About Me

My photo
Anak Bapak Al-Banjary Al-Asya'iry As-Syafi'iy, Dilahirkan pada tanggal 1hb Januari 1983 di Kg Parit Satu Sungai Sireh, Tanjong Karang, Selangor Darul Ehsan, seorang Melayu berketurunan Banjar suku Alai, Kini bersama PAS Kawasan Tanjong Karang berjuang menegakkan Islam di atas muka bumi Allah sebagai amanah dan tanggungjawab dari-Nya.. ..terima kasih atas sokongan anda.. Takbirr..ALLAHUAKBAR..!!!

Wednesday, July 2, 2008

Peristiwa Fitnah Al-Ifk, Fitnah Golongan Munafiq Terhadap Sayyidatina 'Aisyah

Pernah diriwayatkan dalam kitab-kitab sirah nabawiyyah yang masyhur bahawa Sayyidatina 'Aisyah Radhiyallahu'anha telah ikut serta bersama-sama Rasulullah S.A.W dalam peperangan menentang Yahudi Bani Al-Mustaliq.

Peristiwa Bani Mustaliq ini juga merupakan satu peristiwa yang pahit kepada umat Islam yang menyentuh rumahtangga Rasulullah S.A.W dan ia juga menyentuh tentang isteri baginda yang mana 'Aisyah Radhiyallahu 'Anha mendapat undian untuk mengiringi Rasulullah S.A.W dalam peperangan Bani Mustaliq kerana menjadi adat kepada Rasulullah apabila membawa isterinya musafir akan dilakukan pengundian dikalangan mereka.

Dalam perjalanan pulang berlaku perkara yang menjadi sebab kepada berlakunya fitnah yang disebarkan oleh kalangan orang-orang munafiq. Apabila Rasulullah berhenti pada suatu tempat, dan Sayyidatina 'Aisyah terus turun dari suqduf unta untuk qadha hajat, tiba-tiba kalung yang dipinjamkan dari saudara perempuannya tercicir, 'Aisyah pun kembali semula ke tempat beliau qadha hajat untuk mencari kalung yang telah tercicir. Kebetulan pada waktu itu pasukan tentera Islam telah sedia untuk berangkat, maka mereka yang ditugaskan untuk mengangkat suqduf ke atas unta tiada menyedari bahawa Sayyidatina 'Aisyah tidak ada di dalamnya, lalu pasukan tentera Islam pun berangkat meninggalkan Ummul Mu'minin Radhiyallahu 'Anha.

Apabila Sayyidatina 'Aisyah ke tempat untanya beliau telah mendapati bahawa orang ramai sudah tiada di situ, maka tiada jalan baginya pada waktu malam melainkan menunggu di tempat itu juga mudah-mudahan ada orang yang akan datang sehingga beliau tertidur.

Tiba-tiba salah seorang anggota pasukan tentera Islam yang bernama Safwan Bin Al-Mu'tal Radhiyallahu 'Anhu yang tabiatnya gemar tidur sehingga ditinggalkan oleh orang lain, apabila dia bangun dan bersedia untuk bertolak tiba-tiba telah terlihat seorang perempuan. Demikian alangkah terkejutnnya Safwan Bin Al-Mu'tal apabila beliau mendapati bahawa perempuan itu adalah Ummul Mu'minin Sayyidatina 'Aisyah radhiyallahu 'Anha.

Safwan Bin Al-Mu'tal terus menurunkan untanya supaya dapat ditunggangi oleh sayyidatina 'Aisyah dan mengheret unta itu pulang ke Madinah Al-Munawwarah, dan mereka bertemu semula dengan dengan pasukan tentera Islam di Nahru Zahirah, maka terkejutlah orang ramai melihat kedatangan mereka. Setelah mengetahui perkara yang sebenar, mereka pun bercakap dengan cara yang layak baginya.

Tetapi Allah Subhanahu Wa Ta'ala telah mentaqdirkan suatu ujian yang pahit, apabila pemimpin munafiq atau bapak segala munafiq, 'Abdullah Bin Ubai Bin Salul mengetahui perkara ini dan sedar bahawa inilah peluang terbaik baginya untuk melepaskan dendam dan bencinya terhadap Rasulullah S.A.W. Maka bapak munafiq ini telah mengambil kesempatan daripada peristiwa itu untuk mencipta serta menaburkan fitnah yang amat dahsyat sehingga terdapat beberapa orang Islam terpengaruh dengan fitnah tersebut.

Pada peringakat awalnya, sayyidatina 'Aisyah tidak mengetahui fitnah yang disebarkan ke atasnya itu sehinggalah Ummu Mistah memberitahu akan hal ini kepadanya. Para Sahabat Radhiyallahu 'Anhum berbelah bagi untuk menerima berita ini.

Adapun mengikut riwayat bahawa Sayyidina 'Ali telah mencadangkan kepada Rasulullah S.A.W menceraikannya sahaja secara menyindir dan tidak menabur fitnah. Adapun Usamah Bin Zaid Radhiyallahu 'Anhuma dan sahabat yang lainnya meminta supaya 'Aisyah dipelihara terus sebagai seorang isteri. Adapun Usaid Bin Hudir pemimpin Aus berkelahi dengan Sa'ad Bin 'Ubadah apabila Usaid mahu membunuh 'Abdullah Bin Ubai Bin Salul bapak munafiq yang menabur dan menyebarkan fitnah ini, sedangkan Sa'ad dari qabilah yang sama dengan 'Abdullah Bin Ubai membelanya.

Adapun Rasulullah S.A.W mendiamkan diri. Sayyidatina 'Aisyah pula merasakan bahawa sikap Rasulullah telah berubah hati terhadapnya, lalu Sayyidatina 'Aisyah telah meminta izin untuk ulang ke rumah orang tuanya iaitu Abu Bakar As-siddiq Radhiyallahu 'Anhu.

Adapun tiba-tiba Rasulullah telah pergi menemui Sayyidatina 'Aisyah Radhiallahu 'Anha di rumah Sayyidina Abu Bakar, setelah bertasyahhud maka Rasulullh S.A.W pun bersbda ;


"Wahai 'Aisyah...!!! sesungguhnya telah sampai kepadaku berita tentangmu. Jika sekiranya kamu seorang yang bersih dari fitnah itu maka Allah akan membersihkanmu, jika sekiranya kamu mengerjakan dosa maka mohonlah ampun dan bertaubatlah kepada Allah, kerana seseorang hamba itu apabila mengaku dosanya kemudian dia bertaubat kepada Allah nescaya Allah maha menerima taubatnya."


Sayyidatina 'Aisyah terus menangis sehingga kedua-dua orang tuanya memaksa sayyidatina 'Aisyah menjawab, lalu beliau menjawab ;


" Demi Allah...!!! Aku telah mendengar berita itu dan kamu juga mendengarnya, supaya puas hati kamu maka aku suka menegaskan bahawa sesungguhnya aku masih bersih daripada fitnah itu dan Allah Maha Mengetahui bahawa aku masih bersih tetapi kamu tidak mahu mempercayainya. Jika sekiranya aku mengaku seperti itu, Allah Maha Mengetahui aku ini tida bersalah nescaya kamu mempercayainya. Demi Allah...!!! Aku tidak ada apa yang hendak dikatakan melainkan seperti yang pernah diucapkan oleh Nabi Yusof 'Alaihissalam : Sabar itulah yang paling baik dan Allah sahaja tempat meminta pertolongan di atas apa yang kamu sifatkan terhadapku ( Yusuf: ayat-18) "

Akhirnya Allah Subhanahu Wa Ta'ala menurunkan wahyunya bagi membela dan membersihkan 'Aisyah Radhiyallahu 'Anha daripada sebaran fitnah dan tuduhan oleh orang-orang munafiq dalam firman-Nya yang bermaksud ;

11) Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ( fitnah kepada 'Aisyah ) ialah segolongan dari kalangan kamu ; janganlah kamu menyangka ( berita yang dusta dan palsu ) buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu, tiap-tiap seorang di antara mereka akan beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya itu, dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh seksa yang besar ( di dunia dan di akhirat ).

12) Sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang-rang yang beriman lelaki dan perempuan, menaruh baik sangka terhadap diri mereka sendiri dan berkata ' ini adalah tuduhan yang dusta yang nyata.

13) Sepatutnya mereka ( yang menuduh ) membawa empat orang saksi membuktikan tuduhan itu, oleh kerana mereka tidak mendatangkan saksi, maka mereka disisi hukum Allah, adalah orang-orang yang berdusta.

14) Dan kalaulah tidak kerana adanya limpah kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada kamu, di dunia dan di akhirat, tentulah kamu dikenakan azab seksa yang besar disebabkan kamu turut campur dalam berita palsu itu.

15) Iaitu semasa kamu bertanya atau menceritakan berita dusta itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan dengan mulut kamu akan sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan yang sah mengenainya, dan kamu pula menyangkanya perkara kecil, pada hal ia pada sisi hukum Allah adalah perkara yang besar dosanya.

16) Dan sepatutnya semasa kamu mendengarnya, kamu segera berkata ; tidak layak bagi kami memperkatakan hal ini...!!! Maha Suci Engkau ( Ya Allah dari mencemarkan nama baik ahli bait Rasulullah ) ini adalah satu dusta besar yan amat mengejutkan.

17) Allah memberi pengajaran kepada kamu, supaya kamu tidak mengulangi perbuatan yang sedemikian ini selama-lamanya, jika betul kamu orang-orang yang beriman.

18) Dan Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan ( hukum-hukum-Nya ); kerana Allah Maha Mengetahui Maha Bijaksana.

( Surah An-Nur ayat 11-18 )


Apabila ayat-ayat ini dibacakan kepada Sayyidatina 'Aisyah maka kedua-dua orang tuanya menyuruh 'Aisyah bangun untuk menghormati Rasulullah S.A.W. Tetapi 'Aisyah menjawab ; "Demi Allah...!!! aku tidak bangun padanya, dan aku tidak mahu memuji selain Allah sahaja "

Demikian setelah berlakunya fitnah ini maka dijatuhkan hukuman sebat sebanyak lapan puluh kali kepada beberapa orang yang menyebarkan fitnah dikalangan lelaki dan perempuan, tetapi 'Abdullah Bin Ubai dibiarkan keran telah cukup kepadanya janji daripada Allah untuk menyeksanya di hari pembalasan dan kerana ingin mengelakkan fitnah yang lebih besar.

No comments: