About Me

My photo
Anak Bapak Al-Banjary Al-Asya'iry As-Syafi'iy, Dilahirkan pada tanggal 1hb Januari 1983 di Kg Parit Satu Sungai Sireh, Tanjong Karang, Selangor Darul Ehsan, seorang Melayu berketurunan Banjar suku Alai, Kini bersama PAS Kawasan Tanjong Karang berjuang menegakkan Islam di atas muka bumi Allah sebagai amanah dan tanggungjawab dari-Nya.. ..terima kasih atas sokongan anda.. Takbirr..ALLAHUAKBAR..!!!

Thursday, June 14, 2007

Episod Seterusnya Kisah Menjahanamkan Bahasa Melayu...!!!

Nampaknya sekarang bahasa ibunda kita tidak lagi dipanggil Bahasa Melayu. Bermula april yang lalu sudah tiada lagi apa yang dinamakan sebagai Bahasa Melayu. Jemaah Menteri sepakat untuk menukar istilah Bahasa Melayu kepada Bahasa Malaysia. Maka Menteri Penerangan Malaysia pun telah menjalankan tugasnya kepada rakyat Malaysia bahawa keputusan kerajaan menggunakan semula Bahasa Malaysia sebagai istilah rasmi bagi merujuk kepada bahasa kebangsaan. Tmbalan Perdana Menteri pula menyatakan bahawa ianya bertepatan dengan hasrat kerajaan yang mahukan bahasa kebangsaan itu menjadi milik semua rakyat Malaysia dan bertujuan untuk mengelak polemik daripada pihak yang menganggap ia hanya untuk satu kaum tertentu sahaja.

Yang amat menyedihkan lagi apabila Dato' Zainuddin Maidin yang kerjanya memberi penerangan kepada rakyat bahawa Melayu mesti bersikap terbuka dengan keputusan kerajaan untuk menukar terminologi Bahasa Melayu kepada Bahasa Malaysia. Bapa mertua Khairy pula macam biasa diam sahaja. Mungkin tidak lama lagi Keretapi Tanah Melayu juga akan ditukar istilahnya kepada Keretapi Tanah Malaysia kerana tidak mahu bangsa lain anggap keretapi hanya untuk Melayu sahaja.

Dari apa yang kita dapat dengar dari mulut pemimpin UMNO yang gagah menghunus keris konon mempertahankan ketuanan Melayu di atas muka bumi ini, jelas mereka sanggup untuk menggadaikan ketuanan bahasa bangsa sendiri untuk meraih sokongan masyarakat bukan Melayu di negara ini. UMNO tidak melihat kepada kepentingan istilah Melayu pada pengenalan bahasa itu tetapi melihat apa yang dapat diraih untungnya secara psikologi terhadap masyarakat bukan Melayu di negara ini.

Tidaklah pada saya menjadi salah dipanggil Bahasa Malaysia. tetapi yang menjadi salah ialah entiti pengenalan bahasa itu di ubah menunjukkan kepada kita bahawa Melayu tiada bahasanya lagi. Pengenalan istilah Bahasa Malaysia merujuk kepada suatu bahasa tertentu seolah-olah meletakkan bahawa Bahasa Malaysia bukan sahaja komposisinya dari Melayu semata-mata, mungkin dicampur aduk Bahasa Melayu ditambah Bahasa Cina dielokkan dengan Bahasa Tamil dan dibunga-bungakan dengan bahasa etnik-etnik yang lain maka wujudlah Bahasa Malaysia. Bukankah nanti bangsa asing akan melihat betapa lekehnya Melayu sehingga bahasa sendiri pun boleh diubah istilahnya.

Negara-negara yang maju mentaliti masyarakatnya tidak pun mengubah istilah bahasa mereka. Amerika Syarikat sendiri pun tidak menukar nama Bahasa Inggeris kepada Bahasa Amerika atas tujuan menyatu-padukan rakyatnya walhal bukan semua majoriti rakyatnya berbangsa Inggeris. Mexico tidak juga mengubah nama bahasa rasmi negaranya kepada Bahasa Mexico melainkan terus mengekalkan istilah Bahasa Sepanyol. Brazil yang terkenal dengan bintang bola sepaknya itu tidak pula menukar istilah bahasa mereka kepada Bahasa Brazil tetapi tetap menggunakan istilah Bahasa Portugis. Bahasa Hindi yang digunakan di Republik India tidak pernah mengubah istilah bahasa tersebut kepada bahasa India. Malah istilah negara India pun tidak disebut India dalam bahasa Hindi melainkan disebut ' Bharaat'.

Jadi apa sebenarnya yang dikatakan untuk menyatukan rakyat dan mengurangkan polemik bangsa lain kerana menggunakan istilah Bahasa Melayu. Sebelum ini kita tidak pernah dengar pun rungutan dari bangsa-bangsa lain yang menghuni negara ini terhadap istilah Bahasa Melayu. Bahkan wakil-wakil bangsa lain di parlimen tidak pernah pun menyentuh soal penggunaan istilah Bahasa Melayu yang termaktub di dalam Perlembagaan Malaysia.

UMNO membuktikan bahawa mereka memang bukan berjuang untuk melayu. Soal Bahasa pun UMNO sejak sekian lama menjahanamkan sedikit demi sedikit keagungan Bahasa Melayu bermula daripada menukarkan tulisan jawi kepada tulisan rumi yang akhirnya sebahagian besar orang melayu sendiri buta jawi dan yang paling teruk buta Islam. Kesan dari dua jenis buta ini meresap pula dalam kepimpinan UMNO yang buta perut dan buta hati. Kemudian di zaman Dr Mahathir Bahasa Melayu dinafikan dari menjadi bahasa ilmu apabila pengajian subjek matematik dan sains diubah bahasa pengantarnya dengan menggunakan Bahasa Inggeris yang akhirnya ramailah anak-anak melayu buta ilmu dan tak faham bahasa. Dan kini episod seterusnya kisah menjahanamkan Bahasa Melayu apabila Bangsa Melayu dinafikan untuk terus menggunakan istilah Melayu pada pengenalan bahasanya dan digantikan dengan Bahasa Malaysia.

UMNO kini berjuang untuk menjaga kepentingan perut dan bawah perutnya sahaja dan bukan untuk mempertahankan keagungan bangsanya. Kalau istilah Bahasa Melayu pun dengan mudah sahaja diubah dengan suka-suka hatinya, tidak mustahil perkara-perkara yang berkaitan dengan Melayu akan digadaikan begitu sahaja demi kepentingan perut dan bawah perutnya sahaja. UMNO memang mahir dalam bidang menggadai harta sendiri. Sekian lama kepentingan yang berkaitan dengan Melayu dan Islam digadaikan atas alasan bertolak ansur dengan bangsa-bangsa lain. Asal sahaja ada isu yang membabitkan dua perkara ini yang kena korban dua inilah juga. Habis di mana yang dikatakan ketuanan Melayu. UMNO nampak gagah macam pahlawan apabila tiba hari jadi UMNO dan Perhimpunan Agung UMNO sahaja. Kemudian dengan dengan lagak ekstrim ketua-ketua mereka menghunus keris ke angkasa menunjukkan bahawa UMNO sedia buat apa sahaja untuk pertahankan Melayu.

Sekarang apa sudah jadi, sudahlah isu penggunaan Bahasa Inggeris untuk Matematik dan Sains dibisukan begitu sahaja mengikut sunnah Pak Lah, sekarang istilah pula diubah dengan senang-lenang tanpa merujuk kepada Perlembagaan, pakar bahasa dan rakyat seluruhnya.Mana dia golongan-golongar yang bersemangat menghunus keris mempertahankan bangsa..???

Memang UMNO hendak jadikan penukaran istilah ini sebagai modal psikologi pilihanraya akan datang. Kononnya nanti dapat menarik undi bukan Melayu dalam pilihanraya umum nanti. Saya yakin sebenarnya bangsa-bangsa lain yang bukan Melayu tidak kisahpun tentang istilah Bahasa Melayu. Saya percaya bahawa UMNO yang sudah kering kontang isu dan modal untuk pilihanraya akan datang sanggup mencipta retorik baru untuk mendapatkan sokongan. Dan saya juga percaya bahawa kalangan orang-orang Melayu yang menerima dan menyokong penukaran ini adalah bersubahat dengan UMNO yang memang sifatnya suka gadai-menggadai. Dan selepas ini tidak tahu pula apa pula yang nak digadaikan UMNO.

1 comment:

Anonymous said...

sokong sangat2 isu bahasa ni..kami pendidik dah naik meluat dengan sisitem pendidikan yang sentiasa berubah..setiap dasar yang dibuat selalu selepas mereka bangun tido..senang sangat gubal ituini lepas tu tinggal sekerat sekerat org yang dalam kementerian pendidkan itu harus kita lucutkan jawatannya...bodoh terang terang buat malu kaum sendiri..takde apa yang boleh dibanggakan melainkan anak2 melayu yang lahir tak pandai matematik kerana kekangan bahasa..mereka suka lihat ank bangsa sdri tidak pandai mengira..kenapa kaum cina begitu lantang memperjuangkan bahasa mereka? kerana mereka percaya belajar matematik itu mudah dalam bahasa ibunda...org umno je tak sedar...PM kita menteri kita lahir dalam keluarga LIDAH MAT SALEH tak nmpak perkra ni merupakan barah yang amat dasyat..