About Me

My photo
Anak Bapak Al-Banjary Al-Asya'iry As-Syafi'iy, Dilahirkan pada tanggal 1hb Januari 1983 di Kg Parit Satu Sungai Sireh, Tanjong Karang, Selangor Darul Ehsan, seorang Melayu berketurunan Banjar suku Alai, Kini bersama PAS Kawasan Tanjong Karang berjuang menegakkan Islam di atas muka bumi Allah sebagai amanah dan tanggungjawab dari-Nya.. ..terima kasih atas sokongan anda.. Takbirr..ALLAHUAKBAR..!!!

Wednesday, June 6, 2007

Masa Untuk Tumpukan Perhatian Pada Pilihanraya Umum Akan Datang

Muktamar Tahunan PAS Ke-53 sudah pun berakhir, para perwakilan PAS juga telah melaksanakan tanggungjawab terhadap parti selaras seperti yang dituntut di dalam perlembagaan parti. Para perwakilan juga telah menunaikan tanggungjawab memilih barisan pimpinan baru yang bakal meneruskan perjuangan dan hala tuju PAS agar lebih mantap atau lebih baik dari yang lepas-lepas.

Tahniah juga saya ucapkan kepada calon-calon yang memenangi kerusi-kerusi yang telah dipertandingkan. Tahniah diucapkan kepada Ustaz Nasharuddin Mat Isa yang dapat mengekalkan jawatan Timbalan Presiden, tahniah juga ditujukan kepada Ustaz Hj Ahmad Awang yang menang jawatan Naib Presiden, tahniah untuk semua ( tidak perlu lagi saya sebut di sini semua keputusan yang sedia maklum) kerana anda semua dipilih untuk memegang amanah yang diberikan oleh majoriti ahli PAS untuk terus dan memantapkan lagi gerak kerja, organisasi, hala tuju dan lain-lainnya menuju matlamat menegakkan keredhaan Allah di atas muka bumi Malaysia ini.

Walaupun saya terdengar macam-macam nilaian, ulasan, gossip-gossip hangat berkaitan saf pimpinan dan pemilihan pucuk pimpinan parti. Namun saya lebih suka untuk memberi penghormatan terhadap keputusan yang telah diputuskan pada muktamar yang lalu. Sesiapa sahaja yang dipilih dan disahkan untuk menerajui apa-apa jawatan dalam parti, saya menghormati keputusan tersebut dan memberi doa dan harapan agar barisan yang dipilih akan bekerja lebih keras kali selepas ini tambahan pula gendang pilihanraya umum akan dipalu sedikit masa sahaja lagi dan kita mesti bersedia ke menyahut paluan gendang nanti.

Wujud Oligarki Dalam PAS..???

Antara isu cakap-cakap yang hangat dibualkan ialah adanya elimen-elimen oligarki di dalam PAS, tanpa mahu saya sebut perkara itu di sini, sedikit-sedikit sifat begitu dikalangan pimpinan parti mungkin ada. Bahkan jika dibuat kajian dari sudut sains politik, mana-mana pun parti tidak terlepas dari amalan oligarki ini. Bagi saya perkara ini dalam PAS khususnya, masih di tahap biasa dan tidak memberi kesan negatif terhadap gerak kerja dan hala tuju perjuangan parti, barangkali beberapa sahabat blogger yang dapat mengenalpasti akan hal keadaan ini berasa amat risau kira-kira perkara ini bakal menjadi warisan seterusnya melumpuhkan permuafakatan dan hubungan antara ahli biasa dan ahli diperingkat pimpinan. Saya amat berharap agar dihapuskan terus elimen oligarki di dalam PAS ( kalau ada ) kerana jikalau ada pun masalah dalam membuat pilihan diperingkat tertinggi, kita masih ada Jawatankuasa Syura 'Ulamak untuk memutuskan keputusan demi kepentingan parti.

Jangan kita jadi seperti UMNO, yang di sisi saya UMNO merupakan sebuah pertubuhan politik yang mengamalkan amalan sekular-oligarki dalam parti. Pimpinan-pimpinan UMNo bermati-matian mempertahankan kedudukan mereka di dalam parti dan sudah menjadi lumrah di dalam UMNO dan, mereka pernah memperkenalkan sistem undi bonus untuk mengelak situasi tegang pemilihan jawatan Presiden UMNO antara Dr Mahathir Mohamad lawan Tengku Razaliegh Hamzah. Namun sistem undi bonus ini tidak lagi diamalkan pada tahun 1993 berikutan kedua-dua jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan atas alasan untuk menjaga perpaduan dan mengelakkan perpecahan dalam parti.

Mungkin juga terdapat beberapa pihak cuba melakukan lobi dan menentukan siapa yang akan menduduki jawatan-jawatan utama dalam parti atau mana-mana sayap kanan parti. Dalam hal ini saya berkeyakinan ahli mampu menilai siapa yang lebih layak untuk menduduki jawatan tersebut. Kita dapat lihat tindakan beberapa orang calon yang menarik diri dari bertanding mana-mana jawatan dan memberi laluan muka-muka baru yang dilihat mempunyai kebolehan dan diberi peluang untuk mengasah kebolehan agar lebih mantap lagi.

Melihat kepada perkembangan ini, saya amat berharap sangat agar dengan munculnya muka-muka baru ini, gerak kerja PAS dapat dilicinkan lagi dan akan lebih mantap dan kukuh untuk menghadapi pilihanraya umum tidak lama lagi. Rugi pula saya rasa jika isu ini terus dipanjangkan. Buangkan saja sifat melobi individu secara ta'asub dan amalan oligarki dikalangan pimpinan. Hak menawarkan diri untuk bertanding dan hak menentukan siapa yang akan dipilih adalah hak setiap ahli. Rasanya cukup setakat ini saya menyatakan pandangan saya tentang isu ini.


Proksi Anwar Dalam PAS, Benarkah..???

Satu lagi isu yang bertiup di telinga ahli-ahli PAS kalaupun tidak semua, segelintir sahaja yang menyedari akan berita ini ialah wujudya proksi-proksi Anwar dalam pimpinan PAS. JIka benarlah begitu maka PAS tidak akan pergi jauh malah lebih tepat lagi PAS dengan mudah akan di kawal dari luar dengan mudah. Risau juga saya bila terbaca akan hal ini di dalam tulisan saudara Rudin X. Oleh kerana isu ini amat menarik minat saya kerana ia melibatkan roh dan entiti PAS yang mempunyai jalan dan matlamat perjuangannya sendiri. Jika sekiranya perkara ini betul-betul sedang berjalan, alangkah ruginya PAS kerana kita hanya menjadi sayap perjuangan parti lain sahaja bukan bergerak dan bertindak atas kehendak dan pendirian parti.

Saya mengkagumi Anwar sebagi tokoh politik yang mewarnai politik negara mutakhir ini. Namun kekaguman saya terhadap Anwar tidak dapat menyamai dan menandingi kekaguman saya terhadap Al-Marhum Al-Ustaz Fadzil Noor, Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Tuan Guru Hj Hadi Awang,Ustaz Nasharuddin Mat Isa,Ustaz Ahmad Awang, Ustaz Hassan Shukri malah kekaguman saya terhadap Ustaz Nasruddin Hassan Tantawi pun tidak dapat ditandingi oleh Anwar. Bagi saya apa yang dilalui oleh Anwar adalah kifarah dari Allah untuk beliau kerana membelakangkan perjuangan Islam dan Sirah Rasul. Dan bagi saya Anwar hanya tokoh politik biasa sahaja dan tidak lebih dari itu.

Maka jika benar ini yang berlaku dikalangan pimpinan PAS, saya adalah antara orang-orang yang akan menentang tindakan ini. Saya amat-amat berharap agar pimpinan Dewan 'Ulamak dan Majlis Syura 'Ulamak PAS melihat dan mengikuti perkembangan ini yang bagi saya amat-amat memang tidak sehat. Saya sendiri tidak tahu sejauh mana kerak kerja yang telah dan sedang dilakukan oleh orang-orang Anwar ( jika benar-benar berlaku). Dan saya menyifatkan tindakan Anwar ( jika benar juga) mengatur perancangan sebegini ( saya harap tidak ) semata-mata untuk menguasai PAS dari dalam melalui beberapa proksi yang wujud dalam kepimpinan PAS, maka tindakan ini sama sahaja seperti parasit yang cuba menjadikan PAS hanya sekadar sayap Islam kepada Parti Keadilan Rakyat. Demikian juga saya tujukan kepada barisan pimpinan yang pernah bersama-sama Anwar dahulu, sekiranya anda berniat untuk menjadikan PAS sekadar mengikut rentak yang dicorakkan oleh Anwar, di sisi saya anda tidak lebih dari mengkhianati amanah anda terhadap ahli-ahli parti yang mahukan anda memimpin PAS bergerak atas dasar dan perjuangannya yang tersendiri.

Anwar boleh sahaja menjadi orang tengah sebagai jambatan penghubung antara pakatan parti pembangkang, tetapi Anwar tidak boleh bertindak menyuruh mana-mana parti mengikut telunjuknya dalam membuat apa-apa pendirian politik. Dan saya amat-amat berharap apa yang saya katakan ini tidak benar dan jika benar, maka PAS adalah parti yang akan hilang nilai perjuangannya, dan sedang mengalami kerugian entiti dan parti lain akan mengambil kesempatan dan mengaut keuntungan politik atas kelalaian PAS menghidu kewujudan parasit ini. Saya amat berharap agar seluruh ahli-ahli PAS menyedari akan hal ini jika benar ianya berlaku kerana bagi saya PAS tidak perlukan mana-mana moderator untuk menunjukkan jalan politiknya dan kita perlu bersedia menghalang mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan politik terhadap PAS.

Label Golongan dan Penilaian Terhadap Pimpinan

Ini satu lagi istilah yang sengaja dipopularkan oleh sesetengah pihak terutamanya golongan-golongan orang suratkhabar. Saya pernah menyatakan pendapat saya berkenaan label-label golongan yang wujud dalam PAS ini pada tulisan saya yang telah lalu. Dan cukup bagi saya sekadar apa yang pernah saya nyatakan dulu. Secara positif saya melihat bahawa barisan pimpinan yang baru sahaja dilantik baru-baru ini ada harapannya walaupun tidak diberi keyakinan penuh oleh sesetengah pihak. Soal kebolehan dan kelayakkan seseorang untuk memimpin parti pada pendapat saya adalah lebih baik kita beri sahaja peluang ini kepada mereka untuk menunaikan amanah mereka sebagai pemimpin dan mempertajamkan kebolehan mereka untuk masa depan parti.

Memang wujud segelintir ahli PAS yang tidak menyokong mana-mana individu yang dicalonkan dalam pemilihan jawatan. Bahkan memang ada juga yang tidak bersetuju atas dasar kelayakan dan peribadi calon. Walau apapun yang hendak kita katakan terhadap pimpinan yang telah dipilih secara sah, ia pasti tidak akan mengubah keputusan tersebut. Kerugian seterusnya yang akan PAS perolehi ialah kita terus-menerus membahaskan soal kelayakan dan merit di kalangan pimpinan dan nyata akan menimbulkan satu suasana ta'assub dikalangan ahli. Sedangkan kita dituntut untuk menghormati keputusan yang telah diputuskan melalui undi majoriti. Maknanya majoriti ahli sepakat untuk memilih siapa yang layak berdasarkan penilaian majoriti ahli.

Luahan Dato' Dr Hassan Ali

Pertama kali saya mendengar pandangan Dato' Dr Hassan yang mencadangkan agar pemilihan pucuk pimpinan parti dilakukan melalui Majlis Syura 'Ulamak seolah-olah keluhan orang yang tiada tempat lagi dalam PAS. Namun kalu difikir-fikirkan kembali ada juga benarnya jika dibuat begitu. tetapi perlu diteliti rasional dan praktikalnya dahulu. Mungkin ia melibatkan pindaan perlembagaan PAS untuk tujuan itu.

Namun setakat ini bagi saya perjalanan yang diamalkan oleh PAS selama ini adalah demokratik dan adil untuk ahli-ahli PAS. Mungkin Dato' Hassan sendiri berasa bimbang dengan gelagat segelintir ahli PAS yang agak ta'assub dengan pimpinan pilihan mereka hingga terjadinya puak-puak dalam PAS. Atau beliau risau dengan cakap-cakap perwakilan atau khabar-khabar angin lintang yang memburuk-burukkan mana-mana individu dikalangan pimpinan PAS.

Apapun yang telah disarankan oleh Dato' Dr Hassan Ali, itu adalah haknya untuk bebas memberi pandangan atas tujuan mengukuhkan perhubungan di kalangan seluruh ahli PAS. Dan bagi sya apa yang disaranka oleh Dato' Hassan boleh sahaja dinilai kebenarannya jika di sana ada kelebihan dan kebaikan terhadap parti. Dan saya juga berharap agar sesiapa sahaja yang mengikuti saranan Dato' Hassan ini agar memberi suatu pandangan yang membina kekuatan parti bukan atas individu Dato' Hassan.

Kemunculan Ustaz Ahmad Awang sebagai Naib Presiden PAS

Gembira juga di hati saya apabila melihat Al-Fadhil Ustaz Ahmad Awang dinaikkan pangkat dari Ketua Penerangan Pas Pusat kapada Naib Presiden Pas bersama-sama Dato' Paduka Hussam Musa dan Tuan Hj Muhammad Sabu. Maknanya pada kali ahli-ahli PAS memberikan mandat kepada 'Ulamak menerajui jawatan tertinggi parti kerana sebelum ini jawatan ini hanya dibarisi oleh golongan profesional.

Sekurang-kurangnya selepas ini diharap tidak ada lagi cakap-cakap nakal yang mengatakan PAS ketandusan 'Ulamak di peringkat tertinggi. Saya amat yakin dengan ketokohan Ustaz Ahmad Awang yang dahulu pernah menerajui Persatuan 'Ulamak Malaysia dan pernah berkhidmat dalam kerajaan. Dengan ketokohan dan pengalaman yang beliau ada dapat memberikut input yang amat berguna untuk memantap dan melicinkan perjalanan perjuangan PAS.

Tumpukan Perhatian Pada Pilihanraya

Rasanya saya tidak mahu lagi mendengar apa-apa ulasan berkaitan keputusan pemilihan pimpinan PAS yang telah diputusakn pada muktamar yang lalu. Target kita kini adalah untuk mempersiap dan memeprkemas jentera untuk menghadapi pilihanraya umum yang akan datang.

Kalau perkara yang sia-sia yang kita utamakan maka kita memang mencari pasal dan mensia-siakan peluang malah membuka peluang UMNO-BN meneruskan kerja-kerja mungkar mereka.

Saya menaruh harapan dan kayakinan terhadap barisan pimpinan yang baru dilantik untuk bersatu menyusun strategi dan menjauhkan diri dari membahaskan soal kepimpinan parti yang telah diputuskan pada muktamar yang lalu. Adalah lebih baik juga kita menghormati keputusan dan memberi sokongan dan semangat kepada barisan pimpinan yang baru untuk terus berjuang dan memberi perhatian sepenuhnya terhadap pilihanraya umum yang akan datang.






1 comment:

Anonymous said...

Assalamualaikum...

Saya ahli UMNO tapi terlalu terkilan dengan mereka yang berada di UMNO bahagian ketika ini... Ini kerana mereka ini terlalu angkuh dan sombong, lupa daratan dan sesalu memandang rendah kepada ahli-ahli biasa serta penduduk di sekitar Parlimen Tanjong Karang.

Saya harap pihak blog ini dapat bongkarkan kekangkuhan UMNO Tanjong Karang supaya rakyat disini tidak diperbodohkan lagi...

Peruntukan yang disapu bersih oleh pegawai khas yang dilantik...

Cakap langsung tak memikirkan hati ahli-ahli yang sebenarnya telah bertungkus lumus untuk memenangkan wakil rakyat sebelum ini, tetapi mereka yang tidur dirumah ketika itu terlalu bongkak dan sombong sekerang ini kerana diberi pangkat dan jawatan....

Selamat tinggal UMNO kini dan selamanya....