About Me

My photo
Anak Bapak Al-Banjary Al-Asya'iry As-Syafi'iy, Dilahirkan pada tanggal 1hb Januari 1983 di Kg Parit Satu Sungai Sireh, Tanjong Karang, Selangor Darul Ehsan, seorang Melayu berketurunan Banjar suku Alai, Kini bersama PAS Kawasan Tanjong Karang berjuang menegakkan Islam di atas muka bumi Allah sebagai amanah dan tanggungjawab dari-Nya.. ..terima kasih atas sokongan anda.. Takbirr..ALLAHUAKBAR..!!!

Friday, May 23, 2008

Menjuarai Perjuangan Islam..Menyingkap Perlembagaan Parti Islam SeMalaysia ( PAS )

Apabila Mursyidul 'Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat membuat kenyataan bahawa hanya PAS menjuarai perjuangn Islam di tanah air ( The Star, 17-05-2008 ). Saya yakin bahawa tuan guru telah mengeluarkan kenyataan tersebut atas dasar yang amat kukuh bahawa PAS adalah satu-satunya parti yang memperjuangkan Islam di tanah air ini. Namun kedengaran juga rasa tidak puas hati terhadap kenyataan tuan guru tersebut, bukan sahaja dari kalangan UMNO, bahkan banyak juga teman-teman dari PKR sendiri sehingga ada juga dikalangan mereka yang mengatakan bahawa seolah-olah mereka ini sebagai sampah.

Untuk melihat sebuah parti itu menjadikan Islam sebagai dasar perjuangan atau tidak bukanlah suatu yang sukar. Setiap parti politik mesti ada undang-undang tubuh atau perlembagaannya. Undang-undang tubuh atau perlembagaan partilah yang menentukan corak dan bentuk sesebuah parti itu. Setiap amalan, sikap, pendirian dan tindakan parti itu adalah merujuk kepada perlembagaannya. Jika perlembagaan perti itu berteraskan sekular, sudah tentu sikap dan pendirian juga amalannya juga mesti merujuk kepada pandangan dan sikap sekularisme. Sebuah parti yang sekular tidak boleh berpendirian dan bersikap menyalahi konsep sekular. Jika parti sekular berpendirian dan bersikap tidak sekular maka ia adalah menyalahi undang-undang tubuh atau perlembagaannya sendiri. Oleh demikian ia tidak dipanggil parti sekular lagi. Begitu juga parti yang undang-undang tubuh atau perlembagaannya berdasarkan Islam. Parti ini mesti bergerak, bersikap, berpendirian dan bertindak mengikut acuan Islam. Sekiranya dalam parti ini bergerak menyalahi Islam maka apa yang dia buat itu adalah tidak sah. Begitulah secara ringkas betapa perlembagaan parti itu mencorakkan rupa bentuk parti itu.

Atas dasar inilah saya kira Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz menyatakan pendirian bahawa hanya PAS menjuarai perjuangan Islam di tanah air ini. Setakat ini tidak ada lagi parti yang berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan, perlembagaannya benar-benar mengambil Islam sebagai dasar, hanya Parti Islam Se-Malaysia ( PAS ) sahaja. Mungkin ada parti-parti politik lain yang memasukkan perkataan Islam kedalam perlembagaannya tetapi adakah Islam yang dimaksudkan itu sebagai dasar parti atau sekadar agama seperti agama-agama lain sahaja..?

Sebagai perbandingan awal, lihat kepada perlembagaan UMNO; " Fasal 3(3) asas dan tujuan penubuhan UMNO ialah untuk menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam, agama rasmi negara serta menghormati prinsip kebebasan beragama."

Apakah Islam yang dimaksudkan adalah keseluruhan Islam dalam konteks cara hidup ( termasuklah cara berpolitik ) atau sekadar perkara-perkara rasmi sahaja yang hendak ditegak, dipertahan dan dikembangkan. Dalam konteks politik Malaysia, UMNO yang membentuk kerajaan memang meletakkan Islam dalam perlembagaannya, tetapi Islam sabagai agama itu adalah bersifat tiga serangkai bersama-sama bangsa dan negara. Agama merupakan satu daripada tiga perkara yang diperjuangkan. Apabila terdapat tiga perkara untuk diperjuangkan, mungkin di sana terdapat keutamaan-keutamaan yang perlu disegerakan dan keutamaan lain ditangguhkan dahulu. Dalam lain-lain hal mungkin keutamaan tidak diberikan kepada agama sahaja. Mungkin terdapat beberapa hal bangsa itu atau negara itu diutamakan dari perkara lain. Maka soal agama tidak semestinya menjadi keutamaan yang paling utama. Ada masanya agama perlu ditolak untuk mengutamakan keutamaan yang lain.

Mereka yang yang mahu menyertai UMNO, antara syaratnya ialah patuh dan taat kepada Perlembagaan UMNO dan Perlembagaan Persekutuan. Sedangkan jika kita rujuk kepada Perlembagaan Persekutuan, peruntukan seperti perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan adalah jelas bercanggah dengan Islam.

Perkara 4(1) Perlembagan Persekutuan berbunyi ; "Perlembagaan ini adalah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka dan berlawanan dengan Perlembagaan ini hendaklah terbatal setakat yang berlawanan itu "

Berdasarkan kepada dua perkara yang menjadi asas kepada penubuhan UMNO itu, jelas bagi kita bahawa agama yang diperuntukkan dalam perlembagaan UMNO itu ialah agama yang difahami sama seperti agama-agama yang lain, bukannya Islam yang bermaksud Ad-Deen atau sistem hidup atau cara hidup yang lengkap dan menyeluruh.

Mereka yang menjadi pendokong dan penyokong parti sekular seperti UMNO juga mengakui bahawa Al-Quran itu kitab mereka. Tetapi dalam masa yang samamereka menjadikan perlembagaan negara sebagi rujukan tertinggi menggantikan autoriti Al-Quran sebaga rujukan tertinggi dalam pemerintahan serta pentadbiran negara atau rujukan kepada apa-apa keputusan politik yang mereka buat. Oleh itu Al-Quran adalah hanya menjadi rujukan tertinggi dalam ibadah sahaja. Sepatutnya, sesebuah parti yang benar-benar menjadikan Islam sebagi imannya tidak boleh menjadikan dua perkara sebagai rujukan tertinggi dalam satu masa.

Merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan, semua undang-undang yang bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan akan terbatal setakat mana ia bercanggah. Dalam peruntukan ini, mereka meletakkan perundangan negara sebagai rujukan serta perundangan tertinggi dan undang-undang lain ( termasuk syari'at Islam ) adalah terbatal sekiranya bercanggah dengannya. Ini bermaksud, sekiranya Al-Quran dan Al-Hadith bercanggah dengan Perlembagaab Persekutuan, maka Perlembagaan Persekutuan yang akan dipakai dan secara automatiknya Al-Quran dan Al-Hadith tiada terpakai. Maknanya, undang-undang persekutuan boleh membatalkan undang-undang Islam yang berasaskan Al-Quran dan Al-Hadith. Perkara ini adalah amat serius di sisi 'aqidah bahkan boleh menjadi syirik kerana menolak sumber utama rujukan Islam.

Jika penyokong dan pendokong UMNO mengatakan ianya adalah berdasarkan Islam, maka perkara tidak boleh berlaku. Sepatutnya kedaulatan Islam itulah yang paling tinggi dan tiada yang lebih tinggi dari Islam walaupun perlembagaan persekutuan dan undang-undang lain akan terbatal sekiranya bercanggah dengan Islam. Sebagai contoh,sekiranya Akta Keselamatan Dalam Negari ( ISA ) dan riba itu bercanggah dengan undang-undang serta keadah Islam, ia tidak boleh diamalkan di negara ini sebab ia bercanggah dengan Islam. Berlainan dengan UMNO kerana mereka tetap memertahankan perlembagaan negara di dalam undang-undang tubuhnya. Inilah yang didokong oleh UMNO.

Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa sesebuah parti politik itu hendaklah dinilai bukan sekadar pada yang tersurat tetapi yang tersirat atau dinilai dari segi batin tetapi dari segi zahirnya sahaja. Undang-undang tubuh atau perlembagaan parti walaupun tercatit tetapi kita hendaklah menilai bukan sahaja pada yang tersurat tetapi kita juga hendaklah menilai yang tersirat yang dapat kita capai dengan pemikiran kita. Bagi saya apa yang tersirat tidak boleh dijadikan hujah kerana ia tidak diketahui oleh sesiapa melainkan Allah Ta'ala.

Sekiranya Parti Politik itu politiknya Islam sudah tentu parti tersebut akan mengisytihar dan menyatakan dengan jelas bahawa Islam adalah dasar dan teras perjuangan. Kita hanya menilai dengan perkara zahir. UMNO serta parti sekular yang lain ( termasuk PKR ) sebuah organisasi dan hatinya tertulis di dalam perlembagaan atau undang-undang tubuhnya. Di situlah dapat kita persoalkan apakah di dalam perlembagaan atau undang-undang tubuh UMNO serta parti-parti yang lain ( termasuk PKR ) tertulis dengan jelas perkataan Islam untuk ditegakkan secara kompreshensif.

Suasana di atas sudah pasti berbeza dengan PAS. PAS pada asasnya bukanlah sebuah organisasi politik. PAS adalah sebuah gerakan atau jama'ah yang memperjuangkan Islam untuk ditegak dan dilaksanakan. Untuk menegak dan melaksanakan Islam, PAS mesti mendapat kepercayaan mejoriti undi untuk mencapai matlamatnya. Oleh itu usaha-usaha perlu dilakukan. Untuk mencapai maksud itu, PAS mesti menyertai pilihanraya. Untuk menyertai pilihanraya, PAS mesti berdaftar dengan pendaftar pertubuhan sebagi parti politik. Jelas di sini bahawa status parti politik adalah wasilah kepada mencapai matlamat PAS. Maka usaha-usaha untuk mencapai matlamat ini juga mesti melalui kaedah yang dibenarkan oleh syarak.

Dasar PAS adalah Islam seperti mana yang termaktub di dalam perlembagaan PAS ;


BAB YANG KEDUA ( Dasar dan Seruan ) ;

FASAL 3. Dasar PAS ialah ISLAM

FASAL 4. Seruan PAS ialah ALLAHU AKBAR


BAB YANG KETIGA ( Tujuan, Usaha, Hukum dan Kekuasaan )

FASAL 5. Tujuan PAS ialah :-

(1) Memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah.

(2) Mempertahankan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara.


FASAL 6. Usaha-usaha :-

(1) Menyeru umat manusia kepada Syari'at Allah dan Sunnah Rasul-Nya melalui dakwah secara lisan, tulisan dan amalan.

(2) Memperjuangkan Islam sebagai aqidah dan syari'ah serta menajadikannya sebagai panduan berpolitik dan bernegara serta memperkenalkan nilai-nilai keIslaman dalam usaha menegakkan keadilan dan kemajuan di segenap bidang termasuk pemerintahan dan pentadbiran, ekonomi dan sosial serta pelajaran dan pendidikan.

(3) Memupuk dan memperkuatkan ukhuwah Islamiah dan menyuburkan rasa perpaduan di kalangan rakyat bagi memelihara kehidupan politik dan masyarakat yang sihat dan berkebajikan.

(4) Mengajak dan menggalakkan badan-badan, pertubuhan-pertubuhan dan oranga-orang perseorangan bagi mengenali dan memahami serta memperjuangkan konsep dan padangan hidup Islam.

(5) Menyediakan rencana-rencana dan bertindak bagi memperbaiki susunan serta institusi-institusi masyarakat, bentuk politik dan keadilan ekonomi dan negara, untuk membela kepentingan umat Islam dan rakyat seluruhnya.

(6) Menyertai dan bekerjasama dengan badan-badan, persatuan-persatuan atau pertubuhan-pertubuhan yang tidak berlawanan tujuannya dengan PAS bilamana dan selamanya ianya mustahak dan sesuai serta tidak bercanggah dengan undang-undang negara.

(7) Mempertahankan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara yang tunggal dalam amalannya disamping berusaha mengembangkan bahasa al-Quran.

(8) Memperjuangkan wujudnya kebudayaan negara berasaskan nilai-nilai yang tidak bercanggah dengan ajaran-ajaran Islam.

(9) Memperjuangkan hak dan kepentingan umat Islam di negara ini tanpa mengabaikan tanggungjawab melaksanakan keadilan terhadap seluruh rakyat Malaysia dan tanggungjawab mewujudkan keharmonian antara kaumdi negara ini.

(10) Menyertai dan bekerjasama dengan Bangsa-Bangsa Bersatu dan badan-badan lain yang sah bagi mengekalkan keamanan dan menjamin hak-hak asasi manusia serta menghapuskan segala macam kezaliman, kepalsuan, perhambaan dan penindasan di kalangan umat manusia.

(11) Melakukan apa-apa jua usaha dan tindakan dalam batas-batas Perlembagaan dan undang-undang negara bagi mecapai semua tujuan-tujuan PAS ke dalam dan keluar.


FASAL 7. ( Hukum dan Kekuasaan )

(1) Adapun hukum yang tertinggi sekali dalam pegangan PAS ialah KITABULLAH dan SUNNAH RASUL serta IJMAK 'ULAMAK dan QIAS yang terang dan nyata, dengan tertakluk kepada hukum yang tertinggi itu, kekuasaan PAS adalah dipegang oleh Muktamar Tahunan.


Melalui perbahasan yang panjang tentang perlembagaan atau undang-undang tubuh sekular berbanding perlembagaan yang menjadikan Islam sebagai kuasa tertinggi, pasti kita dapat fahami bahawa setakat ini hanya PAS sahaja yang menjadikan Islam sebagai dasar perjuangannya. Merujuk kepada dasar, matlamat dan usaha-usaha yang diperuntukkan oleh PAS, nyata PAS wajib bergerak selagi mana ia tidak mencanggahi undang-undang Islam. Inilah yang membezakan PAS dan UMNO malah amat berbeza matlamat dengan PKR kerana nyata matlamat PAS adalah menuju keredhaan Allah sebagaimana yang termaktub di dalam perlembagaannya. Maksud menuju keredhaan Allah adalah memastikan jalan yang mereka lalui adalah jalan yang dihalalkan oleh Allah dan menjauhi jalan yang di murkai Allah. Ini adalah amat berbeza dengan ciri-ciri parti politik sekular yang dapat saya diringkaskan di sini ialah ;

(a) Ia tidak menjadikan Islam sebagai dasar perjuangan dan bukan berjuang untuk mendaulatkan Al-Quran dan As-Sunnah.

(b) Amalan, perlaksanaan dan penghayatan parti itu dapat ditafsirkan sebagai menolak Syariat Allah untuk menjadi sistem hidup bermasyarakat dan bernegara.

(c) Undang-undang tubuh atau perlembagaannya juga tidak menyatakan secara jelas dan nyata tentang gagasan penubuhan negara Islam.

(d) Perjuangan berdasarkan kebendaan semata-mata dengan menjadikan konsep matlamat menghalalkan cara sebagai sebahagian dasar perjuangan.

Justeru, saya mengajak kepada saudara para pembaca untuk menilai perjuangan kita yang sebenar apakah perjuangan kita menuju keredhaan Allah atau terkeluar dari jalannya. Saya pasti setelah menilai dengan pandangan iman dan taqwa, pasti saudara pembaca akan dapat melihat perbezaannya yang nyata lagi ketara betapa hanya perjuangan berpaksikan Al-Quran dan As-Sunnah sahaja yang diterima oleh Allah insya-Allah..tepuklah dada..tanyalah iman..wallahu A'lam.







No comments: