About Me

My photo
Anak Bapak Al-Banjary Al-Asya'iry As-Syafi'iy, Dilahirkan pada tanggal 1hb Januari 1983 di Kg Parit Satu Sungai Sireh, Tanjong Karang, Selangor Darul Ehsan, seorang Melayu berketurunan Banjar suku Alai, Kini bersama PAS Kawasan Tanjong Karang berjuang menegakkan Islam di atas muka bumi Allah sebagai amanah dan tanggungjawab dari-Nya.. ..terima kasih atas sokongan anda.. Takbirr..ALLAHUAKBAR..!!!

Saturday, July 7, 2007

Kalau Bukan 'Ulamak Menasihat.., Siapa Lagi...???

Maka baru-baru ini DYTM Raja Dr Nazrin Shah telah menitahkan bahawa 'ulamak tidak boleh berpuak. Adapun yang dikatakan tidak boleh berpuak pada faham saya adalah 'ulamak yang tidak cenderong meletakkan suatu ketetapan atau pandangan dan sikap yang lari dari prinsip Islam terhadap suatu isu itu untuk kepentingan mana-mana puak yang berkepentingan dengan mengambil kesempatan terhadap kejahilan masyarakat dengan hujah dan dalil yang mengelirukan. Oleh itu ulamak yang menyatakan pendirian, pandangan dan sikap Islam atas suatu isu itu untuk dihalalkan tindakkan yang dilarang Islam oleh suatu puak, itulah 'ulamak yang berpuak atau memihak kepada suatu puak atau berpuak-puak. Mereka juga akan cuba sedaya-upaya mengolah hujah dalil-dalil untuk membenarkan tindakan suatu puak yang bertujuan untuk mencari keuntungan disebalik kejahilan orang lain.

Telah dinyatakan bahawa 'ulamak adalah seorang yang mempunyai pengetahuan ilmu yang mendalam tentang ilmu-ilmu Islam. Paling tidak seorang 'ulamak itu mesti mempunyai ilmu tentang fiqh dan usul fiqh, tauhid dan akhlak, hadith dan ilmu-ilmunya, Al-Qur'an, tafsir dan ilimu-ilmu tafsir, dan lain-lain lagi. Sudah semestinya seorang 'ulamak itu mesti menguasai ilmu Bahasa Arab dari segi Nahu Sorof dan Balaghahnya. Bahasa Arab adalah ilmu alat terpenting bagi seorang 'ulamak untuk memahami dengan betul kandungan Al-Qur'an dan Hadith sebagai sumber utama kerana keduanya itu tertulis di dalam Bahasa Arab serta. Kemudian Bahasa Arab juga amat penting bagi seorang 'ulamak untuk mengkaji kitab-kitab hasil ijtihad dan karangan imam-imam besar dan 'ulamak-'ulamak yang muktabar kerana semuanya ditulis dalam Bahasa Arab. Oleh kerana kecenderungan dan tahap pemikiran manusia adalah berlainan dan terbatas, maka terdapat dikalangan 'ulamak yang menguasai dan mempunyai kepakaran yang khusus dalam agama. Maka 'ulamak-'ulamak Fiqh dipanggil Fuqoha', 'ulamak-'ulamak Hadith dipanggil Muhaddisin, 'ulamak-'ulamak tafsir digelar Mufassirin, "ulamak-'ulamak bahasa dipanggil Lughawiyyun dan sebagainya. Adapun golongan yang mempunyai kepakaran ilmu selain dari ini seperti doktor perubatan dan jurutera adalah tidak termasuk dikalangan apa yang dipanggil sebagai 'ulamak.

Telah berfirman Allah Ta'ala bahawa golongan dikalangan hamba-hamba yang takut pada tuhannya adalah dikalangan 'ulamak. Sabda Baginda Rasulullah S.A.W pula menyatakan bahawa 'ulamak adalah pewaris nabi, maknanya 'ulamak mewarisi kerja-kerja nabi. Kemudian tokoh-tokoh besar 'ulamak menggariskan bahawa 'ulamak terbahagi pula kepada dua, 'ulamak baik dan 'ulamak jahat ( 'ulamak su'). Adapun 'ulamak yang baik itu dikalangan 'ulamak yang takut kepada Allah, 'ulamak yang jahat pula adalah sebaliknya.

Setelah kita kenal tentang siapa dia 'ulamak, maka hendak pula kita tahu apa persamaan 'ulamak yang berpuak dan 'ulamak jahat ( 'ulamak suu'). Maka bagi saya 'ulamak yang suka berpuak itu adalah juga 'ulamak jahat. Seperti yang saya nyatakan bahawa 'ulamak yang berpuak adalah 'ulamak yang menggunakan pengetahuan ilmu agamanya untuk menjayakan rancangan dan kehendak suatu puak yang suka melanggar perintah Allah. Dalam hal ini umat Islam akan diperbodohkan mindanya dengan dicelarukan pemikiran mereka agar suatu yang dilarang Allah dan Rasulnya dipandang baik dan elok adanya.

Dikalangan puak yang akan menggunakan 'ulamak-'ulamak puak dan jahat ini sudah pastilah dari golongan yang mempunyai kuasa dikalangan rakyat. Golongan yang berkuasa ini akan menjanjikan sedikit habuan dunia kepada 'ulamak puak dan jahat ini sebagai ganjaran atas kerja-kerja keji mereka. Maka para 'ulamak puak dan jahat ini akan mengeluarkan nas-nas dan dalil beserta hujah juga huraian yang akan mengeliru dan memperbodohkan rakyat untuk menghalalkan tindakan dan dasar yang dimurkai Allah oleh orang yang berkuasa tadi. Kesemua kerje-kerja keji tadi dilaksanakan untuk memaksa rakyat terus taat kepada pemimpin yang melanggar perintah Allah dan menerima suatu perintah itu seolah-olah ia juga adalah suruhan dan perintah dari Allah.

Pemimpin-pemimpin yang menggubal dasar dan melaksanakan pentadbiran yang bercanggah dengan Al-Qur'an dan Sunnah adalah orang yang melawan Allah dan Rasul-Nya. Oleh itu 'ulamak-'ulamak yang menjadi perisai kepada pemimpin yang dimurkai Allah dan Rasulnya juga adalah golongan yang melawan Allah dan Rasulnya. Golongan-golongan yang melawan Allah dan Rasulnya akan tergolong pula dikalangan kufur atau munafiq atau fasik. Jika pemimpin dan 'ulamak yang berganding bahu menolak Al-Qur'an dan Sunnah sebagai sumber rujukan digantikan pula dengan idealogi-idealogi falsafah yang bertuhankan akal semata-mata, dikhuatiri kufur mereka itu. Jika dikalangan pemimpin dan 'ulamak itu berkomplot dibelakang rakyat dengan menjadi musang berbulu ayam, di hadapan rakyat hebat bercakap tentang Islam dan sebagainya, dibelakang menyusun strategi meruntuhkan Islam, dikhuatiti munafik mereka itu. Jika pemimpin dan 'ulamak suka melakukan dosa besar dan membiarkan rakyat terus hancur, dikhuatiri fasik mereka itu.

Para 'ulamak puak dan jahat sebenarnya tidak takutkan tuhan. Mereka mencari jalan untuk memaksa dan meracun minda rakyat menerima apa sahaja tindakkan pemimpin dengan ugutan psikologi dan mentaliti rakyat melalui hujah dan dalil agar mereka menerimanya seolah suatu fatwa. Pemimpin melalui 'ulamak-'ulamak puak dan jahat ini akan mengambil kesempatan terhadap kejahilan rakyat dikalangan umat Islam. Golongan pemimpin yang tidak takutkan tuhan akan terus menipu, menindas dan merampas hak rakyat untuk kepentingan perut dan bawah perut mereka dan keluarga serta kroni mereka juga tidak mustahil menantu-menantu mereka juga. Untuk menutup kebusukan kudis dan bisul mereka ini, mereka akan mencari golongan 'ulamak yang hanya tahu cari makan tanpa rasa takut kepada tuhannya untuk menutup bisul dan kudis pemimpin itu tadi. 'Ulamak puak dan jahatlah yang akan berperanan menghiasi dan memberi wangian ke atas bisul dan kudis pemimpin yang terus busuk dan membusuk itu. Buat ingatan pemimpin dan 'ulamak yang tidak takutkan tuhan, sebanyak mana bedak diletak di atas kudis dan bisul yang busuk, wangi bedak itu tidak akan dapat menutup busuk juga kudis dan bisul yang akan terus membusuk dan bernanah. Suatu masa pasti rakyat akan terbau busuk dan melihat nanah serta bisul yang terus bernanah dan membusuk. Begitulah busuk dan buruknya kerjasama pemimpin dan 'ulamak yang memesongkan rakyat dari jalan yang sebenar demi kepentingan perut dan bawah perut mereka.

Adapun para 'ulamak yang baik-baik tidak akan berani melawan perintah Allah dan Rasulnya. Para 'ulamak yang baik-baik tidak pula akan takut menyatakan pendirian agama terhadap pemimpin mereka. Allah telah menyatakan bahawa orang-orang yang takutkan Allah adalah 'ulamak. Sudah tentu 'ulamak yang hakiki adalah 'ulamak yang takutkan tuhannya dengan menyuruh kepada yang baik-baik dan melarang yang jahat-jahat. Apa-apa yang disuruh oleh Allah maka yang baik-baiklah ia, sebaliknya yang disuruh jauh oleh Allah malah jangan dekati maka yang jahat-jahatlah ia.

'Ulamak mewarisi kerja-kerja nabi. Antara kerja-kerja nabi selain dari beribadat dan menyebarkan dakwah adalah menjadi pemimpin keluarga, masyarakat hatta negara. Baginda Rasulullah adalah ketua keluarga, panglima tentera serta ketua kerajaan dan negara. Baginda telah menetapkan dasar bermasyarakat, berekonomi dan berpolitik di bawah naungan wahyu ilahi. Justeru para 'ulamak yang kerjanya meneruskan kerja nabi mesti bersama-sama memperjuangkan sistem sosial, ekonomi dan politik yang telah nabi tinggalkan lebih seribu empat ratus tahun dahulu. Jika tidak, maka saksikanlah bahawa Islam hanya wujud di masjid-masjid, tanah-tanah kubur juga 'name-tag' orang-orang yang namanya bercirikan islam sahaja.

Para 'ulamak yang baik-baik yang menyertai mana-mana badan pertubuhan dan parti politikyang memperjuangkan Islam saya yakini tidak termasuk mereka itu dikalangan 'ulamak puak dan jahat. Para 'ulamak yang bergerak menjalankan aktiviti dan program contohnya Persatuan 'Ulamak Malaysia dan lain-lain bukanlah termasuk dikalangan berpuak. Matlamat mereka jelas untuk mengembangkan dan tidak berani melampaui batas-batas iman dan kufur dalam memberi pendirian dan sikap islam terhadap suatu perkara. Para 'ulamak yang berjuang untuk mendapatkan kuasa politik kerana dengan kuasa tersebut Islam terlaksana, maka mereka hanya bergerak di dlam organisasi politik yang tidak berani melanggar perintah Allah untuk mencapai matlamat membina negara yang baik-baik, negara yang sentiasa dirahmati dan diampuni dan rakyatnya takutkan tuhan belaka. Para 'ulamak yang bergerak, berpesatuan dan berparti memberi contoh mereka juga adalah dikalangan masyarakat sivil. Mereka bergerak dan beroganisasi menurut lingkungan peruntukan undang-undang sedia-ada. Jika mereka bergerak dan berjuang tanpa ada persatuan dan organisasi, maka kelak akan didakwa di mahkamah kerana bergerak secara haram pula. Cuma yang membezakan antara 'ulamak yang baik-baik dan 'ulamak puak dan jahat adalah matlamat mereka samada benar-benar menegakkan yang hak dan menolak yang batil atau bersama bersekongkol menggadai prinsip dan maruah agama untuk digantikan dengan harta dunia, termasuk juga dalam golongan ini 'ulamak yang membisu ketika ada pemimpin yang menggadai maruah dan kedaulatan negara.

Untuk tidak menjadikan 'ulamak itu berpuak atau jahat, maka hendaklah 'ulamak itu jujur dan menghormati disiplin ilmu yang telah digali dahulu. 'Ulamak wajib sentiasa takutkan tuhan, suruhan dan tegahannya. Tiada siapa lagi yang layak untuk memberi nasihat kepada pemimpin negara melainkan 'ulamak atau yang paling afdal 'ulamak itu juga adalah pemimpin. Peranan 'ulamak amat besar kerana mereka ditugas untuk meneruskan kerja-kerja yang ditinggalkan oleh baginda nabi. Dalam konteks berpolitik dan bernegara, 'ulamaklah yang akan memberi teguran dan nasihat kepada pemimpin untuk menyelesaikan suatu isu menurut pandangan Islam. Negara yang menjunjung wahyu dan sunnah sebagai perlembagaan negara mesti menyelesaikan suatu masalah dengan pendirian Islam berdasarkan Al-Qur'an dan Hadith. Dalam konteks perekonomian, masalah pengagihan hasil kekayaan yang terhad terhadap kehendak manusia yang tidak terhad perlu diselesaikan dengan pendirian Islam yang nyata pembahagian menurut persamaan hak yang terjamin dalam sistem sosial Islam. Masyarakat perlu disusun dengan adil sesuai dengan fitrah kejadian manusia tanpa ada kasta dan penindasan, perbezaan bangsa, bahasa dan warna kulit kerana asal usul manusia semuanya sama dari nabi Allah Adam A.S dan Sayyidatina Hawa sebagai ibu dan bapa seluruh manusia. Pergerakan dan tindakan manusia hendaklah dihadkan agar tidak merampas dan menceroboh hak manusia lain, maka menjadi tanggungjawab pemimpin dan 'ulamak untuk memberi pendidikan yang berteraskan 'aqidah, syariat dan akhlak Islam agar tertanam di hati mereka akan takut kepada tuhan di samping menegakkan sistem perundangan Islam untuk menjamin hak asasi manusia.

Kalau bukan 'ulamak, siapa lagi yang akan menasihati pemimpin dari melakukan penipuan dan penindasan yang akhirnya akan menyebabkan rakyat menderita kerana menyerap kerugian hasil negara yang dibolot oleh pemimpin yang rasuah dan 'ulamak yang pekak bisu. 'Ulamak yang suka menggadai agama untuk harta tidak boleh diharap. Kuasa yang ada pada masyarakat juga mampu menyedarkan 'ulamak yang tidak sedar diri untuk pulang ke pangkal jalan. Malangnya kini 'ulama sering dipersenda oleh pemimpin sekular yang melihat 'ulamak sebagai tidak memberi apa-apa keuntungan bagi pihak perut dan bawah perut mereka dan kroni-kroni mereka. Hanya 'ulamak yang dapat diseleweng ilmunya untuk kepentingan pemimpin sekular yang melihat mereka ini dapat mengekalkan kuasa untuk terus mencuri, menipu, menindas dan merampas hak rakyat dengan bertopengkan hujah-hujah sesat 'ulamak jahat yang tidak takutkan tuhan. Untuk menuju ke arah itu, tidak dapat tidak, kita mesti terus berusaha untuk menukar pemimpin yang tidak takut kepada tuhan kepada pemimpin yang takut kepada tuhan, kerana pemimpin yang takut pada tuhan pasti akan didampingi oleh para 'ulamak yang takut kepada tuhan juga.

Akhirnya, maka teringatlah akan saya sepotong hadith yang mafhumnya menyebut; sesungguhnya Allah S.W.T tidak akan menarik semula ilmu dari manusia dengan begitu sahaja, tetapi Allah S.W.T akan menarik semula ilmu dari manusia dengan mewafatkan para 'ulamak, sehingga tiada lagi orang-orang yang 'alim, maka ketika itu manusia akan mengangkat orang yang jahil untuk memimpin mereka, dan mereka itu dikalangan orang yang sesat dan akan menyesatkan.


No comments: