About Me

My photo
Anak Bapak Al-Banjary Al-Asya'iry As-Syafi'iy, Dilahirkan pada tanggal 1hb Januari 1983 di Kg Parit Satu Sungai Sireh, Tanjong Karang, Selangor Darul Ehsan, seorang Melayu berketurunan Banjar suku Alai, Kini bersama PAS Kawasan Tanjong Karang berjuang menegakkan Islam di atas muka bumi Allah sebagai amanah dan tanggungjawab dari-Nya.. ..terima kasih atas sokongan anda.. Takbirr..ALLAHUAKBAR..!!!

Saturday, December 20, 2008

Perkara yang perlu diberi perhatian dalam bertahaluf

Dalam bertahaluf atau bekerjasama bersama mana-mana bdan politik ataupun tidak, jamaah Islam hendaklah memberi perhatian dalam beberapa perkara yang dikira boleh menjejaskan maslahah, sama ada maslahah itu adalah maslahah Islam ataupun maslahah jamaah itu sendiri. Sekadar menyebut beberapa perkara yang perli diambil kira ialah;

1. Matlamat menegakkan sebuah negara Islam adalah yang paling utama dan sangat penting dalam strategi yang diambil oleh jamaah Islam. Oleh yang demikian, tahaluf atau kerjasama politik ini pada peringkat awalnya adalah jangan membuat satu ikatan atau dengan janji yang akan menghalang dari mencapai maksud dan tujuan menegakkan negara Islam itu atau terikat dengan syarat-syarat yang akan mengikat sehingga jamaah Islam itu terpaksa meminda dasarnya yang Islam kepada dasar liberal bahkan je arah sekular.

Dalam konteks PAS bersama Pakatan Rakyat, ikatan yang dibina pada peringkat awal adalah bersifat longgar namun berusaha ke arah mengukuhkan ikatan dan kerjasama ini. Ini kerana dengan berpegang kepada kaedah " At-Ta'aawun 'ala mattafaqna wa tasaamuh 'ala makhtalahnaa fihi" iaitu, bekerjasama atas perkara yang dipersetuji dan bertolak ansur dalam perkara yang diperselisihkan. Kerjasama yang dibentuk pada asasnya adalah dalam perkara bersama yang dipersetujui iaitu sama-sama menolak kezaliman, rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa, penipuan, salah urus tadbir dan sebagainya yang dilakukan oleh UMNO dan BArisan Nasional. Namun setiap parti itu ada dasar dan perlembagaan partinya, setiap parti ada matlamat yang diperjuangkan berdasarkan kerangka perlembagaan partinya. DAP dan PKR menerima kerangka perlembagaan bercorak sekular, pada asasnya tiada bezanya dengan UMNO dan parti-parti lain di dalam Barisan Nasional.

Berbezanya UMNO dan DAP-PKR adalah UMNO terus dengan kerja penyelewengan serta ketidak-adilannya manakala DAP-PKR terus mengasak UMNO/BN, menolak penyelewengan dan ketidak-adilan yang UMNO/BN lakukan ke atas rakyat. Atas dasar inilah ada satu titik pertemuan antara PAS-PKR-DAP, bersama-sama menolak kelakuan buruk UMNO untuk mencapai keadilan umum.

Dalam isu dasar yang berbeza, Islam Vs Sekular, selagi mana DAP-PKR tidak menolak terus dasar yang diperjuangkan oleh PAS, selagi itulah hubungan ini akan diteruskan. Maksud pengukuhan hubungan ini pada hemat saya adalah, setiap parti menghormati dan memahami dasar parti antara satu dengan yang lain. PAS berdiri di atas prinsip bahawa Islam adalah adil untuk semua manusia yang bernaung di bawahnya bahkan adalah lebih baik dari sistem demokrasi yang di amalkan sekarang. DAP-PKR harus diberi penerangan yang lebih tuntas tentang keadilan Islam yang menjamin kehidupan sesiapa sahaja sama ada Muslim atau non-muslim. Non-Muslim di Malaysia selama ini mendapat maklumat yang salah tentang Islam yang dijaja oleh UMNO sejak Malaya merdeka lagi. Islam dilabelkan sebagi ketinggalan zaman, memecah-belahkan peraduan masyarakat, mundur dan tidak maju malah sehingga tahap mengatakan Islam yang dibawa oleh PAS akan mengancam ekonomi, pendidikan serta sosio-budaya non-muslim. Maka tidak hairanlah non-muslim menjauhkan diri dari PAS kerana takutkan Islam itu. UMNO-lah yang bertanggungjawab bersama parti komponen BN yang lain menyebarkan maklumat salah ini. maka menjadi tanggungjawab bagi PAS membetulkan kembali maklumat tentang keadilan Islam yang sebenar setelah lebih 50 tahun dirosakkan oleh UMNO dan Barisan Nasional.

Dengan memberi penerangan kepada non-muslim sehingga mereka ada rasa keyakinan terhadap Islam sehinggalah mereka tidak terasa 'terancam' dengan Islam, maka sudah pasti tidak akan timbul isu-isu sensitif seperti yang disebutkan oleh Karpal Singh atas kejahilannya sendiri tentang Islam. Justeru itu kerjasama antara parti akan bertambah kukuh dengan masing-masing parti memahami kehendak parti masing-masing. Inilah masanya PAS perlu mengambil peluang melebarkan dakwah Islamnya kepada non-muslim, kalaupun mereka tidak memeluk Islam, cukup sekadar mereka mendapat maklumat sebenar tentang tawaran Islam kepada kehidupan mereka yang lebih baik dari sistem demokrasi yang diamalkan sekarang.


2. Jamaah Islam perlu mengutamakan persefahaman dengan kumpulan-kumpulan Islam yang berpengaruh serta mempunyai titik pertemuan dengan perkara-perkara prinsip yang boleh dipercayai dan bukannya membuat persefahaman denagn kumpulann-kumpulan yang lemah dan tidak berperanan. Setelah itu barulah melakukan kerjasama dengan kumpulan-kumpulan non-muslim.

Dalam perkara ini, PAS perlu terus-menerus melakukan hubungan dengan mana-mana badan bukan kerajaan yang diterajui oleh orang Islam meskipun apa yang diperjuangkan oleh badan-badan itu adalah berkaitan kemaslahatan umum. setiap NGO memperjuangkan perkara tertentu yang bersifat umum sama ada memeperjuangkan hak kepenggunaan, hak asasi manusia, alam sekitar dan sebagainya sebagai tanda bahawa PAS juga memperjuangkan apa yang mereka perjuangkan. Yang membezakan hanyalah perbezaan politik dan umum. Motto PAS Islam for All atau Islam untuk semua merangkumi semua perkara yang diperjuangkan apa-apa jua isu oleh mana-mana manusia di atas muka bumi ini dengan memberi pandangan dan kaedah penyelesaian menurut prinsip Islam. Setidaknya, setelah ada hubungan antara NGO-NGO muslim ini, para penyokong dan pendokong NGO-NGO ini menyedari bahawa PAS juga memperjuangkan apa yang mereka bawa, kesannya kemungkinan besar mana-mana kelompok di dalam masyarakat yang terbabit dengan isu yang diperjuangkan oleh NGO-NGO itu secara tidak langsung bersimpati dengan apa yang diperjuangkan oleh PAS dan akan menterjemahkan sokongan itu dengan memberi undi kepada PAS dalam pilihanraya umum atau kecil yang mendatang.

3. Jemaah Islam dewasa ini sedang berhadapan dengan masyarakat yang cetek pemahamannya terhadap Islam khususnya serta isu-isu politik umumnya. Mentaliti masyarakat Melayu khususnya seolah-olah telah diprogramkan oleh UMNO/BN bahawa hanya UMNO/BN sahajalah yang boleh mentadbir dan "memberi rezeki" maka sebaliknya negara akan muflis dan huru-hara. Kesan daripada program mem'bodoh'kan rakyat sejak merdeka menyebabkan umat Islam berbangsa Melayu khususnya tidak dapat membezakan bahkan mengetahui perbezaan Islam dan idealogi-idealogi moden berteraskan sistem sekular.

Dalam menghadapi karenah msyarakat yang masih dibelenggu kejahilan akibat dari program pembodohan rakyat anjuran UMNO/BN buat sekian lama, pimpinan jamaah Islam di setiap peringkat serta seluruh ahli-ahlinya perlu diperkuatkan dengan asas-asas ilmu Islam serta perbezaannya dengan sistem-sistem pemikiran sekular semasa. Dalam masa yang sama jamaah Islam hendaklah mempunyai syakhsiyah yang kuat sehingga mampu melahirkan pimpinan dan ahli yang dapat membezakan jamaah islam dan parti-parti sekular yang lain dan perlu diberi kefahaman kepada mereka tentang perbezaan yang melibatkan pertembungan antara 'aqidah dan idealogi sekular serta antara Islam dengan aliran-aliran pemikiran mode yang kini berjaya mencengkam minda sebahagian besar masyarakat yang akan ditempuhi oleh para pejuang Islam. Sekiranya tidak, kerjasama ataupun tahaluf dengan kumpulan non-muslim ini lebih memberi kesan negatif terhadap jamaah Islam itu sendiri.

Perkara ini boleh menimbulkan bibit perpecahan antara ahli-ahli jamaah Islam yang 'baru' terjun ke lapangan dakwah dan politik Islam ini dengan membawa gaya dan corak pemikiran malah tindakan yang sama dilakukan oleh parti politik sekular yang lain serta dilihat terkeluar dari roh Islam atas alasan ingin 'cepat' mencapai kejayaan. Akhirnya musuh-mush Islam khususnya UMNO/BN akan terus-menerus menyebarkan propaganda kepada masyarakat bahawa jamaah islam ini tiada bezanya dengan parti sekular yang lain dari segi taktiknya, pemikirannya, tindakannya serta akhlaknya yang menyebabkan rakyat menjadi keliru bahkan merasa tar'tipu' seolah-olah jamaah Islam seperti PAS hanya berslogan dan berlambangkan Islam sahaja namun hakikatnya berperangai sama seperti UMNO/BN. Akhirnya rakyat mula ragu dengan apa yang dibawa oleh PAS dan mula berfikir bahawa PAS dan UMNO sama sahaja cuma lambang berbeza, maka lebih baik sokong UMNO.

Untuk mengelakkan perkara ini berlaku, maka pemerkasaan program-program tarbiyah dan pembentangan kertas kerja ke arah pemantapan mentaliti ahli-ahli jamaah Islam khususnya PAS adalah amat-amat perlu disegerakan. Sekiranya perkara ini di abaikan, maka ahli-ahli yang lahir tidak menjalani proses tarbiyah Islamiyyah yang sempurna menyebabkan mereka akan bertindak lebih ke arah tindakan politk tanpa memikirkan tindakannya dari segi keadah-kaedah syar'iyyah.

4. Persefahaman dengan kumpulan-kumpulan non-muslim adalah tidak berpanjangan. sama ada mereka akan menerima Islam atau akhirnya pertarungan atau permusuhan akan berlaku pada akhirnya. Barisan Nasional yang dianggotai oleh 100% aprti-parti politik sekular pun berlaku perpecahan dan keretakan umpama apa yang telah berlaku sebelum ini apabila SUPP mengumumkan keluar dari komponen Barisan Nasional, apatah lagi kerjasama antara parti politik Islam yang berteraskan 'aqidah dan parti-parti yang berteraskan falsafah aqal manusia yang nyata menolak autoriti wahyu dalam penyelesaian kehidupan manusia. Perkara ini dapat dirujuk di dalam seerah Rasulullah dan para sahabat baginda sebagaimana yang pernah berlaku kepada Sayyidina Abu Bakar Radhiyallahu 'Anhu apabila hubungan beliau dengan Ibnu Daghnah yang bersedia untuk memberi perlindungan kepada beliau dibatalkan. Perkara ini terjadi apabila Ibnu Daghnah mensyaratkan kepada Abu Bakar supaya beliau jangan membaca Al-Quran di luar rumah kerana bimbang boleh mempengaruhi orang lain kepada Islam.

Berdasarkan peristiwa yang berlaku di atas, maka jamaah Islam hendaklah membuat ikatan yang longgar dan bukan bersifat perjanjian agar iakatan itu tidak membelenggu kita pada masa akan datang. realiti di dalam Pakatan Rakyat, ikatan yang dibuat adalah bersifat longgar dari segi prinsip dan dasar parti ( kerana perbezaan dari sudut perlembagaan parti) namun agak kukuh pada perkara-perkara yang dipersetujui umpanya menolak undang-undang zalim, ISA dan OSA memerangi rasuah, menentang penyelewengan, salah guna kuasa, salah guna media, pencabulan hak asasi manusia dan sebagainya.

PKR dan DAP adalah merupakan parti yang mengamalkan sistem politik sekular dalam urusan pastinya, dari segi struktur, tiada bezanya mereka ini dengan UMNO dan parti-parti komponen BN yang lain. Bezanya PKR-DAP dan UMNO/BN adalah, UMNO/BN dengan dasar tidak telusnya manakala PKR-DAP mendesak UMNO/BN bersikap telus dan menolak segala unsur slah guna kuasa dan penyelewengan dlam pentadbiran negara. Namun kita sebagai manusia yang diciptakan oleh Allah ta'ala yang bersifat lemah akalnya, mampukah kita yang bersifat lemah ini menentukan apa yang akan berlaku pada masa akan datang? Boleh jadi pada suatu masa nanti, apabila pemimpin-pemimpin UMNO/BN yang rasuah dan menyeleweng sudah disingkirkan dan digantikan dengan pemimpin yang dianggap bersih dan suci disisi amalan sekular walaupun menolak Islam, bagaimana pula pendirian PKR dan DAP ketika itu? Islam tidak menjadi asas dan apa yang hendak diperjuangkan oleh PKR dan DAP, apakah ketika itu mereka akan bersama UMNO/BN? Boleh jadi mereka akan meninggalkan PAS ketika itu. Namun tiada siapa yang mampu menjangka apa yang akan berlaku pada masa depan. Kerana itulah ikatan yang dibuat adalah tidak melibatkan pindaan dasar dan prinsip parti semata-mata mahu mendapatkan sokongan parti sekular kerana islam adalah yang peling utama mengatasi segala yang lain.


4. Di sana akan keluar kenyataan-kenyataan bersama yang perlu dipertimbangkan dengan tegas dari segi prinsip jamaah Islam yang manjadikan Islam sebagai dasar dan amalan parti kerana kenyataan-kenyataan itu nanti bukan sahaja perlu mengikut selera jamaah islam tetapi perlu juga menurut selereka mereka. Ini kerana kenyataan-kenyatan yang hendak dikeluarkan hendaklah senada dan tidak menimbulkan suatu perkara yang boleh dijadikannya sebagai suatu isu oleh musuh Pakatan Rakyat umpamanya propaganda UMNO/BN di dada media yang dikuasainya bahawa Pakatan Rakyat sebenarnya berpecah dan tidak bersatu.

Kenyataan berkaitan dasar parti hendaklah dibincangkan dalam peringkat jawatankuasa bersama antara parti agar semua parti memahami dan menghormati dasar dan prinsip antara parti. Jamaah Islam perlu mengambil peluang ini untuk berbincang, memberi penerangan dan kefahaman untuk memperbetulkan salah faham tentang Islam yang kononnya tidak adil, ganas, mengancam kehidupan non-muslim dan sebagainya kepada pimpinan parti sekular atas dasar dakwah. Setidak-tidaknya mereka menghormati prinsip keadilan Islam yang di bawa oleh jamaah Islam dan bolej jadi akan menimbulkan minat mereka untuk mengetahui tentang keindahan Islam dengan lebih mendalam sehinggalah akhirnya akan melahirkan non-muslim yang sanggup untuk turun di tengah-tengah masyarakat mereka sendiri untuk meyakinkan anggota masyarakat non-muslim yang lain tentang jaminan hidup dan keadilan yang islam tawarkan.

Pada dasarnya, memanglah manusia yang tidak beriman kepada Allah maka taada suka manusia-manusia itu kepada manusia yang beriman kepada Allah. Namun Allah melarang manusia yang beriman kepadanya untuk memaksa manusia lain untuk beriman kepadanya melainkan dengan memberi penerangan dan kefahaman tentang Allah dan undang-undangnya yang adil untuk semua manusia. Moga-moga Allah jinakkan hati-hati mereka kepada Islam. Namun pada asanya juga manusia ini tiada siapa pun pada asalnya mahukan kepada pewrkara jahat, semua yang manusia mahu adalah perkara hendak jadi baik belaka. Cuma atas sebab kejahilan dan kekangan serta persaingan hidup yang mencabar, manusia tiada jawapan untuk mengahadapi hidupnya untuk menyelesaikan masalah hidup melainkan dengan penyelseain yang Allah telah sediakan. Maka jika diberi penerangan tentang tawaran-tawaran Allah ini, insya-Allah, manusia-manusia yang terbuka hatinya akan jinak seterusnya mereka tunduk jua kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Maka PAS dengan sedaya upaya untuk memberi faham kepada mana-mana pihak yang tidak faham tentang Islam agar mereka merasa terbuka dan menghormatinya. Apabila masing-masing menghormati antara satu sama lain, maka kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan akan berbunyi seperti satu suara dan bukan sebaliknya.


6. Maka akhirnya, pimpinan serta ahli-ahli jamaah islam perlu berwaspada terhadap tipu daya mereka ini dengan bergantung kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala dan kebijaksanaan-Nya. Firman Allah mafhumnya;

".. dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan2 itu, kemudian sesudah engkau berazam ( sesudah mesyuarat untuk membuat sesuatu keputusan) maka bertawakkallah kepada Allah, sesungguhnya allah ta'ala maha mengasihi orang2 yg bertawakkal kepada-Nya" ( surah Ali-Imran ayat 159 )

Wallahu A'lam.





No comments: