About Me

My photo
Anak Bapak Al-Banjary Al-Asya'iry As-Syafi'iy, Dilahirkan pada tanggal 1hb Januari 1983 di Kg Parit Satu Sungai Sireh, Tanjong Karang, Selangor Darul Ehsan, seorang Melayu berketurunan Banjar suku Alai, Kini bersama PAS Kawasan Tanjong Karang berjuang menegakkan Islam di atas muka bumi Allah sebagai amanah dan tanggungjawab dari-Nya.. ..terima kasih atas sokongan anda.. Takbirr..ALLAHUAKBAR..!!!

Thursday, May 7, 2009

IKTIBAR UHUD ; PERINGATAN BAGI YANG LUPA (part 1)

PERANG UHUD

Kota Mekah diselubungi dengan kesedihan kerana kematian pimpinan musyrikin. Dalam masa yang sama, pimpinan musyrikin menyimpan dendam dan kebencian yang amat membara terhadap Rasulullah S.A.W dan kaum muslimin seluruhnya.

Berikutan itu, pimpinan musyrikin telah mengadakan perancangan yang drastik untuk melancarkan serangan balas demi untuk membalas dendam dan menghilangkan kekecewaan mereka apabila tewas di perang Badar.

Gerakan mengumpul harta, senjata dan tenaga telah dilancarkan dan diusahakan dengan bersungguh-sungguh. Dalam perancangan kaum musyrikin, serangan yang akan dilancarkan adalah lebih besar dan hebat dari peperangan Badar yang telah lalu. Rancangan serangan yang lebih hebat ini adalah bagi menghilangkan rasa dendam atas kematian kaum kerabat tentera musyrikin yang tebunuh di medan Badar.

Langkah pertama yang diambil ialah menahan semua harta yang selamat dalam qabilah yang dipimpin oleh abu Sufian. Maka Abu Sufian berkata kepada pemilik-pemilik harta tersebut ;

“Muhammad telah melakukan perkara yang menyusahkan kamu, telah membunuh pimpinan kamu. Berilah bantuan kepada kami dengan harta-harta tersebut untuk kami memeranginya. Mudah-mudahan kita dapat membalas dendam”

Mendengar amanat dari abu Sufian ini, pemilik-pemilik harta berkenaan kepada Abu Sufian bagi tujuan dana perang membalas dendam terhadap Rasulullah dan Muslimin.
Sehubungan dengan itu, Allah S.W.T telah berfirman mafhumnya;

“Sesungguhnya orang-orang kafir itu,menafkahkan harta mereka untuk menghalangi jalan Allah, mereka akan menafkahkan harta itu, kemudian menjadi penyesalan bagi mereka, dan mereka akan dikalahkan, dan ke dalam neraka jahannamlah orang-orang kafir itu dikumpulkan.”
(Surah Al-Anfal : Ayat 36)

“Supaya Allah memisahkan golongan yang buruk dari yang baik, dan menjadikan golongan yang buruk itu sebahagian yang lain, lalu kesemuanya dikumpulkannya dan dimasukkannya ke dalam neraka jahannam, mereka itulah dikalangan orang-orang yang rugi.”(Surah Al-Anfal : Ayat 37)

Kaum musyrikin juga bertindak meminta sumbangan secara sukarela dengan berkempen melalui syair-syair dan ucapan-ucapan yang menaikkan semangat mereka agar membenci Rasulullah dan kaum muslimin.


KEKUATAN BARISAN MUSYRIKIN

Dalam masa setahun selepas dilancarkan gerakan mengumpul harta, senjata dan tenaga, kaum musyrikin telah berjaya mengumpulkan sejumlah lebih 3,000 orang bala tentera dan bekalan senjata yang cukup mengikut perkiraan mereka untuk menyerang tentera Rasulullah S.A.W.

Dalam gerakan mereka juga, Barisan Musyrikin juga merancang untuk membawa sekurang-kurangnya 15 orang wanita untuk menjadi pemberi galakan kepada orang-orang lelaki berperang.

Antara kelengkapan perang yang Berjaya dimiliki ialah 3,000 ekor unta, 200 ekor kuda penyerang dan 700 baju besi berantai.

Abu Sufian telah dilantik sebagai panglima tertinggi pemerintah tentera Barisan Musyrikin, Khalid Al-Walid dilantik sebagai ketua tentera berkuda dengan dibantu oleh Ikrimah Bin Abu Jahal serta bendera panji-panji diserahkan kepada Bani ‘Abdul Dar. Setelah lengkap persiapan perang, mereka mula bertolak menuju Madinah.


RASULULLAH MENERIMA BERITA

Al-‘Abbas Bin Abdul Muttalih telah memerhatikan setiap gerak dan langkah Barisan Musyrikin dan kemudian memaklumkan kepada Rasulullah S.A.W melalui orang kepercayaannya yang menjadi perisik di Kota Makkah.

Utusan ini berkejar ke Madinah Al-Munawwarah dari Kota Makkah yang jaraknya lebih kurang 500 km dengan menunggang kuda yang mengambil masa selama 3 hari perjalanan. Surat itu disampaikan kepada Rasulullah S.A.W ketika bagind berada di masjid Quba’ dan dibaca oleh Ubay Bin Ka’ab.

Setelah baginda menerima surat tersebut, baginda mengarahkan agar hal tersebut dirahsiakan dan baginda segara pulang ke Madinah bagi mengadakan perbincangan dengan pimpinan Muhajirin dan Ansar.

Kota Madinah Al-Munawwarah diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga. Setiap orang membawa senjata sehingga senjata itu dibawa bersama ke mana sekalipun hatta ke masjid untuk menunaikan solat.

Tiga orang dari kalangan Ansar telah ditugaskan untuk menjaga dan mengawal keselamatan Rasulullah S.A.W di mana sahaja baginda berada hatta mereka tidur bersama senjata di hadapan pintu rumah baginda. Meraka ialah Sa’ad Bin Mu’adh, Asid Bin Hudir dan Sa’ad Bin ‘Ubadah Radhiyallahu’anhum.

Dalam masa yang sama, pasukan peronda juga ditugaskan untuk mengawal setiap lorong dan jalan di Madinah yang mungkin akan digunakan oleh musuh bagi menghadapi kemungkinan serangan balas secara mengejut akan dilakukan.


BARISAN MUSYRIKIN MAKIN MENGHAMPIRI MADINAH

Barisan Musyrikin terus bergerak menuju Madinah. Ketika sampai di Abwa’, tempat besemadinya bonda Rasulullah S.A.W, Hindun Binti ‘Utbah, isteri kepada Abu Sufyan mencadangkan agar dibongkar kubur tersebut. Pemimpin Musyrikin Quraysh tidak bersetuju kerana bimbang akan berlakunya sesuatu yang lebih buruk.

Barisan Musyrikin meneruskan perjalanan ke Wadi ‘Aqiq dan akhirnya berhenti di bukit Uhud yang terletak di sempadan Madinah. Tentera Musyrikin tiba di Bukit Uhud pada hari Jumaat. 6hb Syawal tahun ke-3 Hijrah.


RASULULLAH BERMESYUARAT

Rasulullah S.A.W telah mendapat maklumat berkaitan setiap gerakan dan tindakan tentera musuh hatta kepada perkembangan terakhir,tentera musuh sudah tiba di Bukit Uhud. Mesyuarat peringkat tertinggi pasukan tentera Islam sentiasa diadakan bagi menyusun strategi dan langkah yang paling bijak dalam menghadap serangan musuh.

Dalam mesyuarat tergempar ekoran meklumat yang sampai kepada Rasulullah S.A.W betapa tentera musyrikin bersungguh-sungguh mahu membalas dendam terhadap baginda dan kaum muslimin seluruhnya, baginda telah bersabda ;

“ Demi Allah aku telah bermimpi dengan sesuatu yang baik. Aku bermimpi lembu disembelih, mata pedangku berlubang dan aku masukkan tangan ke dalam baju besi rantai yang kukuh”

Seterusnya Rasulullah telah mentafsirkan mimpinya seperti berikut;

i) Lembu yang disembelih menunjukkan beberapa orang sahabat akan gugur syahid.
ii) Pedang berlubang menunjukkan ahli keluarga baginda akan terbunuh syahid
iii) Baju besi rantai yang kukuh menunjukkan bahawa negeri Madinah akan terus dapat dipertahankan.

Dalam mesyuarat tergempar itu juga, Rasulullah S.A.W telah berpendapat bahawa tentera Islam bertahan di Madinah sahaja. Apabila musuh datang menyerang mereka menentang di lorong-lorong Madinah dan kaum muslimat boleh melontar senjata dari rumah-rumah sahaja.

Pendapat baginda telah disokong oleh Pemimpin Munafiq, ‘Abdullah Bin Ubai Bin Salul. Abdullah Bin Ubai Bin Salul ini menghadiri mesyuarat atas kapasiti beliau sebagai salah seorang pemimpin Khazraj.

Sokongan Abdullah Bin Ubai Bin Salul itu bukanlah sokongan yang ikhlas dan bukan juga sebagai strategi yang baik bagi menhadapi musuh. Sokongan itu dibuat kerana jika pendapat Rasulullah S.A.W itu diterima, maka mudahlah baginya untuk melarikan diri tanpa disedari oleh sesiapapun.

Adapun sebahagian besar para sahabat yang merasa rugi kerana tidak menyertai peperangan Badar, telah mendesak Rasulullah S.A.W agarmenukar pandangan baginda dari strategi bertahan di dalam kota Madinah kepada strategi keluar bertemu musuh di tengah-tengah medan perang yang sebenar di mana sahaja mereka sedang berada. Para sahabat berkata kepada Rasulullah;

“Wahai Rasulullah.., kami sungguh bercita-cita untuk bertemu dengan hari seperti ini, kami berdoa kepada Allah supaya menunaikannya. Sekarang sudah tiba masanya, perjelanan dekat sahaja, keluar sahaja berdepan dengan musuh, supaya mereka tahu kami bukannya pengecut.”

Sahabat yang paling bersemangat dengan pendapat ini ialah Siyidina Hamzah Bin Abdul Muttalib, bapa saudara Rasulullah S.A.W yang telah menunjukkan kepahlawanannya di medan Badar. Saiyidina Hamzah menegaskan kepada Rasulullah S.A.W;

“ Demi tuhan yang menurunkan kitab kepadamu, aku tidak akan menjamah sebarang makanan sehingga aku dapat menentang mereka aku dapat menentang mereka dengan pedang aku ini di luar Madinah…!!!”

Berikutan penegasan dari para sahabat baginda, akhirnya Rasulullah S.A.W telah menarik balik pendapatnya dengan menerima pendapat majoriti iaitu keluar dari Madinah menyerang musuh.

No comments: