About Me

My photo
Anak Bapak Al-Banjary Al-Asya'iry As-Syafi'iy, Dilahirkan pada tanggal 1hb Januari 1983 di Kg Parit Satu Sungai Sireh, Tanjong Karang, Selangor Darul Ehsan, seorang Melayu berketurunan Banjar suku Alai, Kini bersama PAS Kawasan Tanjong Karang berjuang menegakkan Islam di atas muka bumi Allah sebagai amanah dan tanggungjawab dari-Nya.. ..terima kasih atas sokongan anda.. Takbirr..ALLAHUAKBAR..!!!

Wednesday, July 2, 2008

Peristiwa Fitnah Al-Ifk ; Fitnah Dari Golongan Munafiq Sentiasa Menanti Pejuang Islam

Setelah saya nukilkan serba ringkas peristiwa fitnah al-ifk, didapati bahawa peristiwa yang pahit ini menjadi suatu jenis ubat dan tonik yang amat mujarab untuk menyusun dan mengeratkan kembali saf jama'ah Islam khususnya serta seluruh umat Islam 'amnya dengan tindakan tegas ke atas unsur-unsur kelemahan dan kesamaran yang ada di dalam barisan gerakan Islam agar bebas dari sikap ragu yang akhirnya akan meretakkan hubungan di antara ahli jama'ah.

Wahyu-wahyu Allah yang turun ditujukan kepada seluruh ummat Islam di atas muka bumi ini, ia tidak semata-mata dihalakan kepada golongan orang-orang munafiq, atau persatuan munafiq atau parti politik munafiq yang memang menjadikan fitnah sebagai mainan dan rutin dalam hidup mereka untuk mengekalkan kuasa serta kedudukan mereka. Tetapi wahyu Allah itu wajib menjadi iktibar yang maha penting kepada seluruh penyokong dan pendokong gerakan Islam untuk mengukuhkan saf jama'ah dari segi tarbiyyah dan dakwahnya.

Golongan munafiq menjadikan fitnah sebagai senjata untuk mereka terus kukuh dengan harapan barisan jama'ah dan pejuang Islam dilanda dilema dan keraguan sesama ahli jama'ah. Yang paling menakutkan adalah orang munafiq yang menyusup masuk ke dalam jama'ah yang akhirnya menjadi pewaris kepada kerja-kerja Abdullah Bin Ubai Bin Salul, bapak segala munafiq yang mana mereka ini adalah duri dalam daging, gunting dalam lipatan serta api dalam sekam kepada jama'ah yang akhirnya akan memecahbelahkan silaturrahim antara ahli jama'ah seterusnya jama'ah tidak dapat bergerak dengan lancar akibat fitnah yang ditimbulkan oleh golongan munafiq yang memang sentiasa mencari peluang untuk merosakkan hubungan sesama ahli jama'ah.

Peristiwa fitnah terhadap Sayyidatina 'Aisyah oleh golongan munafiq juga adalah sebagai peringatan Allah kepada hamba-hambanya yang berjuang menegakkan kalimah Allah di atas muka bumi ini untuk terus mengukuhkan tarbiyyah dan dakwah dikalangan penyokong, pendokong hinggalah ke paringkat pimpinan tertinggi bahawa jangan bertindak ke atas orang lain sahaja, tetapi hendaklah terhadap diri sendiri iaitu unsur-unsur kelemahan dan sikap ragu yang ada di dalam jama'ah yang boleh dipermainkan oleh musuh.

Peristiwa ini juga adalah ilmu anugerah Allah kepada hamba-hambanya yang sedang berjuang menentang kelompok manusia yang zalim. Betapa mereka yang zalim adalah dikalangan manusia munafiq di mana di dalam hatinya begitu keras melawan Allah Ta'ala dan sedaya-upaya akan mencari jalan untuk menghancurkan Islam serta pejuangnya agar semangat mereka hilang dengan itu mudahlah mereka melaksanakan agenda seterusnya iaitu agenda membalas dendam lantaran sifat benci mereka kepada pejuang kebenaran yang diredhai Allah.


Sekitar peristiwa ini, As-syahid Al-Marhum Sayyid Qutub dalam Tafsir Fi Zhilalil Qur'an beliau telah menulis bahawa ;

" Sesiapa pun mesti akan merasa aneh walaupun hingga kini terhadap peristiwa ini. Bagaimana sehingga berlaku dalam suatu kumpulan jama'ah Muslimin boleh berleluasa tersebar berita buruk dan cerita dusta seperti ini. Berita ini pasti meninggalkan kesan yang berat dalam jama'ah, menimbulkan luka yang dalam, di dalam jiwa yang paling suci dan paling tinggi."

" Sesungguhnya kemelut yang dihadapi oleh Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam dan terutamanya yang diharungi oleh jama'ah Muslimin dan Islam ketika itu adalah kemelut yang paling hebat yang pernah dihadapi oleh baginda dimana baginda dapat mengatasinya. Baginda dapat terus melindungi kewibawaannya, membuktikan kelapangan dadanya dan kesabarannya."

" Sungguhpun ujian itu begitu perit, disamping reaksi-reaksiyang begitu hebat namun Allah Subhanahu Wa Ta'ala masih melindungi jama'ah Muslimin. Allah tidak menurunkan kepada mereka azab dan seksa-Nya, padahal perbuatan yang telah dilakukan wajar diganjari dengan seksaan yang amat pedih; seksaan yang setimpal dengan penderitaan Rasulullah S.A.W, isteri baginda dan sahabat karib baginda, yang sentiasa menaruh baik sangka terhadapnya."

" Setidak-tidaknya seksa yang setimpal dengan kejahatan fitnah yang tersebar luas dikalangan jama'ah muslimin seimbang pula dengan fitnah yang mencemarkan nilai-nilai quddus yang dihormati dan menjadi asas kehidupan jama'ah Islamiyyah itu sendiri."

" Fitnah tersebut tersebar dari mulut ke mulut, dari satu lidah ke satu lidah tanpa usaha meneliti dan memastikan kebenarannya terlebih dahulu. Kata-kata tersebut diterima mentah-mentah tanpa diserapkan oleh 'akal dan dihalusi oleh hati dan seterusnya."

( Tafsir Fi Zhilalil Qur'an Petikan Tafsir dari surah An-Nur )

Oleh kerana itu kepada seluruh pejuang Islam dan kebenaran adalah sentiasa akan menghadapi fitnah yang akan ditimbulkan oleh orang-orang munafiq samada dari ahli jama'ah itu sendiri atau fitnah yang akan ditimbulkan oleh penentang Islam yang nyata selesa hidup dalam keadaan munafiq, baik akalnya, sikapnya, pendiriannya malah partinya juga sentiasa bersifat munafiq tanpa rasa takutkan azab Allah di akhirat kelak.

Justeru Gerakan Islam yang teguh menghadapi segala tipu daya dan muslihat musuh dari timur atau barat, luaran atau dalaman, mungkin dapat digugat atau diruntuhkan oleh cakap-cakap orang munafiq yang sedia memutarbelitkan lidah, dan mengembangkan fitnah dalam lingkungan jama'ah. Maka pada hari ini kita dapat lihat bahawa musuh Allah ini meneruskan perbuatan yang pernah dilakukan oleh Abdullah Bin Ubai Bin salul dengan mengobarkan fitnah permusuhan, menjatuhkan maruah individu, menyalahgunakan media untuk menyebarkan fitnah, tidak terlepas juga pada munafiq yang selalu mencetuskan pertarungan antara orang perseorangan dalam jama'ah.

Demikianlah para pendakwah yang memperjuangkan di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hakamnya menuju keredhaan Allah sentiasa akan terdedah dengan serangan fitnah munafiq yang nyata sentiasa membawa khabar-khabar angin dan cerita dusta, membuat tuduhan yang bukan-bukan semata-mata untuk menjatuhkan maruahnya di mata rakyat agar rakyat hilang kepercayaan kepadanya.

Bekalan seorang pejuang Islam dalam mengahdapi situasi ini adalah sentiasa tabah menghadapi kesusahan dan sentiasa berlindung di bawah rahmat Allah. Maka firman Allah yang bermaksud ;

" ...tipu daya jahat tidak akan menimpa kecuali diri penipu itu sendiri... "
( Surah Fathir : ayat 43 )

Sesungguhnya baik sangka terhadap Allah, percaya akan rahmat dan adalah merupakan penenang jiwa terbaik buat pejuang yang sentiasa mengaharapkan rahmat-Nya.Tetapi apabila pejuang itu menghadapi fitnah dari manusia munafiq, bukan bermaksud mereka mendiamkan diri melihat perbuatan angkara munafiq ini tanpa berusaha menyedarkan orang lain tentang fitnah dan tipu daya mereka atau tanpa usaha menumpaskan mereka. Malah para pejuang Islam dan kebenaran adalah wajib untuk bertindak demikian. Kewajiban ini tiada boleh diabaikan oleh pejuang kebenaran dengan membiarkan fitnah itu menular masuk ke dalam jama'ah, sudah pastilah lama kelamaan fitnah itu akan menggugat seterusnya menghancurkan jema'ah itu. Tindakan membendung fitnah ini mesti dilaksanakan dengan teliti dan bijaksana hinggalah ia tidak melibatkan mana-mana manusia yang tidak berdosa..wallahu a'lam.

2 comments:

azlan said...

Fitnah dari golongan munafik adalah lumrah bagi pejuang Islam dan rasa tiada kegentaran terhadap fitnah tersebut. Namun yang peliknya, fitnah sesama munafik pun boleh memporakperandakan masyarakat yang terlalu ingin tahu dan menambah-nambah fakta, lantas mendedahkan keaiban banyak pihak.

aNaK BaPaK said...

salam..

saya sokong pandangan saudara azlan..terima kasih dan saya amat hargai..

dalam tribulasi yg berlaku sekarang..hanya pada allah sahajalah tempat kita jadikan rujukan..sirah rasul sudah cukup untuk kita jadikan pedoman agar kita tidak mudah melatah..

perjuangan dalam konteks apa pun khususnya politik mendesak kita agar kembali kepada petunujuk nabawi..

dari situlah dapat kita bezakan siapakah musuh yang sebenar dan mungkin org itu dalam jamaa'ah kita sendiri...

tidak salah berdiam diri seketika
( yg kadang2 ada org mengambil kesempatan atas sikap berdiam diri kita )kerana ada masanya diam itu hikmah..kerana rasul sendiri pernah mengambil sikap itu dalam masa yg sama menyusun strategi dakwah dan tarbiyyah dgn lebih baik..

wallahu a'lam..