About Me

My photo
Anak Bapak Al-Banjary Al-Asya'iry As-Syafi'iy, Dilahirkan pada tanggal 1hb Januari 1983 di Kg Parit Satu Sungai Sireh, Tanjong Karang, Selangor Darul Ehsan, seorang Melayu berketurunan Banjar suku Alai, Kini bersama PAS Kawasan Tanjong Karang berjuang menegakkan Islam di atas muka bumi Allah sebagai amanah dan tanggungjawab dari-Nya.. ..terima kasih atas sokongan anda.. Takbirr..ALLAHUAKBAR..!!!

Monday, August 25, 2008

Amanat Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat..Undi Anwar..!!!

Tuan/Puan,

Alhamdulillah. Setelah sempat mengikuti sendiri proses penamaan calon di Permatang Pauh pada 16 Ogos 2008, sedarlah saya yang ia adalah sebuah pilihan raya kecil yang amat sengit. UMNO/BN melihat pertarungan ini perlu memberi kemenangan mandatori kerana kekalahan boleh membawa kepada Pakatan Rakyat maju ke hadapan untuk mara ke Putrajaya. Mereka cukup takut kedatangan tanggal 16 September 2008 kerana di sana ada sesuatu yang mereka percaya akan berlaku. Jadi menyekat DSAI adalah menjadi keutamaan mereka yang paling atas.

Saudara/Saudari Sekalian,

Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang berkempen untuk menghadapi Pilihan Raya Kecil Parlimen Permatang Pauh yang akan berlangsung pada 26 Ogos 2008 nanti. Kita semua maklum bahawa penyertaan beliau dalam pilihan raya kecil ini adalah untuk meneruskan perjuangan menegakkan keadilan sekaligus menentang penyalahgunaan kuasa, penyelewengan dan rasuah dalam pemerintahan negara seperti yang sedang kalut diperkatakan di dada-dada akhbar. Semua ini untuk membetulkan landasan supaya negara kita selamat dari ancaman kegelinciran iman, aqidah dan taqwa kepada Allah S.W.T.

Walaupun telah dihina dan diaibkan dengan teruk 10 tahun lalu, saya perhatikan musuh-musuh yang tidak berperikemanusiaan tidak pernah puas untuk menzalimi beliau. Dengan modal yang sama, sekali lagi beliau difitnah dengan tuduhan yang tidak tergamak untuk saya menyebutnya.

Saya tetap dengan pendirian bahawa fitnah terhadap Datuk Seri Anwar adalah konspirasi politik. Saya juga berpendirian bahawa sumpah yang dibuat oleh orang yang menuduh baru-baru ini penuh dengan persoalan dan keraguan.

Atas kesedaran ini, jauh dari dasar hati biarpun terlantar di katil hospital, izinkan saya menggagahkan diri, merayu seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira agama, bangsa dan fahaman politik menentang keras budaya fitnah dan konspirasi yang menjelekkan seumpama ini. Sikap protes ini harus lantang dan konsisten hingga sampai ke peti undi pada 26 Ogos 2008.

Wassalam.

DATO’ HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
Mursyidul Am PAS

Thursday, August 7, 2008

PAS bantah forum anjuran Majlis Peguam Malaysia

Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang

Parti Islam Se Malaysia (PAS) membantah sekeras-kerasnya hasrat Majlis Peguam Malaysia untuk mengadakan forum bertajuk "Memeluk Islam" yang dijadual diadakan di ibu negara pada 9 Ogos ini.

PAS mengakui bahawa hak kebebasan bersuara memberikan jaminan kepada semua pihak untuk berdailog dan berbincang berhubung isu-isu kepentingan umum, namun demikian isu-isu berkaitan dengan hak dan kepentingan Islam adalah seasuatu yang mutlak yang dijamin oleh Perlembagaan Negara dan dipelihara oleh perlembagaan negeri-negeri.

Oleh itu PAS merasakan kiranya forum ini diteruskan ia nanti mampu mencetuskan syak wasangka dan ketegangan hubungan antara penganut Islam dan penganut pelbagai agama dalam negara. Dan ini sudah pasti akan menjejaskan keharmonian negara dan akan merugikan semua pihak.

Bagi PAS Islam adalah agama yang membawa dan menjanjikan kebaikan buat semua, oleh yang demikian sebarang perbincangan berkenaan dengannya perlulah melibatkan pihak yang memiliki ilmu dan kuasa (authority) kerana Islam berdiri berteraskan sumber-sumbernya sendiri.

Kerana itu PAS berpandangan inisiatif Majlis Peguam Malaysia ini yang bersumberkan fahaman sekular akan hanya menyelewengkan pemahaman sebenar terhadap Islam lantas mencetuskan konflik dan akhirnya ketegangan yang tidak memberikan manfaat kepada mana-mana pihak.

Demi menjamin kestabilan dan hubungan antara agama dan kaum PAS menyeru pihak penganjur agar membatalkan sahaja forum berkenaan.

Presiden,
Parti Islam Se Malaysia (PAS)

Wednesday, August 6, 2008

Peranan ulama, pilihan raya dan isu semasa

Oleh : Dr Haji Wan Abdul Rahman Wan Ab. Latif

Makalah ringkas ini bertujuan untuk melihat bagaimana ulamak sebagai entiti terpenting dalam gerakan Islam seperti PAS menangani dan berdepan dengan isu-isu semasa yang mewarnai pilihan raya umum melalui satu manhaj atau pendekatan yang praktikal.

Ulama sebagai pewaris anbia' telah, masih dan akan terus memainkan peranan yang penting dalam menjaga kesucian ajaran Islam dan kesejahteraan masyarakat secara umumnya Sebagai kelompok terpenting masyarakat, ulama seharusnya mempunyai kefahaman dan kekuatan yang tersendiri dalam mengemukakan garis panduan dan sekaligus mentakrif rupa bentuk politik negara.

Bagi mencapai tujuan ini ulamak mesti melibatkan diri secara aktif dalam pilihan raya di samping mempunyai pendekatan yang praktikal bagi menangani isu-isu pilihan raya. Menangani isu secara berkesan adalah merupakan salah satu resepi terpenting bagi memenangi pilihan raya di mana-mana negara termasuklah di Malaysia.

Asas sistem politik negara yang berteraskan sistem demokrasi berparlimen, menghendaki ulama (yang bertanggungjawab mengasas penubuhan PAS pada tahun 1951) turut serta dalam proses pilihan raya yang diadakan bermula pada tahun 1955. Perjalanan pilihan raya dalam konteks Malaysia (terutamanya dilihat dari sudut BN) melibatkan penggunaan 3M iaitu Media, Money and Machinery).

Media merujuk kepada peranan media cetak,elektronik dan digital yang menampilkan isu-isu tertentu bagi mempengaruhi pengundi. Kajian setakat ini menunjukkna media yang paling berkuasa mempengaruhi sikap pengundi ialah televisyen khususnya televisyen awam arus perdana. Faktor Money merujuk kepada penggunaan wang atau lebih tepat politik wang (money politics) dalam pilihan raya.

Dengan lain-lain perkataan, ia lebih menjurus kepada proses pembelian undi (vote-buying) secara yang tidak sah. Faktor terakhir ialah faktor Machinery merujuk kepada jentera pilihan raya.

Kekuatan BN adalah disebabkan bukan sahaja jentera parti yang digunakan dalam pilihan raya tetapi juga jentera kerajaan yang sepatutnya tidak boleh digunakan kerana kerajaan yang memerintah (BN) telah dibubarkan apabila pilihan raya baru diisytiharkan.

Dalam melihat peranan ulamak dalam menangani isu-isu semasa dalam pilihan raya makalah ini lebih merujuk kepada faktor " M" pertama iaitu Media. Atas perkiraan ini pendekatan makalah ini adalah seperti berikut:

Pertama, mengemukakan isu-isu semasa;

Kedua, respons atau penjelasan terhadap isu-isu yang dikemukakan dari pandangan ulama berdasarkan realiti masyarakat Malaysia. Respons ini boleh dikemukakan dalam bentuk ceramah umum, ceramah kelompok dsbnya;

dan ketiga, mengemukakan pelan tindakan bagi menangani isu-isu yang dimaksudkan, sekiranya perlu. Pelan tindakan yang dimaksudkan mungkin berbeza dari ceramah.

Ulamak Sebagai Penceramah

Dalam menangani isu-isu semasa yang perlu diperjelaskan kepada pengundi khususnya dari perspektif Islam, ulamak biasanya dikehendaki berperanan sebagai penceramah sama ada sebagai penceramah umum atau penceramah kelompok. Bagi mempastikan lahirnya ulamak sebagai penceramah yang berkesan, maka dicadangkan panduan berikut untuk diikuti:

1. Penceramah (ulamak) hendaklah menganggap dirinya sebagai seorang pendakwah (da'i) dalam usaha untuk menyebarkan Risalah Islamiah. Sebelum menjalankan tugasnya, penceramah mesti melakukan perkara-perkara berikut:

a) senantiasa ada wudhu';

b) sembahyang sunat hajat memohon kekuatan, kesabaran dan pertolongan dari Allah;

c) membaca doa-doa yang berkaitan, contohnya qunut nazilah;

d) membaca al-Quran. Tumpukan kepada surah-surah berikut: al-Ahzab, al-Hajj, al-Ruum, ar-Ra'du, asy-Syuura, al-Hadid, at-Taghabun, al-Fath dan sudah semestinya surah Yaasin.

2. Lancar bercakap dan bagus susunan bahasanya. Sedapat mungkin jangan menggunakan teks, apalagi teks yang bukan ditulis sendiri. Boleh catat maklumat-maklumat penting bagi tujuan rujukan sebelum dan semasa ceramah.

3. Ayat dan bahasa yang digunakan mudah difahami. Ceramah mesti menjurus kepada aspek-aspek berikut: penerangan, seruan dan kesimpulan.

4. Ada aspek perbandingan (contrast). Ini bertujuan untuk menarik minat pendengar.

5. Isi ceramah perlu mengandungi aspek-aspek bujukan/rayuan dan ancaman/peringatan, sejajar dengan pendekatan para Rasul yang disebut oleh al-Quran sebagai, bashiran wa nazira. Dalam hal ini gunakan nada suara yang berbeza-beza: beremosi, berhiba, bersemangat, menggembirakan dll.

6. Istilah dan konsep-konsep yang digunakan dalam ceramah hendaklah disesuaikan dengan tahap pendidikan masyarakat setempat.

7. Bersungguh-sungguh dalam penyampaian. Ini menunjukkan keikhlasan dan keyakinan kepada apa yang diceramahkan.

8. Sekali-sekali ceramah hendaklah diselang-seli dengan "humour", supaya pendengar tidak jemu. Jangan terlalu banyak "humour", nanti pendengar mempunyai tanggapan bahawa penceramah tidak serius, jadi satu komedi pula.

9. Gerak tangan dan mimik muka yang sesuai.

10. Perhatikan logika perbahasan, alasan dan susunan pembicaraan. Bayangkan yang penceramah sedang menulis sebuah esei yang memerlukan kepada pengenalan, pengembangan idea dan akhirnya kesimpulan.

11. Perhatikan tatasusila pembicaraan: tingkahlaku, cara berpakaian, bahasa yang digunakan dll.

12. Kemukakan kesimpulan-kesimpulan kecil sepanjang ceramah. Syarat ini dapat dipenuhi dengan menggunakan ungkapan-ungkapan seperti berikut: " Ini perkara yang pertama yang kita perlu memberi perhatian. Perkara kedua yang saya nak sebut pada malam ini ialah........,."

13. Sensitif kepada reaksi pendengar. Di sini "humour" penting. Sebagai contoh, selepas ceramah dua tiga minit, penceramah di "boo" oleh Pemuda UMNO, penceramah respons dengan mengatakan: "Terima kasih kerana menyokong saya!!".

14. Hafal ayat-ayat al-Quran dan Hadith serta maknanya yang relevan dengan tajuk ceramah. Kata-kata pujangga perlu juga dikemukakan (contoh, Iqbal, Hamka dll).

15. Jangan mencaci peribadi lawan ('nasihat' boleh, berdasarkan Hadith, 'agama itu nasihat').

16. Banyaklah membaca. Membaca boleh mempertingkatkan ilmu pengetahuan dan ilmu pengetahuan adalah 'modal' ceramah yang penting. Walaubagaimana pun, pastikan 'kesahihan' satu-satu makalah atau buku yang dibaca , siapa penulisnya dan ideologi politik yang diwakilinya.

17. Kemukakan contoh-contoh praktikal, berdasarkan pengalaman dan peristiwa, seelok-eloknya yang dialami oleh penceramah sendiri, kalau ada dan relevan dengan tajuk ceramah.

18. Kalau belum mampu, jangan mengeluarkan fatwa atau hukum semasa ceramah; dalam hal ini boleh dirujuk kepada tokoh-tokoh autoritatif seperti Yusuf al-Qaradawi dll; dan akhirnya,

19. Sembahyang sunat dua rakaat sebelum dan selepas ceramah, sekiranya suasana mengizinkan, atau paling tidak berdoa ringkas memohon kepada Allah agar pendengar (maduu') menerima hujah-hujah kita dan kita dilindungi dari kejahatan (fitnah) oleh musuh hasil dari ceramah tersebut.

Ulama, Gagasan dan Pendekatan Umum

Apabila pihak ulamak telah menguasai teknik berpidato sebagaimana yang disarankan di atas, maka dalam mendekati masyarakat majmuk Malaysia umumnya dan masyarakat Islam khususnya, pihak ulamak juga perlu memiliki satu gagasan dan pendekatan umum. Gagasan dan pendekatan umum yang betul akan mempertingkatkan keberkesanan penyampaian pihak ulamak dan yang lebih penting mereka akan mendapat bimbingan dan keberkatan dari Allah (swt).

Gagasan Umum: Gagasan umum yang perlu dimiliki oleh setiap ulamak ialah gagasan ke arah mewujudkan sebuah keadilan yang merata berteraskan taqwa bagi seluruh masyarakat Malaysia tanpa mengira ras sejajar dengan saranan al-Quran, Surah al-Maaidah, ayat 8 yang mafhumnya: "Hai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan kebenaran kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa".

Gagasan al-Quran ini amat relevan terutama dalam konteks masyarakat majmuk seperti yang terdapat di Malaysia.

Pendekatan Umum (terutamanya bagi ceramah): Para ulama' yang berperanan sebagai penceramah (dan sekaligus sebagai seorang dai) perlu menguasai premis asas dialog berdasarkan hujah yang berturutan seperti berikut:

a) Semua makhluk ciptaan Allah, selain dari manusia, adalah untuk dimanfaatkan oleh manusia itu sendiri (al- Quran,17:70)

b) Manusia itu sendiri dicipta untuk mengabdikan diri kepada Allah (al-Quran, 51: 56).

c) Tugas utama pengabdian diri manusia di muka bumi ialah untuk merealisasi syariat Allah sesuai dengan sifat manusia sebagai Khalifah Allah (al-Quran, 2:30).

d) Dalam usaha manusia ingin merealisasikan hukum Allah, manusia berdepan dengan masalah pilihan. Sekiranya manusia memilih jalan yang lurus bermakna manusia memilih jalan yang betul.

e) Untuk membuat pilihan yang betul, manusia mesti berpandukan senarai keutamaan. Dalam hal ini manusia mesti mengutamakan yang terpenting dan yang terbaik diukur dari perspektif syarak.

f) Dalam sistem demokrasi pilihan raya merupakan satu bentuk pilihan yang penting.

Sekiranya sebelum ini dibentangkan teknik berceramah, pendekatan yang berturutan di atas juga dilihat sebagai intipati ceramah.

ISU-ISU UTAMA

Dibawah ini dipeturunkan beberapa isu utama negara yang berlegar sekitar sebelum berlangsungnya pilihan raya umu ke 12 dan bagaimana pihak ulamak menanganinya. Dua bentuk pendekatan yang boleh dikemukakan oleh pihak ulamak. Pertama, respons atau bahasan kepada isu berkaitan. Ini merupakan satu jawapan segera kepada satu-satu isu yang timbul dan ia bersifat jangka pendek.

Kedua, pendekatan jangka panjang dalam bentuk pelan-pelan tindakan.

1. Isu Negara Islam

Isu "Negara Islam" adalah isu yang bersifat universal. Ia akan terus dibangkit selagi nama rupa bentuk sebenar "Negara Islam" tidak diwujudkan. Satu petanda penting tidak wujudnya "Negara Islam" ialah kenyataan pimpinan Umno bahawa perlu ada pemisahan antara "politik" dan "agama" dalam ertikata Islam tidak boleh dipolitikkan (political Islam). Tunku, Tun Razak dan Hussein Onn telah menafikan bahawa Malaysia adalah sebuah "Negara Islam".

Walaubagaimana pun, berdepan dengan situasi politik gawat ekoran pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan tertubuhnya GERAK yang dipimpin oleh Dato' Fadzil Noor pada 1998, Mahathir telah mengisytiharkan Malaysia sebagai "Negara Islam" di Perhimpunan Agung parti Gerakan. DAP menentang pengisytiharan ini. Terkini (2008) MCA menentang kenyataan Najib bahawa Malaysia adalah sebuah "Negara Islam".

Respons/Bahasan:

a) Tidak seriusnya Umno tentang negara Islam, apabila Mahathir mengisytihar di Perhimpunan Agung parti Gerakan. Sepatutnya diisytiharkan di Perhimpunan Nasional yang terdiri dari ustaz-ustaz yang pro-Umno atau paling tidak di Perhimpunan Agung Umno. Sekiranya gagal untuk berbuat demikian, ini bermakna secara realiti tidak ramai ustaz-ustaz yang menyokong Umno!!

b) Perlu kepada penjelasan , secara konsisten, apa yang dimaksudkan dengan "Negara Islam". Bagi tujuan ini sila lihat kertas kerja oleh Ustaz Haron Din berjudul Negara Islam: Suatu Penjelasan, di bentang di Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden Ke 49.

c) Yang menjadi masalah dengan Umno ialah sikap mereka yang acuh tak acuh (ambivalent) terhadap Islam; tidak ada satu dasar resmi berhubung dengan Islam dan perkembangan masa depannya (sebagaimana sektor-sektor lain seperti ekonomi, sosial di bawah Rancangan-rancangan Malaysia selama lima tahun itu). Membela Islam secara 'berahsia' dan bukan secara terbuka sudah semestinya mengundang sikap acuh tak acuh atau ragu-ragu dari pihak lawan (DAP) dan kawan (MCA). Secara bandingannya, PAS mengemukakan pemahaman dan kerangka "Negara Islam" yang jelas dan tanpa berselindung. Pada peringkat awal pemerintahan PAS di Kelantan (1990), Lim Kit Siang mengkritik pemerintahan PAS Kelantan secara luaran; tetapi apabila Lim Kit Siang pergi ke Kelantan dan melihat kepentingan orang bukan Islam tidak terjejas, beliau tidak lagi mengkritik PAS. Begitu juga dengan MCA Kelantan. Yang terus mengkritik hanyalah Umno!!

Pelan Tindakan:

a) Sebuah booklet perlu dihasilkan dengan segera menyenarai secara mudah ciri-ciri negara Islam dan tindakan-tindakan Umno yang bercanggah secara terang-terangan dengan ciri-ciri tersebut seperti pengeluaran lesen-lesen judi dan arak untuk diedarkan secara meluas kepada anggota masyarakat Islam Malaysia khususnya. Buku kecil ini berbeza dengan Dokumen Negara Islam.

b) Mengundang secara resmi individu-individu (selain Umno) yang mengkritik idea "Negara Islam" ke Kelantan untuk lawatan dan dialog dengan pimpinan PAS Kelantan.

2. Isu Islam Hadhari

Post-mortem pilihan raya umum 2004 kendalian PAS Pusat menyenaraikan faktor Islam Hadhari sebagai salah satu faktor yang memberi kemenangan besar kepada Umno. Kajian terkini (2006/2007) yang dijalankan oleh PERANTAU-ILMUAN dua buah NGO mengenai prestasi PAS di Terengganu memperlihatkan satu penemuan penting : Orang awam berpandangan bahawa Islam yang difahami oleh PAS dan Islam Hadhari tajaan Pak Lah mempunyai nilai yang sama iaitu kedua-duanya betul dan boleh diterima. Ini menunjukkan orang ramai masih tidak memahami erti sebenar Islam Hadhari. Satu bentuk penerangan oleh para ulama kepada masyarakat Islam mengenai Islam Hadhari, secara besar-besaran dan secara yang mudah, perlu diusahakan.

Respons/Bahasan:

Antara perkara-perkara penting yang perlu diperjelaskan kepada masyarakat Islam berhubung dengan Islam Hadhari adalah seperti berikut:

a) Islam Hadhari merupakan satu bentuk pempolitikan Islam (politicization of Islam) , sebagai satu bentuk "baju politik" (political cloak) yang dipakai oleh tiap-tiap Perdana Menteri Malaysia : Tunku (Musabaqah al-Quran); Tun Razak ( Mesjid Negara); Tun Hussein Onn (Bulan Dakwah); Tun Dr.Mahathir (DPNI) dan Pak Lah (Islam Hadhari). Sekiranya Najib ditakdirkan menjadi PM beliau akan mencipta satu baju politik Islam yang lain pula. Baju-baju politik Islam yang berbeza ini diharapkan akan memberi legitimasi politik kepada pemakainya.

b) Teras kepada Islam Hadhari masih merujuk kepada pembangunan ekonomi bukan kepada pelaksanaan syariat. Pembangunan modal insan juga dilihat dari perspektif pembangunan ekonomi.

c) Islam Hadhari lahir dari, secara langsung dan/atau tidak langsung , projek Amerika Syarikat memerangi keganasan di peringkat global hasil dari Peristiwa 11 September 2001. Ini terbukti apabila Islam Hadhari diterjemahkan sebagai "Islam yang bertamaddun" (civilizational Islam). Ini bermakna ada satu lagi bentuk Islam iaitu 'Islam yang tidak bertamaddun' (uncivilizational Islam). Islam yang tidak bertamaddun ini adalah Islam yang keras, ekstrim, fundamentalis, teroris dan lain-lain label yang negatif. PAS digolongkan dalam kategori ini.

d) Islam Hadhari tidak mempunyai nilai operational. Ia hanya merupakan satu "pendekatan" (an approach). Dari sudut teori ia tidak merupakan satu model yang boleh diterjemahkan kepada beberapa modul.

e) Islam Hadhari adalah versi Islam yang mendapat "lampu hijau" dari musuh-musuh Islam seperti Amerika Syarikat. Secara logiknya dapat difahami bahawa sekiranya projek Islam yang dilaksanakan mendapat restu dari musuh-musuh Islam maka ada sesuatu yang tidak kena dengan projek berkenaan.

f) Islam Hadhari berhasrat untuk membina tamadun Islam; tetapi tamadun Islam yang dibina tanpa perlaksanaan syariat yang syumul akan menjadikan tamadun yang dibina itu tempang dan seterusnya gagal (runtuh).

Pelan Tindakan:

a) Satu booklet kecil perlu diterbitkan segera menyenaraikan 10 prinsip Islam Hadhari dan perkara-perkara yang bercanggah dengan prinsip-prinsip ini yang sedang berlaku dalam negara. Tumpuan perlu diberikan kepada prinsip pertama iaitu 'beriman dan bertaqwa kepada Allah'.

b) Satu dokumentari video diterbitkan menggunakan pendekatan (a) di atas.

3. Isu Murtad/Riddah.

Hasil daripada pengamalan syarait Islam yang tidak syumul dan tidak adanya keazaman politik (political will) yang tinggi di kalangan pimpinan Umno dalam melaksanakan peraturan yang mereka sendiri luluskan, maka orang-orang bukan Islam (dalam konteks ini yang juga musuh-musuh Islam) dengan secara sedar mengeksploitasi kelemahan-kelemahan ini dan dalam proses ini berlakulah fenomena murtad yang melibatkan orang Islam. Lebih memburukkan lagi keadaan, kes-kes murtad tidak diberi pendedahan yang meluas oleh media kononnya bagi menjaga keharmonian hubungan kaum dan sekaligus mengkesampingkan kesucian Islam.

Respons/Bahasan:

a) Untuk menghalang berlakunya murtad di kalangan masyarakat Islam, perlaksanaan syariat Islam secara syumul adalah sesuatu yang perlu.

b) Tidak adanya penyelarasan dalam Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam di dalam negeri. Ini bermakna tidak berfungsinya Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam yang dipengerusikan oleh PM.

c) Media cetak dan elektronik milik Umno/BN turut menyumbang secara langsung dan/atau tidak langsung dalam menyediakan 'persekitaran' yang mendorong kepada berlakunya murtad.

d) Umno tidak bertegas terhadap perlaksanaan Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan, walhal ini diluluskan oleh Parlimen pada 10 Jun 1988 yang terdiri dari wakil-wakil rakyat BN yang bukan Islam. Ketidaktegasan Umno terbukti apabila terdapat beberapa Hakim melanggar peruntukan ini dalam memurtadkan beberapa orang Islam dengan menggunakan kuasa Mahkamah Sivil.

e) Menjadi satu budaya dalam Umno melanggar peruntukan-peruntukan yang mereka sendiri cipta. Satu contoh klasik lain ialah kes Dato' Ishak Baharom, bekas Mufti Selangor dan pertandingan ratu cantik.Ini terbukti jelas bahawa Umno mempersenda hukum-hukum Allah. Fakta ini perlu disebarluaskan kepada masyarakat Islam Malaysia.

Pelan Tindakan:

a) Mengumpul fakta yang sahih tentang kes-kes murtad di kalangan masyarakat Islam.

b) Berusaha menyatukan semua Mufti dalam menangani isu yang serius ini.

c) Menulis surat/mengadakan majlis dialog dengan Majlis Perundingan antara Agama Malaysia bagi memberi mesej bahawa agama-agama lain tidak boleh mencampuri urusan agama Islam.

4. Isu Kebejatan Sosial dan Persoalan Keselamatan

Kewujudan persekitaran yang tidak bermoral tajaan Umno/BN telah mendorong meningkatnya perlakuan sosial yang melanggar batas-batas moral. Ini membawa kepada masalah jenayah dan menggugat keselamatan warganegara. Sebagai contoh, dari tahun 2003 hingga tahun 2006, berlaku peningkatan sekitar 45.1% dalam kes jenayah, 65.8% rogol (6.7 orang wanita setiap hari) dan 85.8% jenayah kekerasan. Faktor pendatang tanpa izin dalam hal ini juga penting diberi perhatian.

Respons/Bahasan:

a) Gagalnya sistem pendidikan negara secara keseluruhan bagi melahirkan modal insan yang mempunyai kekuatan moral

b) Tidak berkesannya perlaksanaan Dasar Sosial Negara

c) Tidak berkesannya penguatkuasaan undang-undang terhadap PATI

Pelan Tindakan:

a) Ulama Muda perlu bergerak cergas dalam Persatuan-persatuan Belia dan yang seumpamanya.

b) Dalam kes dadah misalnya, ulamak perlu bekerjasama dengan ADK (Agensi Dadah Kebangsaan).

c) Adakan pameran dan ceramah bergerak dengan kerjasama PENGASIH dan pengamal perubatan Islam lainnya.

d) Menjadi sukarelawan dalam Rakan-Cop dan RELA dalam usaha membenteras jenayah dan PATI.

e) Relevannya semula hujah mengenai perlaksanaan hukum hudud. Kajian menunjukkan Arab Saudi yang mengamalkan hukum hudud adalah negara di mana kadar jenayah adalah paling rendah di dunia.

5. Isu Kebejatan Ekonomi

Dalam kategori ini termasuklah perkara-perkara yang berkaitan dengan pengurusan ekonomi yang tidak mantap yang membawa kepada pembaziran dan penyelewengan (rasuah); isu kronisme; isu tender secara rundingan langsung dan tidak secara terbuka. Fokus adalah kepada kenaikan kos sara hidup hasil dari kenaikan harga petrol yang menjejas kehidupan rakyat bawahan.

Respons/Bahasan:

a) Pertumbuhan ekonomi yang pesat tidak bermakna apabila inflasi dan kos sara hidup juga meningkat dengan pesat.

b) Kenaikan gaji kakitangan awam diserap oleh kos sara hidup yang turut meningkat. Kakitangan awam hanya melibatkan 1 juta rakyat. Rakyat bawahan yang lain (petani dan nelayan contohnya) bagaimana?

c) Gagalnya Pelan Integriti Nasional (PIN).

d) Pempolitikan DEB bagi melindungi realiti sebenar.

e) Selepas BN mengambil alih Terengganu (2004) kadar kemiskinan makin meningkat. Semasa PAS memerintah (1999-2004) kadar kemiskinan menurun.

Pelan Tindakan:

a) Memperkenalkan model al-Hisbah dalam pengurusan pembangunan negara.

b) Prinsip umum pentadbiran pembangunan ialah: Jangan terlalu kedekut dan jangan terlalu boros (model Kelantan).

c) Terlaksananya prinsip Ubudiyah, Itqan dan Masuliyah (model Kelantan). Lebih berkesan dari PIN.

d) Terlaksananya prinsip ta'awuun dan keselamatan sosial (kifalah) (Model Kelantan).

Kesimpulan

Ulamak sebagai pewaris nabi, kelompok manusia paling mulia dan tinggi pada pandangan Allah dan teras kepada pimpinan PAS sewajarnya memainkan peranan yang paling sentral dan aktif dalam masyarakat. Kita tidak mahu lagi aktiviti ulamak dilihat sebagai mempunyai lingkaran sosial yang terhad hanya kepada kuliah-kuliah Maghrib dan Subuh di surau dan masjid. Ulamak perlu bangkit mengepalai perubahan politik dan sosial negara dalam pelbagai bidang selagi ianya tidak bercanggah dengan tuntutan syara'.

Ulamak mesti mempamerkan 'izzahnya secara praktikal; ulama mesti stand tall. Secara praktikalnya, Model Kelantan memperlihatkan dan menyakinkan kita betapa sebuah negeri yang diperintah oleh seorang ulamak mampu bertahan hampir 20 tahun tanpa adanya rasuah dalam konteks politik dan ekonomi yang membawa kepada ketidakstabilan.

Rumusan Pendekatan:

1. Respons/Bahasan: Untuk modal ceramah, pentas rasmi/kedai kopi

2. Pelan Tindakan: Di luar aktiviti ceramah, berinteraksi secara aktif dengan masyarakat; kalau perlu berdemonstrasi secara aman.

3. Isu-isu "Negara Islam", "Murtad" dan "Islam Hadhari", kumpulan sasaran lebih kepada masyarakat Melayu/Islam. Sebaliknya isu "Kebejatan Sosial dan Ekonomi" sasarannya untuk semua anggota masyarakat.

4. Selepas tambat unta, tawakkal kepada Allah.

Semoga penulisan ringkas di atas dapat memberi panduan praktikal kepada para ulamak untuk bergerak cergas dalam masyarakat terutamanya semasa musim pilihan raya. Sebagai pewaris kepada para Nabi, ulamak tidak ada pilihan lain melainkan memikul tugas suci ini dan kesejahteraan masa depan kehidupan manusia di atas dunia yang fana ini amat bergantung kepada hakikat ini.

Nota: Haji Wan Abdul Rahman Wan Ab. Latif adalah Pengarah Centre for Electoral Reforms Initiatives (CERI) dan bekas pensyarah Jabatan Sains Politik, UKM.

Tuesday, August 5, 2008

Golongan Munafiq Berperanan Meretakkan Hubungan Jamaah Islam

Abdullah Bin Ubai Bin Salul bersama pengikutnya amat kecewa dan menyimpan dendam terhadap jamaah Rasulullah S.A.W hanya kerana gagalnya harapan mereka untuk menjadi raja atau pemimpin terkemuka di Madinah dengan kemenangan Islam dan Hijrahnya Rasulullah S.A.W. Golongan munafiq ini mersakan bahawa Rasulullah dan jamaahnya telah merampas apa yang mereka cita-citakan selama ini. Maka tertanamlah di hati mereka perasaan hasad dengki dan dendam kesumat yang sentiasa membara serta mereka berusaha mencari setiap kesempatan untuk melakukan untuk melakukan sesuatu yang membahayakan Rasulullah S.A.W dan umat Islam.

Apabila Islam mencapai kemengan dan mempunyai kekuatan maka mereka pun berpura-pura memeluk Islam. Setiap Jumaat apabila Rasulullah S.A.W duduk di atas "Abdullah Bin Ubai Bin Salul pun bangun bercakap kepada orang ramai untuk berpura-pura ; " Inilah dia Rasulullah berada bersama kamu, dengan sebabnyalah kamu diberi kemuliaan dan kemenangan oleh Allah, oleh itu tolonglah dia, berilah sokongan kepadanya, dengarlah dan taatlah perintahnya". Kemudian 'Abdullah Bin Ubai pun duduk. Setelah berlaku peperangan Uhud, apabila 'Abdullah Bin Ubai telah membuktikan 'penyelewengannya', tiba-tiba Abdullah Bin Ubai bangun pada hari Jumaat seperti biasa, tetapi orang-orang Islam yang berada di dalam masjid menarik pakaiannya supaya duduk sambil berkata kepadanya ; " Wahai musuh Allah...!!! duduklah.., sebenarnya kamu tidak layak untuk bercakap, kerana kamu telah melakukan kerja-kerja jahat...!!!". Lalu 'Abdullah Bin Ubai pun keluar dan merungut dengan kata-kata yang tidak baik. Seorang sahabat dikalangan Ansar berkata ; "Sungguh celaka kamu ini...!!! kembalilah bertemu Rasulullah supaya dia beristighfar untukmu." 'Abdullah Bin Ubai menjawab ; "Demi Allah...!!! aku tidak mahu dia beristighfar untukku."

"Abdullah Bin Ubai Bin Salul juga terlibat dengan peperangan Ahzab dengan meniupkan propaganda dan provokasi untuk melemahkan semangat umat Islam. Namun segala usahanya itu gagal. Rasulullah S.A.W masih memberi kepadanya peluang supaya sedar dan insaf namun dia terus juga dengan sifat munafiqnya.

Dalam peristiwa peperangan Bani Mustaliq, Abdullah Bin Ubai Bin Salul dan pengikutnya keluar bersama pasukan tentera Islam, tetapi Allah S.W.T yang telah mendedahkan segala-galanya tentang kedudukan orang-orang munafiq, diantaranya firman Allah Ta'ala di dalam Surah At-Taubah ayat ke 47 yang bermaksud ;

" Kalaulah benar mereka ( golongan munafiq ) keluar bersama-sama kamu tidaklah mereka menambahkan ( kekuatan ) kamu melainkan kerosakkan dan tentulah mereka segera menjalankan hasutan di antara kamu, dengan tujuan hendak menimbulkan fitnah ( kekacauan dan keretakkan hubungan ) di kalangan kamu, sedangkan diantara kamu ada orang-orang yang suka mendengar hasutan mereka, dan ingatlah Allah maha mengetahui akan orang-orang yang zalim " ( Surah At-Taubah ayat-47 )

'Abdullah Bin Ubai Bin Salul telah mengambil kesempatan daripada satu perselisihan yang berlaku di antara dua sahabat, seorang dikalangan Muhajirin dan seorang lagi dikalangan Ansar. Ibnu Hisyam di dalam sirahnya meriwayatkan bahawa seorang budak suruhan kepada sayyidina 'Umar Bin Al-Khattab Radiyallahu 'Anhu yang bernama Jahjah Bin Sa'id Al-Ghaffari telah bertengkar dengan Sunan Bin Wabir Al-Jahri. Mereka berdua di tengah-tengah kalangan orang ramai di telaga Al-Mu'araisi pada ketika Rasulullah S.A.W singgah di situ. Kedu-dua mereka hampir berbunuh-bunuhan antara satu sama lain. Al-Jahri melaungkan ; "Wahai kaumku Ansar...!!!" dan Jahjah pula membalas laungan ; " Wahai kaum Muhajirin...!!!". Rasulullah S.A.W memarahi mereka berdua dengan bersabda ; " Adakah kamu kembali kepada jahiliyyah sedangkan aku masih berada dikalangan kamu ? Tinggalkanlah ia ( jahiliyyah ) kerana ia adalah sangat keji, busuk seperti bangkai." Alhamdulillah, kedua-dua orang sahabat itu menghentikan pergaduhan mereka.

Namun peristiwa itu didengari oleh 'Abdullah Bin Ubai Bin Salul lalu marahlah ia dan dia berkata kepada orang sekelilingnya ; " Apakah mereka ( kaum Muhajirin ) sudah berbuat demikian...sudahlah mereka mengenepikan kita, mencuri masuk ke kampung kita, demi Allah mereka ini dan puak Quraisy ( maksudnya orang Islam dari keturunan Quraisy ) ini tidak ubah seperti kata orang ; Gemukkanlah anjing kamunanti dia akan menggigit kamu ( melepaskan anjing yang tersepit ), sesungguhnya demi Allah sekiranya kita pulang ke Madinah golongan termulia akan mengahalau golongan terhina...!!!"

Ucapan jahat 'Abdullah Bin Ubai bin Salul ini di dengari oleh Zaid Bin Arqam, lalu beliau pergi berjumpa Rasulullah S.A.W dan memaklumkan peristiwa itu. Kebetulan Sayyidina 'Umar Bin Al-Khattab ada bersama. Lalu sayyidina 'Umar berkata ; " Suruh sahaja 'Abbad Bin Bisyr pergi membunuh dia." Rasulullah S.A.W bersabda ; " Bagaimana wahai 'Umar, nanti orang akan berkata Muhammad membunuh sahabtanya, biarkan dia pergi".

Berita Ucapan 'Abdullah Bin Ubai Bin Salul itu sampai kepada pengetahuan anaknya yang juga bernama 'Abdullah Radiyallahu 'Anhu, dia seorang soleh dan benar-benar beriman tidak seperti bapanya yang munafiq. Beliau meminta izin daripada Rasulullah S.A.W dengan berkata ; " Kalau Rasulullah mahu membunuh dia, biar saya yang membunuhnya dan membawa kepalanya ke hadapan Rasulullah." Tetapi Rasulullah tidak mengizinkan 'Abdullah berbuat demikian kerana untuk mengelakkan fitnah.

Adapun 'Abdullah Bin Ubai Bin Salul mengetahui bahawa ucapannya itu telah sampai ke pengetahuan Rasulullah S.A.W dan terus berjumpa dengan baginda dengan bersumpah menafikan ucapannya itu. Tiba-tiba seorang daripada sahabat di kalangan Ansar berkata ; " Ya Rasulullah.., mungkin budak yang melaporkan berita itu tersalah dengar apa yang sebenarnya di ucapkan oleh 'Abdullah Bin Ubai." Rasulullah S.A.W terus mengingatkanya. Maka Zaid Bin Arqam berdukacita dan merasakan dia telah diperbohongkan. Tetapi Allah S.W.T Maha Mengetahui lagi Maha Adil menurunkan wahyu surah Al-Munafiqun kepada Rasulullah S.A.W mendedahkan perkara yang sebenar dilakukan oleh orang-orang munafiq khususnya 'Abdullah Bin Ubai. Wahyu itu membenarkan kata-kata Zaid bin Arqam yang didengarnya dari 'Abdullah Bin Ubai Bin Salul itu.

Firman Allah Ta'ala mafhumnya ;
" Mereka ( golongan munafiq ) berkata ; Sesungguhnya jika kita telah kembali ke Madinah benar-benar orang-orang yang kuat akan mengusir orang-orang yang lemah daripadanya. Pada hal bagi Allah dan bagi Rasul-Nya dan bagi orang-orang mukmin tetapi orang-orang munafiq tidak mengetahui " ( Surah Al-Munafiqun ayat-8 )

Rasulullah S.A.W telah memanggil Zaid Bin Arqam dan membacakan Surah Al-Munafiqun kepanya kemudian baginda bersabda ; "Sesungguhnya Allah Subhanahu Wa Ta'ala telah meletakkan kamu sebagai seorang yang benar."