariskan oleh perlembagaan. Ini menjadikan musuh dalam yang dirancang oleh musush luaran berpeluang menduduki tampuk kepimpinan tertinggi parti.

13.1.2 Keahlian PAS boleh menerima sesiapa sahaja yang Islam dan mereka adalah penentu kepada kepimpinan PAS itu sendiri. Ini akan membuka peluang besar kepada UMNO atau musuh luar negara untuk meramaikan ahli PAS bagi tujuan mempengaruhi pemilihan PAS atau memenangkan musuh Islam yang sedang berada di dalam. Sehingga kini kita tidak mempunyai mekanisme khusus bagi dijadikan perisai menghadapi musuh kerana strategi ini dilakukan oleh Amerika syarikat di dalam organisasi Islam di peringkat dunia.

13.1.3 Faktor kemenangan dalam pemilihan parti ialah kekerapan liputan dalam akhbar parti seperti Harakah dan Siasah atau media-media lain. Justeru itu, musuh berpeluang besar mempromosikan individu-individu tajaan mereka bagi mendapatkan kemenangan dalam pertandingan parti.

Justeru itu, sudah samapi masanya PAS perlu meletakkan satu garisan yang jelas cara perlantikan berdasarkan perlantikan kepimpinan kerana dalam kitab-kitab feqah menjelaskan sejelas-jelasnya bahawa :

a) Pemimpin tertinggi mestilah 'ulamak. Dalam konteks ini perlu difikirkan manakah portfolio penting yang mesti dipegang oleh 'ulamak.

b) Pengesahan jawatan pemimpin juga dilakukan oleh 'ulamak. Ini jelas melalui perbincangan syarat Ahlul Halli Wa Al-'Aqdi dan syarat Ahlul-Ikhtiar. Dalam konteks PAS, perlu dibuat pembaharuan kepada :

i) Calon-calon pemilihan PAS : calon-calon ini perlu disemak kelayakan oleh Majlis Syura 'Ulamak sebagaimana semakan calon pilihanraya.

ii) Endorsement Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang dilantik dalam muktamar : Calon-calon yang dilantik dalam muktamar hanya valid atau sah secara rasmi selepas mendapat endorsement atau kelulusan rasmi daripada Majlis Syura.

c) Meletakkan syarat kelayakan mereka yang bertanding di dalam pemilihan PAS berpandukan kepada portfolia yang ditandingi. Kelayakan (qualification) ini bukan direka oleh 'Ulamak atau Majlis Syura 'Ulamak, tetapi ia mestilah diadaptasikan daripada syarat kelayakan yang digariskan di dalam kitab feqah supaya syarat kelayakan ini tidak dituduh bias kepada mana-mana pihak.


13.2 Menerangkan maksud 'ulamak yang layak memegang jawatan.

Apabila isu kepimpinan 'Ulamak berbangkit, ramai yang telah mula mencuba mentafsirkan maksud dan erti 'ulamak yang layak memimpin.

Pada hari ini, banyak pihak cuba membuat tafsiran terhadap maksud 'ulamak yanng layak memimpin. Yang paling banyak ialah blogger-blogger yang terdiri daripada pemerhati luar atau ahli PAS di pinggiran.

Mereka ini mempunyai pengaruh tersendiri terhadap pemikiran ahli PAS yang akhirnya menjadikan ahli PAS yang bersetuju dengan perlunya kepimpinan 'Ulamak silap melaksanakan maksud kepimpinan 'ulamak.

Pada hari ini sudah timbul tafsiran bahawa sesiapa sahaja boleh jadi 'ulamak asalkan dia ada kepakaran (specialist) dalam bidang tertentu, ada pula berpendapat 'ulamak ialah 'ulamak yang bertaqwa sahaja dan sebagainya.

Mereka mentafsirkan erti 'ulamak mengikut fahaman dan kecenderungan mereka tersendiri. Di sini akan mendedahkan hala tuju kepimpinan PAS dibentuk oleh fahaman-fahaman pelbagai yang akhirnya mencorakkan kepimpinan PAS itu sendiri.

Adalah tidak seyugia apabila Al-Qur'an memerintahkan sesuatu hukum, kemudian ayat berkaitan hukum itu ditafsirkan oleh kehendak dan kefahaman ramai, bukan ditafsirkan oleh kehendak Al-Qur'an itu sendiri.

Contohnya, apabila seseorang berkata l saya percaya dan berpegang makan bangkai itu adalah haram dan saya akan menjauhinya. Kemudian ia menafsirkan maksud dan makna bangkai menurut kefahaman 'urufnya tersendiri, iaitu bangkai yang diharamkan ialah binatang yang mati busuk ditepi jalan. Penafsiran maksud bangkai dibuat tanpa merujuk kepada maksud sebenar bangkai dalam aat tersebut menjadikannya berpandangan bahawa ayam yang tidak disembelih boleh dimakan sebab ia bukan bangkai menurut definasi 'uruf yang difahaminya.

Justeru itu, tidak mustahil akan ada golongan yang memahaminya bahawa pentingnya kepimpinan 'ulamak, tetapi berpandangan bahawa sesiapa sahaja yang ada kepakaran (specialist) boleh menjadi 'ulamak yang menerajui PAS.


14.0 PENUTUP


Kesimpulan daripada perbincangan kertas kerja ini ialah :

14.1 Kepimpinan 'Ulamak bukan gagasan atau idea mana-mana pihak, tetapi ia adalah idea daripada islam itu sendiri.

14.2 kepimpinan 'ulamak penting di dalam perjuangan Islam kerana ia adalah instrument atau alat teknikal yang mematikan perlaksanaan Islam.

14.3 Perjuangan Islam yang pemimpinnya bukan dari kalangan 'ulamak berada di satu lembah, kemudian 'ulamak pla menjadi penasihat yang tidak berautoriti berada di satu lembah yang lain, maka realiti ini boleh mengundang krisis dalaman yang teruk di dalam parti itu sendiri.

14.4 Perlu melakukan beberapa tindakan drastik segera iaitu ;

14.4.1 Menerangkan dengan menganjurkan penerangan berkenaan kepimpinan 'Ulamak.

14.4.2 Menerangkan keputusan muktamad (binding decision) berkenaan teknikal pemilihan parti yang boleh memastikan terlaksana kepimpinan 'ulamak sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam. Cadangan ini termasuklah menetapkan portfolio-portfolio penting yang perlu dipegang oleh 'ulamak.

14.4.3 Membuat manual atau panduan kelayakan calon bertanding di dalam pemilihan parti.

14.4.4 Membuat pendefinasian atau pentakrifan rasmi maksud perkataan 'ulamak sebagaimana yang dikehendaki daripada maksud kepimpinan 'ulamak.


Sekian, Wassalam

Prof. Dato' Dr. Haron Din
Timbalan Mursyidul 'Am PAS