About Me

My photo
Anak Bapak Al-Banjary Al-Asya'iry As-Syafi'iy, Dilahirkan pada tanggal 1hb Januari 1983 di Kg Parit Satu Sungai Sireh, Tanjong Karang, Selangor Darul Ehsan, seorang Melayu berketurunan Banjar suku Alai, Kini bersama PAS Kawasan Tanjong Karang berjuang menegakkan Islam di atas muka bumi Allah sebagai amanah dan tanggungjawab dari-Nya.. ..terima kasih atas sokongan anda.. Takbirr..ALLAHUAKBAR..!!!

Saturday, July 7, 2007

Kalau Bukan 'Ulamak Menasihat.., Siapa Lagi...???

Maka baru-baru ini DYTM Raja Dr Nazrin Shah telah menitahkan bahawa 'ulamak tidak boleh berpuak. Adapun yang dikatakan tidak boleh berpuak pada faham saya adalah 'ulamak yang tidak cenderong meletakkan suatu ketetapan atau pandangan dan sikap yang lari dari prinsip Islam terhadap suatu isu itu untuk kepentingan mana-mana puak yang berkepentingan dengan mengambil kesempatan terhadap kejahilan masyarakat dengan hujah dan dalil yang mengelirukan. Oleh itu ulamak yang menyatakan pendirian, pandangan dan sikap Islam atas suatu isu itu untuk dihalalkan tindakkan yang dilarang Islam oleh suatu puak, itulah 'ulamak yang berpuak atau memihak kepada suatu puak atau berpuak-puak. Mereka juga akan cuba sedaya-upaya mengolah hujah dalil-dalil untuk membenarkan tindakan suatu puak yang bertujuan untuk mencari keuntungan disebalik kejahilan orang lain.

Telah dinyatakan bahawa 'ulamak adalah seorang yang mempunyai pengetahuan ilmu yang mendalam tentang ilmu-ilmu Islam. Paling tidak seorang 'ulamak itu mesti mempunyai ilmu tentang fiqh dan usul fiqh, tauhid dan akhlak, hadith dan ilmu-ilmunya, Al-Qur'an, tafsir dan ilimu-ilmu tafsir, dan lain-lain lagi. Sudah semestinya seorang 'ulamak itu mesti menguasai ilmu Bahasa Arab dari segi Nahu Sorof dan Balaghahnya. Bahasa Arab adalah ilmu alat terpenting bagi seorang 'ulamak untuk memahami dengan betul kandungan Al-Qur'an dan Hadith sebagai sumber utama kerana keduanya itu tertulis di dalam Bahasa Arab serta. Kemudian Bahasa Arab juga amat penting bagi seorang 'ulamak untuk mengkaji kitab-kitab hasil ijtihad dan karangan imam-imam besar dan 'ulamak-'ulamak yang muktabar kerana semuanya ditulis dalam Bahasa Arab. Oleh kerana kecenderungan dan tahap pemikiran manusia adalah berlainan dan terbatas, maka terdapat dikalangan 'ulamak yang menguasai dan mempunyai kepakaran yang khusus dalam agama. Maka 'ulamak-'ulamak Fiqh dipanggil Fuqoha', 'ulamak-'ulamak Hadith dipanggil Muhaddisin, 'ulamak-'ulamak tafsir digelar Mufassirin, "ulamak-'ulamak bahasa dipanggil Lughawiyyun dan sebagainya. Adapun golongan yang mempunyai kepakaran ilmu selain dari ini seperti doktor perubatan dan jurutera adalah tidak termasuk dikalangan apa yang dipanggil sebagai 'ulamak.

Telah berfirman Allah Ta'ala bahawa golongan dikalangan hamba-hamba yang takut pada tuhannya adalah dikalangan 'ulamak. Sabda Baginda Rasulullah S.A.W pula menyatakan bahawa 'ulamak adalah pewaris nabi, maknanya 'ulamak mewarisi kerja-kerja nabi. Kemudian tokoh-tokoh besar 'ulamak menggariskan bahawa 'ulamak terbahagi pula kepada dua, 'ulamak baik dan 'ulamak jahat ( 'ulamak su'). Adapun 'ulamak yang baik itu dikalangan 'ulamak yang takut kepada Allah, 'ulamak yang jahat pula adalah sebaliknya.

Setelah kita kenal tentang siapa dia 'ulamak, maka hendak pula kita tahu apa persamaan 'ulamak yang berpuak dan 'ulamak jahat ( 'ulamak suu'). Maka bagi saya 'ulamak yang suka berpuak itu adalah juga 'ulamak jahat. Seperti yang saya nyatakan bahawa 'ulamak yang berpuak adalah 'ulamak yang menggunakan pengetahuan ilmu agamanya untuk menjayakan rancangan dan kehendak suatu puak yang suka melanggar perintah Allah. Dalam hal ini umat Islam akan diperbodohkan mindanya dengan dicelarukan pemikiran mereka agar suatu yang dilarang Allah dan Rasulnya dipandang baik dan elok adanya.

Dikalangan puak yang akan menggunakan 'ulamak-'ulamak puak dan jahat ini sudah pastilah dari golongan yang mempunyai kuasa dikalangan rakyat. Golongan yang berkuasa ini akan menjanjikan sedikit habuan dunia kepada 'ulamak puak dan jahat ini sebagai ganjaran atas kerja-kerja keji mereka. Maka para 'ulamak puak dan jahat ini akan mengeluarkan nas-nas dan dalil beserta hujah juga huraian yang akan mengeliru dan memperbodohkan rakyat untuk menghalalkan tindakan dan dasar yang dimurkai Allah oleh orang yang berkuasa tadi. Kesemua kerje-kerja keji tadi dilaksanakan untuk memaksa rakyat terus taat kepada pemimpin yang melanggar perintah Allah dan menerima suatu perintah itu seolah-olah ia juga adalah suruhan dan perintah dari Allah.

Pemimpin-pemimpin yang menggubal dasar dan melaksanakan pentadbiran yang bercanggah dengan Al-Qur'an dan Sunnah adalah orang yang melawan Allah dan Rasul-Nya. Oleh itu 'ulamak-'ulamak yang menjadi perisai kepada pemimpin yang dimurkai Allah dan Rasulnya juga adalah golongan yang melawan Allah dan Rasulnya. Golongan-golongan yang melawan Allah dan Rasulnya akan tergolong pula dikalangan kufur atau munafiq atau fasik. Jika pemimpin dan 'ulamak yang berganding bahu menolak Al-Qur'an dan Sunnah sebagai sumber rujukan digantikan pula dengan idealogi-idealogi falsafah yang bertuhankan akal semata-mata, dikhuatiri kufur mereka itu. Jika dikalangan pemimpin dan 'ulamak itu berkomplot dibelakang rakyat dengan menjadi musang berbulu ayam, di hadapan rakyat hebat bercakap tentang Islam dan sebagainya, dibelakang menyusun strategi meruntuhkan Islam, dikhuatiti munafik mereka itu. Jika pemimpin dan 'ulamak suka melakukan dosa besar dan membiarkan rakyat terus hancur, dikhuatiri fasik mereka itu.

Para 'ulamak puak dan jahat sebenarnya tidak takutkan tuhan. Mereka mencari jalan untuk memaksa dan meracun minda rakyat menerima apa sahaja tindakkan pemimpin dengan ugutan psikologi dan mentaliti rakyat melalui hujah dan dalil agar mereka menerimanya seolah suatu fatwa. Pemimpin melalui 'ulamak-'ulamak puak dan jahat ini akan mengambil kesempatan terhadap kejahilan rakyat dikalangan umat Islam. Golongan pemimpin yang tidak takutkan tuhan akan terus menipu, menindas dan merampas hak rakyat untuk kepentingan perut dan bawah perut mereka dan keluarga serta kroni mereka juga tidak mustahil menantu-menantu mereka juga. Untuk menutup kebusukan kudis dan bisul mereka ini, mereka akan mencari golongan 'ulamak yang hanya tahu cari makan tanpa rasa takut kepada tuhannya untuk menutup bisul dan kudis pemimpin itu tadi. 'Ulamak puak dan jahatlah yang akan berperanan menghiasi dan memberi wangian ke atas bisul dan kudis pemimpin yang terus busuk dan membusuk itu. Buat ingatan pemimpin dan 'ulamak yang tidak takutkan tuhan, sebanyak mana bedak diletak di atas kudis dan bisul yang busuk, wangi bedak itu tidak akan dapat menutup busuk juga kudis dan bisul yang akan terus membusuk dan bernanah. Suatu masa pasti rakyat akan terbau busuk dan melihat nanah serta bisul yang terus bernanah dan membusuk. Begitulah busuk dan buruknya kerjasama pemimpin dan 'ulamak yang memesongkan rakyat dari jalan yang sebenar demi kepentingan perut dan bawah perut mereka.

Adapun para 'ulamak yang baik-baik tidak akan berani melawan perintah Allah dan Rasulnya. Para 'ulamak yang baik-baik tidak pula akan takut menyatakan pendirian agama terhadap pemimpin mereka. Allah telah menyatakan bahawa orang-orang yang takutkan Allah adalah 'ulamak. Sudah tentu 'ulamak yang hakiki adalah 'ulamak yang takutkan tuhannya dengan menyuruh kepada yang baik-baik dan melarang yang jahat-jahat. Apa-apa yang disuruh oleh Allah maka yang baik-baiklah ia, sebaliknya yang disuruh jauh oleh Allah malah jangan dekati maka yang jahat-jahatlah ia.

'Ulamak mewarisi kerja-kerja nabi. Antara kerja-kerja nabi selain dari beribadat dan menyebarkan dakwah adalah menjadi pemimpin keluarga, masyarakat hatta negara. Baginda Rasulullah adalah ketua keluarga, panglima tentera serta ketua kerajaan dan negara. Baginda telah menetapkan dasar bermasyarakat, berekonomi dan berpolitik di bawah naungan wahyu ilahi. Justeru para 'ulamak yang kerjanya meneruskan kerja nabi mesti bersama-sama memperjuangkan sistem sosial, ekonomi dan politik yang telah nabi tinggalkan lebih seribu empat ratus tahun dahulu. Jika tidak, maka saksikanlah bahawa Islam hanya wujud di masjid-masjid, tanah-tanah kubur juga 'name-tag' orang-orang yang namanya bercirikan islam sahaja.

Para 'ulamak yang baik-baik yang menyertai mana-mana badan pertubuhan dan parti politikyang memperjuangkan Islam saya yakini tidak termasuk mereka itu dikalangan 'ulamak puak dan jahat. Para 'ulamak yang bergerak menjalankan aktiviti dan program contohnya Persatuan 'Ulamak Malaysia dan lain-lain bukanlah termasuk dikalangan berpuak. Matlamat mereka jelas untuk mengembangkan dan tidak berani melampaui batas-batas iman dan kufur dalam memberi pendirian dan sikap islam terhadap suatu perkara. Para 'ulamak yang berjuang untuk mendapatkan kuasa politik kerana dengan kuasa tersebut Islam terlaksana, maka mereka hanya bergerak di dlam organisasi politik yang tidak berani melanggar perintah Allah untuk mencapai matlamat membina negara yang baik-baik, negara yang sentiasa dirahmati dan diampuni dan rakyatnya takutkan tuhan belaka. Para 'ulamak yang bergerak, berpesatuan dan berparti memberi contoh mereka juga adalah dikalangan masyarakat sivil. Mereka bergerak dan beroganisasi menurut lingkungan peruntukan undang-undang sedia-ada. Jika mereka bergerak dan berjuang tanpa ada persatuan dan organisasi, maka kelak akan didakwa di mahkamah kerana bergerak secara haram pula. Cuma yang membezakan antara 'ulamak yang baik-baik dan 'ulamak puak dan jahat adalah matlamat mereka samada benar-benar menegakkan yang hak dan menolak yang batil atau bersama bersekongkol menggadai prinsip dan maruah agama untuk digantikan dengan harta dunia, termasuk juga dalam golongan ini 'ulamak yang membisu ketika ada pemimpin yang menggadai maruah dan kedaulatan negara.

Untuk tidak menjadikan 'ulamak itu berpuak atau jahat, maka hendaklah 'ulamak itu jujur dan menghormati disiplin ilmu yang telah digali dahulu. 'Ulamak wajib sentiasa takutkan tuhan, suruhan dan tegahannya. Tiada siapa lagi yang layak untuk memberi nasihat kepada pemimpin negara melainkan 'ulamak atau yang paling afdal 'ulamak itu juga adalah pemimpin. Peranan 'ulamak amat besar kerana mereka ditugas untuk meneruskan kerja-kerja yang ditinggalkan oleh baginda nabi. Dalam konteks berpolitik dan bernegara, 'ulamaklah yang akan memberi teguran dan nasihat kepada pemimpin untuk menyelesaikan suatu isu menurut pandangan Islam. Negara yang menjunjung wahyu dan sunnah sebagai perlembagaan negara mesti menyelesaikan suatu masalah dengan pendirian Islam berdasarkan Al-Qur'an dan Hadith. Dalam konteks perekonomian, masalah pengagihan hasil kekayaan yang terhad terhadap kehendak manusia yang tidak terhad perlu diselesaikan dengan pendirian Islam yang nyata pembahagian menurut persamaan hak yang terjamin dalam sistem sosial Islam. Masyarakat perlu disusun dengan adil sesuai dengan fitrah kejadian manusia tanpa ada kasta dan penindasan, perbezaan bangsa, bahasa dan warna kulit kerana asal usul manusia semuanya sama dari nabi Allah Adam A.S dan Sayyidatina Hawa sebagai ibu dan bapa seluruh manusia. Pergerakan dan tindakan manusia hendaklah dihadkan agar tidak merampas dan menceroboh hak manusia lain, maka menjadi tanggungjawab pemimpin dan 'ulamak untuk memberi pendidikan yang berteraskan 'aqidah, syariat dan akhlak Islam agar tertanam di hati mereka akan takut kepada tuhan di samping menegakkan sistem perundangan Islam untuk menjamin hak asasi manusia.

Kalau bukan 'ulamak, siapa lagi yang akan menasihati pemimpin dari melakukan penipuan dan penindasan yang akhirnya akan menyebabkan rakyat menderita kerana menyerap kerugian hasil negara yang dibolot oleh pemimpin yang rasuah dan 'ulamak yang pekak bisu. 'Ulamak yang suka menggadai agama untuk harta tidak boleh diharap. Kuasa yang ada pada masyarakat juga mampu menyedarkan 'ulamak yang tidak sedar diri untuk pulang ke pangkal jalan. Malangnya kini 'ulama sering dipersenda oleh pemimpin sekular yang melihat 'ulamak sebagai tidak memberi apa-apa keuntungan bagi pihak perut dan bawah perut mereka dan kroni-kroni mereka. Hanya 'ulamak yang dapat diseleweng ilmunya untuk kepentingan pemimpin sekular yang melihat mereka ini dapat mengekalkan kuasa untuk terus mencuri, menipu, menindas dan merampas hak rakyat dengan bertopengkan hujah-hujah sesat 'ulamak jahat yang tidak takutkan tuhan. Untuk menuju ke arah itu, tidak dapat tidak, kita mesti terus berusaha untuk menukar pemimpin yang tidak takut kepada tuhan kepada pemimpin yang takut kepada tuhan, kerana pemimpin yang takut pada tuhan pasti akan didampingi oleh para 'ulamak yang takut kepada tuhan juga.

Akhirnya, maka teringatlah akan saya sepotong hadith yang mafhumnya menyebut; sesungguhnya Allah S.W.T tidak akan menarik semula ilmu dari manusia dengan begitu sahaja, tetapi Allah S.W.T akan menarik semula ilmu dari manusia dengan mewafatkan para 'ulamak, sehingga tiada lagi orang-orang yang 'alim, maka ketika itu manusia akan mengangkat orang yang jahil untuk memimpin mereka, dan mereka itu dikalangan orang yang sesat dan akan menyesatkan.


Monday, July 2, 2007

Pentadbiran Negara Tidak Ikut Falsafah Solat Berjemaah...???

Ketika Pak Lah baru ditabal sebagai ketua kerajaan yang akan memimpin negara ini, antara yang sering ditonjolkan media adalah Pak Lah mengimamkan solat berjemaah. Sejuk mata memandang apabila seorang ketua kerajaan mengimamkan solat. Pak Lah memang patut mengimamkan solat kerana kapasiti beliau adalah pengasas mazhab hadhari. Sebagai pengasas mazhab hadhari maka wajarlah Pak Lah mampu mengimamkan apa-apa jenis solat hatta solat sunat gerhana matahari dan bulan. Maka rakyat akan melihat bahawa Pak Lah bukan setakat mampu mengetuai kerajaan, malah mampu juga menjadi ketua kepada orang-orang yang sujud kepada Allah Ta'ala.

Apakah pentadbiran Pak Lah kini menepati kod etika pemimpin yang terkandung dalam ibadah solat berjama'ah? Apakah Pak Lah tidak menyedari bahawa di dalam solat berjema'ah ada mesej tentang bidang kuasa imam dan makmum? Sejauh manakah Pak Lah menjadikan solat jama'ah sebagai falsafah pentadbirannya, arah kiblatnya, sujud dan rukuknya juga doanya.

Solat jema'ah sebenarnya adalah latihan politik dan bermasyarakat. Di sana bukan sekadar ibadah khusus bahkan ada ilmu untuk rakyat dan pemimpin mempraktikkannya dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Pak Lah mungkin lupa atau tidak sedar hakikat ini. Mustahil Khairy akan mengingatkan bapa mertuanya sedangkan dia sendiri sering lupa mengingatkan isterinya menutup aurat dan terlupa berjual beli sehingga menggadai maruah dan kedaulatan negara. Sebagai makmum dan rakyat, maka wajiblah bagi saya sebagai makmum untuk memberi peringatan kepada imam yang memimpin saya kerana peringatan itu adalah berguna kepada orang-orang yang bertaqwa. Saya harap Pak Lah tergolong dikaangan orang-orang yang bertaqwa.

Sebelum solat jema'ah dimulakan, menjadi tanggungjawab makmum untuk melantik seorang di kalangan mereka untuk diangkat menjadi imam. Imam yang dilantik mesti menepati ciri-ciri tertentu untuk mengetuai solat jama'ah. Makmum terlebih dahulu perlu mengenalpasti dan memastikan imam yang akan memimpin solat jama'ah dari segi ilmu dan pengetahuannya yang mencukupi, bacaan dan hafalannya jelas, amalan hariannya yang tidak mengulangi dosa kecil dan tidak melakukan dosa besar seboleh-bolehnya dan lain-lain lagi. Maka dari situ sudah pasti wajib bagi kita juga untuk memilih pemimpin yang akan mengetuai kerajaan yang akan mentadbir negara dikalangan orang yang menepati ciri-ciri pemimpin yang beriman dan bertaqwa kepada Allah, mempunyai asas ilmu berkaitan syariat, akidah dan akhlak untuk menjaga akal, nyawa, kehormatan, harta benda dan iman rakyat. Mereka juga mesti tahu serba sedikit tentang ilmu ekonomi untuk membangunkan negara, ilmu sosial untuk membentuk masyarakat,ilmu politik untuk memahami suasana politik dalam dan luar negara. Bayangkan jika kita memilih imam yang suka-suka hati mengubah rukun solat mengikut hawa nafsunya, sudah pasti makmum juga akan sesat.

Setiap amalan bermula dengan niat, dan setiap amalan yang dilakukannya adalah mengikut apa yang diniatkan. Imam mesti berniat bahawa ibadahnya itu semata-mata kerana Allah Ta'ala. Menjadi imam juga kerana Allah. Begitu juga dengan makmum, mereke solat mengikut imam bukan kerana imam itu 'alim, tapi kerana Allah Ta'ala. Menunjuk-nunjuk pada orang lain menjadi riak, rasa bangga di hadapan orang lain menjadi takabbur, tidak merasa apa-apa sekadar mengaburi mata orang lain untuk menutup keingkaran terhadap Allah menjadi munafik, tidak solat langsung terus jadi fasik. Maka setiap pemimpin mesti ikhlaskan diri memimpin masyarakat kerana Allah, menyerahkan yang hak dan menafikan yang batil. Niat untuk menjaga kepentingan sendiri, keluarga dan menantu mesti dijauhkan takut termakan duit rakyat. Rakyatjuga mesti ikhlaskan diri mentaati pemimpin kerana Allah. Mentaati pemimpin wajib selagi tidak bercanggah dengan syariat Allah. Jangan pula sampai mentaati pemimpin membuta tuli walaupun melanggar syariat sehingga mengampu pemimpin untuk mendapat sedikit habuan dunia.

Wajib bagi makmum untuk menuruti gerakan imam dalam solat selagi mana tidak terkeluar dari rukun dan syarat sah solat. Sebagai rakyat juga, wajib kita mentaati arahan pemimpin demi kesejahteraan rakyat dan negara. Makmum mengikut imam adalah menurut perintah Allah Ta'ala bukan kerana imam. Selagi imam bergerak menurut apa yang ditetapkan oleh Allah dan Rasulnya maka selagi itulah makmum wajib mengikutinya. Begitu juga jika seorang pemimpin itu mentadbir dan memerintah negara mengikut apa yang disyariatkan oleh Allah dan Rasulnya, maka selama itulah rakyat wajib mentaati apa yang diperintahkan oleh pemimpin. Allah dan Rasul adalah melabihi segala-galanya maka pemimpin seperti Pak Lah wajib menyedari bahawa mentadbir negara perlu mengikut apa yang Allah gariskan bukan semata-mata nasihat dan arahan menantunya. Pak Lah dan pemimpin UMNO yang lain mesti sedar bahawa memimpin masyarakat adalah amanah Allah bukan untuk kepentingan diri dan keluarga.

Wajib bagi imam untuk berdiri betul menghadap kiblat, jika tidak maka solat itu tidak akan dikira sah. Imam akan rukuk dan sujud sebagai tunduk kepada Allah Ta'ala. Maka makmum juga akan mengikut imam tunduk kepada Allah ta'ala. Pemimpin yang beriman dan bertaqwa wajib memastikan bahawa mereka mesti membawa hala tuju ke arah apa yang terkandung dalam syariat Islam, bukan membawa masyarakat berkiblatkan akal dan hawa nafsu. Pemimpin mesti tunduk kepada suruhan dan larangan Allah, membawa dan mendidik rakyat untuk tunduk kepada Allah seluruhnya. Pemimpin mesti takut kepada tuhan agar rakyat akan mengikut jejak pemimpin untuk takut dan patuh kepada segala suruhan dan larangan Allah. Malangnya kini pemimpin UMNO memang jelas tidak takutkan tuhan, menipu, mencuri dan merampas hak rakyat bahkan menjual negara. Maka tidak hairanlah kebanyakan rakyat pun sudah berani melakukan jenayah dan kemaksiatan kerana mereka mengikut jejak pemimpin yang tidak takutkan Allah Ta'ala. Imam yang sengaja mengimamkan solat dengan menghadap ke arah selain dari Ka'bah, solatnya tidak akan diterima, malah jika makmum tidak menegur perbuatan imam atau tidak menggantikan imam dengan imam yang lebih layak, maka kesemua mereka akan menanggung balasannya dari Allah. justeru rakyat wajib memastikan bahawa pemimpin yang akan memimpin mereka mesti dikalangan mereka yang menjadikan Islam sebagi matlamat dan dasar pentadbiran negara untuk membentuk masyarakat dan negara yang diterima, diredhai, dirahmati dan sentiasa diampuni Allah.

Sekiranya imam tersalah melakukan suatu gerakan dalam solat, seorang makmum di belakang boleh menegur imam dengan melafazkan kalimah 'subhanallah' agar diakhir solat sebelum salam nanti akan dilakukan sujud sahwi. Begitu juga dengan rakyat jika pemimpin melakukan kesalahan dan kesilapan, rakyat mesti diberi hak untuk menegur pemimpin tersebut agar tidak mengulanginya lagi. Teguran dan kritikan penting untuk membina masyarakat yang lebih baik dan sempurna. Pemimpin mesti menyedari bahawa mereka jua pada asalnya adalah dikalangan rakyat dan mereka juga adalah anggota masyarakat. Malangnya pemimpin UMNO dan BN kini cuba mengubah susunan masyarakat Malaysia ke arah feudal, rakyat mesti ikut apa sahaja yang disuruh oleh mereka walaupun suruhan itu merugikan rakyat. UMNO memang jelas melanggar prinsip yang ada dalam falsafah solat jama'ah itu

Sekiranya imam melakukan perkara yang membatalkan solat, dia sudah tidak dikira seabagai imam lagi. Jika imam melakukan satu kesalahan seperti terkentut maka terbatal ia dari solat, dia perlu mengundurkan diri dari memimpin solat itu dan akan digantikan dengan imam yang baru dikalangan makmum yang tadinya berada di belakang imam tadi. Begitu juga dengan pemimpin sebuah negara. Jika dia melakukan suatu kesalahan yang boleh mengakibatkan kedaulatan dan maruah negara tergadai, maka dia sudah tidak layak lagi untuk memimpin sebuah negara. Sepatutnya dia mesti mempertahankan maruah dan kedaulatan negara untuk kepentingan rakyat. Tapi spisis ini suka menggadai maruah dan kedaulatan negara untuk kepentingan kepentingan diri, menantu dan mungkin isteri barunya. Demikian juga dengan rakyat mesti menolak kalangan pemimpin yang suka menipu,mencuri dan merampas hak rakyat, bukan sahaja pemimpin itu yang perlu ditolak, parti yang diwakilinya juga mesti ditolak dan digantikan dengan parti yang lebih baik hala tujunya, parti yang takutkan tuhan dan parti yang patuh pada perintah Allah dan Rasul, dan meninggalkan larangannya. Tidak pernah berlaku jika seorang imam melakukan kesalahan atau terbatal solatnya, menerajang keluar makmum yang menegur atau menggantikannya. Dalam UMNO tidak mustahil terjadi kerana sudah menjadi tradisi UMNO untuk menyepak dan menerajang keluar sesiapa sahaja yang mengkritik dan menegur pemimpin yang korup dan melampau batas.

Sampai bilakah struktur pentadbiran negara kita akan terus berlangsung membelakangi falsafah yang boleh kita ambil dari solat jama'ah? Solat jama'ah terbukti adalah pengajaran dan pendidikan politik dan kemasyarakatan terbaik yang mesti kita manfaatkan. UMNO memang tidak boleh diharap lagi. Perjuangan UMNO jelas sudah terpesong dari kiblat Islam. Tertubuhnya UMNO pun adalah untuk meneruskan hegemoni dan polisi politik British dan diteruskan pula golongan ekstrimis nasionalis kapitalis sekularis UMNO. UMNO tidak pernah sujud dan rukuk kepada Allah malah hanya sujud pada akal dan hawa nafsu sahaja. Kiblat UMNO adalah barat, kerana tafsiran kemajuan oleh UMNO diukur dengan pencapaian barat yang mementingkan kebendaan semata-mata. Di akhir solat kita sama-sama berdoa agar diberi keampunan dan dimudahkan Allah segala urusan kita. Sebaliknya pada UMNO akhirnya meneruskan kehidupan rakyat ke arah kemurkaan Allah, jauh dari keampunannya. UMNO juga lebih banyak menyusahkan rakyat dengan menarik kebebasan hak asasi rakyat.

Adalah menjadi kewajipan kita sebagai makmum untuk melantik imam-imam dikalangan mereka yang berkiblatkan Islam, tunduk dan patuh kepada segala suruhan dan larangan Allah dan Rasulnya, dan sentiasa membawa rakyat ke arah keampunan dan keredhaan Allah Ta'ala.






Friday, June 22, 2007

Jenayah Meningkat Kerana UMNO Mendidik Rakyat Tidak Takutkan Tuhan, Pemimpin Hanya Jaga Perut Dan Bawah Perut...!!!

Nampaknya gagasan Islam Hadhari Pak Lah sudah mencapai tahap matang. Berita kenaikan kadar jenayah dan keruntuhan akhlak dikalangan masyarakat Negara Islam Hadhari Malaysia adalah amat-amat membimbangkan. Makin hari kebejatan sosial dilaporkan semakin parah. Pak Lah selaku pengasas dan imam mazhab hadhari tidak habis-habis berbangga dengan gagasan yang dibawa tanpa melihat kepada realiti yang berlaku dikalangan masyarakat.

Baru-baru ini kita telah dikejutkan dengan beberapa kes rogol dan rompak yang berlaku di Johor, negeri berfahaman UMNO paling 'teroksida'. Negeri yang dikenali sebagai kubu UMNO paling kuat dalam dunia. Sudah pastilah negeri ini juga adalah penjunjung mazhab hadhari paling setia dan ta'asub dalam dunia jika diukur dengan kekuatan undi UMNO dan Barisan Nasional di Johor. Kejadian itu baru di Johor, belum lagi di negeri-negeri lain. Belum juga dikira kes-kes yang terdahulu dan kes-kes yang tidak dilaporkan.

Dalam banyak-banyak manusia di Johor, sebilangan kecil telah menyatakan kebimbangan berikutan dari kejadian tersebut. Seramai lebih kurang 200 orang telah berkumpul dan berdemonstrasi di hadapan kediaman rasmi Menteri Besar johor sebagai tanda tidak puas hati berikutan kegagalan polis menyelesaikan beberapa kes yang melibatkan samun dan rogol di negeri ini. Terkejut dengan apa yang berlaku maka kerajaan mengarahkan seramai 400 anggota polis ditambah ke Ibupejabat polis Kontijen Johor IPK dengan kadar segera.

Ini semua gejala dan bala dari gaya hidup fahaman hadhari. Tidak hairan jika jenayah makin meningkat, akhlak remaja dan belia makin hancur kerana pemimpin yang diamanahkan untuk menggubal dasar untuk menyusun dan mendidik masyarakat hanya mementingkan kepentingan perut dan bawah perut sahaja.

Golongan UMNO memang tiada minat untuk mengambil tahu hal semua ini. Paling kuat pun kerahkan polis sebanyak mungkin untuk rakyat berfikir bahawa pihak kerajaan prihatin dan mengambil berat soal keselamatan dan keamanan masyarakat. Silap-silap 400 anggota polis yang dihantar bakal menjadi tukang undi pos BN di Johor nanti. Mana dia Dato' Dr. Abdullah Md Zain dan Dato' Dr Mashitah Ibrahim, mana dia Dato' Paduka Abdul Hamid Othman, mana dia Tan Sri Yusof Noor, mana dia Dato' Nakhaie Ahmad dan lain-lain untuk membincangkan penyelelesaian kerosakkan struktur masyarakat kini. Tapi kebolehpercayaan di kalangan mereka ini pun sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja. Dato' Dr Mashitah sendiri pun pernah mengeluarkan kenyataan harus melacur diri bila keadaan terdesak.

Islam Hadhari tidak pandang pada kerosakkan akhlak rakyat. Islam Hadhari tidak pandang pun pada keruntuhan 'Aqidah umat Islam. Islam Hadhari tidak pernah berfikir bagaimana hendak mendidik rakyat agar takut kepada tuhan. Islam Hadahari sebenarnya memang suka rakyat tidak takut dengan tuhan malah samapai tahap tidak percaya pada tuhan pun banyak. Kenapa golongan UMNO dan hadhari suka rakyat tidak takut dan tidak percaya tuhan? sudah tentu kerana keadaan ini membolehkan mereka berkuasa dan mengekalkan kuasa seterusnya menjaga kepentingan perut dan bawah perut mereka.

Kerajaan yang dipimpin oleh UMNO dan konco-konconya tidak ambil peduli pun tentang semua ini. Asalkan kepentingan perut dan bawah perut terpelihara maka itu adalah lebih utama dalam perjuangam mereka. Soal kepentingan dan hak rakyat diketepikan dahulu.

Ramai sudah tidak takutkan tuhan sekarang ini. Dari pimpinan negara sampailah rakyat biasa ramai yang tidak takutkan tuhan. seseorang melakukan kesalahan jenayah kerana dia tidak takutkan tuhan. Kalau dia takut dan ingatkan tuhan, maka dia akan ingat juga dosa pahala, syurga neraka, halal haram, iman dan kufur. Tidak hairanlah sekarang ini jenayah makin meningkat dan berlaku dimana-mana, akhlak masyarakat tidak kira tua dan muda rosak, 'aqidah umat terus hancur. Kerahlah seramai mana anggota polis untuk menjaga keamanan pun jika tiada 'aqidah, pasti akan hancur juga.

Anggota polis yang bertanggungjawab menjaga keselamatan dan keamanan masyarakat adalah manusia biasa bukan malaikat, pemimpin negara juga manusia biasa, masyarakat keseluruhannya juga adalah manusia biasa yang punya nafsu dan juga akal. Akal manusia tetap terbatas dan hanya mampu berfikir secara relatif dan logik sahaja. Nafsu sentiasa meronta-ronta untuk dipenuhi kehendaknya dari kongkongan akal. Namun tiada guna juga jika akal tidak dibekalkan dengan pegangan dan petunjuk dari wahyu yang mana baik yang mana buruk dan yang mana halal yang mana haram. Jika akal dibiarkan bertindak tanpa mengikut petunjuk dari wahyu, maka akal akan membiarkan nafsu melakukan apa sahaja memenuhi kehendaknya.

Jenayah bukan sekadar rogol dan samun. Mencuri duit rakyat juga jenayah. Menipu dan merampas hak rakyat juga jenayah. Semua itu adalah ketegori maksiat di sisi Allah Ta'ala. Pemimpin diberi kepercayaan untuk membawa hala tuju dan mendidik rakyat kearah lebih berilmu, tunduk kepada syariat tuhan. Pemimpin mesti gubal suatu dasar untuk kepentingan rakyat, memajukan kehidupan rakyat, menjamin keselamatan dan kemanan rakyat, menjaga makan minum rakyat. Bagaimana kita hendak membendung kerosakkan akhlak dan bahaya jenayah jika si pembuat dasar juga tidak ada 'aqidah dan tidak takut kepada tuhan. 'Aqidah Islam Hadhari terbukti tidak boleh diguna pakai. Bak kata orang "bukan barang baik, barang tak dak guna punya". Kalau 'aqidah Islam Hadhari boleh diguna pakai, maka majoriti rakyat akan takut kepada tuhan. Masyarakat akan takut untuk buat apa yang dilarang oleh tuhan. Malangnya pembuat dasar rata-rata tidak takut pada tuhan, dia lebih takut perut dan bawah perutnya tidak terjaga. Lebih malang lagi pemimpin pun lebih berani buat apa yang tuhan larang dari apa yang disuruh oleh tuhan.

Jika pemimpin yang membuat dasar ke arah menjaga rakyat 'aqidahnya betul dan takutkan tuhan, maka dasar yang dibuat juga mengajak rakyat untuk takutkan tuhan. pemimpin yang takutkan tuhan tidak akan minta rasuah untuk melaksanakan suatu dasar.Pemimpin itu juga wajib memastikan dasar itu mengikut apa yang disuruh tuhan dan menjauhi larangan tuhan. Pemimpin juga wajib memastikan perjalanan dasar itu tidak melanggar batas-batas yang telah ditentukan oleh tuhan. Pemimpin itu juga tidak akan ambil kesempatan dan mencuri duit peruntukan perlaksanaan dasar itu untuk mengisi perut dan memenuhi kehendak bawah perutnya, keluarganya, sahabat karibnya juga tidak terkecuali menantu juga isteri barunya.

Dasar yang dibuat oleh pemimpin yang takutkan tuhan akan menggubal dasar yang mendidik rakyat. Anak-anak dan remaja yang fitrahnya meronta-ronta untuk mencuba suatu yang baru perlu dibentuk dengan sistem pendidikan yang mendidik manusia agar takutkan tuhan juga. Apabila anak-anak kita takutkan kepada tuhan, ilmunya akan digunakan untuk menurut apa yang diperintahkan oleh tuhan dan mejauhkan diri dari apa yang dilarang oleh tuhan. Malangnya anak-anak kita kini diajar dan dididik dengan matlamat material kerana yang mebuat dasar pendidikan pun bersifat materialistik. Oleh kerana anak-anak kita dibentuk dengan kerangka materialistik, maka ilmunya akan digunakan untuk matlamat material demi menjaga perut dan bawah perutnya sebagai mana pembuat dasar tadi. Tidak hairanlah jika ada orang yang cerdik sanggup membunuh kemudian mengebom orang lain kerana dia tidak takutkan tuhan dan hanya melihat kepentingan perut dan bawah perut dia dan bosnya sahaja.

Demikian apabila masyarakat dididik dengan didikan material akan melakukan apa sahaja untuk kepentingan dan kepuasan dirinya. Dia akan merogol orang yang penting dia puas walaupun yang dirogolnya anak kandungnya sendiri. Dia akan mencuri duit orang lain untuk mengumpul harta walaupun duit itu duit rakyatnya sendiri. Dia akan menipu dan merampas hak rang lain walaupun yang ditipu dan dirampas haknya itu hak bangsanya sendiri. Dan yang paling parah dia akan jual kepentingan dan kedaulatan negaranya walaupun yang dijualnya itu adalah, kedaulatan,kepentingan dan maruah negara dan bangsanya sendiri. Inilah dia kesan dan sikap orang yang tidak takutkan tuhan dan buat tidak tahu walaupun dia tahu tuhan nampak apa yang dia buat. Tapi biasanya spisis ini tidak ada rasa yang tuhan memang nampak dia sebab baginya tuhan hanya dalam masjid dan kawasan tanah perkuburan sahaja.

Menjaga akhlak masyarakat juga adalah tanggungjawab pemimpin. Pemimpin mesti menggubal undang-undang agar akhlak rakyatnya baik dan terpelihara. Sebelum menjaga akhlak rakyat pemimpin mestilah berakhlak dan takutkan tuhan lebih dahulu dari rakyat. Rakyat akan memerhatikan orang yang memimpin mereka untuk menjadi contoh dan teladan. Rakyat yang berakhlak dan takutkan tuhan meniru sikap pemimpinnya. Pemimpin lelaki yang suka pegang bahu wanita bukan muhrim tergolong dikalangan yanmg tida takutkan tuhan dan tiada akhlak yang boleh dicontohi. Isteri pemimpin yang suka cium pelakon lelaki yang terkenal dan hensem adalah dikalangan yang tidak berakhlak dan tidak takutkan tuhan. Pemimpin yang jadi suami tidak melarang isteri mencium lelaki lain bukan setakat tidak takut tuhan, termasuk ke dalam ketegori dayus pula.

UMNO dan konco-konconya memang sudah maklum tergolong dalam spisis ini. Spisis sekular dan tidak takut kepada tuhan. Selagi spisis ini terus diberi mandat untuk membuat dan meneruskan dasar sekular penjajah maka selagi itulah kita akan lihat jenayah dan keruntuhan akhlak terus berlaku. UMNO tiada usaha pun untuk menyekat pengaruh-pengaruh yang merosakkan anak-anak muda. UMNO lebih suka limpahkan hiburan kepada anak-anak muda agar mereka lalai dan jauh dari tuhan. UMNO bimbang jika mereka dekat dan takut pada tuhan, sudah pasti UMNO akan ditolak oleh majoriti rakyat yang takutkan pada tuhan. UMNO tidak pernah berusaha menegakkan sistem-sistem berorientasikan ketuhanan kerana UMNO tidak takut pada tuhan bahkan UMNO lebih suka berusaha agar sekolah-sekolah agama rakyat yang mengajar anak-anak untuk takutkan tuhan ditutup seboleh-bolehnya dihapuskan terus.

UMNO mesti sedar bahawa Islam Hadhari tidak ada apa-apa pun melainkan retorik politik untuk menarik undi orang yang takutkan tuhan. Pada hakikatnya, Islam Hadhari hanya mengajar manusia jauh dan tidak takut pada tuhan tapi takutkan pemimpin lebih dari tuhan. Maknanya untuk mengukur kemajuan Islam mazhab Hadhari adalah melihat kepada berapa banyak tumbuhnya pusat-pusat hiburan di bandar-bandar dan di kampung-kampung. Berapa kenaikan kadar jenayah, salah laku, rasuah, penipuan dan lain-lain yang buruk-buruk. Meningkatnya kadar-kadar tadi maka semakin majulah Islam hadhari.

Saya amat-amat berharap agar kejadian-kejadian jenayah yang berleluasa ini akan dapat dibendung. Tetapi keyakinan saya terhadap sistem yang diuruskan oleh UMNO dan konco-konconya amat mengecewakan. Selagi UMNO yang menjadi tunjang politik negara meneruskan agenda yang hanya menjaga kepentingan perut dan bawah perut dan tidak takutkan kepada tuhan, saya bimbang keadaan makin menjadi tidak terkawal kerana rakyat dibawah naungan Islam Hadhari tajaan UMNO yang diasaskan oleh Pak Lah merangkap imam mazhab Hadhari, akan terus-menerus tidak takutkan tuhan, bebas buat apa sahaja untuk mengisi perut dan memenuhi kehendak bawah perut mengikut acuan yang disediakan oleh UMNO dan konco-konconya.

Kesimpulannya, untuk menyelesaikan masalah yang melanda umat kini, kembalilah kepada jalan yang diwahyukan oleh tuhan. Takutlah azab yang dijanjikan tuhan jika kita melanggar perintahnya dan yakin dengan ganjaran yang dijanjikan tuhan jika kita menjauhi larangannya. Kerana, jenayah akan berkurang jika masyarakat takutkan tuhan dan bimbang jika akan diazab tuhan selepas mati nanti. Untuk membentuk masyarakat yang takutkan tuhan, tidak dapat tidak, pemimpin juga mestilah dikalangan orang yang takutkan tuhan, buat apa yang tuhan suruh, tinggal apa yang tuhan larang. Jika pemimpin kita bukan dikalangan orang yang takutkan tuhan, maka tanggungjawab kita orang yang takut kepada tuhan, untuk memilih dan menukar pemimpin kepada pemimpin yang takutkan tuhan.








Thursday, June 14, 2007

Episod Seterusnya Kisah Menjahanamkan Bahasa Melayu...!!!

Nampaknya sekarang bahasa ibunda kita tidak lagi dipanggil Bahasa Melayu. Bermula april yang lalu sudah tiada lagi apa yang dinamakan sebagai Bahasa Melayu. Jemaah Menteri sepakat untuk menukar istilah Bahasa Melayu kepada Bahasa Malaysia. Maka Menteri Penerangan Malaysia pun telah menjalankan tugasnya kepada rakyat Malaysia bahawa keputusan kerajaan menggunakan semula Bahasa Malaysia sebagai istilah rasmi bagi merujuk kepada bahasa kebangsaan. Tmbalan Perdana Menteri pula menyatakan bahawa ianya bertepatan dengan hasrat kerajaan yang mahukan bahasa kebangsaan itu menjadi milik semua rakyat Malaysia dan bertujuan untuk mengelak polemik daripada pihak yang menganggap ia hanya untuk satu kaum tertentu sahaja.

Yang amat menyedihkan lagi apabila Dato' Zainuddin Maidin yang kerjanya memberi penerangan kepada rakyat bahawa Melayu mesti bersikap terbuka dengan keputusan kerajaan untuk menukar terminologi Bahasa Melayu kepada Bahasa Malaysia. Bapa mertua Khairy pula macam biasa diam sahaja. Mungkin tidak lama lagi Keretapi Tanah Melayu juga akan ditukar istilahnya kepada Keretapi Tanah Malaysia kerana tidak mahu bangsa lain anggap keretapi hanya untuk Melayu sahaja.

Dari apa yang kita dapat dengar dari mulut pemimpin UMNO yang gagah menghunus keris konon mempertahankan ketuanan Melayu di atas muka bumi ini, jelas mereka sanggup untuk menggadaikan ketuanan bahasa bangsa sendiri untuk meraih sokongan masyarakat bukan Melayu di negara ini. UMNO tidak melihat kepada kepentingan istilah Melayu pada pengenalan bahasa itu tetapi melihat apa yang dapat diraih untungnya secara psikologi terhadap masyarakat bukan Melayu di negara ini.

Tidaklah pada saya menjadi salah dipanggil Bahasa Malaysia. tetapi yang menjadi salah ialah entiti pengenalan bahasa itu di ubah menunjukkan kepada kita bahawa Melayu tiada bahasanya lagi. Pengenalan istilah Bahasa Malaysia merujuk kepada suatu bahasa tertentu seolah-olah meletakkan bahawa Bahasa Malaysia bukan sahaja komposisinya dari Melayu semata-mata, mungkin dicampur aduk Bahasa Melayu ditambah Bahasa Cina dielokkan dengan Bahasa Tamil dan dibunga-bungakan dengan bahasa etnik-etnik yang lain maka wujudlah Bahasa Malaysia. Bukankah nanti bangsa asing akan melihat betapa lekehnya Melayu sehingga bahasa sendiri pun boleh diubah istilahnya.

Negara-negara yang maju mentaliti masyarakatnya tidak pun mengubah istilah bahasa mereka. Amerika Syarikat sendiri pun tidak menukar nama Bahasa Inggeris kepada Bahasa Amerika atas tujuan menyatu-padukan rakyatnya walhal bukan semua majoriti rakyatnya berbangsa Inggeris. Mexico tidak juga mengubah nama bahasa rasmi negaranya kepada Bahasa Mexico melainkan terus mengekalkan istilah Bahasa Sepanyol. Brazil yang terkenal dengan bintang bola sepaknya itu tidak pula menukar istilah bahasa mereka kepada Bahasa Brazil tetapi tetap menggunakan istilah Bahasa Portugis. Bahasa Hindi yang digunakan di Republik India tidak pernah mengubah istilah bahasa tersebut kepada bahasa India. Malah istilah negara India pun tidak disebut India dalam bahasa Hindi melainkan disebut ' Bharaat'.

Jadi apa sebenarnya yang dikatakan untuk menyatukan rakyat dan mengurangkan polemik bangsa lain kerana menggunakan istilah Bahasa Melayu. Sebelum ini kita tidak pernah dengar pun rungutan dari bangsa-bangsa lain yang menghuni negara ini terhadap istilah Bahasa Melayu. Bahkan wakil-wakil bangsa lain di parlimen tidak pernah pun menyentuh soal penggunaan istilah Bahasa Melayu yang termaktub di dalam Perlembagaan Malaysia.

UMNO membuktikan bahawa mereka memang bukan berjuang untuk melayu. Soal Bahasa pun UMNO sejak sekian lama menjahanamkan sedikit demi sedikit keagungan Bahasa Melayu bermula daripada menukarkan tulisan jawi kepada tulisan rumi yang akhirnya sebahagian besar orang melayu sendiri buta jawi dan yang paling teruk buta Islam. Kesan dari dua jenis buta ini meresap pula dalam kepimpinan UMNO yang buta perut dan buta hati. Kemudian di zaman Dr Mahathir Bahasa Melayu dinafikan dari menjadi bahasa ilmu apabila pengajian subjek matematik dan sains diubah bahasa pengantarnya dengan menggunakan Bahasa Inggeris yang akhirnya ramailah anak-anak melayu buta ilmu dan tak faham bahasa. Dan kini episod seterusnya kisah menjahanamkan Bahasa Melayu apabila Bangsa Melayu dinafikan untuk terus menggunakan istilah Melayu pada pengenalan bahasanya dan digantikan dengan Bahasa Malaysia.

UMNO kini berjuang untuk menjaga kepentingan perut dan bawah perutnya sahaja dan bukan untuk mempertahankan keagungan bangsanya. Kalau istilah Bahasa Melayu pun dengan mudah sahaja diubah dengan suka-suka hatinya, tidak mustahil perkara-perkara yang berkaitan dengan Melayu akan digadaikan begitu sahaja demi kepentingan perut dan bawah perutnya sahaja. UMNO memang mahir dalam bidang menggadai harta sendiri. Sekian lama kepentingan yang berkaitan dengan Melayu dan Islam digadaikan atas alasan bertolak ansur dengan bangsa-bangsa lain. Asal sahaja ada isu yang membabitkan dua perkara ini yang kena korban dua inilah juga. Habis di mana yang dikatakan ketuanan Melayu. UMNO nampak gagah macam pahlawan apabila tiba hari jadi UMNO dan Perhimpunan Agung UMNO sahaja. Kemudian dengan dengan lagak ekstrim ketua-ketua mereka menghunus keris ke angkasa menunjukkan bahawa UMNO sedia buat apa sahaja untuk pertahankan Melayu.

Sekarang apa sudah jadi, sudahlah isu penggunaan Bahasa Inggeris untuk Matematik dan Sains dibisukan begitu sahaja mengikut sunnah Pak Lah, sekarang istilah pula diubah dengan senang-lenang tanpa merujuk kepada Perlembagaan, pakar bahasa dan rakyat seluruhnya.Mana dia golongan-golongar yang bersemangat menghunus keris mempertahankan bangsa..???

Memang UMNO hendak jadikan penukaran istilah ini sebagai modal psikologi pilihanraya akan datang. Kononnya nanti dapat menarik undi bukan Melayu dalam pilihanraya umum nanti. Saya yakin sebenarnya bangsa-bangsa lain yang bukan Melayu tidak kisahpun tentang istilah Bahasa Melayu. Saya percaya bahawa UMNO yang sudah kering kontang isu dan modal untuk pilihanraya akan datang sanggup mencipta retorik baru untuk mendapatkan sokongan. Dan saya juga percaya bahawa kalangan orang-orang Melayu yang menerima dan menyokong penukaran ini adalah bersubahat dengan UMNO yang memang sifatnya suka gadai-menggadai. Dan selepas ini tidak tahu pula apa pula yang nak digadaikan UMNO.

Saturday, June 9, 2007

Wedding Of The Year...Selamat Pengantin Baru Pak Lah & Jeanne Abdullah.

Akhirnya Pak Lah bertemu juga dengan jodoh kedua dalam hidupnya. Akhirnya Pak Lah tidak akan kesunyian lagi di Seri Perdana dan dalam hidupnya. Akhirnya Khairy pun akan menerima ibu mertua kedua dalam hidupnya. Nory dan Kamaluddin juga akan menerima ibu kedua bertaraf tiri tapi taat bertaraf kandung dalam hidup mereka. Akhirnya juga rakyat Malaysia menerima wanita pertama yang baru. Akhirnya Datin Seri Rosmah Mansor tiada lagi boleh berlagak sebagai wanita pertama kerana kini Jeanne Danker @ Jeanne Abdullah telah pun diijab kabulkan dengan Lelaki Pertama Malaysia Dato' Seri Hj Abdullah Ahmad Badawi atau dengan nama timang-timangan@manjanya Pak Lah. Tidak tahu pula saya apakah nama timang-timangan Pak Lah oleh Jeanne sebagai isteri kerana itu hal rumah tangga Pak Lah.

Maka Pak Lah dan Jeanne pada hari ini ( Sabtu, 09hb Jun 2007 ) adalah pasangan pengantin baru walaupun mereka bukan baru lagi di atas muka bumi ini. Dalam mana-mana adat manusia di dunia ini pun, pasti akan memberi ucap selamat dan doa kepada mana-mana pengantin baru. Maka saya juga tidak mahu ketinggalan untuk mengucapkan selamat pengantin baru kepada Pak Lah dan Jeanne beserta doanya sekali, moga bahagia dunia akhirat. Biasanya sesudah mengucap selamat dan doa kepada mempelai, ada sepatah dua nasihat akan diberikan kepada pengantin untuk dijadikan peringatan dan panduan bagi menempuh hidup di alam yang baru. Saya juga ada sedikit nasihat untuk pengantin nombor satu negara negara ini untuk menempuh alam yang baru diperbaharui ini.

Isteri Pak Lah Manifestasi Islam Hadhari.

Adapun Pak Lah menang dikenali seantero dunia sebagai pengasas dan imam mazhab terbaru Islam yang dipromosikannya di Malaysia dan adalah mazhab itu diberi nama Hadhari. Maka para pengikut setia Pak Lah yang sah menjadi ahli UMNO secara automatik menjadi pengikut fahaman Hadhari ini. Sebagai imam dan pengasas mazhab baru sudah passti ada ajaran dan kod etikanya. Dan umum sudah mengetahui bahawa Islam mazhab hadhari ini tiada punya kitab-kitab muktabar sebagai panduan amalan pengikutnya. Cukup sekadar fikrah apa yang baik bagi akal walaupun buruk di sisi agama, makbul lah ia. Apa yang dianggap moden dan maju bagi akal walaupun nyata melampaui syariat, diterima ia sebagai amalan dan tindakkannya. Yang paling penting pandangan imamnya adalah mutlak dan mesti diterima dengan rela sebagai suatu suruhan. Oleh kerana tema tulisan saya kali ini adalah perkahwinan, maka kehidupan berkeluarga pengasas dan imam mazhab ini juga pasti menjadi ikutan dan panduan hidup pengikut mazhab hadhari.

Oleh kerana isteri mestilah seorang perempuan, maka citra dan kehidupan isteri sang pengasas mazhab ini juga pasti dijadikan kayu ukur kepada pengikut mazhab ini. Melihat kepada penampilan Jeanne Abdullah, maka itulah dia rupa seorang isteri fahaman hadhari. Sudah pasti gadis-gadis yang di luar sana menjadikan Jeanne sebagai simbol dan modal untuk menjustifikasikan amalan jahiliah yang sedang melanda anak muda sekarang. Inilah dia penampilan gaya hadhari. Dan penampilan Jeanne yang menjadi pilihan hati Pak Lah juga adalah memberi maksud bahawa wanita yang menjadi pilihannya adalah sesuai mengikut cita rasanya juga. Maka apabila penampilam Jeanne yang menepati citarasa Pak Lah sudah pastilah ia juga tertekluk kepada fahaman Pak Lah yang hadhari itu. Sesudah ditimbang dengan timbangan hadhari maka Jeanne menepati timbangan tersebut. kalaulah apa yang saya fikirkan ini benar, maka ketahuilah kita bahawa Jeanne adalah manifestasi sebenar wanita Islam mazhab Hadhary.

Sudah menjadi tanggunjawab Pak Lah sebagi seorang suami untuk menjaga kehormatan isterinya sebagai wanita solehah yang bermaruah. Maka persoalan maruah seorang isteri termasuklah menyimpan perhiasan isterinya dan hanya ditayang kepada Pak Lah seorang sahaja bukan pada yang lain. Oleh itu Pak Lah wajib mentarbiyah isterinya untuk menurut perintah Allah kerana mahu menjaga kehormatannya. Juak-juak Umno pasti memandang remeh perkara aurat ini kerana mereka memang berfikiran sekular. Orang fahaman sekular faham Islam untuk peribadi sahaja. Paling kuat dalam masjid atau atas kawasan kubur bila ada orang mati itu pun kadang-kadang saja. Rakyat pasti akan melihat penampilan Jeanne bahkan akan ada yang menjadikan beliau sebagai idola mereka. Jeanne juga akan menjadi ibu kepada rakyat Malaysia. Sudah pastilah sebilangan besar anak-anak perempuan Malaysia mengikut fahaman ibu barunya yang sudah sedia maklum.

Untuk mengelakkan anak-anak terus menerus rosak ditambah pula ada yang menukar penampilan mengikut ibu baru ini, wajib bagi Pak Lah sebagai seoarang suami menunaikan tanggungjawab terhadap isterinya dengan memberi didikan yang sempurna agar isteri boleh menjadi contoh kepada anak-anaknya nanti. Saya memang yakin Pak Lah mampu memberi didikan ini sebab Pak Lah berkelulusan Pengajian Islam dari Universiti Malaya dan menjadi pengasas Islam hadhari pula.

Tanggungjawab lain yang Pak Lah mesti ambil nerat adalah memberi nafkah zahir dan batin terhadap isterinya. Soal nafkah zahir Pak Lah perlu pastikan status rezeki itu halal atau syubhah, soal haram mestilah Pak Lah lebih arif sebab akan jadi darah dagingnya nanti. Bukan apa, mana lah tahu tidak lama lagi Khairy akan dapat adik ipar yang baru.

Bangun Dari Lena

Mungkin disebabkan ketiadaan teman sehidup tidak semati ini membuatkan Pak Lah tidak cukup tidur di Seri Perdana. Seorang Perdana Menteri perlu kuat mental dan fizikalnya untuk terus memimpin dan menyelesaikan masalah rakyat. Mungkin disebabkan tidak cukup tidurlah Pak Lah sering meng'qadha' tidurnya di mana-mana walaupun di majlis-majlis rasmi dalam dan luar negeri.

Kebetulan pula selepas isteri lamanya menemui ilahi, muncul pula Bapa Perindustrian Malaysia Tun Dr Mahathir mengkritik dan menyerang pentadbiran Bapa Mertua Khairy ini. Mungkin ketiadaan teman hidup di sisi membuatkan Pak Lah pening dan tiada dapat membuat keputusan dengan rasional sehingga terpaksa menerima rasional dari Khairy dan konco-konconya. Kritikan Bapa Perindustrian terhadap Bapa Mertua Khairy amat berat kerana melibatkan maruah dan kedaulatan negara. Jika ketiadaan isterilah yang menjadi punca segala masalah, saya harap Jeanne adalah jalan keluar kepada segala permasalahan ini.

Seorang lelaki kadangkala tidak terurus kehidupannya sehingga memberi kesan dalam kerjanya. Wanita dijadikan Allah untuk melengkapi kehidupan lelaki. Maka sudah pastilah Jeanne yang berpengalaman menguruskan pentadbiran beberapa hotel terkemuka dapat memberikan servis 10bintang dalam pengurusan hidup Pak Lah. Logiknya bila kehidupan Pak Lah kembali terurus makan minum, sakit peningnya, belaian jiwanya..maka segala serabut yang menghantui Pak Lah selama ini menjadi akan rapi kembali. Dan pentadbiran negara menjadi lebih terurus kerana kemajuan ummah bermula dari rumah.

Jangan Pula Jadi Penasihat Ke-Empat

Cukup sekadar Jeanne menjadi isteri yang akan hidup bersama Pak Lah dan menemani beliau atas urusan rasmi dan tidak rasmi. Di rumah dia adalah isteri kepada suami, di luar dia adalah wanita pertama negara yang menjadi contoh kepada rakyat. Maka bidang tugas Jeanne adalah di bawah penguasaan suaminya dan tiada boleh lebih dia dari Pak Lah. Tugas Jeanne adalah menguruskan kehidupan dan jiwa Pak Lah, melembutkan hati dan menjadi penyejuk mata kepada sang suami. Tapi jangan pula melembutkan hati suami sehingga memberi telunjuk sehingga maruah dan kedaulatan negara tergadai.

Jangan ada lagi pertambahan jawatan penasihat kepada Pak Lah. Khairy dan konco-konconya sudah cukup membuatkan pentadbiran negara menjadi huru-hara. Tidak cukup dengan melingkupkan syarikat-syarikat strategik negara, di jual pula kepada Singapura sehinggakan hendak berbincang soal pembangunan di negara sendiri pun kena bincang dengan Singapura.

Dengan kekalutan dan serabut yang sedia ada, jangan pula Jeanne menambah derita rakyat dengan serabut yang baru. Cukuplah dengan 3K yang memeningkan rakyat dan Pak Lah terus lena di mana-mana yang dia suka. Cukup Jeanne sebagai seorang isteri kepada PM dan paling kuat pun turun padang melihat nasib dan realiti rakyat sekarang kemudian ceritalah kepada Pak Lah apa sebenarnya yang melanda rakyat agar Pak lah dapat memikirkan penyelesaiannya.

Jeanne boleh sahaja berkongsi fikiran dengan Pak Lah tentang nasib rakyat tetapi dengan syarat mesti meletakkan kepentingan rakyat dan negara jauh di depan mengatasi kepentingan peribadi.

Pak Lah juga mesti mengambil peluang memperbaiki kelemahan-kelemahan yang telah beliau lakukan ketika beliau duda sebelum ini. Kekusustan hidup keseorangan sunyi tanpa teman akibat tiada buah hati menemani di sisi boleh diatasi kini dengan kehadiran Jeanne jika benar kesunyian ini yang menyebabkan beliau hilang tumpuan dalam pentadbiran hingga sering terlena.. dari pandangan politik kehadiran Jeanne dalam hidup Pak Lah tidak boleh dilihat dari aspek pernikahan dan hidup bersama sahaja. Bahkan rakyat sentiasa menanti dan memerhati segala tindak-tanduk dan gerak-geri beliau suami isteri. Jeanne diharap tidak meletakkan dirinya sebaris Khairy dan konco-konconya dan berlagak lebih 'perdana menteri' dari perdana menteri sendiri. Sepatutnya dengan berakhirnya zaman duda Pak Lah, sepatutnya juga zaman gelap negara mesti berakhir.

Selamat Pengantin Baru, semoga berbahagia dan semoga hari-hari yang dilalui selepas ini sentiasa segar dan tidak mengantuk dan terlena dalam mana-mana majlis lagi...







Wednesday, June 6, 2007

Masa Untuk Tumpukan Perhatian Pada Pilihanraya Umum Akan Datang

Muktamar Tahunan PAS Ke-53 sudah pun berakhir, para perwakilan PAS juga telah melaksanakan tanggungjawab terhadap parti selaras seperti yang dituntut di dalam perlembagaan parti. Para perwakilan juga telah menunaikan tanggungjawab memilih barisan pimpinan baru yang bakal meneruskan perjuangan dan hala tuju PAS agar lebih mantap atau lebih baik dari yang lepas-lepas.

Tahniah juga saya ucapkan kepada calon-calon yang memenangi kerusi-kerusi yang telah dipertandingkan. Tahniah diucapkan kepada Ustaz Nasharuddin Mat Isa yang dapat mengekalkan jawatan Timbalan Presiden, tahniah juga ditujukan kepada Ustaz Hj Ahmad Awang yang menang jawatan Naib Presiden, tahniah untuk semua ( tidak perlu lagi saya sebut di sini semua keputusan yang sedia maklum) kerana anda semua dipilih untuk memegang amanah yang diberikan oleh majoriti ahli PAS untuk terus dan memantapkan lagi gerak kerja, organisasi, hala tuju dan lain-lainnya menuju matlamat menegakkan keredhaan Allah di atas muka bumi Malaysia ini.

Walaupun saya terdengar macam-macam nilaian, ulasan, gossip-gossip hangat berkaitan saf pimpinan dan pemilihan pucuk pimpinan parti. Namun saya lebih suka untuk memberi penghormatan terhadap keputusan yang telah diputuskan pada muktamar yang lalu. Sesiapa sahaja yang dipilih dan disahkan untuk menerajui apa-apa jawatan dalam parti, saya menghormati keputusan tersebut dan memberi doa dan harapan agar barisan yang dipilih akan bekerja lebih keras kali selepas ini tambahan pula gendang pilihanraya umum akan dipalu sedikit masa sahaja lagi dan kita mesti bersedia ke menyahut paluan gendang nanti.

Wujud Oligarki Dalam PAS..???

Antara isu cakap-cakap yang hangat dibualkan ialah adanya elimen-elimen oligarki di dalam PAS, tanpa mahu saya sebut perkara itu di sini, sedikit-sedikit sifat begitu dikalangan pimpinan parti mungkin ada. Bahkan jika dibuat kajian dari sudut sains politik, mana-mana pun parti tidak terlepas dari amalan oligarki ini. Bagi saya perkara ini dalam PAS khususnya, masih di tahap biasa dan tidak memberi kesan negatif terhadap gerak kerja dan hala tuju perjuangan parti, barangkali beberapa sahabat blogger yang dapat mengenalpasti akan hal keadaan ini berasa amat risau kira-kira perkara ini bakal menjadi warisan seterusnya melumpuhkan permuafakatan dan hubungan antara ahli biasa dan ahli diperingkat pimpinan. Saya amat berharap agar dihapuskan terus elimen oligarki di dalam PAS ( kalau ada ) kerana jikalau ada pun masalah dalam membuat pilihan diperingkat tertinggi, kita masih ada Jawatankuasa Syura 'Ulamak untuk memutuskan keputusan demi kepentingan parti.

Jangan kita jadi seperti UMNO, yang di sisi saya UMNO merupakan sebuah pertubuhan politik yang mengamalkan amalan sekular-oligarki dalam parti. Pimpinan-pimpinan UMNo bermati-matian mempertahankan kedudukan mereka di dalam parti dan sudah menjadi lumrah di dalam UMNO dan, mereka pernah memperkenalkan sistem undi bonus untuk mengelak situasi tegang pemilihan jawatan Presiden UMNO antara Dr Mahathir Mohamad lawan Tengku Razaliegh Hamzah. Namun sistem undi bonus ini tidak lagi diamalkan pada tahun 1993 berikutan kedua-dua jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan atas alasan untuk menjaga perpaduan dan mengelakkan perpecahan dalam parti.

Mungkin juga terdapat beberapa pihak cuba melakukan lobi dan menentukan siapa yang akan menduduki jawatan-jawatan utama dalam parti atau mana-mana sayap kanan parti. Dalam hal ini saya berkeyakinan ahli mampu menilai siapa yang lebih layak untuk menduduki jawatan tersebut. Kita dapat lihat tindakan beberapa orang calon yang menarik diri dari bertanding mana-mana jawatan dan memberi laluan muka-muka baru yang dilihat mempunyai kebolehan dan diberi peluang untuk mengasah kebolehan agar lebih mantap lagi.

Melihat kepada perkembangan ini, saya amat berharap sangat agar dengan munculnya muka-muka baru ini, gerak kerja PAS dapat dilicinkan lagi dan akan lebih mantap dan kukuh untuk menghadapi pilihanraya umum tidak lama lagi. Rugi pula saya rasa jika isu ini terus dipanjangkan. Buangkan saja sifat melobi individu secara ta'asub dan amalan oligarki dikalangan pimpinan. Hak menawarkan diri untuk bertanding dan hak menentukan siapa yang akan dipilih adalah hak setiap ahli. Rasanya cukup setakat ini saya menyatakan pandangan saya tentang isu ini.


Proksi Anwar Dalam PAS, Benarkah..???

Satu lagi isu yang bertiup di telinga ahli-ahli PAS kalaupun tidak semua, segelintir sahaja yang menyedari akan berita ini ialah wujudya proksi-proksi Anwar dalam pimpinan PAS. JIka benarlah begitu maka PAS tidak akan pergi jauh malah lebih tepat lagi PAS dengan mudah akan di kawal dari luar dengan mudah. Risau juga saya bila terbaca akan hal ini di dalam tulisan saudara Rudin X. Oleh kerana isu ini amat menarik minat saya kerana ia melibatkan roh dan entiti PAS yang mempunyai jalan dan matlamat perjuangannya sendiri. Jika sekiranya perkara ini betul-betul sedang berjalan, alangkah ruginya PAS kerana kita hanya menjadi sayap perjuangan parti lain sahaja bukan bergerak dan bertindak atas kehendak dan pendirian parti.

Saya mengkagumi Anwar sebagi tokoh politik yang mewarnai politik negara mutakhir ini. Namun kekaguman saya terhadap Anwar tidak dapat menyamai dan menandingi kekaguman saya terhadap Al-Marhum Al-Ustaz Fadzil Noor, Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Tuan Guru Hj Hadi Awang,Ustaz Nasharuddin Mat Isa,Ustaz Ahmad Awang, Ustaz Hassan Shukri malah kekaguman saya terhadap Ustaz Nasruddin Hassan Tantawi pun tidak dapat ditandingi oleh Anwar. Bagi saya apa yang dilalui oleh Anwar adalah kifarah dari Allah untuk beliau kerana membelakangkan perjuangan Islam dan Sirah Rasul. Dan bagi saya Anwar hanya tokoh politik biasa sahaja dan tidak lebih dari itu.

Maka jika benar ini yang berlaku dikalangan pimpinan PAS, saya adalah antara orang-orang yang akan menentang tindakan ini. Saya amat-amat berharap agar pimpinan Dewan 'Ulamak dan Majlis Syura 'Ulamak PAS melihat dan mengikuti perkembangan ini yang bagi saya amat-amat memang tidak sehat. Saya sendiri tidak tahu sejauh mana kerak kerja yang telah dan sedang dilakukan oleh orang-orang Anwar ( jika benar-benar berlaku). Dan saya menyifatkan tindakan Anwar ( jika benar juga) mengatur perancangan sebegini ( saya harap tidak ) semata-mata untuk menguasai PAS dari dalam melalui beberapa proksi yang wujud dalam kepimpinan PAS, maka tindakan ini sama sahaja seperti parasit yang cuba menjadikan PAS hanya sekadar sayap Islam kepada Parti Keadilan Rakyat. Demikian juga saya tujukan kepada barisan pimpinan yang pernah bersama-sama Anwar dahulu, sekiranya anda berniat untuk menjadikan PAS sekadar mengikut rentak yang dicorakkan oleh Anwar, di sisi saya anda tidak lebih dari mengkhianati amanah anda terhadap ahli-ahli parti yang mahukan anda memimpin PAS bergerak atas dasar dan perjuangannya yang tersendiri.

Anwar boleh sahaja menjadi orang tengah sebagai jambatan penghubung antara pakatan parti pembangkang, tetapi Anwar tidak boleh bertindak menyuruh mana-mana parti mengikut telunjuknya dalam membuat apa-apa pendirian politik. Dan saya amat-amat berharap apa yang saya katakan ini tidak benar dan jika benar, maka PAS adalah parti yang akan hilang nilai perjuangannya, dan sedang mengalami kerugian entiti dan parti lain akan mengambil kesempatan dan mengaut keuntungan politik atas kelalaian PAS menghidu kewujudan parasit ini. Saya amat berharap agar seluruh ahli-ahli PAS menyedari akan hal ini jika benar ianya berlaku kerana bagi saya PAS tidak perlukan mana-mana moderator untuk menunjukkan jalan politiknya dan kita perlu bersedia menghalang mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan politik terhadap PAS.

Label Golongan dan Penilaian Terhadap Pimpinan

Ini satu lagi istilah yang sengaja dipopularkan oleh sesetengah pihak terutamanya golongan-golongan orang suratkhabar. Saya pernah menyatakan pendapat saya berkenaan label-label golongan yang wujud dalam PAS ini pada tulisan saya yang telah lalu. Dan cukup bagi saya sekadar apa yang pernah saya nyatakan dulu. Secara positif saya melihat bahawa barisan pimpinan yang baru sahaja dilantik baru-baru ini ada harapannya walaupun tidak diberi keyakinan penuh oleh sesetengah pihak. Soal kebolehan dan kelayakkan seseorang untuk memimpin parti pada pendapat saya adalah lebih baik kita beri sahaja peluang ini kepada mereka untuk menunaikan amanah mereka sebagai pemimpin dan mempertajamkan kebolehan mereka untuk masa depan parti.

Memang wujud segelintir ahli PAS yang tidak menyokong mana-mana individu yang dicalonkan dalam pemilihan jawatan. Bahkan memang ada juga yang tidak bersetuju atas dasar kelayakan dan peribadi calon. Walau apapun yang hendak kita katakan terhadap pimpinan yang telah dipilih secara sah, ia pasti tidak akan mengubah keputusan tersebut. Kerugian seterusnya yang akan PAS perolehi ialah kita terus-menerus membahaskan soal kelayakan dan merit di kalangan pimpinan dan nyata akan menimbulkan satu suasana ta'assub dikalangan ahli. Sedangkan kita dituntut untuk menghormati keputusan yang telah diputuskan melalui undi majoriti. Maknanya majoriti ahli sepakat untuk memilih siapa yang layak berdasarkan penilaian majoriti ahli.

Luahan Dato' Dr Hassan Ali

Pertama kali saya mendengar pandangan Dato' Dr Hassan yang mencadangkan agar pemilihan pucuk pimpinan parti dilakukan melalui Majlis Syura 'Ulamak seolah-olah keluhan orang yang tiada tempat lagi dalam PAS. Namun kalu difikir-fikirkan kembali ada juga benarnya jika dibuat begitu. tetapi perlu diteliti rasional dan praktikalnya dahulu. Mungkin ia melibatkan pindaan perlembagaan PAS untuk tujuan itu.

Namun setakat ini bagi saya perjalanan yang diamalkan oleh PAS selama ini adalah demokratik dan adil untuk ahli-ahli PAS. Mungkin Dato' Hassan sendiri berasa bimbang dengan gelagat segelintir ahli PAS yang agak ta'assub dengan pimpinan pilihan mereka hingga terjadinya puak-puak dalam PAS. Atau beliau risau dengan cakap-cakap perwakilan atau khabar-khabar angin lintang yang memburuk-burukkan mana-mana individu dikalangan pimpinan PAS.

Apapun yang telah disarankan oleh Dato' Dr Hassan Ali, itu adalah haknya untuk bebas memberi pandangan atas tujuan mengukuhkan perhubungan di kalangan seluruh ahli PAS. Dan bagi sya apa yang disaranka oleh Dato' Hassan boleh sahaja dinilai kebenarannya jika di sana ada kelebihan dan kebaikan terhadap parti. Dan saya juga berharap agar sesiapa sahaja yang mengikuti saranan Dato' Hassan ini agar memberi suatu pandangan yang membina kekuatan parti bukan atas individu Dato' Hassan.

Kemunculan Ustaz Ahmad Awang sebagai Naib Presiden PAS

Gembira juga di hati saya apabila melihat Al-Fadhil Ustaz Ahmad Awang dinaikkan pangkat dari Ketua Penerangan Pas Pusat kapada Naib Presiden Pas bersama-sama Dato' Paduka Hussam Musa dan Tuan Hj Muhammad Sabu. Maknanya pada kali ahli-ahli PAS memberikan mandat kepada 'Ulamak menerajui jawatan tertinggi parti kerana sebelum ini jawatan ini hanya dibarisi oleh golongan profesional.

Sekurang-kurangnya selepas ini diharap tidak ada lagi cakap-cakap nakal yang mengatakan PAS ketandusan 'Ulamak di peringkat tertinggi. Saya amat yakin dengan ketokohan Ustaz Ahmad Awang yang dahulu pernah menerajui Persatuan 'Ulamak Malaysia dan pernah berkhidmat dalam kerajaan. Dengan ketokohan dan pengalaman yang beliau ada dapat memberikut input yang amat berguna untuk memantap dan melicinkan perjalanan perjuangan PAS.

Tumpukan Perhatian Pada Pilihanraya

Rasanya saya tidak mahu lagi mendengar apa-apa ulasan berkaitan keputusan pemilihan pimpinan PAS yang telah diputusakn pada muktamar yang lalu. Target kita kini adalah untuk mempersiap dan memeprkemas jentera untuk menghadapi pilihanraya umum yang akan datang.

Kalau perkara yang sia-sia yang kita utamakan maka kita memang mencari pasal dan mensia-siakan peluang malah membuka peluang UMNO-BN meneruskan kerja-kerja mungkar mereka.

Saya menaruh harapan dan kayakinan terhadap barisan pimpinan yang baru dilantik untuk bersatu menyusun strategi dan menjauhkan diri dari membahaskan soal kepimpinan parti yang telah diputuskan pada muktamar yang lalu. Adalah lebih baik juga kita menghormati keputusan dan memberi sokongan dan semangat kepada barisan pimpinan yang baru untuk terus berjuang dan memberi perhatian sepenuhnya terhadap pilihanraya umum yang akan datang.






Monday, June 4, 2007

Kes Lina Joy..., Bukan Di Sini Noktah Perjuangan

Sebagaimana yang kita sedia maklum, baru-baru ini suatu isu hangat lagi sensitif yang melibatkan kemurniaan dan kesucian Islam terjawab apabila kemenangan berpihak kepada kuasa mahkamah syariah. Suatu keputusan yang amat ditunggu-tunggu oleh umat Islam khususnya dan rakyat Malaysia amnya melihat keputusan Mahkamah Persekutuan akhirnya majoriti hakim 2:1 menolak permohonan Azlina Jailani, 42, untuk membuang status agamanya daripada kad pengenalan beliau.

Dalam kes tersebut, Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim bersama seorang lagi hakim Dato' Alauddin dato' Mohd Sheriff telah mengenepikan permohonan Azlina, yang kini mahu dirinya dikenali sebagai Lina Joy. manakala seorang lagi hakim, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Dato' Richard Malanjun membenarkan permohonan tersebut.

Kedua-dua hakim yang menolak permohonan tersebut telah meletakkan bahawa Mahkamah persekutuan tiada kuasa mencampuri urusan Mahkamah Syariah, manakala Hakim Dato' Richard Malanjun berpendapat bahawa Perlembagaan Persekutuan melebihi segala-galanya.

Sudah tentu umat Islam ( yang tidak diracuni sekular fikirannya ) berasa amat bersyukur dan lega dengan keputusan ini. Bahkan sebelum ini ada juga beberapa badan hak asasi yang memperjuangkan agar Artikel 11 ini dimansuhkan sahaja, suatu yang benar-benar mencabar kewibawaan Islam dan umat Islam. tetapi ini bukanlah noktah perjuangan kita untuk terus menegakkan Islam di muka bumi Malaysia yang tercinta ini. Kemenangan ini ppun bukanlah kemenangan mutlak atas kita. Lagipun jika dilihat secara normal perundangan negara kita kes ini memang sepatutnya menyebelahi Mahkamah Syariah kerana telah terjamin kedudukannya dan dineri peruntukkan dalam Perlembagaa Persekutuan. Dan Hakim yang telah menolak permohonan tersebut bertindak bijak menurut apa yang telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan, cuma prosedur dan bidang kuasa mahkamahnya sahaja tidak dapat difahami sepenuhnya oleh masyarakat.

Diharap pada masa depan jika ada lagi kes yang sebegini, keputusan mahkamah ini boleh dijadikan duluan kes atau sebagi rujukan kepada kes yang akan datang. Tapi harap-harap janganlah ada lagi kes seprti ini kerana ianya mengguris hati umat-umat Islam yang cintakan Agamanya sebagai perlembagaan hidup.

Sekurang-kurangnya urusan-urusan umat Islam terjamin di bawah Artikel 11 ini, maka Mahkamah syriah pun dapat menjalankan tanggungjawab dan tugasnya berkenaan urusan-urusan umat Islam di negara ini. Namun apakah sekadar ini kita telah dapat berpuas hati dengan Islam yang kita perjuangkan. Kalau kita amati betul-betul ini adalah 1 dari entah berapa banyak lagi isu-isu ummat yang perlu kita perjuang dan pertahankan.

Kalau dilihat dari dulu sampai sekarang, kita memang sudah banyak bertolak ansur sehingga keutamaan-keutamaan Islam ditolak untuk memberi keutamaan dan tuntutan agama-agama lain. Kemuncaknya dahulu apabila terdapat golongan yang memperjuangkan IFC ( Interfaith Comission ) atau Suruhanjaya Antara Agama yang memang jelas hanya bermatlamatkan untuk menafikan Wahyu Allah dan Sunnah Rasulullah sebagai sebagai sumber dan rujukan segala urusan kehidupan umat Islam. Islam bukan agama yang boleh disuruh-suruh dan boleh pula dirunding-runding, yang sebetulnya kita ini mahu tidak mahu mesti ikut perintah agama bukan kita yang perintah agama.

Kemudian timbul pula golongan yang memperjuangkan untuk dihapuskan Artikel 11 atas alasan menghormati agama lain. Yang anehnya peruntukkan ini adalah untuk menjamin bidang kuasa Mahkamah Syariah agar tidak tercampur urusannya oleh mahkamah sivil. Maka ini soal urusan umat Islam bukan soal Hindu, Kristian atau Buddha. Seharusnya mereka ini menghormati peruntukkan perlembagaan ini untuk melicinkan perjalanan urusan undang-undang sivil dan syariah. Memang jelaslah mereka ini berniat untuk mencampuri urusan umat Islam masakan tidak mereka beriya-riya berjuang supaya kerajaan melalui parlimen memansuhkan peruntukkan ini.

Mungkin selepas ini golongan-golangan yang tiada sukakan Islam ini akan mencuba cara yang lain pula, bila cara pun lain maka pendekatan pun juga lain juga. Dalam bentuk apa, masih belum kita ketahui. Kita juga memang sedia maklum bahawa musuh-musuh Islam tidak akan putus asa untuk terus membantai, mengasak dan meruntuhkan Islam. Demikian perjuangan kita juga tisak akan terhenti di sini sahaja. Kerana kita sentiasa diperhatikan dan diekori oleh musuh-musuh kita.

Perjuangan mempertahankan 'aqidah dan syariat Islam bukan setakat isu Lina Joy ini sahaja, bahkan segala aspek kehidupan dan urusan kehidupan kita pun mesti kita perjuangkan agar selari dengan 'aqidah dan syariat Islam. Bukan sekadar memperjuangkan apa yang ada, tetapi kita juga mesti perjuangkan apa yang tidak ada. Ruang Islam berdiri tegak di nagara kita amat-amat terbatas itupun lebih banyak duduk dari berdiri, sikit-sikit lagi hendak tidur, nasiblah Pak Lah sahaja yang suka tidur.

Seterusnya yang mesti kita perjuangkan Islam dijadikan perlembagaan hidup msyarakat. Islam dijadikan sumber perundangan dan kehakiman. Islam dijadikan rujukan untuk menggubal dasar-dasar awam. Islam dijadikan sebagai garis panduan bernegara dan macam-macam lagi. Segala-galanya Islam.

Kenyataan Dato' Seri Hj Harussani, Mufti Kerajaan Negeri Perak yang mendedahkan bahawa lebih 250,000 orang Melayu murtad adalah petunjuk bahawa 'aqidah umat Islam di negara kita amat parah. Azlina Jailani @ Lina Joy juga sudah pasti termasuk di dalam golongan-golongan murtad ini. Memang mahkamah menolak pemohonan Azlina Jailani untuk menukarkan status agama di dalam kad pengenalannya, tetapi pada hakikatnya kini dia telah murtad, telah tidak Islam, maka muktamadlah dia sudah kufur dengan Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Bagaimana pula sebilangan berapa ramai lagi yang satu spisis dengan Azlina sudah tidak beriman lagi denga Allah Ta'ala dan Rasulnya. Dan jelas kini perjuangan kita bukan setakat ini malah mesti berterusan sampai kiamat.

Yang kita bincangkan baru soal 'aqidah, belum lagi soal menegakkan hukum dan sistem-sistem Islam dalam negara. Pasti cabaran kita amat getir sekarang ini. sekarang bukan lagi masa untuk kita membincangkan perkara-perkara cabang yang memang sudah diselesaian seribu tahun dahulu. sebilangan besar bukan sekadar tidak mahu lagi melakukan amalan tetapi tidak lagi mahu kepada Islam itu lagi.

Banyak lagi yang mesti kita tegak dan perjuangkan, masyarakat mahu kita susun mengikut susunan Islam. Ekonomi mahu kita tadbirkan sumber dan agihkan mengikut kehendak dan keputusan yang didasari oleh Islam. Politik yang mahu kita amalkan adalah politik yang menjadikan Islam sebagai coraknya. Undang-undang yang hendak kita gunakan untuk menjamin kestabilan, keharmonian dan hak asasi juga berteraskan Islam. Dan banyak lagi yang tiada dapat saya sebutkan di sini, segala-galanya bertunjangkan kepada Islam.

Maka tidak dapat tidak kita mesti meneruskan usaha kita memperjuangkan agar Islam ini tegak dan mencorakkan kehidupan masyarakat. Bukan sekadar 'aqidah umat yang perlu kita pertahankan, bahkan urusan negara ini juga mesti dicorakkan dengan Islam. Dan bukan setakat ini sahaja perjuangan kita untuk mempertahankan Islam..., bahkan masih jauh dan banyak lagi.., paling lama pun bila kita meninggalkan dunia yang amat fana ini.., maka habislah tanggungjawab kita untuk mempertahan, memeperjuang dan melaksanakan Islam sebagi perlembagaan masyarakat dan negara..




Wednesday, May 30, 2007

Hanya 'Aqidah Mampu Menyatukan Manusia

Setelah saya belek-belek beberapa tulisan dan pandangan yang dilontarkan rakan-rakan blogger, termasuklah beberapa laporan akhbar sehari dua ini, tambahan pula Muktamar Tahunan PAS ke 53 di Kota Bharu yang akan berlangsung pada 1hb hingga 3hb Jun ini, suatu yang menarik perhatian saya ialah label-label yang diberikan kepada pimpinan tertinggi PAS mahupun kumpulan-kumpulan tertentu di dalam PAS itu sendiri.

Memang sudah menjadi resam dunia manusia ini diciptakan dengan pelbagai jenis pemikiran dan tahap kemampuan berfikirnya. Mungkin disebabkan latar pendidikan, masyarakat atau keadaan sekitar yang memberi kesan terhadap pembentukan sikap, budaya dan pegangan seseorang malah suatu masyarakat hatta ke peringkat negara.

PAS sebagai sebuah parti politik yang menjadikan Islam sebagai dasar dan matlamat perjuangannya tidak dapat lari dari situasi sosial ini. Malah isu ini kadangkala dijadikan suatu point untuk dipersoal komposisi ahli dan pimpinan PAS oleh pihak musuh.Saya menulis kali ini bukanlah untuk mengulas lanjut soal pemilihan pucuk pimpinan PAS pada kali ini menyaksikan semua jawatan utama parti dipertandingkan kecuali jawatan Presiden.Tetapi sekadar menyatakan sedikit pendapat mengenai label yang diberikan kepada pimpinan PAS dan realiti perjalanan gerak kerja serta corak perjuangan PAS.

Jika ditinjau pimpinan-pimpinan tertinggi PAS dari segi pendidikan dan profesyen mereka, secara kasar pandangan msyarakat awam membahagikan kepada dua kelompok, kelompol yang pertama golongan 'Ulama dan yang kedua Golongan Profesional. Terbaru setelah saya membaca satu rencana yang mengulas tentang Muktamar kali ini yang dikeluarkan oleh sebuah akhbar harian semalam terdapat label yang lain pula khusus untuk pimpinan PAS, antaranya Golongan Muda, Konservatif, Progresif dan lain-lain. Beliau berhak sahaja untuk memberi sebarang label kepada pimpinan PAS atas dasar kebebasan bersuara. Namun bagi saya label-labek tersebut tidak lebih dari sengaja menanam suatu persepsi negatif kepada msyarakat amnya dan ahli-ahli PAS khususnya seolah-olah berlaku suatu pertembungan hidup mati hala tuju parti. Maka dengan itu tidak lama lagi PAS akan hilang arah tujuannya kerana akan berlaku perpecahan akibat perbezaan pandangan dikalangan pimpinan parti.

Memang biasa didengar begitu,tambahan pula berlaku pemilihan pucuk pimpinan,malah selepas Almarhum Dato' Fadzil Noor kembali menemui Allah, hangat diperkatakan bahawa PAS yang akan dibawa oleh Tuan Guru Hj Abdul Hadi akan bersifat lebih radikal berbanding Almarhum Dato' Fadzil Noor. Begitulah seterusnya dan yang terkini timbul pula isu pertembungan antara golongan muda dan tua, 'Ulama' dan Profesional, Konservatif dan Progresif dan macam-macam lagi.

Bagi saya adakah wujud atau tidak golongan itu tidak penting, kerana memang kita sendiri pun dilahirkan dengan kecenderungan yang berlainan. Atas kecenderungan itulah yang membentuk seseorang itu menjadi seorang yang berfikiran dan bersikap berlainan pula. Bangsa melayu pun dapat dibahagi-bahagikan kepada banyak kelompok, itupun atas kecenderungan tempat asal dan budaya. Golongan profesional dan 'ulama' memang wujud, tapi bagi penilaian saya label itu tidak lebih hanya berdasarkan latar pendidikan dan pengalaman kerja sahaja bukannya perbezaan dasar perjuangan.

PAS berjuang di atas wadah politik ada matlamatnya, corak perjuangan pun sudah tentu didasari oleh apa yang diperjuangkan. Dasar inilah yang akan menentukan corak perjalanan, pentadbiran, perhubungan, sikap, tindakkan dan lain-lain yang berkaitan organisasi juga mengikut apa yang dicorakkan oleh dasar itu tadi. Maka tidak ada masalah sesiapa pun yang akan memimpin PAS kerana PAS ada dasarnya sendiri.

Apabila berlaku pemilihan pucuk pimpinan parti, sudah tentu ahli-ahli PAS akan menilai kebolehan dan kemampuan seseorang itu untuk membawa halatuju parti, sudah tentu mereka yang mempunyai kepakaran dalam bidang yang boleh membawa PAS menuju matlamatnya dengan lebih berani dan bijak berdasarkan ilmu dan pengalaman yang ada. Memang sesiapa pun boleh dilantik untuk menjadi pimpinan kerana itu adalah antara hak dia sebagai ahli PAS untuk memilih dan dipilih menjadi pimpinan, itu pun selepas dinilai dan diakui kemampuannya.

Setelah kita melihat senarai pimpinan yang manjadi calon jawatan yang dipertandingkan untuk bekerja, memimpin dan membawa hala tuju parti, apakah kita melihat pertembungan ini dari sudut individu atau parti? Kepakaran seseorang dalam suatu bidang tiada mengira bidang apapun, bagi saya tidak lain adalah bonus bagi parti,antara lain dapat meyakinkan ahli-ahli PAS dan para pengundi di luar sana bahawa PAS adalah sebuah parti yang mempunyai barisan pimpinan yang mantap. Dalam masa yang sama parti memerlukan pimpinan yang berpengalaman dan bijak dalam selok-belok politik. Oleh kerana PAS menjadikan Islam sebagai matlamat dan dasar perjuangan, sudah tentu golongan 'Ulama' yang arif tentang hukum-hakam, 'Aqidah dan Akhlak Islamiyyah ini diberi tempat dalam pimpinan apatah lagi jika beliau mempunyai pandangan politik yang mantap kerana apabila kita berjuang dalam politik,kita perlu tahu apakah jalan yang kita lalui itu dibenarkan syara' atau tidak, mensyirikkan Allah atau tidak dan akhirnya ada ahklak atau tidak.

Perubahan dalam pimpinan pasti berlaku, bahkan pendekatan politik juga berlaku perubahan kerana mengikut keadaan dan realiti politik semasa. Yang tidak berubah adalah matlamat dan dasar. Dalam PAS, hukum-hakam termasuk perkara dasar. PAS mempunyai Dewan 'Ulama' dan Jawatankuasa Syura. Mereka inilah yang akan memerah minda dan berusaha untuk mengembang dan menyebarkan kefahaman dan kesedaran Islam kepada ahli-ahli pas khususnya dan msyarakat amnya. Dan mereka ini jugalah yang akan menyusun dan menjalankan kegitan tarbiyyah dan mendidik ahli-ahli PAS dengan program-program latihan kepimpinan untuk membentuk sikap dan pendirian ahli-ahli PAS selari dengan matlamat dan dasar yang diperjuangkan oleh PAS. Golongan profesional diperlukan kepakarannya dalam bidang tertentu untuk membentuk suatu pendirian terhadap isu-isu kemasyarakatan di peringkat nasional mahupun global.

Dengan sedikit pandangan di atas, seharusnya golongan-golongan yang suka melabelkan pimpinan PAS harus faham tentang perjalanan perjuangan PAS, jangan fikir PAS bergerak macam parti-parti sekular yang lain, termasuklah UMNO. Sekiranya disamakan pandangan politik UMNO, memanglah pandangan UMNO membeza-bezakan golongan ugama dengan tidak ugama kerana dasar parti UMNo ini pun memang berbentuk sekular,paling kuat pun setakat mempertahankan syi'ar saja,bukan mendaulatkan agama,bahkan bagi UMNO agama ini sama sahaja tarafnya denag negara dan bangsa,sebab ada slogan UMNO berjuang untuk agama, bangsa dan negara.Tiada maknanya jika agama diletak didepan atau belakang kerana bila sudah sama sahaja tarafnya,kepentingan negara boleh mengetepikan kepentingan agama, kepentingan agama boleh sahaja diketepikan untuk memberi lauan kepada kepentingan bangsa dan begitulah adanya UMNO.

Dalam PAS yang penting fikrah bukan profesyen, walaupun pendidikan yang diterimanya berbentuk sekular,tetapi mereka keluar dari kepompong sekular untuk melawan fikrah sekular dan memperjuangkan Islam. Mustahil jika mereka masih mendokong sikap, pendirian dan pandangan hidup sekular dapat hidup dan bekerja bersama-sama mereka yang berbeza pandangan hidupnya. Bagi saya golongan sekular ini hanya sesuai hidup dan berjuang dalam UMNO sahaja, masakan tidak sebab Dato' Seri Nazri Abdul Aziz pernah berkata bahawa UMNO terpaksa condong kepada Islam keraa adanya PAS!!!

Dan akhirnya apa yang saya nampak berdasarkan ilmu yang amat sedikit saya miliki ini, 'aqidahlah yang dapat menyatukan semua golongan manusia. Dasar dan perjuangan PAS adalah Islam, sudah tentu juga 'aqidah parti adalah Islam dan tidak akan menyekutukan Allah dalam apa-apa jua tindakkan dan perjalanan parti. Rasanya tidak ada signifikan sangat soal label-label yang dinerikan oleh sesiapa pun kepada barisan pimpinan parti. Mungkin dalam beberapa aspek yang lain ada kesannya, tapi sekiranya kita masih berpegang teguh pada dasar yang telah ditetapkan, Insya-Allah pertembungan antara dua golongan ini dengan apa-apa label sekalipun sebenarnya adalah rahmat buat PAS. Selamat bermuktamar dan memilih pimpinan parti dengan bijaksana.


----------------------------------------------------------------------------------------------------







Friday, May 25, 2007

Gaji Naik..Hapuskan Pemikiran Feudal

Alhamdulillah, baru-baru ini pihak kerajaan telah pun bersetuju dan mengumumkan kenaikan gaji bagi 1.02 juta kakitangan awam pada kadar 7.5 peratus hingga 35 peratus berkuatkuasa 1 Jun ini. Maka sedikit sebanyak dapat juga mengurangkan beban perbelanjaan dan tanggungan kakitangan agar kehidupan mereka bahagia dan tenang tanpa apa-apa kesan yang boleh memberikan kesan terhadap prestasi kerja mereka termasuklah terlibat dengan jenayah rasuah.

Berikutan beberapa jangkaan para pemerhati politik yang menjangkakan bahawa pilihanraya umum akan menjelang tiba tidak lama lagi. Adapun yang mengatakan bahawa durian runtuh kakitangan kerajaan kali ini adalah tanda-tanda besar pilihanraya umum yang akan datang. Mungkin seawal-awalnya sebulan dari sekarang atau selewat-lewatnya bulan Mac tahun hadapan merujuk kepada Perhimpunan Agung UMNO yang lepas, tiada pemilihan dibuat.

Namun, apakah motif sebenar kenaikan gaji ini adalah semata-mata mahu memujuk seluruh kakitangan awam untuk terus dan kembali mengundi BN dengan mengumumkan kenaikan gaji yang ditunggu-tunggu selama 15tahun. Sekiranya benar dan itulah motif utama disebalik mengurangkan beban belanja rakyat, maka sedarlah kita bahawa sistem pemerintahan feudal sedang diperkukuhkan lagi.

Maka ingatan saya kepda kakitangan-kakitangan awam agar mewaraskan akal, membuka minda dan rasional terhadap kedudukan anda yang sebenar. Jangan kerana diberi kenaikan gaji ini kita merasa amat terhutang budi kerana kenaikan gaji yang ditunggu-tunggu selama ini adalah hak anda sebagai kakitangan awam dan memberi gaji adalah kewajiban daripada majikan kepada pekerjanya untuk menjamin prestasi kakitangan awam di tahap maksima, dan adalah sepatutnya kenaikan gaji ini diberi dahulu lagi berikutan kos kehidupan yang tinggi tidak sejajar langsung dengan pendapatan kakitangan awam yang berpendapatan rendah.

Kenapa dikatakan kembali kepada pemikiran feudal, kerana mungkin ada dikalangan kakitangan awam yang berfikir bahawa kerajaan yang ada inilah segala-galanya, maka orang lain yang dilihat kini lebih layak membuat dasar yang lebih baik untuk negara akan terus dipandang serong justeru kalangan ini memang tidak pernah membuktikan apa-apa di peringkat persekutuan kerana memang tidak pernah pun menang pilihanraya umum. Demikian juga pemikiran masyarakat kini umumnya dan kakitangan awam khasnya jika masih ada lagi pemikiran yang berbentuk feudal ini, maka anda tidak layak untuk digolongkan dikalangan masyarakat kelas pertama, kerana masyarakat atau negara yang mindanya kelas pertama adalah masyarakat yang bukan menerima apa sahaja yang terhidang di depan mata bulat-bulat, tetapi mesti melalui proses timbangan secara kritis dan empirikal, barulah ada sifat minda kelas pertama.

Adapun masyarakat yang berminda feudal adalah masyarakat yang hanya menerima apa sahaja tanpa melaui apa-apa proses timbangan mahupun dilihat secara kritis dan rasionalnya sesuatu perkara itu,bahkan hanya terus mengikut telunjuk sang pemerintah walaupun dasar yang dilaksanakan lebih mengutamakan keuntungan golongan bangsawan dari golongan feudal.Dan golongan feudal akan terus terikat dengan golongan bangsawan dalam apa jua keputusan walaupun ianya tidak memberikan apa-apa manfaat bagi golongan bawahan ini.

Memanglah pada dasarnya seluruh kakitangan awam di negara ini dilarang untuk memihak kepada mana-mana parti politik atau menegeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan dasar kerajaan, kerana dasar itu pun memang berdasarkan dasar feudal, mesti ikut telunjuk golongan bangsawan tidak kira keputusan itu salah atau betul. Untuk menguatkan dasar itu lagi digubal pula beberapa akta khusus untuk mencegah penjawat awam untuk terus memberi komen, kritikan bahkan laporan perlaksanaan dasar pun tiada dibolehkan juga. Sepatutnya kakitangan awam mesti sentiasa faham dan ingat bahawa golongan pembuat dasar ini bukanlah setaraf dengan golongan bangsawan feudal pun, meraka hanya diberi gaji oleh pembayar cukai dan mandat yang diberikan oleh majoriti rakyat untuk menguruskan negara.

Bagaimana kita hendak klasifikasikan bahawa pembuat dasar dan orang yang melaksanakan dasar ini mempunyai integriti sedangkan kelemahan demi kelemahan tidak didedahkan dan tidak pula diberi peluang masyarakat untuk mengkritik dan memberikan pandangan seadanya supaya dasar yang digubal itu lebih telus dan berkesan menuju objektifnya. Bukankah kita dituntut untuk memberi teguran kerana teguran itu memberi manfaat kepada orang yang mukmin.

Kakitangan awam ditawarkan pekerjaan oleh pihak kerajaan adalah berdasarkan kelulusan, kelayakan dan kritirea-kritirea yang telah ditetapkan, bukan disebabkan semata-semata penglibatannya dalam bidang politik pro-kerajaan maka terus dapat kerja. Bidang pun bidang pentadbiran awam, maka lapangannya adalah untuk kemaslahatan masyarakat awam tanpa mengira siapa dia hitamkah dia,putihkah dia, merahkah dia, hijaukah dia, atau biru langitkah dia. Kerja adalah kerja dan memang kita dituntut untuk bekerja dengan amanah dan taqwa, politik-politik juga dan undi itu kan adalah rahsia walaupun kertas mengundi sudah bernombor siri.

Jangan hanya dinaikkan gaji, anda terus menyempitkan fikiran dan akal anda. Gunakan ilmu yang anda ada untuk menimbang apa-apa sahaja yang berlaku dan keputusan ditangan anda untuk mengubah pembuat dasar yang sedia ada kepada pembuat dasar yang lebih baik dan amanah. Sekarang bukan masanya lagi untuk kita bertanya-tanya, bagaimankah masa depan anak cucu kita, apa nak jadi dengan anak cucu kita pada masa depan, yang sesuai dan kritikal ditanya sekarang, apa nak jadi dengan negara sekarang, kita memang dah sedia maklum kan...

Monday, May 21, 2007

Tahniah PAS, Perasmian Pejabat Agung Pas, Jalan Raja laut, Kuala Lumpur.








Hari ini adalah merupakan hari yang bersejarah buat Parti Islam Se-Malaysia PAS di atas perasmian bangunan baru Pejabat Agung PAS, jalan Raja Laut, Kuala Lumpur. Bangunan setinggi 7 tingkat yang berdiri megah di tengah-tengah pusat bandaraya ini telah dirasmikan oleh Mursydul Am PAS yang juga Menteri Besar Kelantan Darul Naim, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat.

Dengan wujudnya Bangunan PAS di tengah kotaraya yang penuh dengan noda ini, saya terfikir mungkin juga dapat kita tarbiyah semampu mungkin warga kota dengan nilai hidup Islam dan dapat menarik minat masyarakat warga kota untuk mendekati, mengenali dan seterusnya menyokong perjuangan PAS. Harapan juga agar dengan adanya Pejabat Agung PAS di tengah hiruk pikuk ibukota ini, dengan kehadiran sebilangan besar pimpinan-pimpinan ke sini, dapatlah di adakan program kemasyarakatan di sekitar kawasan bangunan ini paling tidak pun kita membuka jalan kepada mereka yang selama ini mencari-cari islam sebagai cara hidup, dari tidak baik kepada akhlak Islam.Kalau boleh juga Lorong Haji TAib yang memang dikenali ramai selepas ini akan berubah wajah dari wajah kesesatan kepada wajah indah yang diwarnai dengan iman dan taqwa kepada Allah Insya-Allah

Berdiri megah di tengah kota diharap dapat menambah semangat seluruh ahli PAS untuk terus bekerja dengan lebih gigih lagi dalam memperjuangkan Islam sebagai dasar kehidupan manusia dan negara. Kalau tidak kerana sumbangan dan penat lelah ahli-ahli PAS pasti mercu tanda baru ini tidak akan wujud di tengah-tengah kota ini.

UMNO dan Barisan Nasional sepatutnya sedar bahawa mercu baru PAS ini sebagai tanda betapa kami para penyokong dan ahli-ahli PAS tidak akan berputus asa dalam perjuangan menegakkan Islam sebagai agama negara dan bukan sekadar ritual sahaja , perjuangan kita tidak akan lama, paling lama pun bila mati nanti habislah tugas kita sebagai pejuang.

Tahniah kepada PAS, moga dengan rasminya Bangunan Pejabat Agung PAS yang baru ini akan memberi kekuatan baru kepada seluruh ahli-ahli PAS untuk terus bekerja keras mencapai tujuan dan matlamat PAS menjadikan Islam sebagai dasar politik dan pemerintahan negara.

Terbaru.., Khairy menangguk di air keruh..

Nampaknya Khairy Jamaluddin beriya-riya benar cuba untuk mencetusakn isu yang baginya mampu menjatuhkan reputasi musuh politiknya. Terbaru apabila Khairy membuat kenyatan berkenaan isu Lojing dan satu lagi berkaitan skandal Presiden Bank Dunia bersama teman wanitanya dan cuba dikaitkan pula dengan Datuk seri Anwar Ibrahim.

Dalam kenyatan Khairy yang diaporkan di dada-dada akhbar, Khairy ketika di Kota Bharu menuntut Datuk Seri Anwar untuk memberi penjelasan kepada rakyat Malaysia mengenai pembabitannya dalam skandal yang membabitkan Presiden Bank Dunia, Paul Wolfowitz. Dalam laporan yang lain berkenaan isu Lojing pula Khairy menuduh Kerajaan Negeri Kelantan menggadai maruah rakyat menerusi tanah di lojing kepada warga Singapura. Khairy juga mendakwa Kerajaan Negeri Kelantan tidak mampu menguruskan negeri dengan baik.

Memang sudah lumrah seorang manusia yang bernama Khairy Jamaluddin suka menimbulkan isu yang bernada provokasi dengan musuh politiknya. Malang bagi Khairy kerana isu yang cuba di sentuhnya kali ini lebih kena atas batang hidungnya sendiri dari orang lain. Bak kata pepatah, paku dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih-labih.

Jika dibaca kenyataan Khairy baru-baru ini tentang isu Lojing dan skandal Presiden Bank Dunia jika difahami betul-betul tidak lebih hanya untuk menjatuhkan reputasi Kerajaan Negeri Kelantan dan Datuk Seri Anwar sahaja. Soal isu Lojing telahpun diberi penerangan oleh kerajaan negeri melalui roadshow penerangan yang di anjurkan oleh Urusetia Penerangan Negeri iaitu di Machang, Pasir Mas dan Kota Bharu. Kenapa kini Khairy baru terhegeh-hegeh untuk menunjukkan betapa ambil beratnya dia berkenaan isu Lojing ini walaupun yang menimbulkan isu ini hanyalah Setiausaha Parlimen Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dato’ Sazmi Miah dan akhirnya Umno tidak mendapat apa-apa manfaat melainkan sia-sia sahaja bahkan terdapat sumber yang mengatakan antara syarikat dan agensi yang melakukan kesalahan tersebut dimiliki oleh pemimpinan UMNO Kelantan juga.

Khairy ketinggalan dalam isu Lojing

Khairy juga cuba meletakkan Kerajan Negeri Kelantan sebagai penggadai harta rakyat Kelantan kepada warga Singapura seolah-alah Kerajaan Negeri telah menjual kedaulatan negari kepada Singapura. Jelas Khairy memang sengaja menimbulkan isu itu untuk menutup isu pembabitan secara langsung Singapura dalam pembangunan projek WPI dan menggunakan retorik Singapura tiada hak keatas WPI. Khairi juga cuba membabitkan Datuk seri Anwar dengan skandal Presiden Bank Dunia dan menegaskan bahawa rakyat Malaysia tidak suka orang yang berkawan baik dengan orang yang berskandal di dalam negara ini.

Mungkin Khairy menyedari hakikat bahawa rakyat sudah tahu dan cukup muak dengan tindakan khairy dan pimpinan negara berkaitan soal pentadbiran dan keselamatan negara. Dalam kenyataannya berkaitan WPI, menyatakan bahawa penglibatan Singapura hanya dari segi logistiknya sahaja atau untuk memudahkan pengunjung Singapura masuk ke dalam wilayah ini.

Soalnya sekarang, kalaupun Khairy berkata bahawa Singapura tidak mempnyai kuasa dalam menentukan apa-apa yang patut d tentukan dalam jawatankuasa tersebut, mengapa Pak Lah mengeluarkan kenyataan bahawa Kerajaan Malaysia bersedia melantik Singapura untuk mengepalai dan memberi arah tuju dalam jawatankuasa WPI ini. Takkanlah hanya berkaitan masalah urusan keluar masuk pengunjung Singapura ke dalam wilayah ini pun perlu nasihat Singapura lagi. Takkanlah kita begitu bodoh atau begitu jahil soal keselamtan negara dengan kemasukan warga asing yang begini pun hendak diberi mandat kepada orang asing juga menentukannya. Yang berkaitan dengan Singapura hanya perjalannan keluar masuk warganya sahaja tapi yang dibincangkan ialah pembangunan wilayah.

Nampaknya memang Khairy benar-benar terkesan dengan perbuatan kejinya apabila dikatakan terbabit dalam penjualan aset strategik negara kepada Singapura seperti mana yang didakwa oleh Tun Dr Mahathir, maka tanpa segan silu cuba pula menutup dan mengalih pandangan rakyat dengan isu Kerajaan Negeri Kelantan yang kononya menjual aset negeri kepada warga Singapura. Penerangan telah pun dibuat dan yang jelas Kerajaan Negeri Kelantan telahpun melantik peguam khas untuk meneliti isu Lojing ini bahkan kerajaan negeri sedia memberi kerjasama untuk mendedahkan sekiranya ada syarikat atau badan terbabit dalam isu pencemaran di Lojing ini dan terserahlah kapada undang-undang untuk memutuskan pihak mana yang benar-benar bersalah.

Khairy mengatakan bahawa Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz hanya berdiam diri dan membisu sepanjang masa dan Timbalan Menteri Besar Dato' Ahmad Yakob bercakap separuh jalan dan yang menguasai isu ini adalah Exco kanan negeri dato' Husam Musa. Kenyataan Khairy ini seolah-olah khairy terlalu cetek pengetahuan tentang pentadbiran kerajaan negeri Kelantan. malang bagi Khairy kerana isu ini telah diketahui umum kepala dan ekornya dan jelas Khairy terlalu jauh kebelakang.

Tidak timbul soal Exco Dato' Musa menguasai kerajaan negeri dalam hal ini teteapi Khairy sepatutnya maklum bahawa Dato' Husam Musa sendiri berada dalam Jawatankuasa Tanah Tinggi Lojing dan Jawatankuasa Perhutanan Negeri maka memang berhaklah beliau mengeluarkan kenyataan berkaitan isu Lojing ini sesuai dengan kapasiti beliau dalam jawatankuasa tersebut. Khairy juga patut mengumpulkan dahulu dan meneliti semua ucapan rasmi atau tidak rasmi Tuan guru Dato' Nik Abdul Aziz dan timbalannya serta exco-exco yang lain berkenaan isu ini.

Mungkin juga Khairy amat terasa pedihnya terhadap label-label yang diberikan kepada Khairy dan bapa mertuanya sehinggakan cuba memulangkan semula label tersebut kepada Tuan Guru dan Husam Musa ditambah pula Khairy mendakwa pimpinan kerajaan negeri mempunyai pergolakkan pimpinan antara "kaum muda" dan "kaum tua" di dala pimpinan negeri. Kita mengetahui perkara ini dan percaya bahawa Khairy sengaja mencipta publisiti murahan untuk mendapat sedikit sokongan di Kelantan dan mengaburi mata rakyat dari melihat isu iyang sebenar. Yang sebenar membisu bukankah Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz tetapi yang suka membisu adalah bapa mertuanya, sudahlah bisu dayus pula membiarkan kedaulatan negara dilacur kepada Singapura dan yang banyak bercakap soal isu kedaulatan ini siapa lagi kalau bukan Khairy apabila berucap seolah-olah dialah perdana menteri ,umpama seorang suami membiarkan isterinya dilacur kepada orang lain dan hasil lacuran dinikmati oleh menantu dan anak-anak, sang suami membisu seribu bahasa yang bercakap lebih menantu dan anak-anaknya.

Ambil kesempatan terhadap skandal wolfowitz

Memang telah diduga apabila timbul isu skandal Presiden Bank Dunia seperti yang sedia maklum pasti Datuk seri Anwar akan dikaitkan. Memandangkan Datuk Seri Anwar adalah pengerusi Yayasan Masa Hadapan sudah pasti Khairy tanpa berlengah-lengah terus mengambil kesempatan atas isu ini.Khairy dalam kenyataannya di Kota Bharu mendesak Datuk Seri Anwar untuk membuat penjelasan terhadap pembabitan beliau dalam isu ini. Berikutan laporan akhbar beberapa hari lepas yang terang-terang melibatkan Datuk Seri Anwar dalam skandal ini, Datuk seri Anwar telah membuat kenyataan berhubung dengan skandal ini di dalam Harakahdaily dan menyifatkan UMNO cuba menyebarkan propaganda buruk terhadap Yayasan Masa Hadapan.

Apakah yang cuba dimainkan oleh Umno dan terbaru Khairy terhadap Datuk Seri Anwar. Mungkinkah Khairy dan UMNO kini menghimpun strategi dan mencari peluang menjatuhkan reputasi Datuk Seri Anwar sebagai antara pemimpian pembangkang yang amat digeruni UMNO. Ataupun mungkin Khairy cuba mengambil kesempatan ini untuk menyerang Datuk Seri Anwar setelah beliau dihentam Anwar pada malam terakhir kempen pilihanraya kecil di Ijok yang telah lalu.

Khairy memang benar-benar belagak macam perdana menteri apabila Khairy juga mendesak Anwar memberi penjelasan berkaitan hubungan baiknya dengan Wolfowitz yang juga orang kanan Presiden Amerika. Soal hubungan persahabatan pun hendak di ketahui oleh Khairy bukankah ada niat lain bagi Khairy di sebalik persoalan itu. Seolah-olah mahu mengubah pemikiram rakyat untuk mula bertanya-tanya dengan persoalan yang negatif terhadap Anwar. Bukankah lebih baik Khairy membersihkan namanya dahulu sebelum membersihkan nama orang lain. Atau bukankah lebih baik Khairy mengajar bapa mertuanya lebih pandai bercakap dari membisu dan berani membuat penjelasan atas isu-isu yang amat penting terhadap kedaulatan negara. Ataupun Khairy perlu terlebih dahulu membuat penjelasan jujur soal penglibatnnya ke atas penjualan aset-aset strategik negara, kerugian proton dan tindakkannya mempengaruhi urusan pentadbiran negara, atau yang paling kurang pun tentang isu menaiki motosikal beramai-ramai bersama Pemuda Barisan Nasional tanpa memakai topi keledar ketika kempen pilihanraya kecil yang lalu. Kalau tidak, memang jelaslah Khairy memang spisis yang suka cari pasal dari menyelesaikan masalah.