About Me

My photo
Anak Bapak Al-Banjary Al-Asya'iry As-Syafi'iy, Dilahirkan pada tanggal 1hb Januari 1983 di Kg Parit Satu Sungai Sireh, Tanjong Karang, Selangor Darul Ehsan, seorang Melayu berketurunan Banjar suku Alai, Kini bersama PAS Kawasan Tanjong Karang berjuang menegakkan Islam di atas muka bumi Allah sebagai amanah dan tanggungjawab dari-Nya.. ..terima kasih atas sokongan anda.. Takbirr..ALLAHUAKBAR..!!!

Friday, June 22, 2007

Jenayah Meningkat Kerana UMNO Mendidik Rakyat Tidak Takutkan Tuhan, Pemimpin Hanya Jaga Perut Dan Bawah Perut...!!!

Nampaknya gagasan Islam Hadhari Pak Lah sudah mencapai tahap matang. Berita kenaikan kadar jenayah dan keruntuhan akhlak dikalangan masyarakat Negara Islam Hadhari Malaysia adalah amat-amat membimbangkan. Makin hari kebejatan sosial dilaporkan semakin parah. Pak Lah selaku pengasas dan imam mazhab hadhari tidak habis-habis berbangga dengan gagasan yang dibawa tanpa melihat kepada realiti yang berlaku dikalangan masyarakat.

Baru-baru ini kita telah dikejutkan dengan beberapa kes rogol dan rompak yang berlaku di Johor, negeri berfahaman UMNO paling 'teroksida'. Negeri yang dikenali sebagai kubu UMNO paling kuat dalam dunia. Sudah pastilah negeri ini juga adalah penjunjung mazhab hadhari paling setia dan ta'asub dalam dunia jika diukur dengan kekuatan undi UMNO dan Barisan Nasional di Johor. Kejadian itu baru di Johor, belum lagi di negeri-negeri lain. Belum juga dikira kes-kes yang terdahulu dan kes-kes yang tidak dilaporkan.

Dalam banyak-banyak manusia di Johor, sebilangan kecil telah menyatakan kebimbangan berikutan dari kejadian tersebut. Seramai lebih kurang 200 orang telah berkumpul dan berdemonstrasi di hadapan kediaman rasmi Menteri Besar johor sebagai tanda tidak puas hati berikutan kegagalan polis menyelesaikan beberapa kes yang melibatkan samun dan rogol di negeri ini. Terkejut dengan apa yang berlaku maka kerajaan mengarahkan seramai 400 anggota polis ditambah ke Ibupejabat polis Kontijen Johor IPK dengan kadar segera.

Ini semua gejala dan bala dari gaya hidup fahaman hadhari. Tidak hairan jika jenayah makin meningkat, akhlak remaja dan belia makin hancur kerana pemimpin yang diamanahkan untuk menggubal dasar untuk menyusun dan mendidik masyarakat hanya mementingkan kepentingan perut dan bawah perut sahaja.

Golongan UMNO memang tiada minat untuk mengambil tahu hal semua ini. Paling kuat pun kerahkan polis sebanyak mungkin untuk rakyat berfikir bahawa pihak kerajaan prihatin dan mengambil berat soal keselamatan dan keamanan masyarakat. Silap-silap 400 anggota polis yang dihantar bakal menjadi tukang undi pos BN di Johor nanti. Mana dia Dato' Dr. Abdullah Md Zain dan Dato' Dr Mashitah Ibrahim, mana dia Dato' Paduka Abdul Hamid Othman, mana dia Tan Sri Yusof Noor, mana dia Dato' Nakhaie Ahmad dan lain-lain untuk membincangkan penyelelesaian kerosakkan struktur masyarakat kini. Tapi kebolehpercayaan di kalangan mereka ini pun sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja. Dato' Dr Mashitah sendiri pun pernah mengeluarkan kenyataan harus melacur diri bila keadaan terdesak.

Islam Hadhari tidak pandang pada kerosakkan akhlak rakyat. Islam Hadhari tidak pandang pun pada keruntuhan 'Aqidah umat Islam. Islam Hadhari tidak pernah berfikir bagaimana hendak mendidik rakyat agar takut kepada tuhan. Islam Hadahari sebenarnya memang suka rakyat tidak takut dengan tuhan malah samapai tahap tidak percaya pada tuhan pun banyak. Kenapa golongan UMNO dan hadhari suka rakyat tidak takut dan tidak percaya tuhan? sudah tentu kerana keadaan ini membolehkan mereka berkuasa dan mengekalkan kuasa seterusnya menjaga kepentingan perut dan bawah perut mereka.

Kerajaan yang dipimpin oleh UMNO dan konco-konconya tidak ambil peduli pun tentang semua ini. Asalkan kepentingan perut dan bawah perut terpelihara maka itu adalah lebih utama dalam perjuangam mereka. Soal kepentingan dan hak rakyat diketepikan dahulu.

Ramai sudah tidak takutkan tuhan sekarang ini. Dari pimpinan negara sampailah rakyat biasa ramai yang tidak takutkan tuhan. seseorang melakukan kesalahan jenayah kerana dia tidak takutkan tuhan. Kalau dia takut dan ingatkan tuhan, maka dia akan ingat juga dosa pahala, syurga neraka, halal haram, iman dan kufur. Tidak hairanlah sekarang ini jenayah makin meningkat dan berlaku dimana-mana, akhlak masyarakat tidak kira tua dan muda rosak, 'aqidah umat terus hancur. Kerahlah seramai mana anggota polis untuk menjaga keamanan pun jika tiada 'aqidah, pasti akan hancur juga.

Anggota polis yang bertanggungjawab menjaga keselamatan dan keamanan masyarakat adalah manusia biasa bukan malaikat, pemimpin negara juga manusia biasa, masyarakat keseluruhannya juga adalah manusia biasa yang punya nafsu dan juga akal. Akal manusia tetap terbatas dan hanya mampu berfikir secara relatif dan logik sahaja. Nafsu sentiasa meronta-ronta untuk dipenuhi kehendaknya dari kongkongan akal. Namun tiada guna juga jika akal tidak dibekalkan dengan pegangan dan petunjuk dari wahyu yang mana baik yang mana buruk dan yang mana halal yang mana haram. Jika akal dibiarkan bertindak tanpa mengikut petunjuk dari wahyu, maka akal akan membiarkan nafsu melakukan apa sahaja memenuhi kehendaknya.

Jenayah bukan sekadar rogol dan samun. Mencuri duit rakyat juga jenayah. Menipu dan merampas hak rakyat juga jenayah. Semua itu adalah ketegori maksiat di sisi Allah Ta'ala. Pemimpin diberi kepercayaan untuk membawa hala tuju dan mendidik rakyat kearah lebih berilmu, tunduk kepada syariat tuhan. Pemimpin mesti gubal suatu dasar untuk kepentingan rakyat, memajukan kehidupan rakyat, menjamin keselamatan dan kemanan rakyat, menjaga makan minum rakyat. Bagaimana kita hendak membendung kerosakkan akhlak dan bahaya jenayah jika si pembuat dasar juga tidak ada 'aqidah dan tidak takut kepada tuhan. 'Aqidah Islam Hadhari terbukti tidak boleh diguna pakai. Bak kata orang "bukan barang baik, barang tak dak guna punya". Kalau 'aqidah Islam Hadhari boleh diguna pakai, maka majoriti rakyat akan takut kepada tuhan. Masyarakat akan takut untuk buat apa yang dilarang oleh tuhan. Malangnya pembuat dasar rata-rata tidak takut pada tuhan, dia lebih takut perut dan bawah perutnya tidak terjaga. Lebih malang lagi pemimpin pun lebih berani buat apa yang tuhan larang dari apa yang disuruh oleh tuhan.

Jika pemimpin yang membuat dasar ke arah menjaga rakyat 'aqidahnya betul dan takutkan tuhan, maka dasar yang dibuat juga mengajak rakyat untuk takutkan tuhan. pemimpin yang takutkan tuhan tidak akan minta rasuah untuk melaksanakan suatu dasar.Pemimpin itu juga wajib memastikan dasar itu mengikut apa yang disuruh tuhan dan menjauhi larangan tuhan. Pemimpin juga wajib memastikan perjalanan dasar itu tidak melanggar batas-batas yang telah ditentukan oleh tuhan. Pemimpin itu juga tidak akan ambil kesempatan dan mencuri duit peruntukan perlaksanaan dasar itu untuk mengisi perut dan memenuhi kehendak bawah perutnya, keluarganya, sahabat karibnya juga tidak terkecuali menantu juga isteri barunya.

Dasar yang dibuat oleh pemimpin yang takutkan tuhan akan menggubal dasar yang mendidik rakyat. Anak-anak dan remaja yang fitrahnya meronta-ronta untuk mencuba suatu yang baru perlu dibentuk dengan sistem pendidikan yang mendidik manusia agar takutkan tuhan juga. Apabila anak-anak kita takutkan kepada tuhan, ilmunya akan digunakan untuk menurut apa yang diperintahkan oleh tuhan dan mejauhkan diri dari apa yang dilarang oleh tuhan. Malangnya anak-anak kita kini diajar dan dididik dengan matlamat material kerana yang mebuat dasar pendidikan pun bersifat materialistik. Oleh kerana anak-anak kita dibentuk dengan kerangka materialistik, maka ilmunya akan digunakan untuk matlamat material demi menjaga perut dan bawah perutnya sebagai mana pembuat dasar tadi. Tidak hairanlah jika ada orang yang cerdik sanggup membunuh kemudian mengebom orang lain kerana dia tidak takutkan tuhan dan hanya melihat kepentingan perut dan bawah perut dia dan bosnya sahaja.

Demikian apabila masyarakat dididik dengan didikan material akan melakukan apa sahaja untuk kepentingan dan kepuasan dirinya. Dia akan merogol orang yang penting dia puas walaupun yang dirogolnya anak kandungnya sendiri. Dia akan mencuri duit orang lain untuk mengumpul harta walaupun duit itu duit rakyatnya sendiri. Dia akan menipu dan merampas hak rang lain walaupun yang ditipu dan dirampas haknya itu hak bangsanya sendiri. Dan yang paling parah dia akan jual kepentingan dan kedaulatan negaranya walaupun yang dijualnya itu adalah, kedaulatan,kepentingan dan maruah negara dan bangsanya sendiri. Inilah dia kesan dan sikap orang yang tidak takutkan tuhan dan buat tidak tahu walaupun dia tahu tuhan nampak apa yang dia buat. Tapi biasanya spisis ini tidak ada rasa yang tuhan memang nampak dia sebab baginya tuhan hanya dalam masjid dan kawasan tanah perkuburan sahaja.

Menjaga akhlak masyarakat juga adalah tanggungjawab pemimpin. Pemimpin mesti menggubal undang-undang agar akhlak rakyatnya baik dan terpelihara. Sebelum menjaga akhlak rakyat pemimpin mestilah berakhlak dan takutkan tuhan lebih dahulu dari rakyat. Rakyat akan memerhatikan orang yang memimpin mereka untuk menjadi contoh dan teladan. Rakyat yang berakhlak dan takutkan tuhan meniru sikap pemimpinnya. Pemimpin lelaki yang suka pegang bahu wanita bukan muhrim tergolong dikalangan yanmg tida takutkan tuhan dan tiada akhlak yang boleh dicontohi. Isteri pemimpin yang suka cium pelakon lelaki yang terkenal dan hensem adalah dikalangan yang tidak berakhlak dan tidak takutkan tuhan. Pemimpin yang jadi suami tidak melarang isteri mencium lelaki lain bukan setakat tidak takut tuhan, termasuk ke dalam ketegori dayus pula.

UMNO dan konco-konconya memang sudah maklum tergolong dalam spisis ini. Spisis sekular dan tidak takut kepada tuhan. Selagi spisis ini terus diberi mandat untuk membuat dan meneruskan dasar sekular penjajah maka selagi itulah kita akan lihat jenayah dan keruntuhan akhlak terus berlaku. UMNO tiada usaha pun untuk menyekat pengaruh-pengaruh yang merosakkan anak-anak muda. UMNO lebih suka limpahkan hiburan kepada anak-anak muda agar mereka lalai dan jauh dari tuhan. UMNO bimbang jika mereka dekat dan takut pada tuhan, sudah pasti UMNO akan ditolak oleh majoriti rakyat yang takutkan pada tuhan. UMNO tidak pernah berusaha menegakkan sistem-sistem berorientasikan ketuhanan kerana UMNO tidak takut pada tuhan bahkan UMNO lebih suka berusaha agar sekolah-sekolah agama rakyat yang mengajar anak-anak untuk takutkan tuhan ditutup seboleh-bolehnya dihapuskan terus.

UMNO mesti sedar bahawa Islam Hadhari tidak ada apa-apa pun melainkan retorik politik untuk menarik undi orang yang takutkan tuhan. Pada hakikatnya, Islam Hadhari hanya mengajar manusia jauh dan tidak takut pada tuhan tapi takutkan pemimpin lebih dari tuhan. Maknanya untuk mengukur kemajuan Islam mazhab Hadhari adalah melihat kepada berapa banyak tumbuhnya pusat-pusat hiburan di bandar-bandar dan di kampung-kampung. Berapa kenaikan kadar jenayah, salah laku, rasuah, penipuan dan lain-lain yang buruk-buruk. Meningkatnya kadar-kadar tadi maka semakin majulah Islam hadhari.

Saya amat-amat berharap agar kejadian-kejadian jenayah yang berleluasa ini akan dapat dibendung. Tetapi keyakinan saya terhadap sistem yang diuruskan oleh UMNO dan konco-konconya amat mengecewakan. Selagi UMNO yang menjadi tunjang politik negara meneruskan agenda yang hanya menjaga kepentingan perut dan bawah perut dan tidak takutkan kepada tuhan, saya bimbang keadaan makin menjadi tidak terkawal kerana rakyat dibawah naungan Islam Hadhari tajaan UMNO yang diasaskan oleh Pak Lah merangkap imam mazhab Hadhari, akan terus-menerus tidak takutkan tuhan, bebas buat apa sahaja untuk mengisi perut dan memenuhi kehendak bawah perut mengikut acuan yang disediakan oleh UMNO dan konco-konconya.

Kesimpulannya, untuk menyelesaikan masalah yang melanda umat kini, kembalilah kepada jalan yang diwahyukan oleh tuhan. Takutlah azab yang dijanjikan tuhan jika kita melanggar perintahnya dan yakin dengan ganjaran yang dijanjikan tuhan jika kita menjauhi larangannya. Kerana, jenayah akan berkurang jika masyarakat takutkan tuhan dan bimbang jika akan diazab tuhan selepas mati nanti. Untuk membentuk masyarakat yang takutkan tuhan, tidak dapat tidak, pemimpin juga mestilah dikalangan orang yang takutkan tuhan, buat apa yang tuhan suruh, tinggal apa yang tuhan larang. Jika pemimpin kita bukan dikalangan orang yang takutkan tuhan, maka tanggungjawab kita orang yang takut kepada tuhan, untuk memilih dan menukar pemimpin kepada pemimpin yang takutkan tuhan.








Thursday, June 14, 2007

Episod Seterusnya Kisah Menjahanamkan Bahasa Melayu...!!!

Nampaknya sekarang bahasa ibunda kita tidak lagi dipanggil Bahasa Melayu. Bermula april yang lalu sudah tiada lagi apa yang dinamakan sebagai Bahasa Melayu. Jemaah Menteri sepakat untuk menukar istilah Bahasa Melayu kepada Bahasa Malaysia. Maka Menteri Penerangan Malaysia pun telah menjalankan tugasnya kepada rakyat Malaysia bahawa keputusan kerajaan menggunakan semula Bahasa Malaysia sebagai istilah rasmi bagi merujuk kepada bahasa kebangsaan. Tmbalan Perdana Menteri pula menyatakan bahawa ianya bertepatan dengan hasrat kerajaan yang mahukan bahasa kebangsaan itu menjadi milik semua rakyat Malaysia dan bertujuan untuk mengelak polemik daripada pihak yang menganggap ia hanya untuk satu kaum tertentu sahaja.

Yang amat menyedihkan lagi apabila Dato' Zainuddin Maidin yang kerjanya memberi penerangan kepada rakyat bahawa Melayu mesti bersikap terbuka dengan keputusan kerajaan untuk menukar terminologi Bahasa Melayu kepada Bahasa Malaysia. Bapa mertua Khairy pula macam biasa diam sahaja. Mungkin tidak lama lagi Keretapi Tanah Melayu juga akan ditukar istilahnya kepada Keretapi Tanah Malaysia kerana tidak mahu bangsa lain anggap keretapi hanya untuk Melayu sahaja.

Dari apa yang kita dapat dengar dari mulut pemimpin UMNO yang gagah menghunus keris konon mempertahankan ketuanan Melayu di atas muka bumi ini, jelas mereka sanggup untuk menggadaikan ketuanan bahasa bangsa sendiri untuk meraih sokongan masyarakat bukan Melayu di negara ini. UMNO tidak melihat kepada kepentingan istilah Melayu pada pengenalan bahasa itu tetapi melihat apa yang dapat diraih untungnya secara psikologi terhadap masyarakat bukan Melayu di negara ini.

Tidaklah pada saya menjadi salah dipanggil Bahasa Malaysia. tetapi yang menjadi salah ialah entiti pengenalan bahasa itu di ubah menunjukkan kepada kita bahawa Melayu tiada bahasanya lagi. Pengenalan istilah Bahasa Malaysia merujuk kepada suatu bahasa tertentu seolah-olah meletakkan bahawa Bahasa Malaysia bukan sahaja komposisinya dari Melayu semata-mata, mungkin dicampur aduk Bahasa Melayu ditambah Bahasa Cina dielokkan dengan Bahasa Tamil dan dibunga-bungakan dengan bahasa etnik-etnik yang lain maka wujudlah Bahasa Malaysia. Bukankah nanti bangsa asing akan melihat betapa lekehnya Melayu sehingga bahasa sendiri pun boleh diubah istilahnya.

Negara-negara yang maju mentaliti masyarakatnya tidak pun mengubah istilah bahasa mereka. Amerika Syarikat sendiri pun tidak menukar nama Bahasa Inggeris kepada Bahasa Amerika atas tujuan menyatu-padukan rakyatnya walhal bukan semua majoriti rakyatnya berbangsa Inggeris. Mexico tidak juga mengubah nama bahasa rasmi negaranya kepada Bahasa Mexico melainkan terus mengekalkan istilah Bahasa Sepanyol. Brazil yang terkenal dengan bintang bola sepaknya itu tidak pula menukar istilah bahasa mereka kepada Bahasa Brazil tetapi tetap menggunakan istilah Bahasa Portugis. Bahasa Hindi yang digunakan di Republik India tidak pernah mengubah istilah bahasa tersebut kepada bahasa India. Malah istilah negara India pun tidak disebut India dalam bahasa Hindi melainkan disebut ' Bharaat'.

Jadi apa sebenarnya yang dikatakan untuk menyatukan rakyat dan mengurangkan polemik bangsa lain kerana menggunakan istilah Bahasa Melayu. Sebelum ini kita tidak pernah dengar pun rungutan dari bangsa-bangsa lain yang menghuni negara ini terhadap istilah Bahasa Melayu. Bahkan wakil-wakil bangsa lain di parlimen tidak pernah pun menyentuh soal penggunaan istilah Bahasa Melayu yang termaktub di dalam Perlembagaan Malaysia.

UMNO membuktikan bahawa mereka memang bukan berjuang untuk melayu. Soal Bahasa pun UMNO sejak sekian lama menjahanamkan sedikit demi sedikit keagungan Bahasa Melayu bermula daripada menukarkan tulisan jawi kepada tulisan rumi yang akhirnya sebahagian besar orang melayu sendiri buta jawi dan yang paling teruk buta Islam. Kesan dari dua jenis buta ini meresap pula dalam kepimpinan UMNO yang buta perut dan buta hati. Kemudian di zaman Dr Mahathir Bahasa Melayu dinafikan dari menjadi bahasa ilmu apabila pengajian subjek matematik dan sains diubah bahasa pengantarnya dengan menggunakan Bahasa Inggeris yang akhirnya ramailah anak-anak melayu buta ilmu dan tak faham bahasa. Dan kini episod seterusnya kisah menjahanamkan Bahasa Melayu apabila Bangsa Melayu dinafikan untuk terus menggunakan istilah Melayu pada pengenalan bahasanya dan digantikan dengan Bahasa Malaysia.

UMNO kini berjuang untuk menjaga kepentingan perut dan bawah perutnya sahaja dan bukan untuk mempertahankan keagungan bangsanya. Kalau istilah Bahasa Melayu pun dengan mudah sahaja diubah dengan suka-suka hatinya, tidak mustahil perkara-perkara yang berkaitan dengan Melayu akan digadaikan begitu sahaja demi kepentingan perut dan bawah perutnya sahaja. UMNO memang mahir dalam bidang menggadai harta sendiri. Sekian lama kepentingan yang berkaitan dengan Melayu dan Islam digadaikan atas alasan bertolak ansur dengan bangsa-bangsa lain. Asal sahaja ada isu yang membabitkan dua perkara ini yang kena korban dua inilah juga. Habis di mana yang dikatakan ketuanan Melayu. UMNO nampak gagah macam pahlawan apabila tiba hari jadi UMNO dan Perhimpunan Agung UMNO sahaja. Kemudian dengan dengan lagak ekstrim ketua-ketua mereka menghunus keris ke angkasa menunjukkan bahawa UMNO sedia buat apa sahaja untuk pertahankan Melayu.

Sekarang apa sudah jadi, sudahlah isu penggunaan Bahasa Inggeris untuk Matematik dan Sains dibisukan begitu sahaja mengikut sunnah Pak Lah, sekarang istilah pula diubah dengan senang-lenang tanpa merujuk kepada Perlembagaan, pakar bahasa dan rakyat seluruhnya.Mana dia golongan-golongar yang bersemangat menghunus keris mempertahankan bangsa..???

Memang UMNO hendak jadikan penukaran istilah ini sebagai modal psikologi pilihanraya akan datang. Kononnya nanti dapat menarik undi bukan Melayu dalam pilihanraya umum nanti. Saya yakin sebenarnya bangsa-bangsa lain yang bukan Melayu tidak kisahpun tentang istilah Bahasa Melayu. Saya percaya bahawa UMNO yang sudah kering kontang isu dan modal untuk pilihanraya akan datang sanggup mencipta retorik baru untuk mendapatkan sokongan. Dan saya juga percaya bahawa kalangan orang-orang Melayu yang menerima dan menyokong penukaran ini adalah bersubahat dengan UMNO yang memang sifatnya suka gadai-menggadai. Dan selepas ini tidak tahu pula apa pula yang nak digadaikan UMNO.

Saturday, June 9, 2007

Wedding Of The Year...Selamat Pengantin Baru Pak Lah & Jeanne Abdullah.

Akhirnya Pak Lah bertemu juga dengan jodoh kedua dalam hidupnya. Akhirnya Pak Lah tidak akan kesunyian lagi di Seri Perdana dan dalam hidupnya. Akhirnya Khairy pun akan menerima ibu mertua kedua dalam hidupnya. Nory dan Kamaluddin juga akan menerima ibu kedua bertaraf tiri tapi taat bertaraf kandung dalam hidup mereka. Akhirnya juga rakyat Malaysia menerima wanita pertama yang baru. Akhirnya Datin Seri Rosmah Mansor tiada lagi boleh berlagak sebagai wanita pertama kerana kini Jeanne Danker @ Jeanne Abdullah telah pun diijab kabulkan dengan Lelaki Pertama Malaysia Dato' Seri Hj Abdullah Ahmad Badawi atau dengan nama timang-timangan@manjanya Pak Lah. Tidak tahu pula saya apakah nama timang-timangan Pak Lah oleh Jeanne sebagai isteri kerana itu hal rumah tangga Pak Lah.

Maka Pak Lah dan Jeanne pada hari ini ( Sabtu, 09hb Jun 2007 ) adalah pasangan pengantin baru walaupun mereka bukan baru lagi di atas muka bumi ini. Dalam mana-mana adat manusia di dunia ini pun, pasti akan memberi ucap selamat dan doa kepada mana-mana pengantin baru. Maka saya juga tidak mahu ketinggalan untuk mengucapkan selamat pengantin baru kepada Pak Lah dan Jeanne beserta doanya sekali, moga bahagia dunia akhirat. Biasanya sesudah mengucap selamat dan doa kepada mempelai, ada sepatah dua nasihat akan diberikan kepada pengantin untuk dijadikan peringatan dan panduan bagi menempuh hidup di alam yang baru. Saya juga ada sedikit nasihat untuk pengantin nombor satu negara negara ini untuk menempuh alam yang baru diperbaharui ini.

Isteri Pak Lah Manifestasi Islam Hadhari.

Adapun Pak Lah menang dikenali seantero dunia sebagai pengasas dan imam mazhab terbaru Islam yang dipromosikannya di Malaysia dan adalah mazhab itu diberi nama Hadhari. Maka para pengikut setia Pak Lah yang sah menjadi ahli UMNO secara automatik menjadi pengikut fahaman Hadhari ini. Sebagai imam dan pengasas mazhab baru sudah passti ada ajaran dan kod etikanya. Dan umum sudah mengetahui bahawa Islam mazhab hadhari ini tiada punya kitab-kitab muktabar sebagai panduan amalan pengikutnya. Cukup sekadar fikrah apa yang baik bagi akal walaupun buruk di sisi agama, makbul lah ia. Apa yang dianggap moden dan maju bagi akal walaupun nyata melampaui syariat, diterima ia sebagai amalan dan tindakkannya. Yang paling penting pandangan imamnya adalah mutlak dan mesti diterima dengan rela sebagai suatu suruhan. Oleh kerana tema tulisan saya kali ini adalah perkahwinan, maka kehidupan berkeluarga pengasas dan imam mazhab ini juga pasti menjadi ikutan dan panduan hidup pengikut mazhab hadhari.

Oleh kerana isteri mestilah seorang perempuan, maka citra dan kehidupan isteri sang pengasas mazhab ini juga pasti dijadikan kayu ukur kepada pengikut mazhab ini. Melihat kepada penampilan Jeanne Abdullah, maka itulah dia rupa seorang isteri fahaman hadhari. Sudah pasti gadis-gadis yang di luar sana menjadikan Jeanne sebagai simbol dan modal untuk menjustifikasikan amalan jahiliah yang sedang melanda anak muda sekarang. Inilah dia penampilan gaya hadhari. Dan penampilan Jeanne yang menjadi pilihan hati Pak Lah juga adalah memberi maksud bahawa wanita yang menjadi pilihannya adalah sesuai mengikut cita rasanya juga. Maka apabila penampilam Jeanne yang menepati citarasa Pak Lah sudah pastilah ia juga tertekluk kepada fahaman Pak Lah yang hadhari itu. Sesudah ditimbang dengan timbangan hadhari maka Jeanne menepati timbangan tersebut. kalaulah apa yang saya fikirkan ini benar, maka ketahuilah kita bahawa Jeanne adalah manifestasi sebenar wanita Islam mazhab Hadhary.

Sudah menjadi tanggunjawab Pak Lah sebagi seorang suami untuk menjaga kehormatan isterinya sebagai wanita solehah yang bermaruah. Maka persoalan maruah seorang isteri termasuklah menyimpan perhiasan isterinya dan hanya ditayang kepada Pak Lah seorang sahaja bukan pada yang lain. Oleh itu Pak Lah wajib mentarbiyah isterinya untuk menurut perintah Allah kerana mahu menjaga kehormatannya. Juak-juak Umno pasti memandang remeh perkara aurat ini kerana mereka memang berfikiran sekular. Orang fahaman sekular faham Islam untuk peribadi sahaja. Paling kuat dalam masjid atau atas kawasan kubur bila ada orang mati itu pun kadang-kadang saja. Rakyat pasti akan melihat penampilan Jeanne bahkan akan ada yang menjadikan beliau sebagai idola mereka. Jeanne juga akan menjadi ibu kepada rakyat Malaysia. Sudah pastilah sebilangan besar anak-anak perempuan Malaysia mengikut fahaman ibu barunya yang sudah sedia maklum.

Untuk mengelakkan anak-anak terus menerus rosak ditambah pula ada yang menukar penampilan mengikut ibu baru ini, wajib bagi Pak Lah sebagai seoarang suami menunaikan tanggungjawab terhadap isterinya dengan memberi didikan yang sempurna agar isteri boleh menjadi contoh kepada anak-anaknya nanti. Saya memang yakin Pak Lah mampu memberi didikan ini sebab Pak Lah berkelulusan Pengajian Islam dari Universiti Malaya dan menjadi pengasas Islam hadhari pula.

Tanggungjawab lain yang Pak Lah mesti ambil nerat adalah memberi nafkah zahir dan batin terhadap isterinya. Soal nafkah zahir Pak Lah perlu pastikan status rezeki itu halal atau syubhah, soal haram mestilah Pak Lah lebih arif sebab akan jadi darah dagingnya nanti. Bukan apa, mana lah tahu tidak lama lagi Khairy akan dapat adik ipar yang baru.

Bangun Dari Lena

Mungkin disebabkan ketiadaan teman sehidup tidak semati ini membuatkan Pak Lah tidak cukup tidur di Seri Perdana. Seorang Perdana Menteri perlu kuat mental dan fizikalnya untuk terus memimpin dan menyelesaikan masalah rakyat. Mungkin disebabkan tidak cukup tidurlah Pak Lah sering meng'qadha' tidurnya di mana-mana walaupun di majlis-majlis rasmi dalam dan luar negeri.

Kebetulan pula selepas isteri lamanya menemui ilahi, muncul pula Bapa Perindustrian Malaysia Tun Dr Mahathir mengkritik dan menyerang pentadbiran Bapa Mertua Khairy ini. Mungkin ketiadaan teman hidup di sisi membuatkan Pak Lah pening dan tiada dapat membuat keputusan dengan rasional sehingga terpaksa menerima rasional dari Khairy dan konco-konconya. Kritikan Bapa Perindustrian terhadap Bapa Mertua Khairy amat berat kerana melibatkan maruah dan kedaulatan negara. Jika ketiadaan isterilah yang menjadi punca segala masalah, saya harap Jeanne adalah jalan keluar kepada segala permasalahan ini.

Seorang lelaki kadangkala tidak terurus kehidupannya sehingga memberi kesan dalam kerjanya. Wanita dijadikan Allah untuk melengkapi kehidupan lelaki. Maka sudah pastilah Jeanne yang berpengalaman menguruskan pentadbiran beberapa hotel terkemuka dapat memberikan servis 10bintang dalam pengurusan hidup Pak Lah. Logiknya bila kehidupan Pak Lah kembali terurus makan minum, sakit peningnya, belaian jiwanya..maka segala serabut yang menghantui Pak Lah selama ini menjadi akan rapi kembali. Dan pentadbiran negara menjadi lebih terurus kerana kemajuan ummah bermula dari rumah.

Jangan Pula Jadi Penasihat Ke-Empat

Cukup sekadar Jeanne menjadi isteri yang akan hidup bersama Pak Lah dan menemani beliau atas urusan rasmi dan tidak rasmi. Di rumah dia adalah isteri kepada suami, di luar dia adalah wanita pertama negara yang menjadi contoh kepada rakyat. Maka bidang tugas Jeanne adalah di bawah penguasaan suaminya dan tiada boleh lebih dia dari Pak Lah. Tugas Jeanne adalah menguruskan kehidupan dan jiwa Pak Lah, melembutkan hati dan menjadi penyejuk mata kepada sang suami. Tapi jangan pula melembutkan hati suami sehingga memberi telunjuk sehingga maruah dan kedaulatan negara tergadai.

Jangan ada lagi pertambahan jawatan penasihat kepada Pak Lah. Khairy dan konco-konconya sudah cukup membuatkan pentadbiran negara menjadi huru-hara. Tidak cukup dengan melingkupkan syarikat-syarikat strategik negara, di jual pula kepada Singapura sehinggakan hendak berbincang soal pembangunan di negara sendiri pun kena bincang dengan Singapura.

Dengan kekalutan dan serabut yang sedia ada, jangan pula Jeanne menambah derita rakyat dengan serabut yang baru. Cukuplah dengan 3K yang memeningkan rakyat dan Pak Lah terus lena di mana-mana yang dia suka. Cukup Jeanne sebagai seorang isteri kepada PM dan paling kuat pun turun padang melihat nasib dan realiti rakyat sekarang kemudian ceritalah kepada Pak Lah apa sebenarnya yang melanda rakyat agar Pak lah dapat memikirkan penyelesaiannya.

Jeanne boleh sahaja berkongsi fikiran dengan Pak Lah tentang nasib rakyat tetapi dengan syarat mesti meletakkan kepentingan rakyat dan negara jauh di depan mengatasi kepentingan peribadi.

Pak Lah juga mesti mengambil peluang memperbaiki kelemahan-kelemahan yang telah beliau lakukan ketika beliau duda sebelum ini. Kekusustan hidup keseorangan sunyi tanpa teman akibat tiada buah hati menemani di sisi boleh diatasi kini dengan kehadiran Jeanne jika benar kesunyian ini yang menyebabkan beliau hilang tumpuan dalam pentadbiran hingga sering terlena.. dari pandangan politik kehadiran Jeanne dalam hidup Pak Lah tidak boleh dilihat dari aspek pernikahan dan hidup bersama sahaja. Bahkan rakyat sentiasa menanti dan memerhati segala tindak-tanduk dan gerak-geri beliau suami isteri. Jeanne diharap tidak meletakkan dirinya sebaris Khairy dan konco-konconya dan berlagak lebih 'perdana menteri' dari perdana menteri sendiri. Sepatutnya dengan berakhirnya zaman duda Pak Lah, sepatutnya juga zaman gelap negara mesti berakhir.

Selamat Pengantin Baru, semoga berbahagia dan semoga hari-hari yang dilalui selepas ini sentiasa segar dan tidak mengantuk dan terlena dalam mana-mana majlis lagi...







Wednesday, June 6, 2007

Masa Untuk Tumpukan Perhatian Pada Pilihanraya Umum Akan Datang

Muktamar Tahunan PAS Ke-53 sudah pun berakhir, para perwakilan PAS juga telah melaksanakan tanggungjawab terhadap parti selaras seperti yang dituntut di dalam perlembagaan parti. Para perwakilan juga telah menunaikan tanggungjawab memilih barisan pimpinan baru yang bakal meneruskan perjuangan dan hala tuju PAS agar lebih mantap atau lebih baik dari yang lepas-lepas.

Tahniah juga saya ucapkan kepada calon-calon yang memenangi kerusi-kerusi yang telah dipertandingkan. Tahniah diucapkan kepada Ustaz Nasharuddin Mat Isa yang dapat mengekalkan jawatan Timbalan Presiden, tahniah juga ditujukan kepada Ustaz Hj Ahmad Awang yang menang jawatan Naib Presiden, tahniah untuk semua ( tidak perlu lagi saya sebut di sini semua keputusan yang sedia maklum) kerana anda semua dipilih untuk memegang amanah yang diberikan oleh majoriti ahli PAS untuk terus dan memantapkan lagi gerak kerja, organisasi, hala tuju dan lain-lainnya menuju matlamat menegakkan keredhaan Allah di atas muka bumi Malaysia ini.

Walaupun saya terdengar macam-macam nilaian, ulasan, gossip-gossip hangat berkaitan saf pimpinan dan pemilihan pucuk pimpinan parti. Namun saya lebih suka untuk memberi penghormatan terhadap keputusan yang telah diputuskan pada muktamar yang lalu. Sesiapa sahaja yang dipilih dan disahkan untuk menerajui apa-apa jawatan dalam parti, saya menghormati keputusan tersebut dan memberi doa dan harapan agar barisan yang dipilih akan bekerja lebih keras kali selepas ini tambahan pula gendang pilihanraya umum akan dipalu sedikit masa sahaja lagi dan kita mesti bersedia ke menyahut paluan gendang nanti.

Wujud Oligarki Dalam PAS..???

Antara isu cakap-cakap yang hangat dibualkan ialah adanya elimen-elimen oligarki di dalam PAS, tanpa mahu saya sebut perkara itu di sini, sedikit-sedikit sifat begitu dikalangan pimpinan parti mungkin ada. Bahkan jika dibuat kajian dari sudut sains politik, mana-mana pun parti tidak terlepas dari amalan oligarki ini. Bagi saya perkara ini dalam PAS khususnya, masih di tahap biasa dan tidak memberi kesan negatif terhadap gerak kerja dan hala tuju perjuangan parti, barangkali beberapa sahabat blogger yang dapat mengenalpasti akan hal keadaan ini berasa amat risau kira-kira perkara ini bakal menjadi warisan seterusnya melumpuhkan permuafakatan dan hubungan antara ahli biasa dan ahli diperingkat pimpinan. Saya amat berharap agar dihapuskan terus elimen oligarki di dalam PAS ( kalau ada ) kerana jikalau ada pun masalah dalam membuat pilihan diperingkat tertinggi, kita masih ada Jawatankuasa Syura 'Ulamak untuk memutuskan keputusan demi kepentingan parti.

Jangan kita jadi seperti UMNO, yang di sisi saya UMNO merupakan sebuah pertubuhan politik yang mengamalkan amalan sekular-oligarki dalam parti. Pimpinan-pimpinan UMNo bermati-matian mempertahankan kedudukan mereka di dalam parti dan sudah menjadi lumrah di dalam UMNO dan, mereka pernah memperkenalkan sistem undi bonus untuk mengelak situasi tegang pemilihan jawatan Presiden UMNO antara Dr Mahathir Mohamad lawan Tengku Razaliegh Hamzah. Namun sistem undi bonus ini tidak lagi diamalkan pada tahun 1993 berikutan kedua-dua jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan atas alasan untuk menjaga perpaduan dan mengelakkan perpecahan dalam parti.

Mungkin juga terdapat beberapa pihak cuba melakukan lobi dan menentukan siapa yang akan menduduki jawatan-jawatan utama dalam parti atau mana-mana sayap kanan parti. Dalam hal ini saya berkeyakinan ahli mampu menilai siapa yang lebih layak untuk menduduki jawatan tersebut. Kita dapat lihat tindakan beberapa orang calon yang menarik diri dari bertanding mana-mana jawatan dan memberi laluan muka-muka baru yang dilihat mempunyai kebolehan dan diberi peluang untuk mengasah kebolehan agar lebih mantap lagi.

Melihat kepada perkembangan ini, saya amat berharap sangat agar dengan munculnya muka-muka baru ini, gerak kerja PAS dapat dilicinkan lagi dan akan lebih mantap dan kukuh untuk menghadapi pilihanraya umum tidak lama lagi. Rugi pula saya rasa jika isu ini terus dipanjangkan. Buangkan saja sifat melobi individu secara ta'asub dan amalan oligarki dikalangan pimpinan. Hak menawarkan diri untuk bertanding dan hak menentukan siapa yang akan dipilih adalah hak setiap ahli. Rasanya cukup setakat ini saya menyatakan pandangan saya tentang isu ini.


Proksi Anwar Dalam PAS, Benarkah..???

Satu lagi isu yang bertiup di telinga ahli-ahli PAS kalaupun tidak semua, segelintir sahaja yang menyedari akan berita ini ialah wujudya proksi-proksi Anwar dalam pimpinan PAS. JIka benarlah begitu maka PAS tidak akan pergi jauh malah lebih tepat lagi PAS dengan mudah akan di kawal dari luar dengan mudah. Risau juga saya bila terbaca akan hal ini di dalam tulisan saudara Rudin X. Oleh kerana isu ini amat menarik minat saya kerana ia melibatkan roh dan entiti PAS yang mempunyai jalan dan matlamat perjuangannya sendiri. Jika sekiranya perkara ini betul-betul sedang berjalan, alangkah ruginya PAS kerana kita hanya menjadi sayap perjuangan parti lain sahaja bukan bergerak dan bertindak atas kehendak dan pendirian parti.

Saya mengkagumi Anwar sebagi tokoh politik yang mewarnai politik negara mutakhir ini. Namun kekaguman saya terhadap Anwar tidak dapat menyamai dan menandingi kekaguman saya terhadap Al-Marhum Al-Ustaz Fadzil Noor, Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Tuan Guru Hj Hadi Awang,Ustaz Nasharuddin Mat Isa,Ustaz Ahmad Awang, Ustaz Hassan Shukri malah kekaguman saya terhadap Ustaz Nasruddin Hassan Tantawi pun tidak dapat ditandingi oleh Anwar. Bagi saya apa yang dilalui oleh Anwar adalah kifarah dari Allah untuk beliau kerana membelakangkan perjuangan Islam dan Sirah Rasul. Dan bagi saya Anwar hanya tokoh politik biasa sahaja dan tidak lebih dari itu.

Maka jika benar ini yang berlaku dikalangan pimpinan PAS, saya adalah antara orang-orang yang akan menentang tindakan ini. Saya amat-amat berharap agar pimpinan Dewan 'Ulamak dan Majlis Syura 'Ulamak PAS melihat dan mengikuti perkembangan ini yang bagi saya amat-amat memang tidak sehat. Saya sendiri tidak tahu sejauh mana kerak kerja yang telah dan sedang dilakukan oleh orang-orang Anwar ( jika benar-benar berlaku). Dan saya menyifatkan tindakan Anwar ( jika benar juga) mengatur perancangan sebegini ( saya harap tidak ) semata-mata untuk menguasai PAS dari dalam melalui beberapa proksi yang wujud dalam kepimpinan PAS, maka tindakan ini sama sahaja seperti parasit yang cuba menjadikan PAS hanya sekadar sayap Islam kepada Parti Keadilan Rakyat. Demikian juga saya tujukan kepada barisan pimpinan yang pernah bersama-sama Anwar dahulu, sekiranya anda berniat untuk menjadikan PAS sekadar mengikut rentak yang dicorakkan oleh Anwar, di sisi saya anda tidak lebih dari mengkhianati amanah anda terhadap ahli-ahli parti yang mahukan anda memimpin PAS bergerak atas dasar dan perjuangannya yang tersendiri.

Anwar boleh sahaja menjadi orang tengah sebagai jambatan penghubung antara pakatan parti pembangkang, tetapi Anwar tidak boleh bertindak menyuruh mana-mana parti mengikut telunjuknya dalam membuat apa-apa pendirian politik. Dan saya amat-amat berharap apa yang saya katakan ini tidak benar dan jika benar, maka PAS adalah parti yang akan hilang nilai perjuangannya, dan sedang mengalami kerugian entiti dan parti lain akan mengambil kesempatan dan mengaut keuntungan politik atas kelalaian PAS menghidu kewujudan parasit ini. Saya amat berharap agar seluruh ahli-ahli PAS menyedari akan hal ini jika benar ianya berlaku kerana bagi saya PAS tidak perlukan mana-mana moderator untuk menunjukkan jalan politiknya dan kita perlu bersedia menghalang mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan politik terhadap PAS.

Label Golongan dan Penilaian Terhadap Pimpinan

Ini satu lagi istilah yang sengaja dipopularkan oleh sesetengah pihak terutamanya golongan-golongan orang suratkhabar. Saya pernah menyatakan pendapat saya berkenaan label-label golongan yang wujud dalam PAS ini pada tulisan saya yang telah lalu. Dan cukup bagi saya sekadar apa yang pernah saya nyatakan dulu. Secara positif saya melihat bahawa barisan pimpinan yang baru sahaja dilantik baru-baru ini ada harapannya walaupun tidak diberi keyakinan penuh oleh sesetengah pihak. Soal kebolehan dan kelayakkan seseorang untuk memimpin parti pada pendapat saya adalah lebih baik kita beri sahaja peluang ini kepada mereka untuk menunaikan amanah mereka sebagai pemimpin dan mempertajamkan kebolehan mereka untuk masa depan parti.

Memang wujud segelintir ahli PAS yang tidak menyokong mana-mana individu yang dicalonkan dalam pemilihan jawatan. Bahkan memang ada juga yang tidak bersetuju atas dasar kelayakan dan peribadi calon. Walau apapun yang hendak kita katakan terhadap pimpinan yang telah dipilih secara sah, ia pasti tidak akan mengubah keputusan tersebut. Kerugian seterusnya yang akan PAS perolehi ialah kita terus-menerus membahaskan soal kelayakan dan merit di kalangan pimpinan dan nyata akan menimbulkan satu suasana ta'assub dikalangan ahli. Sedangkan kita dituntut untuk menghormati keputusan yang telah diputuskan melalui undi majoriti. Maknanya majoriti ahli sepakat untuk memilih siapa yang layak berdasarkan penilaian majoriti ahli.

Luahan Dato' Dr Hassan Ali

Pertama kali saya mendengar pandangan Dato' Dr Hassan yang mencadangkan agar pemilihan pucuk pimpinan parti dilakukan melalui Majlis Syura 'Ulamak seolah-olah keluhan orang yang tiada tempat lagi dalam PAS. Namun kalu difikir-fikirkan kembali ada juga benarnya jika dibuat begitu. tetapi perlu diteliti rasional dan praktikalnya dahulu. Mungkin ia melibatkan pindaan perlembagaan PAS untuk tujuan itu.

Namun setakat ini bagi saya perjalanan yang diamalkan oleh PAS selama ini adalah demokratik dan adil untuk ahli-ahli PAS. Mungkin Dato' Hassan sendiri berasa bimbang dengan gelagat segelintir ahli PAS yang agak ta'assub dengan pimpinan pilihan mereka hingga terjadinya puak-puak dalam PAS. Atau beliau risau dengan cakap-cakap perwakilan atau khabar-khabar angin lintang yang memburuk-burukkan mana-mana individu dikalangan pimpinan PAS.

Apapun yang telah disarankan oleh Dato' Dr Hassan Ali, itu adalah haknya untuk bebas memberi pandangan atas tujuan mengukuhkan perhubungan di kalangan seluruh ahli PAS. Dan bagi sya apa yang disaranka oleh Dato' Hassan boleh sahaja dinilai kebenarannya jika di sana ada kelebihan dan kebaikan terhadap parti. Dan saya juga berharap agar sesiapa sahaja yang mengikuti saranan Dato' Hassan ini agar memberi suatu pandangan yang membina kekuatan parti bukan atas individu Dato' Hassan.

Kemunculan Ustaz Ahmad Awang sebagai Naib Presiden PAS

Gembira juga di hati saya apabila melihat Al-Fadhil Ustaz Ahmad Awang dinaikkan pangkat dari Ketua Penerangan Pas Pusat kapada Naib Presiden Pas bersama-sama Dato' Paduka Hussam Musa dan Tuan Hj Muhammad Sabu. Maknanya pada kali ahli-ahli PAS memberikan mandat kepada 'Ulamak menerajui jawatan tertinggi parti kerana sebelum ini jawatan ini hanya dibarisi oleh golongan profesional.

Sekurang-kurangnya selepas ini diharap tidak ada lagi cakap-cakap nakal yang mengatakan PAS ketandusan 'Ulamak di peringkat tertinggi. Saya amat yakin dengan ketokohan Ustaz Ahmad Awang yang dahulu pernah menerajui Persatuan 'Ulamak Malaysia dan pernah berkhidmat dalam kerajaan. Dengan ketokohan dan pengalaman yang beliau ada dapat memberikut input yang amat berguna untuk memantap dan melicinkan perjalanan perjuangan PAS.

Tumpukan Perhatian Pada Pilihanraya

Rasanya saya tidak mahu lagi mendengar apa-apa ulasan berkaitan keputusan pemilihan pimpinan PAS yang telah diputusakn pada muktamar yang lalu. Target kita kini adalah untuk mempersiap dan memeprkemas jentera untuk menghadapi pilihanraya umum yang akan datang.

Kalau perkara yang sia-sia yang kita utamakan maka kita memang mencari pasal dan mensia-siakan peluang malah membuka peluang UMNO-BN meneruskan kerja-kerja mungkar mereka.

Saya menaruh harapan dan kayakinan terhadap barisan pimpinan yang baru dilantik untuk bersatu menyusun strategi dan menjauhkan diri dari membahaskan soal kepimpinan parti yang telah diputuskan pada muktamar yang lalu. Adalah lebih baik juga kita menghormati keputusan dan memberi sokongan dan semangat kepada barisan pimpinan yang baru untuk terus berjuang dan memberi perhatian sepenuhnya terhadap pilihanraya umum yang akan datang.






Monday, June 4, 2007

Kes Lina Joy..., Bukan Di Sini Noktah Perjuangan

Sebagaimana yang kita sedia maklum, baru-baru ini suatu isu hangat lagi sensitif yang melibatkan kemurniaan dan kesucian Islam terjawab apabila kemenangan berpihak kepada kuasa mahkamah syariah. Suatu keputusan yang amat ditunggu-tunggu oleh umat Islam khususnya dan rakyat Malaysia amnya melihat keputusan Mahkamah Persekutuan akhirnya majoriti hakim 2:1 menolak permohonan Azlina Jailani, 42, untuk membuang status agamanya daripada kad pengenalan beliau.

Dalam kes tersebut, Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim bersama seorang lagi hakim Dato' Alauddin dato' Mohd Sheriff telah mengenepikan permohonan Azlina, yang kini mahu dirinya dikenali sebagai Lina Joy. manakala seorang lagi hakim, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Dato' Richard Malanjun membenarkan permohonan tersebut.

Kedua-dua hakim yang menolak permohonan tersebut telah meletakkan bahawa Mahkamah persekutuan tiada kuasa mencampuri urusan Mahkamah Syariah, manakala Hakim Dato' Richard Malanjun berpendapat bahawa Perlembagaan Persekutuan melebihi segala-galanya.

Sudah tentu umat Islam ( yang tidak diracuni sekular fikirannya ) berasa amat bersyukur dan lega dengan keputusan ini. Bahkan sebelum ini ada juga beberapa badan hak asasi yang memperjuangkan agar Artikel 11 ini dimansuhkan sahaja, suatu yang benar-benar mencabar kewibawaan Islam dan umat Islam. tetapi ini bukanlah noktah perjuangan kita untuk terus menegakkan Islam di muka bumi Malaysia yang tercinta ini. Kemenangan ini ppun bukanlah kemenangan mutlak atas kita. Lagipun jika dilihat secara normal perundangan negara kita kes ini memang sepatutnya menyebelahi Mahkamah Syariah kerana telah terjamin kedudukannya dan dineri peruntukkan dalam Perlembagaa Persekutuan. Dan Hakim yang telah menolak permohonan tersebut bertindak bijak menurut apa yang telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan, cuma prosedur dan bidang kuasa mahkamahnya sahaja tidak dapat difahami sepenuhnya oleh masyarakat.

Diharap pada masa depan jika ada lagi kes yang sebegini, keputusan mahkamah ini boleh dijadikan duluan kes atau sebagi rujukan kepada kes yang akan datang. Tapi harap-harap janganlah ada lagi kes seprti ini kerana ianya mengguris hati umat-umat Islam yang cintakan Agamanya sebagai perlembagaan hidup.

Sekurang-kurangnya urusan-urusan umat Islam terjamin di bawah Artikel 11 ini, maka Mahkamah syriah pun dapat menjalankan tanggungjawab dan tugasnya berkenaan urusan-urusan umat Islam di negara ini. Namun apakah sekadar ini kita telah dapat berpuas hati dengan Islam yang kita perjuangkan. Kalau kita amati betul-betul ini adalah 1 dari entah berapa banyak lagi isu-isu ummat yang perlu kita perjuang dan pertahankan.

Kalau dilihat dari dulu sampai sekarang, kita memang sudah banyak bertolak ansur sehingga keutamaan-keutamaan Islam ditolak untuk memberi keutamaan dan tuntutan agama-agama lain. Kemuncaknya dahulu apabila terdapat golongan yang memperjuangkan IFC ( Interfaith Comission ) atau Suruhanjaya Antara Agama yang memang jelas hanya bermatlamatkan untuk menafikan Wahyu Allah dan Sunnah Rasulullah sebagai sebagai sumber dan rujukan segala urusan kehidupan umat Islam. Islam bukan agama yang boleh disuruh-suruh dan boleh pula dirunding-runding, yang sebetulnya kita ini mahu tidak mahu mesti ikut perintah agama bukan kita yang perintah agama.

Kemudian timbul pula golongan yang memperjuangkan untuk dihapuskan Artikel 11 atas alasan menghormati agama lain. Yang anehnya peruntukkan ini adalah untuk menjamin bidang kuasa Mahkamah Syariah agar tidak tercampur urusannya oleh mahkamah sivil. Maka ini soal urusan umat Islam bukan soal Hindu, Kristian atau Buddha. Seharusnya mereka ini menghormati peruntukkan perlembagaan ini untuk melicinkan perjalanan urusan undang-undang sivil dan syariah. Memang jelaslah mereka ini berniat untuk mencampuri urusan umat Islam masakan tidak mereka beriya-riya berjuang supaya kerajaan melalui parlimen memansuhkan peruntukkan ini.

Mungkin selepas ini golongan-golangan yang tiada sukakan Islam ini akan mencuba cara yang lain pula, bila cara pun lain maka pendekatan pun juga lain juga. Dalam bentuk apa, masih belum kita ketahui. Kita juga memang sedia maklum bahawa musuh-musuh Islam tidak akan putus asa untuk terus membantai, mengasak dan meruntuhkan Islam. Demikian perjuangan kita juga tisak akan terhenti di sini sahaja. Kerana kita sentiasa diperhatikan dan diekori oleh musuh-musuh kita.

Perjuangan mempertahankan 'aqidah dan syariat Islam bukan setakat isu Lina Joy ini sahaja, bahkan segala aspek kehidupan dan urusan kehidupan kita pun mesti kita perjuangkan agar selari dengan 'aqidah dan syariat Islam. Bukan sekadar memperjuangkan apa yang ada, tetapi kita juga mesti perjuangkan apa yang tidak ada. Ruang Islam berdiri tegak di nagara kita amat-amat terbatas itupun lebih banyak duduk dari berdiri, sikit-sikit lagi hendak tidur, nasiblah Pak Lah sahaja yang suka tidur.

Seterusnya yang mesti kita perjuangkan Islam dijadikan perlembagaan hidup msyarakat. Islam dijadikan sumber perundangan dan kehakiman. Islam dijadikan rujukan untuk menggubal dasar-dasar awam. Islam dijadikan sebagai garis panduan bernegara dan macam-macam lagi. Segala-galanya Islam.

Kenyataan Dato' Seri Hj Harussani, Mufti Kerajaan Negeri Perak yang mendedahkan bahawa lebih 250,000 orang Melayu murtad adalah petunjuk bahawa 'aqidah umat Islam di negara kita amat parah. Azlina Jailani @ Lina Joy juga sudah pasti termasuk di dalam golongan-golongan murtad ini. Memang mahkamah menolak pemohonan Azlina Jailani untuk menukarkan status agama di dalam kad pengenalannya, tetapi pada hakikatnya kini dia telah murtad, telah tidak Islam, maka muktamadlah dia sudah kufur dengan Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Bagaimana pula sebilangan berapa ramai lagi yang satu spisis dengan Azlina sudah tidak beriman lagi denga Allah Ta'ala dan Rasulnya. Dan jelas kini perjuangan kita bukan setakat ini malah mesti berterusan sampai kiamat.

Yang kita bincangkan baru soal 'aqidah, belum lagi soal menegakkan hukum dan sistem-sistem Islam dalam negara. Pasti cabaran kita amat getir sekarang ini. sekarang bukan lagi masa untuk kita membincangkan perkara-perkara cabang yang memang sudah diselesaian seribu tahun dahulu. sebilangan besar bukan sekadar tidak mahu lagi melakukan amalan tetapi tidak lagi mahu kepada Islam itu lagi.

Banyak lagi yang mesti kita tegak dan perjuangkan, masyarakat mahu kita susun mengikut susunan Islam. Ekonomi mahu kita tadbirkan sumber dan agihkan mengikut kehendak dan keputusan yang didasari oleh Islam. Politik yang mahu kita amalkan adalah politik yang menjadikan Islam sebagai coraknya. Undang-undang yang hendak kita gunakan untuk menjamin kestabilan, keharmonian dan hak asasi juga berteraskan Islam. Dan banyak lagi yang tiada dapat saya sebutkan di sini, segala-galanya bertunjangkan kepada Islam.

Maka tidak dapat tidak kita mesti meneruskan usaha kita memperjuangkan agar Islam ini tegak dan mencorakkan kehidupan masyarakat. Bukan sekadar 'aqidah umat yang perlu kita pertahankan, bahkan urusan negara ini juga mesti dicorakkan dengan Islam. Dan bukan setakat ini sahaja perjuangan kita untuk mempertahankan Islam..., bahkan masih jauh dan banyak lagi.., paling lama pun bila kita meninggalkan dunia yang amat fana ini.., maka habislah tanggungjawab kita untuk mempertahan, memeperjuang dan melaksanakan Islam sebagi perlembagaan masyarakat dan negara..