About Me

My photo
Anak Bapak Al-Banjary Al-Asya'iry As-Syafi'iy, Dilahirkan pada tanggal 1hb Januari 1983 di Kg Parit Satu Sungai Sireh, Tanjong Karang, Selangor Darul Ehsan, seorang Melayu berketurunan Banjar suku Alai, Kini bersama PAS Kawasan Tanjong Karang berjuang menegakkan Islam di atas muka bumi Allah sebagai amanah dan tanggungjawab dari-Nya.. ..terima kasih atas sokongan anda.. Takbirr..ALLAHUAKBAR..!!!

Monday, July 2, 2007

Pentadbiran Negara Tidak Ikut Falsafah Solat Berjemaah...???

Ketika Pak Lah baru ditabal sebagai ketua kerajaan yang akan memimpin negara ini, antara yang sering ditonjolkan media adalah Pak Lah mengimamkan solat berjemaah. Sejuk mata memandang apabila seorang ketua kerajaan mengimamkan solat. Pak Lah memang patut mengimamkan solat kerana kapasiti beliau adalah pengasas mazhab hadhari. Sebagai pengasas mazhab hadhari maka wajarlah Pak Lah mampu mengimamkan apa-apa jenis solat hatta solat sunat gerhana matahari dan bulan. Maka rakyat akan melihat bahawa Pak Lah bukan setakat mampu mengetuai kerajaan, malah mampu juga menjadi ketua kepada orang-orang yang sujud kepada Allah Ta'ala.

Apakah pentadbiran Pak Lah kini menepati kod etika pemimpin yang terkandung dalam ibadah solat berjama'ah? Apakah Pak Lah tidak menyedari bahawa di dalam solat berjema'ah ada mesej tentang bidang kuasa imam dan makmum? Sejauh manakah Pak Lah menjadikan solat jama'ah sebagai falsafah pentadbirannya, arah kiblatnya, sujud dan rukuknya juga doanya.

Solat jema'ah sebenarnya adalah latihan politik dan bermasyarakat. Di sana bukan sekadar ibadah khusus bahkan ada ilmu untuk rakyat dan pemimpin mempraktikkannya dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Pak Lah mungkin lupa atau tidak sedar hakikat ini. Mustahil Khairy akan mengingatkan bapa mertuanya sedangkan dia sendiri sering lupa mengingatkan isterinya menutup aurat dan terlupa berjual beli sehingga menggadai maruah dan kedaulatan negara. Sebagai makmum dan rakyat, maka wajiblah bagi saya sebagai makmum untuk memberi peringatan kepada imam yang memimpin saya kerana peringatan itu adalah berguna kepada orang-orang yang bertaqwa. Saya harap Pak Lah tergolong dikaangan orang-orang yang bertaqwa.

Sebelum solat jema'ah dimulakan, menjadi tanggungjawab makmum untuk melantik seorang di kalangan mereka untuk diangkat menjadi imam. Imam yang dilantik mesti menepati ciri-ciri tertentu untuk mengetuai solat jama'ah. Makmum terlebih dahulu perlu mengenalpasti dan memastikan imam yang akan memimpin solat jama'ah dari segi ilmu dan pengetahuannya yang mencukupi, bacaan dan hafalannya jelas, amalan hariannya yang tidak mengulangi dosa kecil dan tidak melakukan dosa besar seboleh-bolehnya dan lain-lain lagi. Maka dari situ sudah pasti wajib bagi kita juga untuk memilih pemimpin yang akan mengetuai kerajaan yang akan mentadbir negara dikalangan orang yang menepati ciri-ciri pemimpin yang beriman dan bertaqwa kepada Allah, mempunyai asas ilmu berkaitan syariat, akidah dan akhlak untuk menjaga akal, nyawa, kehormatan, harta benda dan iman rakyat. Mereka juga mesti tahu serba sedikit tentang ilmu ekonomi untuk membangunkan negara, ilmu sosial untuk membentuk masyarakat,ilmu politik untuk memahami suasana politik dalam dan luar negara. Bayangkan jika kita memilih imam yang suka-suka hati mengubah rukun solat mengikut hawa nafsunya, sudah pasti makmum juga akan sesat.

Setiap amalan bermula dengan niat, dan setiap amalan yang dilakukannya adalah mengikut apa yang diniatkan. Imam mesti berniat bahawa ibadahnya itu semata-mata kerana Allah Ta'ala. Menjadi imam juga kerana Allah. Begitu juga dengan makmum, mereke solat mengikut imam bukan kerana imam itu 'alim, tapi kerana Allah Ta'ala. Menunjuk-nunjuk pada orang lain menjadi riak, rasa bangga di hadapan orang lain menjadi takabbur, tidak merasa apa-apa sekadar mengaburi mata orang lain untuk menutup keingkaran terhadap Allah menjadi munafik, tidak solat langsung terus jadi fasik. Maka setiap pemimpin mesti ikhlaskan diri memimpin masyarakat kerana Allah, menyerahkan yang hak dan menafikan yang batil. Niat untuk menjaga kepentingan sendiri, keluarga dan menantu mesti dijauhkan takut termakan duit rakyat. Rakyatjuga mesti ikhlaskan diri mentaati pemimpin kerana Allah. Mentaati pemimpin wajib selagi tidak bercanggah dengan syariat Allah. Jangan pula sampai mentaati pemimpin membuta tuli walaupun melanggar syariat sehingga mengampu pemimpin untuk mendapat sedikit habuan dunia.

Wajib bagi makmum untuk menuruti gerakan imam dalam solat selagi mana tidak terkeluar dari rukun dan syarat sah solat. Sebagai rakyat juga, wajib kita mentaati arahan pemimpin demi kesejahteraan rakyat dan negara. Makmum mengikut imam adalah menurut perintah Allah Ta'ala bukan kerana imam. Selagi imam bergerak menurut apa yang ditetapkan oleh Allah dan Rasulnya maka selagi itulah makmum wajib mengikutinya. Begitu juga jika seorang pemimpin itu mentadbir dan memerintah negara mengikut apa yang disyariatkan oleh Allah dan Rasulnya, maka selama itulah rakyat wajib mentaati apa yang diperintahkan oleh pemimpin. Allah dan Rasul adalah melabihi segala-galanya maka pemimpin seperti Pak Lah wajib menyedari bahawa mentadbir negara perlu mengikut apa yang Allah gariskan bukan semata-mata nasihat dan arahan menantunya. Pak Lah dan pemimpin UMNO yang lain mesti sedar bahawa memimpin masyarakat adalah amanah Allah bukan untuk kepentingan diri dan keluarga.

Wajib bagi imam untuk berdiri betul menghadap kiblat, jika tidak maka solat itu tidak akan dikira sah. Imam akan rukuk dan sujud sebagai tunduk kepada Allah Ta'ala. Maka makmum juga akan mengikut imam tunduk kepada Allah ta'ala. Pemimpin yang beriman dan bertaqwa wajib memastikan bahawa mereka mesti membawa hala tuju ke arah apa yang terkandung dalam syariat Islam, bukan membawa masyarakat berkiblatkan akal dan hawa nafsu. Pemimpin mesti tunduk kepada suruhan dan larangan Allah, membawa dan mendidik rakyat untuk tunduk kepada Allah seluruhnya. Pemimpin mesti takut kepada tuhan agar rakyat akan mengikut jejak pemimpin untuk takut dan patuh kepada segala suruhan dan larangan Allah. Malangnya kini pemimpin UMNO memang jelas tidak takutkan tuhan, menipu, mencuri dan merampas hak rakyat bahkan menjual negara. Maka tidak hairanlah kebanyakan rakyat pun sudah berani melakukan jenayah dan kemaksiatan kerana mereka mengikut jejak pemimpin yang tidak takutkan Allah Ta'ala. Imam yang sengaja mengimamkan solat dengan menghadap ke arah selain dari Ka'bah, solatnya tidak akan diterima, malah jika makmum tidak menegur perbuatan imam atau tidak menggantikan imam dengan imam yang lebih layak, maka kesemua mereka akan menanggung balasannya dari Allah. justeru rakyat wajib memastikan bahawa pemimpin yang akan memimpin mereka mesti dikalangan mereka yang menjadikan Islam sebagi matlamat dan dasar pentadbiran negara untuk membentuk masyarakat dan negara yang diterima, diredhai, dirahmati dan sentiasa diampuni Allah.

Sekiranya imam tersalah melakukan suatu gerakan dalam solat, seorang makmum di belakang boleh menegur imam dengan melafazkan kalimah 'subhanallah' agar diakhir solat sebelum salam nanti akan dilakukan sujud sahwi. Begitu juga dengan rakyat jika pemimpin melakukan kesalahan dan kesilapan, rakyat mesti diberi hak untuk menegur pemimpin tersebut agar tidak mengulanginya lagi. Teguran dan kritikan penting untuk membina masyarakat yang lebih baik dan sempurna. Pemimpin mesti menyedari bahawa mereka jua pada asalnya adalah dikalangan rakyat dan mereka juga adalah anggota masyarakat. Malangnya pemimpin UMNO dan BN kini cuba mengubah susunan masyarakat Malaysia ke arah feudal, rakyat mesti ikut apa sahaja yang disuruh oleh mereka walaupun suruhan itu merugikan rakyat. UMNO memang jelas melanggar prinsip yang ada dalam falsafah solat jama'ah itu

Sekiranya imam melakukan perkara yang membatalkan solat, dia sudah tidak dikira seabagai imam lagi. Jika imam melakukan satu kesalahan seperti terkentut maka terbatal ia dari solat, dia perlu mengundurkan diri dari memimpin solat itu dan akan digantikan dengan imam yang baru dikalangan makmum yang tadinya berada di belakang imam tadi. Begitu juga dengan pemimpin sebuah negara. Jika dia melakukan suatu kesalahan yang boleh mengakibatkan kedaulatan dan maruah negara tergadai, maka dia sudah tidak layak lagi untuk memimpin sebuah negara. Sepatutnya dia mesti mempertahankan maruah dan kedaulatan negara untuk kepentingan rakyat. Tapi spisis ini suka menggadai maruah dan kedaulatan negara untuk kepentingan kepentingan diri, menantu dan mungkin isteri barunya. Demikian juga dengan rakyat mesti menolak kalangan pemimpin yang suka menipu,mencuri dan merampas hak rakyat, bukan sahaja pemimpin itu yang perlu ditolak, parti yang diwakilinya juga mesti ditolak dan digantikan dengan parti yang lebih baik hala tujunya, parti yang takutkan tuhan dan parti yang patuh pada perintah Allah dan Rasul, dan meninggalkan larangannya. Tidak pernah berlaku jika seorang imam melakukan kesalahan atau terbatal solatnya, menerajang keluar makmum yang menegur atau menggantikannya. Dalam UMNO tidak mustahil terjadi kerana sudah menjadi tradisi UMNO untuk menyepak dan menerajang keluar sesiapa sahaja yang mengkritik dan menegur pemimpin yang korup dan melampau batas.

Sampai bilakah struktur pentadbiran negara kita akan terus berlangsung membelakangi falsafah yang boleh kita ambil dari solat jama'ah? Solat jama'ah terbukti adalah pengajaran dan pendidikan politik dan kemasyarakatan terbaik yang mesti kita manfaatkan. UMNO memang tidak boleh diharap lagi. Perjuangan UMNO jelas sudah terpesong dari kiblat Islam. Tertubuhnya UMNO pun adalah untuk meneruskan hegemoni dan polisi politik British dan diteruskan pula golongan ekstrimis nasionalis kapitalis sekularis UMNO. UMNO tidak pernah sujud dan rukuk kepada Allah malah hanya sujud pada akal dan hawa nafsu sahaja. Kiblat UMNO adalah barat, kerana tafsiran kemajuan oleh UMNO diukur dengan pencapaian barat yang mementingkan kebendaan semata-mata. Di akhir solat kita sama-sama berdoa agar diberi keampunan dan dimudahkan Allah segala urusan kita. Sebaliknya pada UMNO akhirnya meneruskan kehidupan rakyat ke arah kemurkaan Allah, jauh dari keampunannya. UMNO juga lebih banyak menyusahkan rakyat dengan menarik kebebasan hak asasi rakyat.

Adalah menjadi kewajipan kita sebagai makmum untuk melantik imam-imam dikalangan mereka yang berkiblatkan Islam, tunduk dan patuh kepada segala suruhan dan larangan Allah dan Rasulnya, dan sentiasa membawa rakyat ke arah keampunan dan keredhaan Allah Ta'ala.






No comments: