About Me

My photo
Anak Bapak Al-Banjary Al-Asya'iry As-Syafi'iy, Dilahirkan pada tanggal 1hb Januari 1983 di Kg Parit Satu Sungai Sireh, Tanjong Karang, Selangor Darul Ehsan, seorang Melayu berketurunan Banjar suku Alai, Kini bersama PAS Kawasan Tanjong Karang berjuang menegakkan Islam di atas muka bumi Allah sebagai amanah dan tanggungjawab dari-Nya.. ..terima kasih atas sokongan anda.. Takbirr..ALLAHUAKBAR..!!!

Tuesday, July 1, 2008

Negara Islam Terbentuk Hanya Apabila Parti Islam Menang

Sebuah negara itu hanya kita ketahui bentuknya apabila dilihat kepada perlembagaannya. Pada asasnya perlembagaan dapat diertikan sebagai prinsip dasar yang mengasaskan sesebuah negara. Perlembagaan juga di anggap sebagai suatu dasar yang mencorakkan bentuk pemerintahan yang diperkenalkan serta menyatakan suatu adat proses di negara berkenaan.

Oleh itu, perlembagaan amat-amat diperlukan untuk menjayakan institusi negara, mencorakkan tingkah laku pemerintahan serta menjadi rujukan dan panduan untuk menyelesaikan apa-apa masalah mahupun isu yang timbul di dalam negara berkenaan berpandukan kepada perkara yang mendasari perlembagaan negara tersebut.

Sudah menjadi fitrah manusia yang diciptakan Allah Ta'ala dalam keadaan yang amat lemah untuk mencari jalan penyelesaian terbaik terhadap masalah yang mereka hadapi. Di mana pun manusia di atas muka bumi ini pasti akan berdepan dengan banyak masalah dan mereka sentiasa mencari jalan untuk menyelesaikannya dan perlembagaan diharap dapat memberi keadilan kepada semua tanpa menindas hak masyarakat yang lain.

Adapun cara hidup yang maha lengkap di atas muka bumi ini hanyalah islam. Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala di dalam surah Ali 'Imran ayat ke-19 yang bermaksud ;

" Sesungguhnya cara hidup ( yang benar dan diredhai ) di sisi Allah hanyalah Islam "

Berdasarkan firman Allah tadi maka Allah hanya menerima dan mengiktiraf Islam sebagai cara hidup. Apa makna cara hidup? Cara hidup maknanya bagaimanakah caranya manusia hendak hidup, atau apakah kaedah untuk meneruskan hidup agar diterima Allah, atau apakah jalan penyelesaian yang terbaik untuk menyelesaikan masalah hidup seluruh manusia seterusnya diterima dan diredhai oleh Allah Ta'ala? Definasi baik tidak layak bagi akal dan otak manusia yang maha lemah ini untuk menentukannya. Kerana ada manusia melihat suatu itu baik tetapi dimurkai Allah. Samalah seperti orang yang berjuang menegakkan kebenaran tetapi menolak cara hidup yang Allah tetapkan. Mereka mungkin berjuang untuk membalas dendam kepada musuh yang pernah menzalimi mereka yang pasti berjuang berjuang kerana Allah. Begitu juga dengan perlembagaan, dasar apakah yang befungsi menjadi asas kepada kaedah bagaimanakah untuk mentadbir dan mengawal pergerakkan masyarakat agar masyarakat tidak mengambil hak masyarakat yang lain dengan cara yang bathil. Ada manusia yang merasakan dirinya bijak dan akalnya sempurna, mengambil dasar bukan dari Allah Ta'ala maka diambil dari dasar dan formula yang dicipta oleh otak manusia yang amat lemah untuk menyelesaikan masalah manusia yang lemah. Yang maha tahu tentang kelemahan manusia hanya Allah Ta'ala kerana manusia diciptakan oleh-Nya maka sudah pastilah Allah jua yang Maha Tahu apakah tonik terbaik untuk mengubati kelemahan manusia.

Oleh kerana itulah Allah memberi amaran kepada sesiapa sahaja yang berani mengambil formula selain formula yang Allah sudah ciptakan bahawa mereka adalah dikalangan manusia yang amat rugi di dunia dan akhirat kerana formula mereka itu nyata palsu dan tidak diterima selama-lamanya oleh Allah. Firman Allah Ta'ala surah Ali 'Imran ayat ke-85 yang bermaksud;

" Dan barang siapa yang mencari ( cara hidup ) selain daripada Islam, maka tidak akan diterima daripadanya dan di akhirat nanti mereka termasuk dikalangan orang-orang yang rugi "

Allah tidak akan menerima formula lain selain Islam. Islam cara hidup yang maha menyeluruh. Formula penyelesaian Islam bersifat komprehensif. Tanyalah pada Islam tentang masalah apapun, Islam pasti ada jawapannya. Sumber jawapan terdapat di dalam Al-Qur'an Dan As-Sunnah. Maka dalam Islam, Al-Qur'an dan Sunnah adalah dasar. Barang siapa yang tidak menjadikan Al-Qur'an dan Sunnah Rasulullah sebagai dasar serta cara hidup, maka dikhuatiri terkeluar dia dari Islam. Maka syarat utama sesebuah negara itu diterima dan diredhai Allah, perlembagaannya wajib menjadikan Al-Qur'an dan Sunnah Rasulullah sebagi dasar yang paling utama. Mana perkara yang bercanggah dengannya secara automatiknya ia terbatal. Tiada apa yang boleh mengatasi Al-Qur'an dan Sunnah Rasulullah. Sekiranya suatu perlembagaan itu boleh mencabar kedaulatan Al-Qur'an dan Sunnah Rasulullah, maka perlembagaan itu adalah perlembagaan yang sesat. Rasulullah telah menjanjikan suatu jaminan total betapa barang siapa yang berpegang teguh pada Kitabullah dan Sunnahnya, selama-lamanya dia tidak akan sesat. sekiranya tiada berpegang teguh maka sesatlah dia dari jalan yang benar.

Bagi memastikan perlembagaan negara itu menjadikan Islam sebagai dasar negara, maka tidak dapat tidak dalam konteks negara demokrasi berparlimen, suara majoriti rakyatlah yang akan menentukannya. Jika majoriti rakyat tidak menerima Islam sebagai dasar, maka majoriti rakyat melalui parti sekular akan mendapat suara terbanyak di dalam perlimen seterusnya akan menggubal undang-undang berteraskan 'aqidah sekular yang mereka imani. Oleh itu pejuang Islam yang bercita-cita menegakkan Islam terlaksana di negara ini, tidak dapat tidak mesti berjuang memberi maklumat kepada rakyat, muslim atau tidak, bahawa betapa cantiknya Islam jika dilaksanakan. Untuk meminda perlembagaan dari perlembagaan yang bersifat serta bersikap sekular kepada perlembagaan yang takut kepada Allah, maka majoriti rakyat mesti didakwah dan ditarbiyah untuk takut kepada Allah juga.

Untuk menang dalam pilihanraya, masyarakat perlu membentuk sebuah parti yang berdaftar sebagai parti politik. setelah itu barulah parti itu dibenarkan menyertai pilihanraya. Wajib bagi masyarakat Islam bagi membentuk sebuah parti yang dasarnya Islam untuk menyertai pilihanraya. Kuasa memerintah hanya dapat diperolehi melalui pilihanraya. Selepas itu barulah dapat kita lihat parti mana yang berkuasa melaksanakan dasar masing-masing.

Sesebuah parti yang memerintah sudah tentu akan melaksanakan pemerintahan berdasarkan agenda perjuangannya selama ini. Sebuah parti yang sekular sudah pasti akan melaksanakan agenda sekularnya walaupun berjuang untuk keadilan dan kebaijikan rakyat. Parti sekular juga akan melaksanakan dasar dalam pemerintahan bahkan akan memastikan perlembagaannya juga berasaskan sekular sebagaimana dasar partinya. Sudah tentu juga parti yang menjadikan dasar tidak takut kepada Allah akan melaksanakan dasar yang tidak takutkan Allah juga.

Seluruh manusia yang menganggotai setiap unit masyarakat di dalam negara itu akan patuh kepada sistem dan cara hidup yang diasaskan oleh pemerintah. Mustahil parti yang memerintah berfahaman sekular dan tidak takutkan Allah akan melahirkan sebuah negara Islam atau negara yang takutkan Allah. Untuk mewujudkan sebuah Negara Islam maka parti juga pemimpinnya juga mesti menghayati Islam sebagai cara hidup. Dan parti itu mestilah meyakini dengan sebenar-benar yakin dengan Islam tanpa ragu walau sebesar zarah sekalipun. Parti itu boleh menzahirkan keimanannya dengan meletakkan Islam sebagai dasar seterusnya hukum tertinggi adalah Kitabullah, Sunnah Rasulullah S.A.W. Ijmak 'Ulamak dan Qias yang terang kagi nyata.

Jika pemimpin yang berjiwa sekular dilantik untuk menerajui pemerintahan negara lalu kita mengharapkan sebuah negara Islam terbentuk, ia tidak mungkin akan berlaku kerana kewujudan serta entiti negara itu adalah ringkasan daripada dasar parti yang memerintah. Secara logiknya, mana ada komunis yang mahu melaksanakan undang-undang Islam!!!

Negara Islam ialah negara yang mana perlembagaannya mendaulatkan Al-Qur'an dan As-Sunnah dan melaksanakan syari'at Islam walaupun majoriti rakyatnya bukan Islam. Jika dasar parti yang memerintah itu sekular, pemerintah tiada dapat berbuat apa-apa walaupun mereka itu mendakwa bahawa mereka mahukan Islam. Sudah tentu ia hanya menjadi retorik dan slogan semata-mata. Pada hakikatnya mereka mesti taat kepada perlembagaan parti yang sekular.

Parti yang sekular dan tidak takutkan Allah percaya bahawa sistem sekular adalah formula terbaik menyelesaiakan masalah serta menjawab persoalan hidup manusia. Mereka juga tidak perlukan Allah kerana mereka merasa lebih hebat dari Allah sehingga tidak ada rasa gerun bila melanggar arahan Allah supaya taat perintah-Nya serta Rasul-Nya. Mereka akan melakukan sesuatu yang mereka percaya. Mereka tidak percaya pada Islam. Mereka tidak percaya pada Allah. Jika ia sekular, maka semua tindakan, sikap dan pendirian mereka akan menjurus ke arah sekular samada pendidikan, politik, ekonomi, kebudayaan, kepimpinan dan pemerintahan. Natijahnya rakyat yang akan dilahirkan juga akan bersikap sekular dan bertindak mengikut acuan sekular karana perlaksanaan dasar melahirkan rakyat adalah berteraskan sekular. Kerajaan yang memimpin rakyat pula akan menerapkan falsafah dan pemikiran sekular serta tidak pedulikan Allah di dalam minda serta amalan mereka secara menyeluruh. Prinsip dan falsafah sekular serta tidak pedulikan Allah akan diterapkan dalam seluruh sistem masyarakat di negara itu baik politik, ekonomi, sosial, pendidikan juga segala-galanya keran perlembagaan yang menjadi dasar negara mengawal pergerakan rakyat agar tidak terkeluar dari batas-batas sekularisme. Maka pada akhirnya wujudlah negara sekular dengan rakyat dan pemerintahnya bermental dan beramalkan amalan sekular dalam hidup mereka.

Tiada dapat tiada maka parti yang yakin tanpa belah bagi kepada Allah sahajalah yang layak untuk menubuhkan sebuah negara yang baik dan diampunkan Allah. Baik disisi Allah adalah apa sahaja perkara yang dituntut oleh Allah kepada manusia untuk melaksanakannya. Apabila manusia itu sedaya upaya melaksanakan tanggungjawabnya kepada Allah dengan mentaati segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya selepas itu dia memohon ampun kepada tuhan atas dosa-dosanya, maka Allahlah yang maha mengampunkan dosa hamba-hambanya.

Setelah majoriti rakyat faham akan kebenaran Islam seterusnya mengangkat pemimpin yang takutkan Allah, bukan pemimpin yang suka makan rasuah atau suka bom orang, maka pemimpin-pemimpin parti yang takutkan Allah apabila diberi kuasa, maka mereka akan merancang segala perkara menurut apa yang telah diperintahkan oleh Allah Ta'ala. Oleh kerana meraka ini yakinkan Allah lebih daripada segala-galanya yang ada di bumi dan di langit, Allah jualah menjadi tempat rujukan dan panduan untuk mentadbir dan menyelesaikan masalah hidup manusia. Menjadi tanggungjawab mereka untuk meminda perlembagaan negara yang sekular kepada perlembagaan negara yang tunduk kepada perintah Allah dan Rasul-Nya. Akhirnya, apabila perlembagaan negara meletakkan Islam sebagai acuan, apabila dilaksanakan dasar itu, maka akan lahirlah masyarakat takutkan Allah dan Rasul, masyarakat bukan Islam pula akan lebih terjamin kehidupan mereka daripada sistem pemerintahan sekular yang diamalkan sekarang. Negara yang takutkan Allah adalah lahir dari parti yang takutkan Allah.., Wallahu A'lam.

No comments: